Terapi 3T: Tauhid Tasbih Tunduk – Usrati IKIM 08.06.2012
Ustazah Norhafizah Musa
Perkongsian hari ini berkaitan terapi
3T, yang inspirasinya datang daripada surah Al-Anbiya ayat 87dan 88:
Ayat ini menceritakan kisah Nabi Yunus
a.s yang ditakdirkan Allah ditelan oleh ikan nun. Maka duduklah Nabi
Yunus dalam kegelapan perut ikan dan dibawanyalah ke sana ke mari
oleh ikan itu. Dalam ketakutan dan terketar-ketar itulah, Nabi Yunus
terus mengulang-ulang tasbihnya:
Apakah nilai tasbih ini disisi Allah
Taala? Dalam surah As-Soffat, ayat 143 dan 144, Allah berfirman:
Rupa-rupanya tasbih inilah yang menjadi
sebab musabab Nabi Yunus yang sepatutnya berada dalam perut ikan
sehingga hari kiamat akhirnya dikeluarkan setelah cuma 7 hari
mengikut sesetengah riwayat. Inilah pengajaran yang perlu kita ambil
dan jadikan inspirasi akan kelebihan tasbih yang dilafazkan oleh Nabi
Yunus. Betul... hari ini kita tak berada dalam perut ikan, namun
kadang-kadang kesempitan hidup yang kita alami mungkin seumpama kita
berada di dalam perut ikan. Betul...hari ini kita tak terumbang-ambing
di dasar lautan, namun kadang-kadang kesulitan yang kita hadapi
membuatkan kita rasa tak tahu nak berpijak di mana, nak bergantung
pada apa. Inilah jalan keluar daripada semua kesempitan dan badai
yang melanda hidup. Inilah inspirasi daripada tasbih Nabi Yunus.
Terapi ini bermula dengan kalimah T yang pertama iaitu Tauhid:
Maksudnya, “Tiada Tuhan yang disembah
melainkan Engkau”.
Kalimah T- kedua iaitu Tasbih:
Maksudnya, “Maha Suci Engkau”.
Kalimah T- ketiga iaitu Tunduk:
Maksudnya, “Sesungguhnya aku di
kalangan yang menzalimi diriku sendiri”.
Inilah terapi 3T yang pada pandangan
ustazah boleh menjadi suatu ramuan yang sangat hebat dan indah, yang
dengan izin Allah boleh mengubah kepada takdir Allah yang lebih baik
dalam hidup kita. Nabi Yunus telah melaluinya dan berjaya dengan izin
Allah mengubah takdir asalnya untuk duduk sehingga hari akhirat di
dalam perut ikan kepada duduk selama 7 hari sahaja. Bagaimana terapi 3T boleh diaplikasikan
dalam kehidupan kita?
T pertama iaitu Tauhid:
Mengikhlaskan seluruh kehidupan –
segala perbuatan, amalan kepada Allah Ta'ala. Kebahagiaan seseorang
bergantung kepada tahap keikhlasannya. Semakin ikhlas seseorang itu,
maka semakin bahagialah dia dengan amalannya. Sebagai analogi –
jika suatu hari kita dijemput memasak untuk Tuanku Permaisuri, kita
pasti akan terasa begitu teruja dan berdebar-debar. Apabila Tuanku
Permaisuri merasa makanan kita dan memujinya, kita akan berasa begitu
bahagia tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bukanlah Allah bandingan
kepada seorang Permaisuri, tetapi cuma sebagai bayangan bagaimana
untuk mengikhlaskan hati dan bersungguh-sungguh melakukan sesuatu
amalan sebagai 'persembahan' kepada Allah Taala.
Semasa Nabi Ibrahim ingin dibakar oleh
kaumnya, malaikat datang bertanya kepadanya, “Adakah apa-apa yang
kamu ingin dibantu?” Nabi Ibrahim menjawab, “Adapun kepadamu
tidak ada, tetapi kepada Allah, ada”. Perhatikan cara Nabi Ibrahim
menjawab – dia bergantung sepenuhnya hanya kepada Allah, hatta
kepada malaikat pun dia tidak mahu meminta bantuan. Seseorang itu
hanya akan dapat merasa tahap tauhid yang sebenar apabila dia diuji
sehingga dia tidak nampak jalan pertolongan selain pasrah kepada
Allah. Kesannya, apabila seseorang benar-benar tauhid kepada Allah,
dengan sendirinya akan tertanggal daripada hatinya perasaan ujub,
riyak, keluh-kesah dan sebagainya kerana dia telah menyerahkan segala
kehidupannya hanya semata-mata kerana Allah.
T kedua iaitu Tasbih:
Ketika Allah meminta Nabi Musa
berdakwah kepada Firauan, apa yang diminta oleh Nabi Musa? Selain daripada dada yang lapang, lidah yang fasih, Nabi Musa memohon seperti yang dapat dilihat dalam surah Toha,
ayat 29-35:
Kenapa Nabi Musa memohon seorang
sahabat (Nabi Harun) untuk membantunya? Ini dinyatakan di dalam ayat 34 - “Supaya kami sentiasa menyebut dan memuji Kamu banyak-banyak Ya Allah”.
Ayat ini menunjukan betapa pentingnya
agar kita sentiasa tenggelam dalam puji-pujian kepada Allah Taala,
walaupun di saat kita susah, apatah lagi ketika kita senang. Dalam
menghadapi ujian, jangan sesekali kita lupa kepada Allah. Ujian yang
Allah beri tidaklah berat sebenarnya, tetapi dek kerana hati kita
dipenuhi sifat-sifat yang keji, kita mudah mengeluh, bersangka buruk
pada Allah dan tidak redha dengan ketentuan dan takdir-Nya. Daripada
pengalaman saya, ramai yang datang mengadu kepada saya dengan
mengatakan, “Kenapa suami/isteri saya begini?”, “Sampai bila
saya harus diuji?”, “Kenapa saya yang diuji antara beramai
umat?”. Tanda disedari ucapan-ucapan sebegini menzahirkan rasa
tidak senang dengan ujian dan ketentuan yang Allah berikan. Sedangkan
kita maklum Allah itu Maha Sempurna, Maha Baik – takkan mungkin
Allah menzalimi atau mensia-siakan hamba-Nya. Sebenarnya, jika kita
betul-betul memahami konsep tasbih yang sebenar-benarnya, kita tak
perlu kesah dengan apa yang orang lain dapat dan kita tidak dapat.
Kalau kita telah meletakkan seluruh pujian kepada Allah, hasilnya
tidak akan ada lagi dalam hati perasaan tidak redha dengan Allah,
buruk sangka dengan Allah, dengki sesama manusia, dan sebagainya.
T ketiga iaitu Tunduk:
Allah ingin melihat kita tunduk
kepada-Nya dan mengakui bahawa kita sendirilah yang telah menzalimi
diri sendiri, dan bukannya menyalahkan orang lain. Sebagai contoh –
mungkin ada di luar sama suami atau isteri yang tidak puas hati
dengan pasangan masing-masing. Tetapi sebelum menyalahkan pasangan
masing-masing, pernahkah diri kita tunduk kepada Allah dan mengakui
terlebih dahulu, “Ya Allah, sungguh aku telah berlaku zalim kepada
diriku”. Kenapa zalim? Kerana masa nak kahwin dulu, kita langsung
tidak bertanya pada Allah. Kita tak lakukan pun solat dan doa
istikharah. Kita tak tanya Allah - “Adakah bakal pasanganku ini
baik unutk imanku, agamaku akhiratku?” Kita kahwin biasanya sebab
dah sayang, dan suka dan dah dipuji-puji selalu. Sepatutnya kita
menyalahkan diri dan mengadu kepada Allah “Ya Allah, sungguh aku
telah menzalimi diriku Ya Allah. Aku berlagak pandai seolah-olah aku
tahu masa depanku Ya Allah, dan hari ini aku makan 'hasil' kerana aku
tidak tunduk kepadamu sebelum ini”. Siapa tahu dengan izin-Nya,
Allah mampu mengeluarkan kita dari segala macam kesulitan yang sedang
dihadapi.
Kita, termasuk diri ustazah sendiri,
semua harus muhasabah diri dan hati kita. Adakah dalam hati kita ada
nilai tauhid, tasbih dan tunduk mengakui kesilapan di hadapan Allah.
Kadang-kadang sebagai ibu, kita tak tahan dengan perangai anak yang
memeningkan kepala. Cuba muhasabah diri dahulu, “Ya Allah
sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri. Dulu ketika
mengandung, aku tidak menjadikan kalamullah sebagai amalanku. Aku
sekadar tergolek-golek melayan emosi dan hormonku ketika itu,
sedangkan orang lain boleh khatam Quran 2/3 kali sepanjang
mengandung. Maka, patutlah sekarang aku dapat 'hasil' yang begini.
Semuanya berpunca daripada diriku sendiri”.
Rumusan:
Ustazah berharap agar kita semua dapat
beri sedikit ruang masa dalam hidup untuk muhasabah nilai tauhid,
tasbih dan tunduk di dalam hati kita. Adakah segala usaha kita selama
ini adalah kerana Allah semata-mata? Bersamalah kita biasakan memohon pada
Allah, “Ya Allah, aku mohon agar segala amalanku ini kau angkat dan
kau terima sebagaimana engkau menerima amalan orang-orang yang soleh,
Ya Allah. Kalau amalan ini tidak baik, tidak suci, tidak ikhlas,
mohon disucikan Ya Allah”. Sekurang-kurangnnya melalui munajat ini,
Allah tahu yang kita sedang cuba betul-betul untuk mentauhidkan-Nya
dang mengikhlaskan amalan semata-mata kerana-Nya.
Perhatikan juga sejauh mana nilai
tasbih dalam hidup kita. Adakah kita memberi hak puji-pujian
semata-semata kepada Allah? Apa juga kebaikan yang kita lihat atau
peroleh, berikan puji-pujian itu kepada Allah, dan jangan sesekali
disandarkan pujian kepada manusia.
Mari kita tundukkan diri dengan
mengakui kesalahan diri. Kita payah menerima kesilapan diri kerana
sifat ego yang menebal. Lazimkan lafaz tasbih Nabi Yunus ini – pada
setiap kali lepas solat, di waktu pagi dan malam – dengan penuh
penghayatan dan tunduk kepada Allah. Barangkali ini boleh menjadi
jalan keluar kepada kesulitan yang kita sedang hadapi. Allah berkuasa
menjadikan apa saja dan seseorang itu diuji untuk diberikan
kemuliaan, sebagai khafarah kepada dosa dan untuk mengangkat
darjatnya di sisi Allah. Tetapi sebelum Allah memberi kemuliaan, kita
perlu tunduk dan mengakui dosa kesilapan diri. Sebagai analogi –
lihat dalam kes penjenayah dan polis. Jikalau penjenayah itu sudah
menyerah diri, akan menjadi kesalahan sekiranya polis itu
menembaknya. Orang yang menyerah diri akan mendapat layanan yang
istimewa. Begitulah juga keadaannya apabila kita mengaku salah dan
menyerah diri kepada Allah. Mudah-mudahan kita akan mendapat
kemuliaan daripada Allah.
Ada 4 perkata yang akan menyebabkan
kehinaan kepada seseorang manusia iaitu:
- Apabila seseorang menyerahkan hidup kepada syaitan secara keseluruhan atau sebahagian
- Ketika seseorang mengikut hawa nafsunya
- Ketika seseorang tidak berbuat ehsan kepada Allah dan juga manusia
- Ketika seseorang kehilangan kepercayaan dan keyakinan kepada Allah.
Ketika kita mentauhidkan Allah,
bertasbih kepada Allah, tunduk mengakui kesilapan di hadapan Allah,
semoga Allah memberi kemuliaan dan mengangkat kedudukan kita di
sisinya. Semoga kisah Nabi Yunus ini menjadi inspirasi kepada saya
dan semua yang mendengar agar tidak putus harap kepada Allah.
Ingatlah bahawa sentiasa ada jalan keluar untuk kita menjadi lebih
baik, dan lebih baik di sisi Allah. Wallahu'alam.