Tafsir Quran: Ayat 282 surah Al-Baqarah - Majlis Ta'lim Darul Mutadza 09.11.2012
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, KL
Tafsir Quran: Surah Al-Baqarah, ayat 282:
Ayat ini merupakan yang terpanjang dalam Al-Quran, yang
terkandung di dalam surah terpanjang juga iaitu surah Al-Baqarah. Ayat ini berkaitan hutang. Hutang-piutnag merupakan
keperluan hidup manusia kerana
tidak semua orang mempunyai kemampuan memenuhi keperluan hidupnya. Oleh sebab
itu, Islam mengambil berat akan hal ini dan mengaturkan agar akad yang berlaku
dapat dipantau dari segi syariah. Islam mengatur kehidupan manusia termasuk
dalam hal hutang-piutang, dan ekonomi secara amnya.
Ada beberapa istilah yang digunapakai berkaitan hutang di dalam
Al-Quran. Dalam surah Al-Hadid, ayat 11, Allah berfirman:
Hutangan (Pinjaman) yang baik dalam ayat ini bermaksud hutang daripada harta yang halal,
hutang yang tidak membebankan orang yang berhutang, tiada unsur riba dan hutang
yang tidak merugikan pemiutang. Allah akan melipatgandakan ganjaran yang banyak kepada orang
itu. Dalam erti kata lain - orang-orang yang membelanjakan harta pada jalan Allah, baik dalam bentuk
infak, memberi kepada pusat-pusat kebajikan, membantu orang yang memerlukan,
memberi untuk jihad fi sabilillah, semuanya itu merupakan bahagian daripada
hutangan yang baik kepada Allah. Walaupun, secara zahirnya kebaikannya diperoleh
oleh manusia, namun ianya sebenarnya seakan-akan dia memberi hutang kepada
Allah. Allah akan membalas dengan ganjaran yang besar.
Sepertimana perbuatan sedekah yang dikira sebagai hutang
kepada Allah akan dibalas dengan ganjaran yang banyak, orang yang bersedia
memberi hutang kepada orang lain juga akan mendapat ganjaran yang besar disisi
Allah Ta’ala. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiada ada seorang hamba yang menghutangi kepada orang lain
2 kali melainkan ganjarannya lebih daripada sedekahnya”.
Hutang menjadi lebih besar ganjarannya kerana beberapa
sebab:
Jika orang bersedekah, kebiasannya akan mengikut keikhlasan
orang yang memberi dan jumlahnya kecil berbanding harta yang dimiliki pemberi
sedekah. Tetapi dalam berhutang, orang biasanya memerlukan jumlah yang besar
yang tidak dapat ditampung melalui pemberian sedekah. Contohnya mungkin seseorang
memerlukan modal atau wang untuk nafkah keluargnya. Oleh kerana jumlah hutang
biasanya besar, ianya menjadi cabaran kepada pemiutang untuk mengeluarkan
hartanya kerana sifat semulajadi manusia memang sayang kepada hartanya. Semakin
berat cabaran untuk melakukan sesuatu kebajikan, maka semakin besarlah ganjaran
yang diberi Allah. Oleh sebab itulah, ganjaran memberi hutang lebih besar
daripada sedekah.
Ketika Israk Mikraj – Nabi SAW masuk ke dalam syurga dan melihat
ganjaran orang yang bersedekah ialah 10 kali ganda, sedangkan orang yang
berhutang mendapat 18 kali ganda. Nabi SAW lalu bertanya kepada Jibril, “Ya
Jibril, kenapa ganjaran orang yang menghutangi lebih besar?” Kata Jibril,
“Orang yang meminta sedekah itu terkadang dia mempunyai sesuatu tetapi orang
yang ingin berhutang biasanya kerana dia tidak mempunyai apa-apa.” Ertinya
orang yang berhutang biasanya dalam keadaan darurat dan betul-betul sempit,
oleh sebab itulah apabila dipenuhi hajatnya, Allah akan memberi ganjaran yang
lebih besar berbanding perbuatan sedekah.
Orang yang meminta tidak berniat untuk memulangkan,
sebaliknya orang yang berhutang adalah lebih mulia kerana mereka tidak
membebankan orang untuk memberi melainkan akan dikembalikan semula haknya
setelah satu tempoh yang dipersetujui. Di antara fadhilat orang yang memenuhi hajat orang lain
ialah Allah akan menunaikan hajatnya juga. “Barangsiapa yang selalu meringankan
(memenuhi) hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajat dan keperluannya
pula”.
Perbahasan ayat 282:
Wahai orang-orang yang
beriman!
Ayat ini merupakan seruan yang membawa perintah yang
hukumnya sama ada sunat atau wajib.
Apabila kamu
menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke
suatu masa yang tertentu...
Hutang-piutang boleh berbentuk duit atau dalam bentuk
jual/beli barang yang tertangguh bayarannya atau serahan barangnya. Contohnya,
perniagaan yang melibatkan barang yang belum cukup sifatnya seperti rumah yang
belum siap dibina, atau petani yang memohon pinjaman untuk mengusahakan
ladangnya yang bakal berbuah.
... maka hendaklah kamu menulis (hutang
dan masa bayarannya) itu...
ini merupakan ayat bentuk perintah sama ada wajib atau
sunnah. Segelintir ulama mengatakan hukumnya wajib untuk menulis hutang, namun
majoriti ulama mengatakan hukumnya sunat untuk ditulis hutang. Jika ditulis, manfaat surat hutang itu dapat kepada siapa?
Adakah kepada pemiutang sebagai bukti untuk menuntut hutang? SALAH. Sebenarnya
tulisan itu adalah sebagai perlindungan kepada orang yang berhutang
keseluruhannya. Tanpa catitan, berkemungkinan besar orang berhutang lari daripada tanggungjawabnya membayar
hutang. Dengan itu, orang lain yang ingin berhutang atau sedang menunggu untuk berhutang akan dinafikan haknya oleh orang yang
kaya. Seterusnya terdapat kelebihannya kepada kedua-dua pihak juga iaitu apabila
salah seorang meninggal dunia. Dengan adanya catitan hutang, maka waris boleh
menuntut hutang atau membayar hutang agar si mati tidak terseksa kerana dosa
hutang yang belum berbayar.
... dan hendaklah seorang
penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)...
Siapa yang layak menulis hutang? Penulis mestilah bukan
daripada orang yang berhutang ataupun orang yang memberi hutang. Penulis mesti
menulis dengan adil yang bermaksud menulis jumlah yang dihutangi dan tempoh
bayaran dengan jelas dan benar.
... dan janganlah
seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.
Kenapa dikatakan “jangan enggan”? Kerana pada zaman
Rasulullah SAW, tidak ramai orang yang pandai menulis. Manfaat ilmu yang
dikurniakan Allah itu bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi perlu juga digunakan untuk membantu
orang lain.
Oleh itu, hendaklah
dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat
hutang itu dengan jelas) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan
janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.
Siapakah yang sewajarnya mengarang isi surat hutang?
Pemiutang atau orang berhutang? Di dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa isi
surat hutang haruslah mengikut kata orang yang berhutang. Apakah kelebihannya?
Jika mengikut bahasa pemiutang sudah tentulah pemiutang mahu tempoh bayaran
disegerakan dan dalam keadaan terdesak, orang berhutang mungkin terpaksa akur
dengan permintaan tersebut walaupun dirinya terbeban. Oleh sebab itulah, Allah nyatakan di sini dengan
begitu terperinci sekali bahawa orang yang berhutanglah yang perlu mengarang
isi surat itu.
Kemudian jika orang
yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak
merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil
(benar)...
Kadang-kadang orang yang berhutang itu adalah orang yang
tidak memenuhi syarat seperti orang ‘sabian’ – orang yang tak pandai
menguruskan duit, kanak-kanak atau orang tua yang dikhuatiri tidak dapat
membayar semula, maka walinya perlu menjadi pengarang surat hutang tersebut.
Begitulah terperincinya Islam mengatur perkara berkaitan hutang-piutang.
... dan hendaklah kamu
mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada
saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan
dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa
dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang
seorang lagi dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil
menjadi saksi dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh
masanya itu, samada kecil atau besar jumlahnya.
Setelah ada seorang penulis, Allah minta dibawa 2 orang
saksi. Mengapa Allah minta tambahan saksi sedangkan sudah ada tulisan?
Tujuannya adalah untuk menguatkan hujah jika berlaku penipuan dalam kalangan
saksi ataupun tulisan. Ciri-ciri saksi yang diterima adalah:
- Islam
- Merdeka, tidak hamba
- Berakal, tidak gila
- Baligh
- Adil – bermaksud tidak banyak melakukan dosa kecil secara berterusan dan meninggalkan dosa besar
Saksi tidak boleh orang sembarangan sahaja. Saksi mesti
mempunyai agama dan akhlak yang bagus. Saksi juga tidak boleh seorang yang ada
masalah dengan orang berhutang atau pemiutang.
Ayat selebihnya akan dibincangkan pada kelas akan datang, InsyaAllah. Sebagai kesimpulan:
Isi penting daripada ayat 282, surah Al-Baqarah:
- Sunat untuk menulis perjanjian dalam hutang-piutang.
- Penulis hutang mestilah bukan orang berhutang atau pemiutang.
- Penulis mesti menulis dengan jujur.
- Isi kandungan surat hutang mestilah mengikut bahasa orang yang berhutang.
- Jika orang lemah/tidak mampu menguruskan wang ingin berhutang, walinya perlu menjadi penjamin.
- Dua orang saksi perlu didatangkan di dalam akad hutang-piutang.