Kitab Riyadus Solihin m/s 232 - Majlis Ta'lim Darul Mutadza 23.11.2012

Bab Berharap Pada Allah
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa, KL, setiap Jumaat, 9:15 malam
6. Dari ‘Itban bin Malik r.a., dia termasuk salah seorang Badar, berkata: “Saya biasa menjadi imam bagi kelompokku Bani Salim. Antara tempatku dan tempat mereka ada sebuah lembah di mana bila hujan turun, sangat sulit bagiku untuk datang ke masjid mereka itu.
Maka saya datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Sesunggunya penglihatanku sudah berkurang, dan bahawasanya lembah yang berada di antara tempat saya dan tempat mereka itu banjir bila hujan turun sehingga sangat sulit bagi saya untuk bisa datang ke tempat itu.
Oleh kerana itu, saya bermohon sudilah kiranya tuan datang kerumahku, di mana rumah itu akan saya jadikan musolla. Rasulullah SAW berkata: “Baiklah”*. (Dalam riwayat Bukhari, Nabi SAW berkata, “In sha Allah, saya akan datang”.)
Esok harinya setelah hari tidak begitu panas, Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a datang ke tempat saya.
Rasulullah SAW meminta izin untuk masuk dan saya pun mempersilakannya, tetapi beliau tidak langsung duduk dan terus bertanya: “Mana tempat yang kamu harapkan supaya aku solat?”
Saya menunjukkan tempat yang saya inginkan untuk tempat solat kepada beliau, kemudian Rasulullah SAW berdiri dan bertakbir, serta kami berbaris di belakang beliau.
Beliau solat 2 rakaat lantas salam, dan kami pun mengucapkan salam ketika beliau mengucapkannya.
Kemudian saya mempersilakan kepada beliau untuk menyantap bubur daripada tepung gandum yang memang telah saya sediakan.
Kemudian warga kampung terdengar bahawa Rasulullah berada di rumah saya maka berbondong-bondonglah orang datang sehingga banyak sekali orang di rumah.
Kemudian ada salah seorang berkata: “Apa yang sedang dikerjakan Malik, saya tidak tahu?” Lantas ada orang yang berkata, “Dia seorang yang munafik yang tidak cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.”
Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu berkata seperti itu, apakah kamu tahu bahawa ia mengucapkan 'La ilaaha illallah' itu dengan tujuan untuk mengharapkan keredhaan Allah Ta'ala?” Ia menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Adapun kami, demi Allah tidak mengetahui kecintaan dan pembicaraannya melainkan condong kepada orang-orang munafik”. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mengharamkan api neraka kepad orang yang mengucapkan: 'La ilaaha illallah Muhammaddur Rasulullah' dengan tujuan mencari keredhaan Allah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian hadis:
Dari ‘Itban bin Malik r.a., dia termasuk salah seorang Badar, berkata:
Dalam bab ini, Imam Nawawi meletakkan hadis daripada Itban bin Malik daripada golongan Ansar, yang merupakan salah seorang daripada ahli perang Badar. Dalam meriwayatkan hadis ini, Imam Bukhari dan Imam Muslim meletakkan kenyataan bahawa Itban bin Malik sebagai ahli Badar untuk menunjukkan keistimewaan sahabat ini berbanding sahabat yang tidak menyertai perang ini. Walaupun semua sahabat Nabi adalah mulia, kemuliaan mereka berbeza antara satu sama lain. Sy. Abu Bakar mempunyai kedudukan sahabat yang tertinggi, kemudian Sy. Umar, kemudian Sy. Uthman dan kemudian Sy. Ali. Kemudian adalah 10 orang sahabat (termasuk 4 khalifah yang telah disebutkan) yang dijamin syurga oleh Nabi SAW.
Sahabat yang menghadiri perang Badar adalah lebih istimewa berbanding sahabat yang tidak menyertainya. Nabi SAW pernah yang bersabda kepada para sahabat yang menghadiri perang Badar, “Wahai para sahabat yang menghadiri perang Badar, berbuatlah kamu apa sahaja kerana sesungguhnya Allah telahpun mengampunkan dosa kamu semuanya”. Jibril ketika datang dan bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimanakah kedudukan sahabatmu yang bersama ketika perang Badar?” Nabi SAW menjawab, “Mereka adalah sahabat yang terbaik”. Jibril pun menjawab, “Malaikat yang hadir dalam perang Badar juga merupakan malaikat yang terbaik antara kami”. 
Kemuliaan sahabat dinilai daripada beberapa aspek iaitu:
  • Penta'ziman kepada Nabi SAW. Sy. Abu Bakar As-Siddiq mempunyai kemuliaan yang lebih tinggi berbanding Sy. Umar Al-Khattab kerana apa yang ada di dalam hatinyam yakni penta'zimannya kepada Nabi SAW adalah lebih besar dan tinggi berbanding Sy. Umar.
  • Peristiwa yang berlaku, contohnya penyertaan dalam Perang Badar.
Saya biasa menjadi imam bagi kelompokku Bani Salim.
Permulaan hadis ini memberi mesej bahawa adalah lebih utama untuk seseorang memakmurkan masjid atau surau berdekatan dengan tempat dia tinggal, berbanding pergi ke tempat yang jauh demi mengejar mendapatkan ganjaran langkah kaki yang lebih jauh. Walaupun solat dibelakang Nabi SAW lebih mulia, Itban menyatakan bahawa dia menjadi imam bagi kaumnya. Nabi SAW juga tidak melarang perbuatan Itban itu kerana tidak semua orang mampu untuk pergi ke masjid Nabawi. Dalam hal ini, jika masjid atau surau berdekatan rumah tidak akan makmur kerana pemergian kita, maka kita digalakkan untuk memakmurkan masjid/surau berdekatan dahulu.
Antara tempatku dan tempat mereka ada sebuah lembah di mana bila hujan turun, sangat sulit bagiku untuk datang ke masjid mereka itu.
Dikatakan juga bahawa Itban kabur matanya. Oleh itu ada beberapa keuzuran yang menghalangnya pergi solat menjadi imam: Pertama - banjir jika hujan dan kedua - pandangannya yang kabur. Oleh itu, jika seseorang mempunyai uzur syar’ie atau perjalannya tidak aman, maka dibolehkan untuk dia solat dirumahnya. Selain daripada itu, Muslim lainnya dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan masjid dan surau.
Oleh kerana itu, saya bermohon sudilah kiranya tuan datang kerumahku, di mana rumah itu akan saya jadikan musolla. Rasulullah SAW berkata: “Baiklah”*.
Dalam riwayat Al-Bukhari diriwayatkan Nabi SAW berkata, “In sha Allah, saya akan datang”.
Rasulullah SAW berkata: “Baiklah”. Esok harinya setelah hari tidak begitu panas, Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a datang ke tempat saya.
Nabi datang sebelum waktu Zohor, kemungkinan besar mereka solat dhuha.
Kemudian warga kampung terdengar bahawa Rasulullah berada di rumah saya maka berbondong-bondonglah orang datang sehingga banyak sekali orang di rumah.
Apabila mengetahui Nabi SAW berada di rumahnya, ramai orang lain turut datang.
Kemudian saya mempersilakan kepada beliau untuk menyantap bubur daripada tepung gandum yang memang telah saya sediakan.
Itban menyediakan makanan – khazirah (daging yang dipotong, dicampur dengan air dan tepung) agar Nabi SAW duduk lebih lama di rumahnya.
Kemudian ada salah seorang berkata: “Apa yang sedang dikerjakan Malik, saya tidak tahu?” Lantas ada orang yang berkata, “Dia seorang yang munafik yang tidak cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.”
Ketika makan, mereka pun bersembang dan Nabi melarang mengatakan seseorang itu munafik kerana dia telahpun mengucapkan syahadah.

Pengajaran daripada hadis:
1. Memakmurkan masjid berdekatan dengan rumah.

2. Jika ada uzur tertentu seperti tidak boleh melihat dan perjalanan yang tidak aman, maka dibolehkan solat di rumah sendiri.

3. Menjemput orang soleh ke rumah untuk mengambil barakahnya adalah dibolehkan. Itban bin Malik merupakan sahabat yang mengikuti perang Badar dan merupakan seorang yang mulia di sisi Allah, namun dia tetap meminta Nabi SAW datang ke rumahnya. Oleh itu, adalah digalakkan seseorang untuk mengambil dan menuntut barakah daripada orang yang soleh. Contoh untuk 'mengambil barakah' ialah dengan – solat ditempat yang orang soleh itu pernah solat. 'Menuntut barakah' pula adalah dengan meminta orang soleh datang ke tempat yang belum pernah dia bersolat dan memintanya solat di situ. Kemudian barulah diambil barakah di tempat itu. Perbuatan mengambil/menuntut barakah ini bukanlah perkara yang dibuat-buat oleh orang tasawwuf, tetapi mereka mengambil teladan daripada apa yang ditunjukkan sahabat Nabi SAW dan juga Al-Quran. Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 248, Allah berfirman: 

Sebagai bukti kerajaan Talut yang tidak dipersetujui oleh kaum Bani Israel kerana kedudukannya yang tidak berharta, Allah memberi kepada Talut kota Tabut. Di dalam kotak itu, ada barang peninggalan Nabi Musa dan Nabi Harun yang akan memberi ketenangan (potongan tongkat Nabi Musa dan pakaian Nabi Musa dan Harun). Kotak itu tidak dibawa ketika mereka pergi berperang dan diberikan semata-mata melalui pertolongan Allah. Ketika Thalut dipilih Allah menjadi Raja, kaumnya tidak setuju. Sebagai bukti dia dipilih, Thalut akan diberi kotak itu. (mengambil barakah drpd pakaian dan tongkat Nabi Musa). Ketika Israk dan Mikraj, Nabi SAW diminta solat di satu tempat yang ditunjukkan Jibril. Nabi SAW kemudian diberitahu bahawa tempat dia solat merupakan tempat Nabi Isa dilahirkan. Kenapa diminta Nabi SAW solat di situ? Untuk mengambil keberkatan orang yang soleh.

4. Orang yang mulia perlu datang kepada orang yang lebih rendah kedudukannya. Rasulullah SAW sendiri datang ke rumah Itban walaupun baginda seorang Nabi. Ketika berlaku perselisian faham antara Sy Husin dan adiknya (berlainan ibu), Muhammad Ibnu Hanafiah. Orang tengah ingin membantu menjernihkan suasana dan datang meminta Muhammad Ibnu Hanafiah supaya mengalah dan pergi menziarahi Sy Husin. Muhammad Ibnu Hanafiah berkata, “Aku enggan kerana kedudukannya lebih tinggi daripadaku. Dia anak Sy. Fatimah, sedangkan aku anak kepada Bani Hanifah. Orang yang menziarahi orang lain adalah lebih mulia berbanding orang yang diziarahinya. Jika aku menziarahinya, aku akan menjadi lebih mulia. Aku tidak mahu menurunkan kemuliannya”. Apabila Sy Husin diberitahu tentang ini, beliau pun pergi menziarahi adiknya, Muhammad Ibnu Hanafiah.

5. Dibolehkan solat sunat secara berjemaah, walaupun pada asalnya dituntut dilakukan secara sendirian Solat sunat yang dilakukan berjemaah adalah terhad – contohnya seperti solat sunat hari raya, istisqa, terawih dll.

6. Jangan sekali-kali berjanji tanpa mengucapkan 'In sha Allah'. Dalam surah Al-Kahfi, ayat 23-24, Allah berpesan agar jangan lupa sebut In sha Allah ketika berjanji untuk berbuat sesuatu. 






Ayat ini turun bersempena satu kisah yang berlaku apabila Nabi SAW ditanyakan beberapa soalan tentang tanda kenabiannya. Baginda berjanji akan memberi jawapannya esok, tanpa menyebut In sha Allah. Tetapi wahyu tidak juga selama beberapa hari. Tujuan Nabi berjanji esok adalah kerana mengharapkan mereka yang bertanya akan memeluk Islam dengan jawapan yang diberi.

7. Mengambil peluang menjadi makmun kepada imam yang alim, warak, kusyuk dan hebat. Apabila Sy. Umar melihat Nabi solat, dan beliau ikut menjadi makmum walaupun tahu solat sunat dhuha lebih elok dikerjakan seorang diri. Solat Nabi SAW sangat tinggi maqamnya. Oleh sebab itu, Nabi SAW menyuruh umatnya solat sebagaimana melihat baginda bersolat, dan bukannya bagaimana baginda solat. Jika Nabi menyuruh seseorang solat sepertimana Baginda solat, pasti tiada siapa yang mampu mengikutnya. Sahabat meriwayatkan mereka berasa begitu manisnya berimamkan Nabi SAW.

8. Meminta izin ketika ingin masuk rumah. Dalam Al-Quran disebut juga bahawa jangan masuk rumah orang lain sebelum beri salam, dan kemudian perlu juga meminta izin. Salam dan izin adalah 2 perkara yang berbeza.

9. Bila mendengar ada orang soleh datang ke rumah seseorang, kita perlu pergi untuk meramaikan juga walaupun tidak dijemput :) Kenapa? Untuk meraikan kedatangan dan kedudukan orang itu dan mengambil manfaat daripadanya. Imam Nawawi berpesan agar kita mengambil barakah dengan orang yang soleh dan tinggi kedudukan di sisi Allah dan jangan kita berburuk sangka pada mereka.

10. Menjadikan satu tempat di rumah sebagai tempat yang kita istiqamah solat di situ.

11. Menjernihkan tohmahan yang dikatakan kepada orang lain. Kita tidak boleh berdiam diri dan tidak membela orang yang difitnah. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyembunyikan atau tidak menjernihkan keburukan saudaranya ketika diceritakan di hadapannya dan dia tahu rujukan itu tidak betul, maka dia akan dibuka aibnya dan tiada orang yang akan membelanya di saat dia memerlukan pembelaan.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab