Terjebak Dalam Khurafat (3) – Tanyalah Ustaz 25.11.2012


Ustaz Sharhan Safie


Bacaan surah Yunus, ayat 81-83:

Ayat yang dibacakan menceritakan dakwah Nabi Musa yang ditentang oleh Firaun dengan meminta dikumpulkan tukang-tukang sihirnya. Allah memerintahkan Nabi Musa membatalkan sihir ular tukang sihir Firaun dengan mencampakkan tongkatnya. Tongkat yang merupakan mukjizat Nabi Musa itu bertukar menjadi ular yang lebih besar lalu menelan semua ular-ular kecil tukang sihir. Ayat-ayat ini elok diamalkan sebagai tujuan ayat pembakar sihir.

Bersempena dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang masih baru lagi kita raikan, ada pengajaran yang boleh diambil dengan tujuan memagar diri dan keluarga daripada gangguan syaitan. Ketika hijrah, rumah Nabi SAW dikepung oleh orang musyrikin. Lalu Nabi SAW membaca ayat 9, surah Yasin:

Ayat ini sesuai dijadikan amalan untuk memagar keluarga dan rumah daripada gangguan syaitan.

Sebagai pengajaran, hari ini saya tunjukan beberapa contoh azimat yang diberikan orang yang datang ke klinik saya iaitu : Keris jawa, tali yang dibuat daripada kelambu kaabah dan disimpul dengan beberapa simpulan yang mempunyai pusat, minyak senyonyong, cemara khinzir (yang dikatakan untuk menjadikan seseorang kebal), dan tali pinggang. Sebenarnya masih ramai dalam kalangan masyarakat yang menyimpan azimat sebegini walaupun negara kita telah lama moden.

Pada yang masih menyimpannya, lupuskanlah azimat anda. Jangan berasa takut dengan amaran bomoh bahawa anda akan mati atau mendapat kemudaratan jka membuangnya. Ajal-maut Allah yang tentukan. Cara membuangnya azimat/tangkal:

Ambil benda azimat itu dan bubuh dalam botol, tutupkan dan buang pada air yang mengalir. Baca surah Fatihah, ayat Kursi dan ayat yang dibacakan di atas iaitu ayat 81-83 dalam surah Yunus untuk membatalkan azimat tersebut.

Saya tiada kuasa memberi kesembuhan. Allah yang memberi kesembuhan dan anda perlu berusaha. Kesembuhan berada 70 peratus di tangan anda, saya cuma membantu sekadar 30% sahaja.

Kesimpulan:
  1. Jika ada yang masih percaya dengan kurafat, kembalilah kepada Allah dengan bertaubat. Allah tidak hairan dengan dosa yang pernah kita lakukan, tetapi Allah hairan kenapa kita tak mahu bertaubat kepada-Nya.
  2. Buang segera segala azimat yang dimiliki.
  3. Jadikan Al-Quran sebagai azimat terhebat dengan membaca dan menghafalnya. Ayat Al-Quran jangan pula sekadar dijadikan hiasan didinding.
  4. Jika sakit, jangan jumpa dengan bomoh. Berjumpalah dengan doktor dahulu dan jika tiada penyelesaian, boleh berjumpa dengan ahli perubatan alternatif yang menggunakan Al-Quran yang berdaftar dengan Gappima dan mendapat kelulusan daripada Jakim.
  5. Jika tak sempat mengambil ayat yang diberikan atau ingin mendapatkan lebih banyak panduan, boleh dapatkan buku-buku saya di kedai-kedai buku. Bukan tujuan untuk berniaga, tetapi untuk menyampaikan ilmu dan membantu masyarakat di luar sana.


Website dan maklumat lanjut klinik dan buku-buka ada di sini.
Rujukan lanjut tentang Gappima.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Ada orang kata rumah di simpang 3 ada bala. Bolehkah dipercayai?
J: Jin dan iblis diciptakan Allah dan manusia tidak boleh nampak golongan ini. Oleh itu, hiasai rumah-rumah kita dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran, bukannya sekadar di letak di dinding sebagai perhiasan. Ini juga kiasan Nabi SAW yang mengatakan jangan membiarkan rumah menjadi kuburan yakni sunyi daripada bacaan Al-Quran.

S: Jika serangga masuk rumah, adakah membawa petanda tidak baik. Bolehkah dipercayai?
J: Serangga tiada masalah biasanya kerana mereka masuk kerana tertarik dengan cahaya lampu. Jika ular, kala jengking, kita perlu berhati-hati kerana ada kemungkinan itu adalah jelmaan jin. Jangan percaya binatang lain boleh membawa keberkatan atau kemudaratan kepada kita.

S: Saya berjumpa pengamal perubatan untuk merawat anak yang suka menangis malam dan dikatakan ibu saya mempunyai saka. Ibu meminta lagu ulik mayang sebagai syarat membuang saka. Saya ternampak sesuatu yang dilakukan oleh pengamal perubatan itu tetapi suami saya tidak pula nampak. Mohon penjelasan ustaz.
J: Ada banyak perkara yang perlu diperhatikan apabila bertemu pengamal perubatan. Sebelum menuduh seseorang ada saka, atau anak kecil diganggu jin, pastikan dahulu kesihatan, pemakanan dan kebersihan anak terjaga. Ada satu jin yang suka menganggu anak kecil iaitu Ibnu Sibyan. Jika ibu meminta lagu ‘Ulik Mayang’, itu adalah satu bentuk pemujaan dan jika mengikutnya kita memberikan dia apa yang dimintanya. Pemujaan boleh menjadikan iblis semakin dekat kita sedangkan kita ingin menjauhinya. Penawar terbaik untuk menghalau syaitan ialah ayat Al-Quran. Untuk menghalau ganguan Ibnu Sibyan, amalkan ayat 78, surah An-Nahlu. Caranya, dan letak tangan atas kepada anak atau sapu pada perut.

S: Saya pernah meminta bantuan pengamal perubatan untuk memagar rumah. Saya diminta menanam botol yang mengadungi ayat yang saya tidak dapat baca. Setelah beberapa hari, saya menggali semula dan mendapati botol hilang. Adakah saya terlibat dengan perkara yang memesongkan akidah?
J: Sekiranya meyakini botol itu melindungi rumah, itu syirik dan kurafat. Jadi bertaubatlah dan kembali kepada Allah. Untuk memagar rumah, amalkan ayat 9, surah Yasin seperti yang dibincangkan di atas.

S: Saya mempunyai tali pinggang yang dapat mempertahankan diri daripada diserang. Jika dipakai, saya cuma perlu menahan nafas dan orang tidak akan dapat menyerang saya. Adakah ini dikira sebagai khurafat?
J: Ya. Kebetulan ada contoh yang saya bawa. Jika ada, lupuskan sahaja kerana ianya akan mengundang kemurkaan Allah. Rujuk cara merujuk seperti yang dinyatakan di atas.

S: Adakah boleh berubat dengan orang yang menggunakan khidmat makhluk halus? Ada yang berpendapat khidmat bomoh sama seperti khidmat doktor.
J: Tak boleh. Saya sendiri dimarahi oleh golongan bomoh kerana menunjukkan kepada orang ramai bentuk-bentuk azimat yang tidak boleh digunakan umat Islam. Tujuan saya adalah untuk menjaga akidah umat Islam. Dalilnya daripada ayat 6 surah Jin:

Oleh itu, jauhilah golongan bomoh. Dekati Allah dan ayat suci Al-Quran untuk mendapatkan kesembuhan dan pertolongan yang sebenar.

S: Dulu, saya pernah bermain nombor ekor dan menang. Duit yang dapat saya gunakan untuk beli TV, motor dan seumpamanya. Apa yang perlu dilakukan?
J: Alhamdulillah sudah mendapat hidayah untuk kembali ke jalan yang benar. Bertaubatlah dengan taubat nasuha kerana Allah amat sayangkan hamba-Nya yang bertaubat.

S: Apakah saka?
J: Saka ialah ‘MOU’ yang dibuat oleh nenek moyang dengan jin kafir untuk mendapatkan perlindungan/kecantikan/kelebihan tertentu untuk jangka masa tertentu (kebiasaannya untuk 7 keturunan) dengan syarat-syarat tertentu. Orang yang mempunyai saka biasa bermimpi jatuh dari tempat tinggi, menyusu anak kecil, melihat benda kotor. Dia sentiasa sakit atas belakangnya yang tak diketahui puncanya.  Untuk buang saka, amalkan zikir Nabi Yunus yang diambil daripada ayat 87, surah Al-Anbiya:

Dengan izin Allah, ayat ini menjadikan ikan terasa ingin memuntahkan Nabi Yunus yang berada di dalamnya. Jadi, ayat yang sama boleh digunakan untuk memuntahkan saka keluar, In sha Allah.

S: Adakah betul tarikh lahir mempunyai kesan terhadap bidang perniagan yang diceburi atau pasangan?
J: Ada banyak kepercayaan begini yang belaku dalam masyarakat. Jika kita percaya pada tarikh/nombor/nama tertentu mempunyai makna tertentu, maka itu membawa kepada syirik. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab