Majlis Ta’lim Darul Murtadza 23.11.2012 - Tafsir ayat 282 bah. 2 dan ayat 283 (Perihal hutang), surah Al-Baqarah

Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid

Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, KL


Tafsir Al-Quran: sambungan separuh ke -2 ayat 282:
Sedikit ulangkaji daripada perbahasa separuh daripada ayat 282, surah Al-Baqarah sebelum ini:
* Untuk rujukan perbahasan bahagian pertama, sila rujuk di sini.
Ayat ini menceritakan kepentingan untuk mencatit perkara yang berkaitan kewangan yang melibatkan orang lain iaitu ketika berhutang. Di samping itu, ianya juga membahaskan pentingnya seseorang yang mempunyai harta yang lebih memberi hutang kepada orang lain. Ganjarannya adalah lebih besar daripada memberi sedekah walaupun wang hutang itu akan dikembalikan. Orang yang ingin berhutang adalah orang yang betul-betul dalam keadaan tersepit dan amat memerlukan. Mereka berhutang untuk menjaga kehormatannya daripada meminta-minta. Oleh sebab itulah, orang yang menyampaikan hajatnya (yakni dengan memberi hutang) akan mendapat ganjaran yang besar.
Orang yang kedekut jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh daripada syurga dan dekat kepada neraka, manakala orang yang pemurah pula dekat kepada Allah, dekat kepada manusia, dekat kepada syurga dan jauh daripada neraka. Keuntungan harta yang dihutang bukanlah semata-mata kepada orang yang menerima hutang, tetapi kembali kepada orang yang memberi hutang juga kerana Memberi hutang adalah untuk melatih diri agar tidak kedekut
Adab semasa berhutang atau jual beli berhutang:
  • Dicatit oleh penulis yang adil (pihak ketiga)
  • Mendatangkan saksi yang adil – iaitu orang yang meninggalkan dosa besar dan tidak membuat dosa kecil yang berterusan. Saksi ialah 2 lelaki atau 1 lelaki dan 2 perempuan
Ada 2 pandangan berkaitan hukum mencatiti hutang – ada yang kata wajib tapi majoriti ulama' mengatakan sunat dan transaksi sah tanpanya.
Sambungan perbahasan:

..Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.
Hikmah penulisan bukan hanya untuk melihat kecil-besarnya jumlah, tetapi sebagai menjaga adab yang ditetapkan Allah. Jumlah besar atau kecil itu relatif sebenarnya, oleh sebab itulah syarah memerintahkan agar dicatit dan dibawakan saksi.
Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah..
Mengapa mencatit adalah lebih adil di sisi Allah? Allah akan memperhitungkan segala perbuatan hambanya, hatta perkara yang sebesar biji sawi sekalipun. Oleh itu, Allah memberi hak kepada harta manusia, walaupun satu sen nilainya – akan tetap dihitung. Sebagai tanda sifat adil Allah, Allah menunjukkan agar manusia mencatit hutang yang berlaku antara mereka sebagai bukti.
..dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi..
Catitan akan menjadi bukti kepada pihak yang berhutang, orang yang memberi hutang, penulis, dan juga saksi. Dengan adanya catitan, pemiutang tak boleh meminta lebih daripada yang diberi, orang yang berhutang tak boleh mengingkari jumlah yang diambil, saksi tak boleh mengelak kesaksian yang benar, dan yang menulis juga perlu menulis dengan yang benar.
..dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.
Keraguan boleh timbul jika salah satu pihak terlupa. Oleh itu, saksi dan catitan penulis boleh mengelak terjadinya perbalahan antara orang berhutang dan pemiuatang.
Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli
Dalam jual-beli tunai, tak perlu mencatit, bahkan tidak disunatkan pun untuk mencatit. Kadang-kadang boleh juga didatangan saksi dalam jual-beli tunai, tetapi jika tiada, transaksi tetap sah. Dalam satu kisah, Nabi SAW ada membeli unta daripada seorang Badawi. Setelah Nabi SAW membayar, si Badawi itu mengingkarinya dan mengatakan bahawa Nabi SAW tidak membayarnya dan meminta didatangkan saksi. Seorang sahabat yang bernama Huzaifah berkata, “Ya Rasulullah, aku ingin mengaku menjadi saksi”. Nabi SAW bertanya kepadanya, “Dengan bukti apa kamu menjadi saksi sedangkan kamu tidak hadir semasa transaksi aku bersama si Badawi ini?” Nabi SAW tetap bersifat adil walaupun di saat itu baginda difitnah. Jawab Huzaifah, “Dengan kejujuranmu yang tak pernah berdusta, yang kau diutuskan menjadi Nabi yang tak mungkin akan berdusta. Aku percaya dengan kejujuranmu”. Nabi SAW kemudian berkata, “Syahadahnya Huzaifah ini satu bersamaan dengan dua”.
dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan...
Potongan ayat ini boleh mempunyai dua cara bacaan kerana huruf 'ro' bersyaddah dan jika dipecahkan kepada dua, ianya boleh dibaca sebagai 'yu do roro' (berbaris atas) atau 'yu do ri ro'(berbaris bawah).
Jika berbaris atas ayat, ini bermakna orang yang berhutang dan pemiutang tidak dibenarkan menyakiti atau memaksa penulis ataupun saksi meninggalkan pekerjaan atau tanggungjawab harian mereka untuk menyelesaikan perselisihan yang wujud antara pemiutang dan orang yang berhutang. Mereka perlu memberi ruang dan masa yang sesuai untuk penulis dan saksi memberikan kerjasama.
Jika berbaris bawah pula membawa makna penulis dan saksi tak boleh menyakiti atau memberi mudarat kepada orang yang berhutang atau pemiutang. Contohnya: tidak mahu menulis hutang atau tidak mahu menjadi saksi. Al-Quran tidak menyatakan baris yang mana satu, jadi kedua-duanya boleh diguna pakai, kerana dalam satu hadis, Nabi SAW melarang mendatangkan bahaya kepada orang lain, biar siapa pun orang itu.
..dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu.
Semua pihak – orang yang berhutang, pemiutang, penulis, dan saksi dilarang menyusahkan antara satu sama lain.
Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Taqwa akan menjadi sebab Allah memberikan ilmu yang bermanfaat.

