Kesilapan Anak Pada Ibubapa (1) – Tanyalah Ustaz 10.10.2012


Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani


Bacaan surah Al-Isra’, ayat 23-24:


Tanggungjawab manusia ada dua iaitu jaga Allah dan jaga ibu bapa – Kenapa ibubapa? Ibubapa adalah orang yang melahir dan membesarkan kita, oleh itu mereka perlu dilebihkan berbanding orang lain di dalam kehidupan. Ada banyak hadis Nabi SAW yang menyentuh kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa. Salah satunya berbunyi, “Redha Allah terletak pada redha ibu bapa”.  Redha ibubapa juga membawa keberkatan dalam kehidupan.

Walaupun nampak kecil, kesalahan kepada ibubapa adalah besar di sisi Allah. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk menjauhi dan meninggalkan perkara-perkara yang membawa kepada dosa kepada ibubapa. Selama ini kita melihat tanggungjawab ibubapa kepada anak, tetapi tidak sebaliknya. Tanggungjawab anak kepada ibubapa terbahagi kepada 3 peringkat iaitu: Ketika remaja sehingga sebelum kahwin,  setelah berkahwin sehingga anak meninggal atau ibubapa meninggal dan setelah ibu bapa meninggal dan dibangkitkan semula di akhirat.

Sebagai permulaan, akan dibincangkan tanggungjawab peringkat pertama dahulu hari ini.

Tanggungjawab ketika remaja sehingga sebelum kahwin:
Bermula setelah akhil baligh, kesilapan yang biasa dilakukan antaranya:
  • anak mula ingkar dan tidak mematuhi suruhan ibu bapa.
  • bercakap kasar – Allah larang kita sebut ‘aah’ sekalipun kepada ibubapa. Kita perlu menjaga luaran dan dalaman ibu bapa. Menjaga dalaman bermaksud menjaga hati mereka dan kita perlu berhati-hati kerana ada kalanya kita tidak perasan yang kita telah melukai hati ibubapa.
  • mula hilang rasa hormat dan sayang kepada ibubapa, contohnya bercakap tanpa memandang wajah ibubapa, memasamkan muka atau menunjukkan rasa tidak berminat dengan perkara yang dikatakan oleh ibubapa, mengejek ibu bapa sendiri atau ibu bapa orang lain.
  • Derhaka kepada ibubapa dengan menceritakan keaiban atau masalah keluarga kepada orang luar yang tidak berhak mendengarnya.
  • Tidak mendoakan mereka – Allah memerintahkan agar kita mendoakan rahmat dan belas kasihan kepada ibubapa. Doa ini besar nilainya terutama kepada ibubapa yang telah meninggal.
  • Memanggil ibubapa dengan panggilan yang tidak hormat contohnya memanggil dengan nama, atau memberi gelaran yang buruk.
  • Menyusahkan hati ibubapa – contohnya meminta sesuatu yang diluar kemampuan kewangan ibubapa, keluar malam tanpa kebenaran, tidak belajar bersungguh-sungguh dan seumpamanya.
  • Tidak memberi salam kepada mereka atau memohon keampunan daripada mereka. Sebenarnya kita perlu lazimkan memohon ampun, dan bukannya tunggu ketika hari raya sahaja.
  • Tidak menghormati sahabat ibubapa – Islam menyuruh kita menjaga dan menyambung silaturrahim dengan sahabat ibubapa kita. Jangan menyinggung perasaan atau tidak memuliakan mereka.
  • Kita membiarkan ibubapa dalam kemaksiatan – Anak-anak tidak boleh membiarkan sahaja dan perlu menegur dan mengajak ibubapa kepada kebaikan dengan lemah-lembut. Jika ibubapa sakit, anak perlu mengingatkan ibubapa tentang solat. Jika ibubapa mengumpat, kita ubah tajuk perbualan dan jangan pula kita menyambung perbincangan itu.
  • Mendahului ibubapa – contohnya berjalan dihadapan mereka, makan sebelum ibubapa, tidur sebelum ibubapa. Nabi SAW menyuruh kita berbuat baik 3 kali lebih berbanding bapa.

Soalan dan jawapan:
S: Adakah anak yang ponteng sekolah berdosa kepada kedua ibubapanya?
J: Ya, kerana ibubapa mengamanahkan anak untuk berada di sekolah dan belajar, tetapi anak pula mengikut nafsu dan ponteng sekolah.

S: Adakah sikap acuh-tak-acuh kepada ibubapa dianggap berdosa?
J: Ya, kita perlu beri perhatian terhadap apa jua yang ibubapa katakan. Jangan pula berbalas sms dengan orang lain takkala ibu atau bapa sedang bercakap. Ada satu kisah – ketika Nabi SAW bercakap-cakap dengan sahabat-sahabatnya, dia ternampak ibu susuannya datang, lalu Nabi SAW berhenti bercakap dan menyambut kedatangan ibu susuannya dengan ucapan ‘Selamat Datang’ dan baginda menghamparkan kain dibahunya untuk ibunya itu duduk.

S: Bagaimana untuk menebus kesilapan kepada ibubapa?
J: Ulama mengajarkan agar kita segera mencium tangan mereka dan memohon keampunan daripada mereka. Jangan segan pula. Jika mereka sudah meninggal, kita mohonkan keampunan kepada mereka, menziarahi kubur mereka dan memohon keampunan daripada Allah. Seterusnya, membanyakkan bersedekah bagi pihak mereka dan menyambung silaturrahim dengan rakan-rakan mereka.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab