Muflis Akhirat (1) – Tanyalah Ustaz 02.11.2012

Ustaz Surur Shahbudin Hasan

Hidayah mendapat Islam adalah sesuatu yang sangat mahal. Seseorang yang tertarik dengan Islam, ada yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum sedia memeluk Islam. Oleh sebab itu, Allah ganjarkan mereka dengan pengampunan dosa-dosa sebelumnya.

Bacaan surah Al-Naml, ayat 1-5:

Kita semua yakin akan akhirat, namun sayangnya ramai daripada kita yang tidak beramal untuk menghadapinya kerana tertipu atau terlalai dengan kehidupan di dunia. Sedikit huraian ayat yang telah dibacakan tadi:
Al-Quran merupakan petunjuk kepada orang-orang beriman. Orang beriman diterangkan sebagai orang yang mendirikan solat. Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab, dan bukan amalan-amalan lain. Walau sebanyak mana sekalipun sedekah yang diberi, jika solat diabaikan amatlah rugi seseorang itu. Seterusnya, disebut tentang zakat dan keyakinan kepada hari akhirat. Kita perlu ingat akhirat sedari muda lagi, bukannya setelah pencen.

Orang yang tidak beriman dengan hari akhirat akan dijadikan Allah agar merasa bahawa segala amalan mereka telah cukup baik tanpa ada rasa bersalah. Oleh itu kita perlu berhati-hati agar jangan mudah merasa cukup dengan ibadat yang dilakukan. Nabi SAW mengajarkan jika dalam hal harta – bandingkan diri dengan orang yang lebih susah. Jika dalam hal ibadah pula, bandingkan diri kita dengan orang yang lebih soleh. Kita dituntut mencari keperluan di dunia, tetapi jangan sampai melanggar syariat dan melupakan bekalan untuk akhirat. Amalan baik yang kita buat jangan pula dilupuskan dengan amalan yang tidak baik.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Kadang-kadang seseorang merasa dirinya lebih baik daripada orang, dan ini sebenarnya perasaan riyak yang boleh menyebabkan dia muflis di akhirat nanti. Bagaimana untuk menghilangkan perasaaan ini?
J: Ini memang bisikan syaitan yang sengaja mengganggu apabila melihat seseorang merubah berubah menjadi lebih baik. Cara menghilangkannya adalah tetap melakukan kebaikan itu dan jika terdapat lintasan dalam hati, cepat-cepat beristighfar. Jika kita tinggalkan sesuatu kerana takutkan orang melihatnya atau memujinya, itu juga satu bentuk riyak. Oleh itu, lebih baik teruskan kebaikan dan banyakkan beristighfar.

S: Bagaimana jika seseorang buat kerja dengan baik, dam memuaskan hati majikannya, namun dalam hatinya tiada keikhlasan. Adakah akan lupus amalannya itu diakhirat?
J: Jika tugasan dilakukan dengan sempurna, dan majikan pun puas hati, itu sudah dikira ikhlas, walaupun dia tidak memikirkan langsung tentang akhirat. Setiap amalan baik pasti mendapat ganjaran baik di sisi Allah di akhirat nanti, InsyaAllah.

S: Bagaimana dengan sikat pemandu yang tidak berhemah – contohnya melanggar lampu merah sedangkan dia baru saja keluar dari masjid. Adakah akan lupus amalannya?
J: Peraturan yang baik patut dipatuhi dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Solat sepatutnya menjauhkan seseorang daripada melakukan fahsyak dan mungkar. Selagi peraturan itu tidak menyalahi syariat Islam, ianysa perlulah dipatuhi. Kita yang melihat pula janganlah buruk sangka. Lebih baik kita hisab diri sendiri dan berbaik sangka dengan orang lain. Mungkin juga pemandu itu ingin cepat, atau mungkin lalu-lintas lengang ketika waktu Subuh.

S: Adakah amalan yang banyak akan terhapus jika seseorang itu suka bercerita kisah orang (kisah yang benar) dan menyakiti hati jiran?
J: Ya, perbuatan itu akan menghapuskan amalannya kerana amalan itu akan diberi kepada orang yang dikata/diumpat itu. Perbuatan menyakiti jiran adalah perbuatan yang amat buruk walaupun jika jiran kita adalah jiran bukan Islam sekalipun.

S: Jika sukar dapat kusyuk dalam solat, adakah itu tandanya solat itu tidak diterima Allah?
J: Ibadah itu dikira sah jika segala rukunnya dipatuhi dan tidak perlu diqadha semula. Kusyuk merupakan tahap Al-Muqarrabin (orang yang dekat dengan Allah) dan juga dituntut untuk mendapatkannya.

S: Apa pendapat ustaz dengan orang bukan Islam yang masuk Islam dan semua dosanya diampunkan sedangkan sebagai orang yang sedia Islam kita akan sentiasa berdosa?
J: Itu pandangan yang salah. Hidayah mendapat Islam adalah sesuatu yang sangat mahal sebenarnya. Seseorang yang tertarik dengan Islam, ada yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum sedia memeluk Islam. Oleh sebab itu, Allah ganjarkan mereka dengan pengampunan dosa-dosa sebelumnya. Bagi kita yang sedia Islam pula, Allah beri banyak peluang pengampunan dosa. Contohnya – keampunan dengan beribadat dalam bulan Ramadhan, perbuatan solat juga mengampunkan dosa, orang yang melakukan haji dan jika menjaga ibadahnya dengan baik dijanjikan suci daripada dosa seumpama bayi yang baru dilahirkan dan banyak lagi peluang seperti ini.





Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab