Pintu Taubat (2) – Tanyalah Ustaz 04.10.2012

Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim


Bacaan surah Ali-Imran, ayat 135-137:

Kaum Lut diterbalikkan oleh Allah kerana maksiat yang mereka lakukan. Ada banyak lagi contoh kisah kaum yang tidak mahu bertaubat kepada Allah dan akhirnya ditimpa bala. Allah suruh kita berjalan untuk melihat kesan-kesan perbuatan mereka itu.
Allah suruh kita cepat-cepat bertaubat, jangan dilengah-lengahkan kerana kita semua tidak tahu bilakah kita akan dijemput pulang menghadap Allah SWT. Alhamdulillah, Allah masih beri kita nyawa dan kekuatan. Oleh itu manfaatkanlah untuk beribadat, menambah ilmu dan bertaubat kepada Allah.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Bagaimana kesan orang yang tidak bertaubat di akhirat nanti?
J: Imam Al-Qurtubi ada membincangkan perihal ini dan menyatakan bahawa orang sebegini akan disiksa di alam kubur lagi, dan kemudian di akhirat pula. Kubur bukanlah tempat untuk istirehat bagi orang yang berbuat maksiat. Kita semua perlu jaga adab ketika menghantar keluarga yang meninggal unutk dikebumikan. Seorang anak yang soleh akan membacakan Al-Fatihah dann mendoakan keampunan kepada kedua ibubapanya. Orang yang kafir, yang syirik, munafiq dan berkawan dengan jin dan syaitan akan kekal disiksa dalam neraka. Golongan kedua pula ada melakukan dosa tetapi masih beriman kepada Allah. Golongan ini akan disiksa di neraka atas kesalahan yang pernah dilakukan sebelum diizinkan masuk ke syurga. Namun, berada di neraka tidaklah seperti berada di penjara. Seringan-ringan siksaan di neraka ialah apabila batu api neraka diletakkan di bawah kaki sehingga menyebabkan otak menggelegak dan api keluar melalui rongga-rongga manusia. Tidak takutkah kita dengan siksaan sebegini dan tidakkah kita mahu bertaubat?

S: Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk bertaubat?
J: Paling utama kena pastikan yang kita berilmu tentang cara bertaubat. Untuk bertaubat, seseorang perlu meninggalkan perbuatan maksiat dan menjauhkan diri daripada rakan/golongan yang mendorong kepada kemaksiatan. Ketiga: perlu menambah amal beribadat disamping memohon keampunan kepada Allah.

S: Adakah waktu khusus untuk bertaubat?
J: Sebenarnya Allah buka pintu taubat selagi nyawa kita tidak sampai ke halkum. Oleh itu, kita boleh bertaubat setiap detik. Namun, ulama ada memberi garis panduan tentang waktu terbaik dan mustajab untuk melalukan taubat iatu pada sepertiga malam. Pada waktu itu, keadaan lebih sunyi dan kita akan fokus dan lebih mudah untuk mengalirkan air mata dan menyesal atas dosa yang kita lakukan.

S: Siapakah golongan yang Allah tidak terima taubatnya?
J: Pada umumnya, Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih, dan Allah mengampunkan semua dosa manusia. Namun, terdapat beberapa hadis yang menyebut Allah tidak mengampunkan dosa orang yang tidak betul-betul meninggalkan perbuatan syirik, orang yang masih berterusan berbuat maksiat, dan orang yang tidak mendapat keampunan kedua ibubapanya. Menderhakai kedua ibu bapa termasuk salah satu dosa besar. Oleh itu, sebelum minta ampun kepada Allah, mohon ampun kepada kedua ibubapa terlebih dahulu.

S: Bagaimana untuk melakukan taubat nasuha?
J: Taubat nasuha merupakan taubat yang dituntut dalam Islam. Imam Al-Qurtubi ada menyebut bahawa ada 4 komponen dalam taubat nasuha:
  1. Istighfar dengan lidah – kena ucap memohon keampunan kepada Allah, tak kita dalam apa bahasa sekalipun
  2. Buang segala maksiat yang ada pada tubuh – contohnya orang lelaki tak boleh pakai rantai/gelang.
  3. Berazam bersungguh-sungguh untuk meninggalkan maksiat
  4. Menjauhi rakan/golongan yang boleh mendorong kepada maksiat

Ibnu Hajar menambah lagi satu komponen iaitu menyelesaikan hak-hak orang lain yang telah diambil. Contohnya jika seseorang pernah mencuri. Ada orang tanya bagaimana jika tidak dapat bertemu dengan pemiliknya? Ulama menyatakan sedekah wang dengan jumlah yang pernah diambil atas nama pemilik harta yang pernah dianiayai. Moga-moga pahala sampai kepada pemiliknya dan dia redha untuk memaafkan perbuatan salah yang dilakukan ke atasnya.

S: Ada tak diajarkan di dalam Al-Quran cara untuk bertaubat kepada Allah?
J: Ya, ada diajar melalui beberapa kisah-kisah Nabi. Semoga kita semua dapat hafal dan amalkan dan ajar anak-anak juga untuk menghafal dan mengamalkannya. Pertama - kisah Nabi Adam memohon keampunan dalam surah Al-A’raf, ayat 23. Kedua - doa Nabi Nuh dalam surah Hud, ayat 47. Ketiga - doa Nabi Musa dalam surah Nuh dalam ayat 28. Keempat – doa Nabi Daud dalam surah Sod ayat 24, dan kelima - doa Nabi Sulaiman dalam surah Sod, ayat 35.

Doa Taubat Nabi Adam A.S.
Doa Taubat Nabi Nuh A.S.
Doa Taubat Nabi Musa A.S.
Doa Taubat Nabi Daud A.S.

Doa Taubat Nabi Sulaiman A.S.

S: Bagaimana untuk menjauhi perbuatan maksiat setelah bertaubat?
J: Ada beberapa cara iaitu:
  • Pertama - Al-Quran dan sunnah Nabi SAW sentiasa mengingatkan kita untuk berbuat kebaikan. Oleh itu, kita perlu sentiasa membaca dan memahami agar dapat selalu melakukan kebaikan.
  • Kedua – kita perlu membayangkan bala-bala yang pernah diturunkan pada zaman-zaman Nabi terdahulu. Kita perlu takut jika bala yang sama akan diturunkan kepada kita pula
  • Ketiga – ingat akan balasan siksaan di alam kubur dan akhirat seperti yang kita bincangkan 2 hari ini.
  • Keempat - Ingat akan hukuman yang Allah tetapkan. Contohnya, potong tangan jika mencuri, orang berkahwin yang berzina perlu direjam dan sebagainya
  • Menjauhi orang yang boleh mendorong kita membuat maksiat.


S: Bagaimana untuk memastikan taubat diterima Allah?
J: Untuk mendapatkan kasih sayang Allah, perlu kita pastikan yang kita:
  • Banyak berbuat amal soleh – dalam surah Ali-Imran ayat 133 yang dibacakan kelmarin, Allah sebut bahawa orang yang banyak melakukan amal soleh akan diampunkan dosanya
  • Perlu ada rasa takut untuk buat maksiat – Bayangkan bagaimana jika kita mati ketika melakukan maksiat?
  • Memenuhi masa dengan muhasabah diri – Perlu dilakukan setiap detik, tanya diri apa dosa dan kebaikan yang telah dilakukan setiap hari. Inilah yang dikatakan hisab diri sebelum kita dihisab oleh Allah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab