Kesilapan Anak Pada Ibubapa (2) – Tanyalah Ustaz 11.10.2012
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani
Bacaan surah Al-Isra', ayat 23-24:
Allah letak ibu bapa pada kedudukan
yang tinggi kerana Allah meminta anak menjaga ibubapa sebagaimana
menjaga Allah. Sambungan perbincangan semalam -
Kesilapan anak pada ibubapa setelah berkahwin sehingga anak meninggal
atau ibubapa meninggal dan setelah ibu bapa meninggal dan
dibangkitkan semula di akhirat.
Kesilapan anak pada ibubapa setelah
berkahwin sehingga anak meninggal atau ibubapa meninggal:
- Membiarkan ibubapa hidup bersendirian sedangkan anak bergembira dengan pasangan. Kisah yang sama pernah berlaku ketika zaman Rasulullah SAW. Ada seorang wanita yang begitu cantik, namanya Atiqah. Dia akhirnya dikahwinkan dengan Abdullah bin Abu Bakar. Namun, oleh kerana isterinya terlalu cantik, Abdullah menjadi leka sehingga meninggalkan solat berjemaah. Abu Bakar memerhatikan dan setelah 40 hari Abdullah meninggalkan solat berjemaah, Abu Bakar mengarahkan Abdullah menceraikan Atiqah. Setelah bercerai, Abdullah dan Atiqah kesedihan lalu Abu Bakar membenarkan mereka rujuk dengan syarat Abdullah tidak mengabaikan solat berjemaah. Pada malam pertama setelah merujuk semula, ada panggilan jihad untuk berperang, lalu Atiqah pun menyuruh Abdullah keluar meninggalkankannya untuk mengikut sama berjihad. Dalam peperangan tersebut, Abdullah gugur syahid. Kemudian Atiqah dikahwini pula seorang sahabat Nabi SAW yang lain iaitu Zubir. Perkara yang sama berlaku – berlaku panggilan jihad pada malam pertama perkahwinan, lalu suaminya pun keluar berjihad dan gugur syahid. Setelah itu, Atiqah berkahwin lagi dan perkara yang sama berlaku sehingga 4 kali. Setelah itu, orang mengatakan sekiranya ingin mati syahid, nikahilah Atiqah.
- Membiarkan ibubapa yang uzur hidup bersendirian. Berapa ramai anak yang mempunyai rumah yang cantik, sedangkan rumah ibubapa sangat uzur.
- Tidak menjaga adab jika ibubapa tinggal bersama. Jangan pula ada yang mengambil kesempatan menggunakan ibu sebagai pembantu rumah.
- Tidak menjaga ibubapa sendiri atau ibubapa mertua yang uzur. Seorang lelaki yang telah berkahwin perlu meletakkan ibubapa mertua pada kedudukan yang sama dengan ibubapa sendiri juga. Kita perlu memujuk mereka dengan lembut dalam membantu mereka menghadapi keuzuran tersebut. Jangan sekali-kali anak terlepas kata bertanya bilakah ibubapa akan meninggal.
- Bertengkar di hadapan ibubapa – tak kita pertengkaran antara suami-isteri atau adik-beradik. Ibubapa yang sudah berusia lebih mudah terasa, oleh itu perlu berhati-hati.
- Memutuskan silaturrahim kerana duduk berjauhan. Jangan sampai ibubapa yang perlu telefon untuk bertanya khabar. Perbuatan itu sudah boleh dikira menderhaka sebenarnya. Jika ibu menelefon, hormati dirinya dengan menelefonnya semula.
- Bercakap kasar dengan ibubapa, tetapi lembut dengan pasangan. Ada satu kisah seorang sahabat – Al-Qomah, ketika zaman Nabi SAW. Ibunya kecil hati kerana dia memberi makanan kepada isteri dan anaknya terlebih dahulu. Dia tidak dapat mengucap ketika menghadapi sakaratul maut sehinggalah ibunya memaafkan kesalahan mengecilkan hati ibunya itu.
- Membiarkan ibubapa tanpa menziarahi mereka (di kampung). Ramai ibubapa yang tertunggu-tunggu di kampung untuk anak dan cucu balik menziarahi. Biasanya anak cuma balik di musim hari raya. Jika anak boleh meluangkan masa untuk pergi melancong, kenapa tidak boleh luangkan masa untuk balik kampung?
- Membawa ibubapa kepada kemaksiatan, dan bukan kebaikan. Contohnya membawa ibubapa ke tempat-tempat yang dilarang syarak.
Kesilapan anak pada ibubapa setelah
ibu bapa meninggal dan dibangkitkan semula di akhirat:
- Tidak mendoakan ibubapa – Dalam satu hadis, Nabi SAW ada menyebut bahawa doa anak yang soleh akan sampai kepada ibubapa yang meninggal. Jangan berdoa ketika hari raya sahaja.
- Tidak menginfakkan sedikit daripada harta bagi pihak ibubapa – Lazimkan untuk menderma bagi pihak ibubapa. Ibubapa telah banyak berkorban untuk membesarkan dan memberi pendidikan kepada kita.
- Tidak melangsaikan hutang ibubapa. Jangan pula seseorang makan harta pusaka sebelum melangsaikan hutang orang yang telah mati. Selain hutang dengan manusia , perlu juga usahakan membanyar hutan g dengan Allah contohnya puasa yang tertinggal, ibadah zakat haji dan seumpamanya.
- Tidak melangsaikan hutang ibubapa dengan manusia. Hutang yang belum dilunaskan akan menghalang roh daripada naik bertemu Allah.
- Tidak menyambung silaturrahim dengan rakan arwah ibubapa. Kenapa ini perlu? Mengikut hadis Nabi SAW, orang yang meninggal dan diberi kebaikan akan dikumpulkan di Illiyyin. Di sana mereka akan bertanya khabar, dan jika kawan ibubapa meninggal dan anak menyambung silaturrahim dengannya, ini akan memberi berita gembira kepada arwah ibubapa.
- Tidak menyambung kebaikan yang pernah dilakukan arwah ibubapa.
- Mengungkit kesalahan arwah ibubapa. Maafkan sahaja jika terdapat kedua ibubapa sebelum ini.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Bagaimana jika seseorang melayan
kawan lebih baik daripada ibubapanya?
J: Tidak sepatutnya berlaku begitu.
Kita perlu berhati-hati kerana ini boleh menyebabkan ibubapa berkecil
hati dan kita akan dikira berdosa.
S: Bagaimana hukum anak yang tidak
menghormati ibubapa mertua?
J: Seorang anak perlu menjaga hati
ibubapa sendiri dan mertua. Tetapi jangan sampai melebihkan ibubapa
mertua pula. Jangan bersikap tidak elok kepada mereka, kerana suatu
hari nanti kita juga akan menjadi ibubapa atau ibubapa mertua.
S: Apa yang perlu dilakukan jika
ternampak rakan derhaka kepada ibubapa?
J: Pertama – perlu ingatkan mereka
yang derhaka merupakan dosa besar. Kedua – menarik mereka kembali
kepada taat kepada ibubapa. Ketiga – bawa rakan berjumpa alim ulama
yang mampu menasihatinya. Jika dia masih tidak berubah – jauhi
daripada berkawan dengannya agar tidak terpengaruh.
S: Apa yang perlu dilakukan sebagai
anak apabila didapati ibubapa tidak mematuhi syarak?
J: Jika mampu, beri nasihat dengan
lemah lembut. Ada satu kisah yang diceritakan kepada saya tentang
bagaimana seorang lelaki belajar untuk bangun solat tahajjud. Pada
suatu malam, dia terdengar bunyi air dan melihat anak bongsunya yang
baru darjah 6 bangun. Apabila ditanya, anaknya mengatakan yang dia
ingin solat tahajud kerana ustazahnya mengajarkan begitu. Lelaki itu melihat sahaja anaknya solat, dan
kemudian dia melihat anaknya berdoa dalam keadaan menggigil memohon
keampunan kepada ibubapanya yang tidak solat. Lelaki itu pun terharu
dan memeluk anaknya, dan insaf untuk tidak meninggalkan solat,
bahkan mengerjakan solat tahajud juga. Jika seorang anakyang baru
darjah 6 sudahpun mempunyai kekuatan untuk bangun tahajjud, kenapa
kita yang sudah darjah 40 masih tidak dapat buat? ;)