Ayat 283, Surah Al-Baqarah:

Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).
Ketika dalam musafir, mungkin sesorang tidak dapat mencari penulis atau saksi, maka orang yang berhutang boleh memberi barang sebagai gadaian untuk menjamin hutang yang akan diberikan. 
Al-Quran memberi tiga cara untuk menjaga kepercayaan antara satu sama lain dalam hal hutang-piutang – mencatit, mengadakan saksi dan memberi gadai. Barang gadaian dijadikan jaminan kepada pemiutang kepada wang yang dihutangkan. Syariah begitu teliti menjaga hak orang yang berhutang dan hak orang yang memberi hutang. Barang gadaian mesti berlaku secara langsung dan tidak boleh dilambatkan.
Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian)...
Jika kita percaya kepada orang yang ingin diberi hutang (contohnya antara suami dan isteri, anak dan ibu bapa), maka hendaklah orang yang berhutang itu menyempurnakan bayaran hutang itu, walaupun tiada catitan, saksi atau barang gadaian.Inilah ayat yang menjadikan hukum mencatit, membawa saksi dan memberi gadai adalah sunat. Jika tidak dipercayai, barulah dicatit, didatangkan saksi dan barang gadaian. Pernah berlaku ketika zaman Rasul SAW, bagindal berjumpa satu rombongan dari Ribadah. Mereka tak kenal yang itu adalah Rasulullah SAW. Nabi meminta mereka menjual unta dengan tukaran makanan. Mereka pun bersetujui dan unta pun diberikan kepada Nabi. Setelah Nabi SAW pergi, ada antara mereka yang berasa sangsi dengan kejujuran orang yang mereka tidak kenali itu. Seorang hamba sahaya dalam kalangan mereka kemudiannya berkata, “Tak usah risau. Sesungguhnya aku tak pernah melihat wajah seorang yang seindah dan sejujur yang kamu jualkan unta itu. Dia tidak akan mencelakan atau merugikan ke atas kamu”. Daripada wajah Nabi SAW sudah terpancar kejujurannya. Kemudian Nabi SAW pun datang semula dengan membawa makanan sebagai bayaran unta. Transaksi itu telah berlaku tanpa catitan dan saksi dan adalah sah. Oleh itu, sebagai kesimpulan, catitan boleh dibuat sebagai menjaga hak kedua-dua pihak pemiutang dan orang yang berhutang. Tetapi, jika meyakini kepada orang yang berhutang, maka dibolehkan tidak membuat catitan atau membawa saksi.
.. maka hendaklah orang yang berhutang yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya.
Orang yang berhutang diminta supaya berlaku amanah dan membayar kembali hutang yang diambil. Menerima amanah itu dengan mudah, tetapi kebiasannya susah untuk melaksanakannya. Apabila tiba masa menunaikan tanggungjawab, tidak semua orang mampu melakukannya. Contohnya, jika seseorang itu diamanahkan wang oleh seseorang. Tetapi dalam keadaan tersepit, ada kemungkinan orang yang diamanahkan akan pecah amanah. Allah SWT menawarkan amanah kepada langit, bumi, gunung-ganang untuk menjadi khalifah di bumi. Mereka semuanya enggan dan rela menjadi makhluk yang tiada pilihan kecuali patuh pada perintah Allah. Hanya manusia yang sanggup menerima amanah, namun akhirnya berlaku zalim kerana tidak menunaikan amanah yang diberi. Sebelum menerima amanah, seseorang mesti bersedia terlebih dahulu. Jangan dikaburkan dengan kelebihan yang bakal diterima. Allah akan melihat saat seseorang itu menjalankan tanggungjawabnya.
dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang disaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Hati orang yang menutup saksi itu berdosa. Oleh sebab itu Allah tidak kata orang itu berdosa, tetapi hatinya yang berdosa, kerana hatilah yang mengarahkan lidahnya dan anggota-anggota lainnya menipu. Sesungguhnya, hati adalah raja kepada manusia.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab