Dahulukan Ibubapa (1) – Tanyalah Ustaz 19.10.2012


Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah


Bacaan surah Luqman, ayat 13-15:


Manusia bersifat pelupa, oleh sebab itu kita perlu diingatkan selalu. Dalam pesanan Luqman Nul Hakim tadi, beliau berpesan: Jangan mensyirikkan Allah dan berbuat baik kepada ibubapa. Allah utamakan ibubapa dan menceritakan semula kesusahan yang ditanggung ibu terutamanya ketika mengandung, melahirkan dan menyusukan sehingga anak berumur 2 tahun. Walaupun sukar, Allah beri rahmat kepada ibu dan ‘lupakan’ dia dengan keperitan yang disakiti sehingga ibu sanggup melahirkan anak berkali-kali.

Cukupkah dengan memberi wang ribuan ringgit atau berkhidmat seumur hidup kepada ibubapa untuk membalas jasa mereka? Pastilah tidak cukup. Bila anak sakit, ibubapa minta untuk diberikan kesakitan itu untuk mereka tanggung. Namun, apabila ibubapa sakit, anak-anak minta agar ibubapa segera meninggal dan tidak menyusahkan mereka lagi. Perkara pertama yang perlu kita buat selepas solat ialah berbakti kepada ibubapa. Oleh itu, jangan bazirkan peluang ini.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Ramai manusia hari ini dahulukan harta sehingga melupakan ibubapa. Ada anak yang kecil hati kerana ibubapa melebihkan pemberian harta kepada anak yang lain dan tidak sudi menjaga ibubapa. Mengapa jadi begitu?
J: Syaitan memang tugasnya mengajak kepada kemungkaran. Namun, kita perlu kuat untuk menjauhinya. Jika ibubapa lebihkan anak yang lain, kita perlu berusaha lebih kuat lagi untuk menjadi anak yang dikasihi juga. Ibubapa boleh menjadi kunci syurga atau neraka seseorang. Oleh itu, gunakan peluang itu sebaik-baiknya dan jadikan mereka sebagai kunci syurga.

S: Adakah anak yang meninggikan suara tetapi tidak mengecilkan hati ibubapa dikira sebagai berdosa?
J: Mana kita tahu ibubapa tidak berkecil hati? Mungkin hati mereka remuk kerana kecewa dengan sikap kasar anak-anak. Dalam ayat 23, surah Al-Isra', Allah melarang kita berkata 'Ah' sekalipun dan meminta kita merendahkan diri apabila berada bersama ibubapa. Orang yang sanggup menengking ibubapa juga merupakan orang yang berjaya dirasuk syaitan. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak termasuk ke dalam perangkap syaitan. Mohon perlindungan daripada Allah dengan membaca “A’zubilaahhiminassyaitonirrojim”.

S: Jika suami berselisih-faham dengan ibubapa mertua, adakah isteri perlu menyebelahi suami atau ibubapa?
J: Isteri perlu berusaha menjadi pendamai antara kedua-dua pihak. Wanita ini ada banyak tipu-dayanya dan dia perlu menggunakan kelebihan ini untuk mendamaikan keluarganya. Jangan buat sebaliknya dan mengeruhkan keadaan.

S: Bagaimana pula dengan kes isteri yang menghalang suami buat baik kepada ibubapanya?
J: Perlu bersihkan hati isteri. Isteri perlu ingat yang matlamat kehidupan adalah syurga, dan bukannya dunia sahaja. Suami perlu guna kebijaksaan dan kasih sayang untuk memujuk isteri agar tidak cemburu.

S: Saya sayangkan ibu mertua tetapi baru-baru ini dapat tahu yang ibu mertua mengamalkan sihir. Saya jadi tawar hati untuk pergi melawat ibu mertua. Mohon nasihat ustaz?
J: Sebagai anak, walaupun ibu buat jahat kepada kita, kita jangan balas buat jahat. Pergi balik ke rumahnya juga walaupun dia tidak suka. Kita inginkan syurga, oleh itu kita perlu buat kebaikan. Kebaikan akan terserlah juga. Gunakan kuasa kasih-sayang untuk menyentuh hatinya, bukan kekasaran untuk menyinggungnya. Di samping itu, berdoa mohon bantuan pada Allah juga.

S: Ibu saya pilih kasih dan saya bukanlah termasuk yang dikasihinya. Mohon nasihat ustaz?
J: Allah tidak membenarkan ibubapa memilih kasih terhadap anak-anak. Sebagai anak-anak, jika tidak terpilih, perlu terus berusaha mengambil hati mereka. Jangan merajuk kerana Allah pasti akan beri pahala pada kita. Kita perlu berdoa memohon Allah merahmati ibubapa sebagaimana mereka merahmati kita ketika kita masih kecil. Jika ibubapa tidak mengasihi kita ketika kecil, sudah pasti kita tidak akan dapat membesar dengan baik.

S: Bagaimana nak buang perasaan tersisih anak yang tak dibela oleh ibubapa sendiri?
J: Walaupun mereka tidak membela kita, ibu tetap mengandungkan kita selama 9 bulan. Ketika melahirkan, ibu bersabung nyawa pula. Tanpa kedua-dua ini, seorang anak takkan dapat dilahirkan dan merasa nikmat kehidupan di dunia. Oleh itu, walaupun ibubapa tidak membela ketika kecil, mereka tetapi syurga kita dan perlu dihormati dan dimuliakan. Perasaan tersisih atau kecil hati itu perlu digunakan untuk mendapat kasih-sayang Allah dan teruskan berbakti kepada ibubapa.

S: Bagaimana untuk menegur ibubapa yang tidak solat sedangkan kita tidak dibela oleh mereka dan merasa sukar untuk berbicara?
J: Anak cuma perlu nasihat sekadar yang mampu. Tidak perlu dipaksa-paksa kerana hidayah milik Allah. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab