Maaf: Ikhlas Atau Terpaksa (1) – Tanyalah Ustaz 09.11.2012
Ustaz
Syed Abdul Kadir Al-Joofre
Bacaan
surah Asy-Syura, ayat 36-43:
Tajuk hari ini merupakan pil bahagia yang paling mujarab iaitu MAAF. Dunia ini sementara sedangkan kemaafan Allahlah yang kekal abadi.Sedikit huraian daripada ayat yang dibacakan. Ada beberapa ciri orang yang hebat/berjaya yang akan diberi keuntungan iaitu:
- orang yang menjauhi dosa besar.
- apabila marah mereka memaafkan,
- orang yang menyahut seruan dan perintah Allah,
- mengerjakan solat, menginfakkan harta pada jalan Allah, dan berbincang bersama dengan masyarakat orang yang cuma membela diri apabila dizalimi dan tidak melampaui batas.
Allah mengizinkan kejahatan dibalas dengan kejahatan. Tetapi pada sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik pula, pahalanya kepadanya adalah atas ketetapan Allah Taala.
Mereka yang menzalimi orang lain lebih daripada kezaliman yang dilakukan ke atasnya adalah orang yang akan dimurkai Allah. Mereka yang rela memaafkan pula adalah termasuk dalam golongan 'Ulul Azmi, yang akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda kerana perbuatan itu memang sukar dilakukan. Dalam kalangan para Rasul, ada 5 orang Rasul Ulul-Azmi dan ciri utama mereka adalah suka memaafkan.
Dalam
kalangan kita, memang ada ramai yang sukar memaafkan. Ataupun jika
sudah memaafkan, namun masih ramai yang tidak boleh melupakan
kezaliman yang dilakukan kepadanya. P.Ramlee ada menulis lagu yang berbunyi “Sedangkan Nabi ampunkan umatnya”, namun ada pula yang kata itu
Nabi, Nabi hatinya bersih dan tidak sama seperti kita. Ini tidak
betul sebenarnya kerana apabila Allah menjadikan Nabi SAW sebagai
contoh terbaik buat kita, maknanya peribadi dan sifatnya boleh ditiru
oleh manusia lain. Oleh itu, ingat-ingatlah sedangkan kekasih Allah
pun suka memaafkan, siapalah kita yang serba kekurangan ini.
Minggu
ini minggu terakhir bulan Dzulhijjah dan merupakan bulan Haram yang
diberkati Allah Taala. Bersyukurlah pada Allah yang kita dikumpulkan
dalam majlis ilmu pada hari Jumaat yang diberkati, dan pada bulan
Haram yang diberkati. Dihujung-hujung tahun sebegini, mari bersama
renungkan sejenak berapa banyak nikmat yang telah Allah kurniakan
kepada kita. Setelah itu, renungkan juga berapa banyak dosa yang
telah kita lakukan kepada Allah Taala. Dalam pada kita melakukan
kesalahan demi kesalahan, Allah Taala tetap memberikan nikmat yang
mencurah-curah kepada kita. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan
Pemaaf. Allah beri kita pelbagai ruang dan cara untuk dimaafkan –
contohnya dengan berada di dalam majlis ilmu, seluruh makhluk akan
mendoakan keampunan untuk kita. Ketika bersedekah pun dosa akan
diampunkan juga. Begitu juga ketika bersalaman dengan rakan-rakan,
mengerjakan solat dan sebagainya. Allah Taala tidak pernah jemu untuk
memaafkan hamba-hamba-Nya.
Mulakan
hari Jumaat ini dengan baik iaitu dengan solat berjemaah, dengan
banyak berzikir dan berselawat. Mudah-mudahan kita akan mudah
mengikut sifat pemaaf Nabi Muhammad SAW.
Senarai
soalan dan jawapan:
S:
Saya dah maafkan semua kawan yang pernah menganiayai saya. Tetapi
apabila saya pula meminta maaf pula, ada rakan yang berkata “Tiada
maaf bagimu”. Mohon ulasan ustaz?
J:
Ini memang menjadi budaya dalam masyarakat kita. Pertama: kita perlu
lihat jika ada haknya yang kita ambil, wajib dipulangkan kembali atau
ganti dengan nilai yang sama. Jika kita pernah memukulnya, maka kita
perlu merelakan diri dipukul kembali olehnya. Jika dia berdegil untuk
membalas di akhirat, kita perlu banyak-banyak minta maaf dengan
Allah. Disamping memohon maaf pada rakan-rakan, jangan lupa mohon
ampun atas dosa-dosa kita kepada Allah juga. Mudah-mudahan dengan
taubat kita, Allah akan menggerakkan hatinya untuk memaafkan kita.
Jika dia masih berkeras, teruskan berbuat baik kepadanya dan
bertaubat dan berserah pada Allah.
S:
Adakah memaafkan di dalam hati tanpa menyebut kepada orang yang
dimaafkan, lebih ikhlas berbanding menyebutnya dengan nyata?
J:
Ikhlas tidak boleh diukur begitu. Ianya bergantung kepada sesuatu
situasi dan niat seseorang. Nabi SAW ada menyebut dengan jelas yang
Baginda memaafkan kaum kafir Quraisy ketika masuk menawan kota Mekah
semula. Kita tidak boleh meragui keikhlasan Nabi SAW mengatakan
begitu. Sebenarnya ada kepentingannya untuk menyebut dengan jelas
kerana ianya akan memberi ketenangan kepada orang yang dimaafkan.
Apabila kita memudahkan urusan seseorang, mudah-mudahan Allah akan
memudahkan pula urusan kita di akhirat nanti, InsyaAllah.
S:
Bagaimana pula jika kita selalu memaafkan orang, tetapi tidak sedar
melakukan kesalahan kepada orang lain. Adakah kita berdosa kerana
tidak sedar akan kesilapan diri?
J:
Manusia itu memang bersifat selalu buat salah dan tidak sempurna.
Sifat memaafkan itu bagus. Tentang kesalahan yang tidak disedari itu
perlu diperiksa dahulu adalah ketidaksedaran kita kerana kita jahil
dan tidak mahu belajar tentang perkara itu, itu dikira sebagai
kecuaian dan kesalahan kita. Tetapi jika kita betul-betul tidak sedar
melakukan sesuatu kesalahan contohnya terlalu asyik bekerja sehingga
terlupa untuk solat, maka dosanya akan dimaafkan oleh Allah. “Tidak
sedar” tidak boleh dijadikan alasan dalam setiap perbuatan kita.
S:
Kerana terlalu marah pada seseorang yang menzalimi saya, saya berniat
untuk tidak memaafkannya sampai bila-bila. Adakah saya berdosa?
J:
Niat atau lintasan di dalam hati tidak dikira sebagai dosa selagi
kita tidak melakukannya. Kebiasaanyya, jika sedang marah, memang akan
terlintas perasaan sebegitu. Asalkan kita tidak betul-betul
melakukannya, tidak mengapa.
S:
Dalam kehidupan kita ada hubungan dengan Allah dan manusia. Dalam
hubungan dengan manusia, dan kita membuat kesalahan, dosa tidak
terhapus jika orang itu tidak memaafkan. Saya mohon tip dari ustaz
agar kita mudah memberi kemaafan kepada orang.
J:
Kita perlu mudah memaafkan orang lain dahulu agar kita juga mudah
dimaafkan juga. Bagaimana untuk menimbulkan keikhlasan dalam
memaafkan orang? Ulama ada membincangkan dan mengatakan bahawa
keikhlasan itu sebenarnya memang sukar untuk dicapai. Dalam ayat 5,
surah Al-Bayyinah, Allah berfirman:
Dalam
ayat ini diperintahkan agar kita menyembah Allah dengan ikhlas. Selepas ayat
itu, Allah perintahkan untuk mengerjakan solat dan mengeluarkan
zakat. Ulama membincangkan dan mengatakan bahawa Allah mengaitkan
ikhlas dengan solat dan zakat dalam ayat ini. Oleh itu, ianya boleh
dijadikan tip bahawa untuk mencapai keikhlasan, seseorang itu perlu
mematuhi suruhan Allah. Dengan melakukan suruhan Allah, kita
sebenarnya cuba untuk membersihkan hati, dan hati yang bersih akan
mudah untuk memaafkan dan menghindarkan sifat-sifat ego, takabbur dan
seumpamanya. Kita perlu selalu sedar bahawa kita sendiri juga mudah
untuk melakukan kesalahan, oleh itu mudahkan hati untuk memaafkan
orang lain. Nabi SAW sendiri suka memaafkan bahkan Baginda turut
memaafkan seorang wanita Yahudi yang memberi makanan beracun dengan tujuan untuk membunuh Baginda.
S:
Bagaimana dengan orang yang suka mempersendakan taubatnya. Dia buat
dosa di siang hati dan bertaubat di tengah malamnya dengan alasan
Allah Maha Pengampun?
J:
Betul, ada juga dalam kalangan kita yang tersalah faham konsep taubat
dan minta maaf ini. Ada juga yang suka mengatakan - “Tak
mengapalah, nanti raya mintalah maaf”. Persoalannya adakah kita
pasti kita akan hidup lagi sehingga Syawal berikutnya? Kita tak pasti
bila kita akan mati, oleh itu kita tidak boleh bertangguh-tangguh
dalam hal taubat. Dalam hubungan kita dengan Allah, perlu ada sifat
Al-Khaufu (takut) dan Al-Rajak (berharap). Namun, kita selalunya
terlalu berharap pada Allah sehingga terlupa (tidak takut) kepada
azab dan ancaman Allah Ta'ala. Ulama tasawwuf ada membincangkan dan
mengatakan bahawa orang yang beriman akan menyeimbangkan antara
kedua-dua Al-Khauf dan Al-Rajak. Jika terlebih berharap, manusia akan
bersikap sambil lewa dalam melakukan dosa. Jika terlebih takut pula,
manusia akan putus harap kepada keampuanan Allah.
S:
Apa hukum seorang anak yang menyinggung perasaan ibu sehingga ibu
tidak memaafkannya sehingga dia meninggal?
J:
Ini adalah musibah yang paling besar sebenarnya. Sebenarnya kita
semua sedia maklum besarnya dosa seoranga anak yang melukakan hati
ibunya. Kalau boleh, bagi sesiapa yang ibubapanya masih hidup hari
ini, hubungilah ibubapa dan minta maaf kepada mereka. Walaupun ibu
bapa kita tidak belajar tinggi atau berjawatan besar, kita perlu
hormat mereka. Kadang-kadang kita berdosa bukan kerana perkataan
tetapi melalui perbuatan kurang berhubung dengan mereka. Mungkin
kerana belajar atau kerja, kita lupa untuk menghubungi ibubapa di
kampung. Ibubapa pula janganlah menjadi sebab anak-anak masuk neraka
kerana kerasnya hati untuk memaafkan. Selalulah mendoakan agar
anak-anak kita menjadi ahli syurga. Bagi anak yang ibubabanya seudah
meninggal, banyakkan berdoa memohon keampunan diri dan ibubapa
terutamanya selepas azan dan selepas solat.