Di Sebalik Pintu – Tanyalah Ustaz Siri Raudah Di hatiku 17.11.2012

Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
Masjid Al-Falah, USJ9


Bacaan surah Al-'Araf, ayat 27-28:

Tajuk hari ini akan fokus kepada masalah sosial yang banyak belaku dalam kawasan kejiranan kita. Ianya mungkin berlaku disebalik pintu spa, atau disebalik pintu rumah urut, atau di sebalik pintu rumah masing-masing. Syaitan sentiasa fokus untuk menyesatkan manusia sehingga berjaya memperdaya Adam melakukan dosa sehingga mereka dikeluarkan daripada syurga.

Syaitan paling suka menjebakkan manusia ke dalam dosa yang berantai. Contohnya ialah bermula daripada dosa membuka aurat. Daripada aurat yang terbuka berlakunya khalwat, zina, seterusnya bila dah mengandung anak luar nikah ada kemungkinan anak itu akan dibunuh dan orang yang berzina pula akan dihalau keluarganya. Dengan itu, berlaku pula kes anak derhaka. Kemudian bila kawan pula dapat tahu, mereka pun tidak dapat menerima dan berlaku pecah-belah dalam persahabatan. Seterusnya mungkin akan kena buang kerja, dan bila sudah tersepit begitu, mungkin akan memilih untuk menjadi pelacur pula.

Jadi bagaimana peranan kita sebagai ahli masyarakat untuk membantu membanteras maksiat sebegini daripada terus berlaku. Pihak majlis agama ada menugaskan pasukan-pasukan khas untuk mengintip hotel-hotel, rumah-rumah urut dan seumpamanya untuk mengintip kes khalwat dan zina. Walaupun ada ulama yang tidak bersetuju dengan tindakan mengintip ini, ianya perlu demi menegakkan 'amal ma'ruf, nahi mungkar', sepertimana firman Allah dalam surah Al-Haj, ayat 41:

Apakah punca maksiat di sebalik pintu? Antaranya ialah:

Apabila ibadat kita semakin tawar dan kualitinya menurun. Allah berfirman dalam ayat 45, surah Al-Ankabut:

Kusyuk dalam solat itulah bateri (kekuatan) iman kita. Tanpa kusyuk, syaitanlah yang lebih kuat mengalir dalam darah anak Adam itu.

Apabila manusia mendambakan pujian ke atas tubuh badannya atau dengan kata lain membiarkan aurat terbuka. Ini melibatkan perempuan dan juga lelaki. Allah menyuruh perempuan dan lelaki saling menutup aurat dan juga menundukkan pandangan masing-masing. Dalam satu hadis Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada seorang muslim pun yang nampak kecantikan aurat perempuan, kemudian dia segera tundukkan pandangannya kecuali Allah akan menjanjikan kepadanya ibadah yang mempunyai kemanisan”.
Hadis ini menunjukkan bahawa ada kaitan antara menjaga mata dengan kualiti ibadah seseorang. Apabila mata tidak dijagar, ibadah pun menjadi tawar dan longlai.

Mewujudkan suasana yang baik. Suasana dibentuk oleh kawan-kawan rapat, teman sekerja dan juga media. Oleh sebab itu Nabi SAW juga ada berkata yang agama seseorang itu seperti agama sahabatnya. Kita perlu mengawal pengaruh media dalam rumahtangga kita. Agak-agaknya jika Rasulullah SAW datang ke rumah kita hari ini dan melihat rancangan televisyen dan CD-CD yang kita tonton, majalah-majalah yang kita baca, adakah Nabi SAW akan senyum atau masam? Adakah Nabi SAW akan bangga melihat kita sebagai umatnya? Berbaloikah Nabi bersabar apabila dilontar dengan batu di Taif semata-mata untuk menyampaikan Islam kepada kita? Saya teringat satu video yang saya lihat di YouTube tentang seorang anak yang buta matanya berjalan jauh untuk belajar Al-Quran dengan seorang guru. Guru itu mengajarkannya satu ayat sahaja untuk tidak menyusahkannya. Guru itu bertanya padanya, “Bila berdoa, adakah kamu minta Allah mencelikkan mata kamu?”. Jawabnya, “Tidak, kerana saya ingin menjadikan buta ini sebagai alasan saya tidak dapat membaca Al-Quran dengan banyak. Jika saya boleh melihat, saya sudah tiada alasan lagi di hadapan Allah”. Bandingkan dengan diri kita semua yang boleh melihat – sudah berapa banyak kali kita membaca Al-Quran? Jika kita hari ini sudah tua dan masih belum mampu membaca Al-Quran, mengapa masa yang ada kita peruntukkan untuk membaca majalah-majalah pula? Marilah kita sama-sama muhasabah diri sendiri.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Bagaimana untuk menegur jiran yang ada tanda-tanda berbuat maksiat, kerana khuatir dikatakan menjaga tepi kain orang pula?
J: Pepatah 'jangan jaga tepi kain orang' ini tidak boleh diterima seratus-peratus. Nabi SAW kata, “Kebaikan seseorang Islam itu ialah dia meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengan diriya”. Oleh itu, dalam Islam, jika perkara itu kaitan dengan kita, barulah kita tidak boleh campur tangan. Namun, perbuatan maksiat boleh mengundang kemurkaan Allah kepada orang itu dan kaumnya (orang sekitar). Maksiat yang dilakukan juga boleh memberi pengaruh kepada keluarga kita. Oleh itu, kita perlu terlibat sama dalam membanterasnya. Islam menganjurkan kita menolong orang yang dizalimi dan orang yang menzalimi juga. Oleh sebab itu, jika kita nampak seseorang ingin mencuri, kita telefon polis agar dia ditangkap dan tidak menanggung dosa mengambil barang yang bukan haknya.

S: Bagaimana jika kita tahu ada suami-isteri yang masing-masing ada hubungan sulit, tapi kita tak tegur?
J: Masalah ini banyak berlaku dalam masyarakat. Suami wajib menegur isterinya tanpa rasa malu atau kerana ingin menjaga hati isteri. Nabi sebut ada 3 golongan yang tidak masuk syurga iaitu anak yang derhaka kepada ibu bapanya, lelaki yang berpakaian seperti wanita dan suami yang dayyuss. Dayyuss ini bermaksud suami yang takut menegur isteri yang diketahui melakukan maksiat seksual. Jika isteri mengetahu suaminya pula yang mempunyai hubungan sulit, maka isteri pun tidak boleh dayyuss dan wajib menegur. Setelah menegur, jangan terus bercerai. Usahakan untuk berubah dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

S: Ada ibu bapa yang membiarkan anaknya berpeleseran tanpa tegahan. Apakah tindakan yang patut kita lakukan sebagai ahli masyarakat?
J: Betul, ada banyak berlaku kerana ibu bapa sibuk mencari duit. Nabi SAW ada berkata, “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab penuh ke atas orang yang dipimpinnya”. Dalam hadis lain pula, Nabi SAW bersabda, “Tiada orang yang Allah jadikan dia ketua dan dia tidak menasihatkan orang dibawahnya kepada kebaikan, melainkan Allah mengharamkan baginya syurga”. Oleh itu, ibu bapa mesti mengawal dan mengambil tahu apa yang anak-anak dilakukan. Walaupun sukar, ibu bapa perlu menjalankan tanggungjawab itu. Membiarkan anak-anak begitu saja silap dan tidak boleh menggunakan konsep – 'Biarlah, kubur lain-lain'. Ibu bapa perlu kreatif dan mempelbagaikan kaedah untuk mengajak anak-anak kepada kebaikan. Laburlah sedikit wang dalam pembangunan insan dan peribadi anak-anak dengan menghantar mereka ke kem-kem motivasi dan yang seumpamanya. Anak yang soleh boleh menjadi amal jariah setelah ibu bapa mati, oleh itu berusahalah mendidik mereka.


S: Maksiat di sebalik pintu ini Allah boleh ampunkan jika seseorang itu bertaubat. Jadi mengapa kita perlu tangkap dan hukum mereka?
J: Ya, betul. Kita hukum atas beberapa sebab:

  • Jika dilakukan secara terbuka kerana ianya boleh memberi contoh tidak baik kepada masyarakat dan sebagai amaran kepada masyarakat
  • Hukuman itu bukan berbentuk siksaan, sebaliknya dengan tujuan mendidik.
  • Mereka ditangkap untuk mencegah atau menyekat maksiat daripada terus berlaku.

S: Apakah tindakan terbaik untuk mengelak diri dan keluarga daripada terlibat dengan maksiat?
J: Ada banyak cara, antaranya:

  • Nabi SAW bersabda, “Jangan jadikan rumah kamu seperti kubur”. Hidupkan budaya solat berjemaah dan membaca Al-Quran di dalam rumah. Syaitan boleh lari daripada rumah yang didalamnya dibacakan surah Al-Baqarah. Jadi jangan lupa amalkan – bacalah semampunya, jika tak larat, sambung bacaan menggunakan kaset atau CD bacaan imam-imam tersohor. Biarkan ayat-ayat Quran berkumandang di dalam rumah. Apabila azam berkumandang di TV, kuatkan sedikit kerana ianya boleh menyebabkan syaitan lari bertempiaran sehingga terkentut-kentut.
  • Sertai program-program agama di masjid seperti program ini (Raudah Di Hatiku). Biasakan diri dan anak-anak dengan suasana di masjid. Apabila hati sudah terikat dengan masjid, orang itu akan mendapat payung (perlindungan) Allah di akhirat nanti.
  • Jika ada masa terluang, sertai aktiviti bersama badan-badan NGO agar tidak lalai dan mengisinya dengan maksiat.
  • Banyakkan bersedekah. Sabda Nabi SAW, “Sedekah yang diberi secara tersembunyi akan dapat mencegah kemurkaan Allah”. Bila Allah tidak murka, maka akan turunlah rahmat Allah. Dengan itu ibadah yang dilakukan akan menjadi bertambih manis dan menjauhkan diri daripada melakukan maksiat. Sedekah yang diberi, jangan sekali-kali diungkit.
  • Sampaikan pula ilmu yang kita dapat kepada orang lain. Bila orang amalkan ilmu yang dapat melalui kita, kebaikannya akan kembali kepada kita juga. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah, penduduk langit, penduduk bumi, ikan-ikan di lautan, semut-semut di dalam rumah akan mendoakan keampunan kepada orang yang mengajak orang lain kepada kebaikan Islam”. Tuan-tuan tak nak ke peluang ini? Bila kita mati, berapa ramai agaknya orang yang akan datang solatkan jenazah kita dengan sumbangan yang kita beri setakat ini? Oleh itu, paling kurang usahakanlah untuk mengajak orang lain kepada kebaikan agar kita didoakan oleh Allah, penduduk langit dan bumi, ikan-ikan dan semut-semut. Teruskan usaha mencari ilmu agar kita dapat beri kepada orang lain pula.
Inilah antara cara menjauhi maksiat. Jika terjatuh atau tersilap juga, segeralah bertaubat dan meninggalkan dosa tersebut.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab