Labbaika (1) - Tanyalah Ustaz 24.10.2012

Ustaz Dato' Abu Hassan Din


Bacaan surah Al-Hajj, ayat 27-29:

Ucapan “Labbaika” merupakan simbol yang seseorang itu menyahut panggilan Allah untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah. Haji merupakan ibadah yang difardhukan ke atas semua umat Islam yang mampu dan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Mampu ertinya mampu dari segi kewangan, sihat tubuh badan dan selamat perjalanan pergi dan balik. Namun begitu, tidak wajib tidaklah bermakna tidak boleh dikerjakan. Contoh seperti solat Jumaat, walaupun tak wajib ke atas wanita, tetapi tidak menjadi kesalahan jika ingin dikerjakan.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Mengapa orang musyrik dan orang Jahiliyyah juga mengerjakan haji?
J: Sebenarnya orang Yahudi dan Nasrani menganggap Nabi Ibrahim sebagai nabi mereka dan oleh sebab mereka ingatkan haji untuk mereka juga. Namun, Allah jawab persoalan ini dalam ayat 67, surah Ali Imran yang menyatakan bahawa Nabi Ibrahim adalah untuk orang Islam. Perkara ini berterusan sehingga zaman Nabi Muhammad SAW dan baginda bersetuju dengan perjanjian mengerjakan haji berasingan antara orang Islam dan orang musyrikin. Setelah Nabi Muhammad SAW menawan semula kota Mekah dan membersihkannya daripada orang kafir dan sembahan mereka, maka haji hanya untuk orang Islam sahaja dan Allah mensyariatkan cara bagu mengerjakan haji seperti yang kita lakukan hari ini.

S: Ibadat haji orang terdahulu (zaman Nabi Ibrahim) tidak sama dengan haji yang dikerjakan hari ini. Bilakah perubahan ini berlaku?
J: Pada zaman dahulu, haji hanyalah mengerjakan tawaf. Abdul Mutalib merupakan orang yang pertama menjumpai semula telaga zam-zam selepas dikambus oleh satu kaum sebelum mereka meninggalkan kota Mekah. Oleh sebab itu, dia dipertanggungjawabkan untuk memberi minum orang yang datang mengerjakan haji. Pada ketika itu sudah ada haji walaupun Islam belum ada. Setelah Nabi Muhammad SAW menawan semula kota Mekah dan membersihkannya daripada orang kafir dan sembahan mereka, maka haji hanya untuk orang Islam sahaja dan Allah mensyariatkan cara bagu mengerjakan haji seperti yang kita lakukan hari ini.

S: Apakah makna “Labbaikallah”?
J: Dari segi bahasa maksudnya – Kami datang kepada-Mu atau Kami menyahut seruan-Mu. Orang yang mengerjakan haji/umrah dilarang berbuat rofas – yang bermaksud perbuatan keji dari segi perkataan dan perbuatan – oleh sebab, untuk menjaga pertuturan digalakkan mengucapkan “Labbaikallah”.

S: Selalu orang kata 'belum sampai seru' sebagai alasan untuk tidak pergi haji. Apa komen ustaz?
J: Pada pendapat saya, jawapan ini salah kerana seolah-olah kita tidak membenarkan seruan yang dibawakan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW. Lebih baik jawab tidak cukup belanja lagi atau tidak mampu lagi. Jawapan tidak sampai seru boleh juga mencerminkan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak menyempurnakan tugasnya sebagai Rasul. Oleh itu, mereka yan berkata begitu perlu bertaubat.

S: Ada orang pergi haji dengan tujuan melancong. Adakah mereka boleh mendapat haji yang mabrur?
J: Haji mabrur bukanlah hak kita untuk menentukannya, ianya hak Allah. Allah memang ada suruh manusia melancong untuk melihat kebesaran dan kekuasaan Allah. Ada satu hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa di akhir zaman nanti akan ada orang kaya yang pergi haji untuk melancong, orang sederhana pergi haji kerana riyak dan orang miskin pergi haji untuk meminta sedekah. Walaupun Nabi tidak melarang, untuk ke Mekah, janganlah niat untuk melancong, sebaliknya niatlah untuk beribadat dan mengerjakan haji. Jangan juga pergi Mekah dengan tujuan riyak atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Orang miskin yang meminta sedekah di Mekah dan Madinah mungkin juga sebagai ujian kepada jemaah haji.

S: Ada orang pergi haji untuk mendapatkan gelaran haji/hajjah?
J: Jika begitu, niatnya sudah salah. Kita tidak pernah panggil Nabi SAW, para khalifah atau sahabat Nabi dengan panggilan haji dihadapan. Mereka yang menggunakan gelaran ini mungkin ada datang perasaan riyak, dan perasaan riyak akan menghalang untuk mendapat haji mabrur.

S: Ada orang kata tidak mahu berubah selepas mengerjakan haji? Apa nasihat ustaz?
J: Ulama mengatakan tujuan mengerjakan haji ada dua iaitu:

  1. Membuang segala dosa-dosa yang pernah dilakukan. Ada satu hadis sahih daripada Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa menunaikan haji kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah dan dengannya tidak menyebut perkataan-perkataan maksiat, tidak melakukan perbuatan-perbuatan keji, akan kembali daripadanya bebas daripada dosa sebagaimana hari di mana ibunya melahirkannya.”
  2. Mengharapkan haji mabrur dan balasan syurga.
Oleh itu, orang yang ingin masuk syurga perlu menjaga diri daripada berbuat dosa. Jika selepas mengerjakan haji masih berbuat kemaksiatan, maka itu mungkin tanda yang hajinya tidak mabrur. Jangan ada niat untuk tidak mahu berubaha, kerana haji itu memang bertujuan menjadikan kita lebih baik.

S: Di sesetengah tempat, mereka meraikan dan memuliakan orang yang pergi haji. Mereka membuat pintu gerbang besar dan berkenduri doa selamat setiap malam selama tuan rumah berada di Mekah. Apa komen ustaz?
J: Itu menunjukkan ada unsur riyak yang boleh menyebabkan haji tidak mabrur.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab