Maaf: Ikhlas Atau Terpaksa (3) – Tanyalah Ustaz 11.11.2012

Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre

Bacaan surah An-Nur, ayat 19-22:

Surah An-Nur banyak menceritakan hubungan sesama manusia, terutamanya hubungan antara lelaki dan perempuan dan masalah sosial.
Ayat yang dibacakan menceritakan kisah Sy. Aisyah yang difitnah berlaku curang sehingga kisah ini heboh di Madinah. Kisah ini menceritakan tentang orang yang suka menyebarkan fitnah atau cerita yang berunsur sensasi. Golongan sebegini memang wujud dalam masyarakat. Apakah ancaman Allah kepada mereka? Allah akan balas dengan azab yang pedih di dunia dan juga akhirat. Kalaulah tidak kerana Allah bersifat Rahmat ke atas hamba-Nya sudah pasti akan dibalas kejahatan itu dengan serta-merta. Namun, Allah bersifat Maha Pengasih dan membuka pintu taubat kepada manusia. Allah berpesan agar manusia tidak mengikuti jejak langkah syaitan. Jika bukan kerana rahmat Allah, kita ini semua akan kekal berdosa. Allah yang memberi hidayah untuk kita memohon keampunan kepada-Nya. Oleh itu, jangan kita suka mengata orang lain banyak berdosa dan melupakan dosa diri sendiri.

Ayat 22 pula dikatakan diturunkan kepada Abu Bakar As-Siddiq. Beliau memang terkenal dengan sifat pemurah dan banyak menolong orang miskin. Tetapi apabila disiasat, rupa-rupanya orang yang menyebarkan fitnah tentang Aisyah (anaknya) merupakan orang yang pernah dibantunya. Abu Bakar menjadi sedih dan oleh sebab itu Allah menurunkan ayat agar Abu Bakar memaafkan sahaja dan meneruskan membantu orang susah kerana dengan itu Allah akan mengampunkan dosanya. Apabila mendengar tawaran pengampunan dosa daripada Allah, jadi Abu Bakar pun cepat-cepat memaafkan dan meneruskan bantuannya kepada mereka yang susah.
Satu lagi kisah tentang Abu Bakar dan Rabiah bin Kaab - Rabiah merupakan seorang sahabat yang sangat mencintai Nabi SAW dan suka berkhidmat kepada Nabi SAW. Nabi SAW pernah menawarkan Rabiah untuk meminta sesuatu kepada Nabi SAW dan dia pun meminta untuk bersama-sama Nabi SAW di syurga nanti.
Rabiah dan Abu Bakar ada mendapat tanah di Madinah dan mereka bertelingkah tentang sempadan tanah tersebut. Rabiah berkata ketika meceritakan kisah ini “Telah datang dunia kepada kami yang menyebabkan kami bertelingkah”. Semasa pergaduhan, Abu Bakar terkata satu perkataan yang kurang elok dan mengecilkan hati Rabiah. Rabiah terus berubah wajahnya, tetapi cuma seketika dan Abu Bakar pun tersedar. Abu Bakar dengan rendah dirinya, cepat-cepat meminta maaf dan meminta Rabiah berkata perkataan yang tidak baik itu kembali kepadanya. Namun Rabiah berkata, “Tidak, aku tidak akan berkata kepadamu selain perkataan yang baik sahaja”.
Sahabat pun mula berkumpul dengan Rabiah dan bertanya apa yang berlaku. Rabiah segera menyuruh rakannya bersurai kerana takut dikatakan dia mencari pasukan menyokongnya dan takut jika Sy. Abu Bakar marah kepadanya. “Jika Sy. Abu Bakar marah, aku takut Rasul SAW marah padaku. Jika Rasul SAW marah, aku takut Allah akan marah pada aku”, katanya lagi. Sampai begitu sekali akhlak Rabiah kepada Sy. Abu Bakar. Kes ini akhirnya dibawa kepada Nabi SAW dan Nabi SAW pun menyuruh Rabiah berkata tidak baik kepada Abu Bakar. Rabiah tetap menolak dan akhirnya Nabi SAW menyuruhnya berkata, “Semoga Allah mengampunkan kamu, Abu Bakar”. Rabiah pun mengatakan begitu sambil menoleh kepada Abu Bakar yang sedang menangis bercucuran air mata.
Inilah contoh keindahan akhlak sahabat Nabi SAW dan betapa mudahnya mereka memaafkan. Jika Allah SWT Maha Pengampun, kenapa pula kita sukar untuk memaafkan satu kesalahan orang lain kepada kita? Jangan kita melampau dalam menghukum orang lain.
Kesimpulan:
Apa yang saya sebut dan kongsikan adalah sebagai peringatan untuk diri sendiri juga. Saya berharap sungguh-sungguh juga jika ada sesiapa yang saya pernah buat silap kepadanya, saya harap mereka semua sudi memaafkan saya. Dan semoga saya juga mudah memaafkan orang lain juga.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Manusia suka berdendam sehingga sanggup memutuskan silaturrahim. Apa pandangan ustaz?
J: Berdendam akan memberi penyakit kepada diri-sendiri sebenarnya dan mengundang banyak penyakit seperti tekanan, darah tinggi dan sebagainya. Namun, dalam kita bersifat pemaaf, Nabi SAW turut mengajar agar kita bersifat cerdik dan tidak tertipu dua kali dengan orang yang sama. Oleh itu, jika sudah maklum bahawa seseorang itu mungkin sudah bersifat suka menyakitkan hati kita, eloklah kita berhati-hati dan mengelakkannya daripada berlaku.

S: Bagaimana pula dengan keperluan memaafkan lelaki yang pernah mencabul kehormatan seorang wanita?
J: Betul, memang sukar untuk memaafkan kerana ada kes yang berlaku ketika kanak-kanak itu masih kecil lagi. Memaafkan perbuatan itu adalah untuk ketenangan dan ketenteraman hati kita sendiri. Orang yang buat salah itu dosanya dengan Allah jika dia masih belum bertaubat. Cuba lihat anak-anak kecil yang sentiasa riang. Mereka paling riang kerana mereka paling mudah memaafkan. Baru saja lepas dipukul abangnya 2 minit yang lalu, seorang anak kecil akan kembali riang bermain dengan abangnya itu. Kanak-kanak tidak menyimpan dendam akan perbuatan orang lain kepadanya dan sifat inilah yang perlu kita tiru. Kita yang semakin dewasa pula semakin sukar gembira kerana semakin sukar memaafkan orang lain. Kita terasa tidak berbaloi memaafkan kesalahan orang lain. Orang yang hebat tidak fikirkan orang lain dan cuba membahagiakan diri sendiri dengan memberi kemaafan kepada orang lain.

S: Haruskan saya memaafkan adik-beradik yang memfitnah saya sehingga terputus silaturrahim? Haruskah saya memaafkan dia atau menjauhkan diri daripadanya kerana sikapnya itu?
J: Kes sebegini banyak berlaku dalam masyarakat sekarang. Dalam satu hadis, Nabi SAW menyebut, “Sebaik-baik akhlak ahli dunia ialah menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskannya dan, memaafkan orang yang menzaliminya”. Paling afdhal(baik) tidak bermakna ianya senang dilakukan. Oleh itu, kita perlu memaafkan dan jangan pulan menjauhkan diri. Jadilah seperti pokok rendang yang berbuah lebat, dibaling kayu sekalipun, pokok itu tetap memberikan buah. Namun begitu, Islam tidak mengajar kita untuk menjadi bodoh. Jika kita telah tahu seseorang itu bersifat suka memfitnah, kita perlu berhati-hati.

S: Saya berselisih faham dengan rakan kerana sifat egonya. Untuk mengelak terputus silaturrahim, saya pun beralah dan meminta maaf dengannya terlebih dahulu. Namun, selepas itu dia menjadi semakin ego dan mencanang kepada semua bahawa dia benar.
J: Kita perlu melihat daripada sudut yang lebih besar lagi. Kita bersilaturrahim dengannya agar kita dapat bekerjasama dalam hal-hal lain juga, bukan sekadar perkara yang telah berlaku sahaja. Walaupun setelah memaafkannya dan egonya semakin tinggi, kita cuba cari peluang lain untuk mengajarnya agar lebih merendah diri. Tak perlu tegur secara terus dan cuba ajak rakan tersebut menghadiri majlis ilmu contohnya. Kes yang telah diselesaikan itu biarkan habis disitu. Jangan diungkit-ungkit lagi.

S: Bagaimana jika seorang rakan yang mohon maaf menggunakan telefon dan sms sahaja. Dia memberi alasan tidak dapat datang walaupun rumahnya dekat saja. Saya sudah memaafkan tetapi hati saya rasa masih terluka sebenarnya.
J: Bila orang sudah meminta maaf, tak kira bagaimana caranya, kita jangan menyukarkan dia pula. Sebaliknya, kita perlu tanya diri balik kenapa kita sukar memaafkan orang lain. Kita sendiri maklum, jika seseorang telah buat salah, sudah tentu dia akan ada perasaan malu dan segan untuk bertemu kita. Nabi suruh kita sayang dan memaafkan orang yang menzalimi kita, bukannya menyuruh orang yang buat salah datang sujud atau merayu-rayu kepada kita. Kita tak perlu hukum dia dan menyusahkan orang itu. Usahanya menghantar sms dan telefon itu merupakan usaha yang cukup baik sebenarnya. Apabila kita payah untuk memaafkan, kita sebenarnya ego. Apa yang berlaku sudahpun berlaku. Kita perlu memaafkan kerana itulah ubat ketenangan paling mujarab walaupun pahit pada mulanya.

S: Saya ada pengalaman memberi hutang kepada orang yang tak membayar. Pada dasarnya saya memaafkan namun bila diri sendiri sesak, saya teringat-ingat akan hutang rakan tersebut. Kemudian bila ada orang lain ingin meminta hutang, saya menjadi serik dan ragu-ragu untuk memberi hutang lagi.
J: Manusia memang akan teringat kembali walaupun telah memaafkan. Jika kita sudah memaafkan, Allah akan mengampunkan kita. Jika setelah beberapa ketika, kita teringat kembali, kita perlu maafkan juga kerana dengan memaafkannya, Allah juga akan mengampunkan kita. Dengan satu dosa yang orang itu lakukan kepada kita, setiap kali kita teringat dan kita memaafkannya kembali, maka Allah akan memaafkan kita juga. Untuk kes memberi hutang kepada orang lain pula, ikut sunnah untuk merekodkan hutang itu sebagai bukti seperti yang Allah ajar dalam ayat 282, surah Al-Baqarah. Jika kita mampu, halalkan saja kerana gantian Allah lebih besar nilainya di syurga dan takkan mampu kita beli dengan harta dunia yang dimiliki.

S: Jika kita biasa ditipu dalam soal wang ringgit. Kita maafkan dia, tapi bagaimana pula dengan dia?
J: Kita perlu perbetulkan diri sendiri dahulu dan berniat tidak menjadi seorang penipu seperti rakan tersebut. Orang yang makan harta yang haram, tempat yang layak baginya ialah neraka. Di dunia pula, orang yang menipu sebegitu akan hilang keberkatan dalam kehidupannya dan akan tiada ketenangan dalam hatinya. Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menghukum seseorang. Hanya Allah yang boleh menghukum hambanya. Kita perlu memaafkan kerana itu akan memberi ketenangan kepada kita. Bantu dia agar tidak menzalimi dirinya dengan tidak menipu diri kita lagi.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab