Kisah Imam Syafie (1) - Tanyalah Ustaz 07.11.2012


Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malik


Bacaan surah Al-Inshirah:

Ayat ini sudah banyak kali saya sebutkan dalam rancangan ini – beramallah dengannya dalam menghadapi masalah kehidupan. Elok juga diamalkan oleh para pelajar.

Masalah boleh menyempit dan menyesakkan dada – ayat pertama Allah sebut Allahlah yang berkuasa melapangkan dada manusia, menenangkan jiwa yang resah. Baca ayat 1, hembus pada tangan dan sapu pada dada.

Baca ayat 2 dan hembus pada tangan dan sapu pada bahu untuk merasa ‘keringanan’ dalam menghadapi ujian.

Baca ayat 3 dan hembus pada tangan dan sapu pada belakang. Elok diamalkan untuk mengelak rasa malas.

Baca ayat 4 dan hembus pada tangan, dan sedut kembali untuk mengambil aura mukjizat Al-Quran. Kemudian sapukan pada wajah hingga ke belakang kepala. InsyaAllah wajah akan nampak berseri dan tidak sugul.

Orang yang yakin mampu untuk menyeselaikan masalahnya sendiri adalah sombong dengan Allah, dan orang sombong tidak akan masuk syurga Allah. Oleh itu, bergantunglah pada Allah semata-mata pada setiap ketika – susah mahupun senang.

Topik hari ini akan membincangkan tokoh imam yang agung iaitu Imam Syafie. Banyak negara Islam yang mengambil mazhab Imam Syafie sebagai mazhab rasmi. Imam Syafie mempunyai banyak kaitan dengan Rasulullah SAW dan fatwanya teliti. Imam Syafie juga suka membaca surah Al-Inshirah sebelum memulakan pengajiannya.

Nama sebenarnya ialah Mohamad bin Idris As Syafie. Dilahirkan di Ghazah (Gaza), Palestin. Susur galur keturunannya bertemu dengan Bani Mutallib, iaitu keluarga datuk Nabi Muhammad SAW. Ketika Imam Syafie lahir, Imam Hanafi meninggal dunia. Ketika lahir, ayahnya meninggal dunia. Pada umur 8 tahun, dia sudah mengkhatam Al-Quran dan pada umur 9 tahun, dia sudah menghafal Al-Quran. Ada diriwayatkan juga bahawa Imam Syafie sudah pun mengkhatam dan menghafal Al-Quran pada umur 5-6 tahun.

Kemudian mereka berpindah dari Palestin ke Mekah dan Imam Syafie belajar pula kitab Al-Muwattak (kitab hadis) dengan mufti Mekah ketika itu iaitu – Imam Muslim bin Khaled Al-Janzi. Pada umur 10 tahun, beliau sudah menghafal kitab Al-Muwattak. Ketika itu, imam Muslim menyuruhnya mencari dan mengaji dengan pengarang kitab Al-Muwattak iaitu imam Maliki yang berada di Madinah. 

Imam Syafie berjalan kaki ke Madinah dan perjalanan mengambil masa selama 30 hari. Sepanjang perjalanan itu, Imam Syafie membaca Al-Quran dan berjaya mengkhatam sebanyak 60 kali. Itulah kelebihan menghafal Al-Quran – Al-Quran berada di dalam dada dan boleh di bawa ke mana-mana. Ada juga yang berkata ketika itu Imam Syafie berusia 15 tahun.

Ketika sampai ke masjid Nabawi, Imam Syafie solat sunat 2 rakaat dan melihat ada ramai orang sedang belajar dengan Imam Malik. Dia pun menyertainya dan duduk di barisan hadapan. Ketika mendengar kuliah, Imam Syafie menggunakan jari untuk terus-menerus menulis di tapak tangannya. Perilakunya diperhatikan oleh Imam Maliki. Setelah tamat kuliah, Imam Maliki memanggilnya dan bertanya:
“Wahai anak, adakah kau bermain-main dengan perkataanku?”
Jawabnya, “Tidak, aku menyalinnya tetapi aku tidak mampu membeli kertas”.
Imam Maliki berkata lagi, “Jika benar begitu, cuba bacakan semula kepadaku?”.
Imam Syafie pun membaca semula dan tiada satu perkataan pun yang diucapkan oleh Imam Maliki yang tertinggal. Dalam kuliah tersebut ada disebutkan 40 hadis dan Imam Syafie juga boleh mennyebutnya semula denagn tepat.

Imam Malik pun tertarik  dengan Imam Syafie dan mengambilnya menjadi murid. Di antara ribuan muridnya, Imam Maliki mengatakan bahawa murid terbaik dan kesayangannya ialah Imam Syafie.
Hari ini ada banyak pendapat yang mengelirukan tentang Imam Syafie. 

Senarai soalan dan jawapan:
S: Kenapa Imam Syafie adalah imam yang hebat?
J: Ada banyak sebab – antaranya adalah kerana:
  • dia berguru dengan Imam Malik yang merupakan Imam yang hebat juga. Imam Malik sendiri mengistiharkan bahawa Imam Syafie merupakan pelajarnya yang hebat. Walaupun ada kalanya mereka berbeza pendapat, mereka tetap mesra dan saling berkasih-sayang. Imam Syafie tinggal di rumah Imam Malik.
  • Berasal daripada keturunan Quraisy.
  • Boleh menghafal Al-Quran.
  • Boleh menghafal beribu-ribu hadis

S: Apakah amalan Imam Syafie yang memudahkan dia menghafal?
J: Allah memuliakan kaum Quraisy dengan kebolehan menghafal. Orang Yahudi pula dikurniakan dengan IQ yang tinggi. Amalan orang Quraisy ialah makan tamar, madu dan minum susu kambing. Imam Syafie adalah orang susah dan ibunya bekerja dan mendapat upah7 kurma sehari. Apabila kurang makan, akal menjadi tajam. Ibunya juga merupakan seorang penghafal Al-Quran, oleh itu ianya ‘berjangkit’ kepada anaknya. Imam Syafie merupakan pencinta ilmu, apabila mendapat ilmu, dia menghafal dan menyebarkannya.

S: Apa pendapat Imam Syafie terhadap jemaah yang zikir beramai-ramai dengan suara lantang selepas solat berjemaah?
J: Tiada masalah, tetapi dikatakan juga ‘Aku suka membacanya dengan suara yang rendah’. Setelah habis solat, mungkin ada makmum masbuk yang masih meneruskan solat. Oleh itu, jika ada makmum yang masih solat, imam perlu rendahkan suara. Jika tiada orang yang masih solat, tinggikanlah suara kerana dengan itu  tiada yang akan tertidur :D

S: Siapakah guru imam Syafie?
J: Mengikut catatan, imam Syafie mempunyai 40 orang guru yang hebat. Antaranya ialah Imam Muslim Al-Janzi, Imam Malik. Imam Malik mempunyai ribuan anak murid dan pelajar terbaiknya ialah Imam Syafie. Setelah itu, dia diangkat menjadi gabenor Yaman. Walaupun telah menjadi gabenore, beliau tetap berguru dengan imam-imam lain yang lebih ‘kecil’. Selepas Imam Malik, Imam Syafie paling sayang Imam Waqi’. Dia segan dengan Imam Waqi’ dan tidak akan jadi imam jika Imam Waqi’ ada. Satu lagi sifat imam Syafie ialah dia merendah diri. Tidak semua ilmu ada pada orang yang hebat, ada kalanya orang-orang biasa saja juga mempunyai ilmu dan Imam Syafie tidak malu untuk bertanya dan menuntuk ilmu dengan mereka.

S: Betulkah ada yang mengatakan Imam Syafie mempunyai fahaman Syiah?
J: Imam Syafie meningkat naik dengan pantas sehingga menjadi Gabenor Yaman. Kecemerlangannya membuahkan rasa sakit hati dan menyebabkan dia difitnah sebagai Syiah sehingga dipenjarakan. Perasaan dengki ini sudah ada semenjak dahulu lagi dalam kalangan umat Islam. Imam Syafie dipenjarakan di Baghdad. Namun dalam penjara, beliau masih belajar dan berdakwah sehingga akhirnya semua orang dalam penjara solat dan mengaji dengannya. Banduan itu juga tidak lagi dirantai dan warden tidak perlu menjaga mereka menggunakan kekerasan. Ketika pemerintahan Harun Ar-Rasyid (seorang pencinta ilmu juga), Imam Syafie dipangil keluar dan disoal-siasat olehnya. Harun Ar-Rasyid terpesona dengan hujah-hujahnya yang diberikan dan membebaskannya. Selepas itu, Imam Syafie pergi ke Mesir. Di Mesir, keadaan agak tegang kerana kuatnya pengaruh Hanafi dan Maliki. Imam Syafie pergi belajar dengan murid Imam Hanafi dengan tujuan merapatkan jurang antara kedua-dua pengikut mazhab ini . Namun begitu pada suatu Maghrib, beliau dipukul sehingga mati.

S: Benarkan Imam Syafie mengatakan yang kenduri arwah itu bidaah?
J: Betul, Imam Syafie tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan membaca Al-Quran boleh menyampaikan pahala kepada mereka yang telah mati. Namum begitu, mazhab tidak dihasilkan mengikut pendapat seorang ulama sahaja, tetapi menurut pendapat raamai ulama. Majoriti ulama mazhab Syafie mengatakan boleh. Imam Nawawi yang merupakan orang kanan Imam Sayfie berhujah mengatakan tidak mengapa atas alasan daripada kisah Nabi SAW yang mengucapkan salam apabila lalu di kawasan perkuburan. Oleh itu, tiadalah menjadi kesalahan membuat kebaikan seperti tahlil dan kenduri dengan harapan sampai pahala kepada si mati.

S: Adakah betul Imam Syafie mengutuk golongan Sufi?
J: Tidak  betul – Apa yang dimaksudkan oleh Imam Syafie, menurut Imam Nawawi, ialah golongan sufi yang bercampur dengan tarikat yang mempunyai unsur membuang masa dengan tidur sahaja dengan tidak bekerja dan sebagainya. Jika ada sufi dan tarikat yang bagus, beliau akan memujinya dan beliau ada juga mengiktiraf guru sufi yang bagus. 

S: Kenapa imam Syafie dikatakan imam yang paling teliti dalam mengeluarkan hukum atau fatwa?
J: Imam Syafie memang marah kepada orang yang mengeluarkan fatwa tanpa fakta yang kukuh. Imam Syafie akan solat 2 rakaat sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab