Kitab Riyadus Solihin m/s 231 - Majlis Ta'lim Darul Mutadza 09.11.2012

Bab: Berharap kepada Allah
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa, KL, setiap Jumaat, 9:15 malam



Dari Abu Hurairah atau Abu Sa’id Al-Khudry - perawi hadis ini agak ragu-ragu – berkata: “Ketika dalam perang Tabuk, para sahabat menderita kelaparan, maka mereka berkata: “Wahai Rasulullah, seandainya tuan mengizinkan maka kami akan menyembelih binatang kami di mana akan kami makan dan akan dapat menambah kekuatan kami”. Rasulullah SAW bersabda: “Lakukanlah”. Kemudian ‘Umar bin Khattab ra mendekat dan berkata: “Wahai Rasulullah SAW, seandainya tuan mengizinkan, maka akan tinggal sedikitlah kenderaan kita, tetapi serulah mereka yang masih mempunyai sisa-sisa makanan untuk mengumpulkannya, lantas hendaklah tuan berdoa kepada Allah agar sisa-sisa makanan itu membawa keberkatan kepada mereka, semoga Allah memberi keberkatan  sisa-sisa makanan itu bagi mereka”.
Rasulullah SAW bersabda, “Ya benar”. Kemudian beliau menghamparkan kain dan menyeru kepada orang-orang yang masih mempunyai sisa makanan untuk mengumpulkannya pada kain tersebut. Ada yang menyerahkan segenggam jagung, ada yang menyerahkan segenggam kurma, dan ada yang ada menyerahkan sepotong roti sehingga terkumpullah sisa-sisa makanan yang sedikit itu. Rasulullah SAW berdoa agar sisa makanan itu diberi keberkatan, setelah itu Baginda bersabda, “Ambillah kamu sekalian dengan membawa bejanamu masing-masing”. Maka masing-masing dari mereka itu membawa benjana dan diisi dengan makanan yang berada pada kain yang terhampar itu sehingga tidak ada seorang pun yang bejananya tidak penuh, dan mereka telah makan dengan kenyang serta masih ada sisa pada kain itu. Kemudian Rasulullah bersabda: “Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan aku adalah utusan Allah. Tidak ada seorang hamba pun yang menghadap Allah dengan dua kalimat ini tanpa ragu-ragu lalu terhalang dari syurga.” – (Riwayat Muslim)

Huraian daripada hadis:

Rasulullah bersabda: “Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan aku adalah utusan Allah. Tidak ada seorang hamba pun yang menghadap Allah dengan dua kalimat ini tanpa ragu-ragu lalu terhalang dari syurga.”
Kalimah ini mempunyai kaitan langsung dengan tajuk bab ini iaitu “Berharap (Rajak) pada Allah. Barangsiapa yang mengucap dan meyakininya, maka dia pasti akan dimasukkan ke dalam syurga juga akhirnya.

Dari Abu Hurairah atau Abu Sa’id Al-Khudry - perawi hadis ini agak ragu-ragu
Perawi ragu-ragu adakah hadis ini daripada Abu Hurairah atau Abu Said. Jika keraguan terletak kepada nama sahabat, bukan pada nama selain sahabat, maka keraguan itu tidak menyebabkan tertolaknya hadis tersebut. Ini kerana sahabat mempunyai kedudukan yang udul – iaitu hadis mereka boleh diterima. Namun, jika perawi yang diragui ialah daripada golongan tabiin – maka hadis itu perlu dikaji semula mengikut kaedah yang telah ditetapkan. Ulama zaman dahulu begitu jujur ketika meriwayatkan sesuatu hadis dan menyebut akan keraguan mereka. Mereka begitu amanah ketika meriwayatkan hadis.

Hadis menceritakan tentang Perang Tabuk yang merupakan perang terakhir dihadiri Nabi SAW dan berlaku pada 9H. Perang ini berlaku di musim yang sangat panas dan musim kurma berbuah dan menunggu masa untuk masak. Apabila tiba seruan untuk keluar berperang – sahabat rasa tercabar(sukar) kerana ramai antara mereka yang sedang menanti kurma untuk dituai. Oleh itu ada golongan yang membuat berbagai-bagai alasan untuk tidak serta bersama Nabi SAW dan salah seorang daripadanya ialah Kaab Ibnu Malik. Ada juga sahabat yang ikut separuh jalan dan patah balik di tengah jalan. Salah seorang daripadanya mempunyai 2 isteri. Setelah mengetahui yang suami mereka pulang, isteri-isterinya pun bersiap sedia dengan menyembur air yang mendinginkan cuaca panas di rumah masing-masing. Ketika ingin masuk ke rumah isteri pertama, sahabat itu terasa dingin dan terus terkenang keadaan Rasul SAW yang sedang dijemur panas terik. Dia pergi ke rumah isteri kedua dan perkara yang sama juga berlaku. Lalu dia pun rasa semakin bersalah dan menyuruh isterinya menyiapkan semula bekal untuk dia mengejar Rasul. Dia berjumpa Rasul SAW dan menceritakan apa yang berlaku lalu Nabi SAW pun mendoakannya. Ada 3 orang sahabat Nabi SAW yang tidak mengikut pergi berperang dan dihukum Nabi sehinggalah Allah menurunkan surah At-Taubah untuk melepaskan mereka.

Mereka kelaparan dalam perjalanan tersebut lalu ada sahabat mencadangkan untuk disembelih unta untuk dimakan daging dan diminum air di dalamnya. Ketika dicadangkan kepada Nabi SAW – Nabi menimbangkan sama ada untuk menyimpan unta sebagai kenderaan atau menyembelihnya sebagai sumber kekuatan para tenteranya. Akhirnya Nabi SAW memutuskan untuk menyembelih unta tersebut. Nabi SAW bersifat terbuka dalam menerima pandangan orang lain. Baginda tidak seperti Firaun yang hanya menerima pandangannya sendiri sahaja. Oleh itu, sebagai seorang mukmin, kita juga perlu mengikut sifat Nabi SAW dengan berfikiran terbuka.

Umar pula berpendapat sebaliknya kerana ianya akan mengurangkan bilangan unta untuk pengangkutan. Ada banyak perang di mana para sahabat berjalan kaki sehingga hancur kasut kulit mereka kerana keadaan padang pasir yang terlalu panas. Tanpa kasut, kaki mereka akan melecuh. Oleh itu, unta amatlah diperlukan sebagai pengangkutan agar mereka yang keletihan berjalan kaki dapat bergilir-gilir menunggang unta. Bayangkan betapa sukarnya para sahabat memperjuangkan Islam untuk sampai kepada kita? Mereka berjalan kaki bukan untuk pergi makan angin, tetapi untuk menegakkan syiar Allah! Agama ini tidak sampai kepada kita dengan Nabi SAW tidur atau duduk di rumah sahaja.

Oleh itu, Umar mencadangkan agar makanan yang ada dikumpulkan dan didoakan agar rezeki itu menjadi barakah, Dalam erti kata lain, Umar meminta mukjizat Nabi SAW. Salah satu mukjizat Nabi ialah ‘membanyakkan yang sedikit’.  Lalu dikumpulkan semua makanan yang ada dan Nabi SAW pun mendoakan dan makanan yang sedikit itu menjadi banyak. Mukjizat sebegini berlaku lebih daripada sekali. Ada yang berlaku tanpa sebab atau terus diberikan seperti dalam perang Khandak. Jabir menyatakan kepada Nabi SAW yang isterinya memasak untuk 7/8 orang dan menjemput mereka makan dirumahnya. Tetapi Rasul SAW mengajak semua yang terlibat membantu persiapan perang Khandak. Nabi SAW menyuruh agar masakan itu dibiarkan di atas api berterusan. Semua orang dapat makan sehingga kenyang dan dihantar juga kepada orang-orang di Madinah. Jumlah keselurahan melebihi 1000 orang.

Satu lagi kisah berlaku ketika seseorang itu ingin berwudhuk dan air yang ada cuma sedikit. Lalu Nabi meletak jarinya di dalam bekas dan air pun mengalir keluar dari celah-celah jarinya sehingga cukup untuk semua orang berwuduk.

Pengajaran daripada hadis:
  1. Kita perlu yakin dengan kedudukan seseorang yang dekat dengan Allah dan meminta bantuannya untuk berdoa. Kenapa kita minta orang lain berdoa, kenapa tak minta sendiri? Firman Allah, “Mintalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan”. Ayat ini menyuruh kita meminta hanya pada Allah - secara langsung atau melalui orang lain. Ada pula yang berkata kalau Rasul SAW yang minta doanya memang mustajab. Tetapi Rasul SAW juga ada meminta doa melalui orang lain iaitu ketika baginda meminta Umar mendoakannya ketika Umar ingin menunaikan pergi haji/umrah. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa orang soleh juga mustajab doanya. Oleh itu, kita perlu menghormati orang yang dekat kepada Allah dan meminta mereka berdoa untuk kita kepada Allah.
  2. Orang yang pernah mengucap akan masuk syurga juga akhirnya walaupun tidak pernah beramal ketika di dunia.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab