Kisah Imam Syafie (2) – Tanyalah Ustaz 08.11.2012


Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek



Bacaan surah Al-Fatihah

Berhati-hati dengan sebutan dan tajwid kita ketika membaca surah Al-Fatihah. Dalam kita menuju Allah, ada berbagai jalan – contohnya jihad, berdakwah, mengajar, bekerja dan sebagainya. Mazhab Syafie telah diwujudkan untuk memudahkan ramai orang memahami dan menurut jalan Islam dengan mudah. Ini tidak pula menyatakan bahawa mazhab lain yang ada adalah tidak betul. Ada 4 mazhab iaitu yang pertama ialah mazhab Imam Hanafi, kemudian mazhab Imam Malik, ketiga mazhab Imam Syafie dan terakhir ialah mazhab Imam Hambali.

Semalam telah kita sorot bersama kisah kehidupan Imam Syafie. Walaupun telah bergelar imam yang hebat, Imam Syafie tak henti-henti belajar kerana dia merupakan seorang yang begitu cintakan ilmu.

Kelebihan imam Syafie:
  • Berasal dariapad keturunan Quraisy
  • Penghafal Al-Quran dan hadis
  • Pengarang kitab terkemuka
  • Pengeluar fatwa yang hebat.

Di Malaysia, kita mengikut kaedah feqah Imam Syafie. Bila kita sebut Imam besar, kita tidak berniat mengecilkan Nabi Muhammad SAW. Jarak waktu kita dengan Nabi sudah jauh dan dengan itu kita menggunakan panduan yang ditunjukkan oleh imam-imam mazhab yang juga bersumberkan Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW. Imam Syafie tidak sewenang-wenangnya menolak pendapat orang lain dan berfikiran sangat terbuka.

Senarai soalah dan jawapan:
S: Ada pendapat mengatakan yang jika mengikut mazhab, sama seperti Kristian mengikut aliran paderi-paderi tertentu. Apa pendapat ustaz?
J: Dalam Islam ada ruang untuk penafsiran yang berbeza-beza. Oleh sebab itu, kita memohon orang-orang yang betul-betul alim menterjemahkannya untuk kita. Saya tidak setuju dengan pendapat itu kerana kita ikut mazhab, dan mazhab mengikut apa yang disampaikan oleh Nabi SAW, dan Al-Quran. Mazhab yang kita ikut juga adalah 4 mazhab yang diiktiraf. Jarak kita dengan Nabi SAW sudah jauh daripada kita, oleh itu kita mengikut orang-orang yang mewarisi ilmu Nabi SAW seperti Imam Syafie.

S: Dalam solat – adakah kita ikut Nabi SAW atau ikut mazhab?
J: Saya nak tanya balik – mazhab ikut siapa? Pastilah ikut Nabi SAW. Walaupun ada perbezaan dari segi tempat letak tangan dan sebagainya, itu tidak mengapa kerana biasanya perbezaan itu tidak besar. Adakah antara kita yang pernah melihat Nabi SAW solat? Para imam mazhab menuntut ilmu dan mengarang berdasarkan ilmu yang diperolehi daripada ulama-ulama yang hebat yang belajar dengan para sahabat Nabi SAW. Lagi banyak ilmu yang kita perolehi, kita sepatutnya seronok dan jangan pula keliru. Apa yang menjadi masalah ialah Nabi SAW solat fardhu 5 kali sehari semalam, sedang kita mungkin buat 2 atau 3 waktu sahaja :P

S: Apa pandangan Imam Syafie tentang bidaah?
J: Secara ringkasnya – Imam Syafie pernah mengatakan bidaah terbahagi kepada 2 iaitu:
Bidaah yang baik - contohnya sekolah tahfiz, Al-Quran yang dijilidkan, majlis Maulidur Rasul dan sebagainya. Ketika Abu Bakar menjadi khalifah, ramai sahabat yang menghafal Al-Quran mati syahid. Setelah itu Umar pergi berjumpa Abu Bakar dan Abu Bakar tidak menerimanya kerana mengatakan Nabi SAW tidak melakukannya. Setelah itu, Umar mencuba lagi beberapa kali untuk memujuk sehingga akhirnya Abu Bakar pun bersetuju. Prosesnya mengambil masa yang panjang dan cuma siap di zaman Khalifah Uthman. Majlis Maulidur Rasul – Nabi ada menyebut bahawa dia tidak mahu disanjung seperti Nabi Isa. Nabi Isa disanjung seperti anak Tuhan sedangkan kita menyanjung Nabi SAW sebagai Rasul Allah. Oleh itu, tidak sepatutnya perlaku pertelingkahan lagi tentang sambutan Maulidur Rasul SAW.

Bidaah derhaka – bidaah yang direka-reka dan bercanggah dengan syariat, tidak mendatangkan manfaat dan ada kalanya boleh jatuh hukum haram.

S: Bagaimana kesudahan hidup Imam Syafie?
J: Di Mesir, Imam Syafie belajar dengan anak murid Imam Hanafi sebagai usaha untuk mendamaikan suasana tegang antara mengikut mazhab Imam Hanafi dan mazhab Imam Maliki. Imam Syafie mempunyai penyakit buasir pada umur 50 tahun, akibat disiksa ketika dipenjarakan di Baghdad. Ketika mengajar dia akan duduk di dalam dulang, kerana darah akan mengalir keluar. Pada umur 54 tahun, dia dipukul dengan teruk sehingga meninggal dunia. Pada pendapat saya, pembunuhannya dilakukan oleh orang Yahudi kerana mereka gentar usahanya menyatukan pengikut mazhab Imam Hanafi dan mazhab Imam Maliki yang seterusnya akan menyumbang kepada penyatuan umat Islam akan berjaya.


S: Bagaimana Imam Malik menangani perbezaan pendapat?
J: Dengan berdialog, bukan berdebat. Imam Syafie merendahkan dirinya dengan pergi belajar dengan murid Imam Hanafi. Kemudian dia akan mencari persamaan dengan Imam Maliki untuk menyatukan kedua-dua mazhab. Ada satu akhlak Imam Syafie yang menyebabkan orang merasa senang hati dengan jawapannya – rendah diri. Jawapannya biasa bermula dengan – “Mengikut pengetahuan saya berdasarkan ayat xxx”. Dia tidak pernah mendabik dada mengatakan yang dia tahu semuanya. Dia juga suka bertanya pendapat orang yang bertanyanya.

S: Ada tak kata-kata Imam Syafie untuk kita semua?
J: Imam Syafie tahu bahawa bidaah akan menjadi perkara yang besar di akhir zaman. Oleh sebab itu, beliau sudah mengatakan bahawa ada bidaah baik dan tidak baik. Perkara ini sudah selesai sebenarnya tetapi kita banyak membuang masa terus membincangkan perkara remeh sedangkan Palestin terus diserang dan orang Islam di Syria, Rohingya dan lain-lain tempat terus dianiaya.

S: Apakah wasiat Imam Syafie?
J: Saya tukar kepada pesanan Imam Syafie iaitu:
  • Menghindari maksiat – kerana maksiat menghalang seseorang mendapat ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, jika didapati sukar memahami sesuatu ilmu, cuba tinggalkan maksiat terlebih dahulu.
  • Meninggalkan perkara yang sia-sia – contohnya menonton rancangan yang tiada manfaat.
  • Melakukan amalan sunat secara sembunyi-sembunyi – untuk melatih diri sifat ikhlas.
  • Banyak mengingati mati - akan menyibukkan dirinya dengan perkara yang bermanfaat untuk akhiratnya.

S: Di manakah imam Syafie dikebumikan?
J: Imam Syafie meninggal di Mesir dan dikebumikan di sana. Ketika pengkembumiannya, ramai orang yang datang. Ramai anak muridnya yang datang dan bersyair tentang kisahnya. Salah satunya menceritakan Imam Syafie mengadu akan lemahnya hafalannya kepada Imam Waqi' (yang dianggap sebagai ayahnya), dan Imam Waqi' berpesan kepadanya agar meninggalkan maksiat.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab