Kawal Marah (2) – Tanyalah Ustaz 07.03.2013


Ustaz Dr. Mohd Sukki Othman


Bacaan ayat 36-37, surah Al-Syura:

Orang berjaya ialah orang yang mampu memaafkan. Nabi SAW banyak dizalimi, tetapi Nabi SAW menunjukkan teladan dengan memaafkan mereka. Dalam kisah yang masyhur, ketika berdakwah di Taif, dibaling dan dilukai dengan batu. Nabi SAW luka teruk sehingga berdarah dan malaikat pun tidak tahan melihatnya sehingga gunung menawarkan untuk menghempap penduduk Taif dengan dirinya. Nabi larang dan berdoa pada Allah mengharapkan kalaupun kaum Taif tidak mahu beriman, Nabi SAW mengharapkan anak-cucu mereka akan beriman suatu hari nanti. Inilah teladan yang ditunjukkan Nabi SAW.

Senarai soalan dan jawapan
S: Apakah hukum marah? Adakah dosanya seperti dosa besar?
J: Ada dua jenis marah – yang tercela dan yang terpuji. Marah pada tempat yang betul, contohnya marah kepada perkara kemungkaran adalah perlu. Ada satu kisah, Nabi SAW berjalan dengan Umar dan sahabat lain, dan datang seorang Badawi yang membawa dhob (biawak pasir) dalam lengan bajunya. Badawi itu tidak mengenali Nabi SAW dan sekadar mendengar cerita yang Nabi SAW merupakan orang yang membawa ajaran baru dan memecah-belahkan orang ramai. Apabila diberitahu itu romnbongan Nabi SAW, dia pun pergi dan berkata yang Nabi SAW merupakan orang yang sangat dibencinya. Umar tidak puas hati dan meminta izin unutk memenggal kepalanya. Nabi SAW tidak mengizinkan dan bekata ada cara lain yang lebih hikmah untuk menanganinya. Nabi SAW kemudian bertanya, “Mengapa kamu membenciku sedangkan aku mengajak orang beriman kepada Allah”. Badawi itu menjawab kembali dengan mengatakan yang dia takkan beriman sebelum dhobnya beriman. Ditakdirkan Allah, dhob itu mampun bercakap dan mengakui kerasulan Nabi SAW. Badawi itu pun akhirnya masuk Islam juga. Kisah ini panjang tetapi pengajarannya ialah tidak cepat marah dan menghukum seperti yang Umar ingin lakukan. Marah yang tercela hukumnya haram jika mengakibatkan perbuatan lain seperti mengeluarkan perkataan yang keji, mencela orang, atau menyakiti orang lain.

S: Apakah yang perlu dibuat ketika marah?
J: Dalam banyak kitab, ada disebut cara mengatasi kemarahan. Antaranya: ubah posisi – jika berdiri, duduk, jika duduk, berbaring. Ada juga yang kata jika marah, diam. Nabi SAW pula mengajarkan kita mengambil wudhuk agar dapat menyejukkan hati kita kembali. Kemudian dirikan solat sunat mutlak. Mohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan dengan istiazah (A’uzubillahi minasshaitonirrajim).

S: Bagaimana mengelak marah bertapak dalam hati?
J: Marah ini umpama penyakit dalam hati. Oleh itu hati perlu diperbaiki dengan ilmu dan amal. Dengan ilmu, seseorang itu perlu bertafakur mengenangkan sesuatu yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Kita juga perlu ambil teladan daripada kisah-kisah para Nabi dan sahabat. Contohnya, Sy. Ali pernah tidak membunuh seorang di medan perang walaupun telah berada di depannya kerana lelaki itu meludah kepadanya. Apabila ditanya mengapa, Sy. Ali menjawab pada asalnya, dia ingin membunuh lelaki itu kerana Allah, tetapi kemudian dia tidak mahu membunuh kerana marahkan lelaki itu yang telah meludahnya.

S: Apakah kesan marah dalam masyarakat?
J: Boleh memecah-belahkan masyarakat, dan memutuskan silaturrahim. Orang yang memutuskan silaturrahim tidak boleh masuk syurga.

S: Apakah tahap marah?
J: Ada tahap permulaan dan tahap yang tak boleh dikawal. Oleh itu perlu dikawal marah itu ketika ianya baru bermula. Ketika manusia marah, syaitan akan boleh mengawalnya dan menjadikan dia melakukan sesuatu di luar kebiasaan seperti membunuh dan seumpamanya. Oleh itu perlu banyak istiazah jika ada rasa marah.

S: Adakah marah berpunca daripada sifat sombong dan ego?
J: Ya. Contohnya, iblis yang enggan sujud pada Nabi Adam kerana dia merasakan dirinya lebih baik. Iblis lebih sanggup masuk neraka demi mempertahankan egonya.

S: Bagaimana menjauhi kemarahan Allah?
J: Allah murka pada hamba yang ingkar kepada-Nya. Oleh sebab itulah adanya syurga dan neraka. Allah murka jika manusia melanggar suruhan-Nya. Marah Allah tentulah berbeza sifatnya dengan marah manusia. Orang yang bertaqwa ialah orang yang takut kepada Allah. Antara sifat orang bertaqwa ialah:
  • merasa dirinya dikawal Allah – menunaikan suruhan, dan meninggalkan larangan Allah.
  • mengharap keampunan Allah
  • takut akan kemurkaan Allah

Oleh itu, orang bertaqwa akan sentiasa menjaga perlakuannya agar tidak mengundang murka Allah.

S: Adakah doa untuk mengatasi sifat marah?
J: Sebagai umat Islam, kita mesti sentiasa berdoa. Orang yang tak berdoa ialah orang yang sombong dan tidak berhajat pada Allah. Dalam Islam, doa itu dikatakan sebagai ‘otak’ ibadat. Kita perlu buat 3 benda – berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Dalam satu hadis, datang seorang lelaki menemui Nabi SAW dan meminta nasihat. Lalu, Nabi SAW berpesan, “La tardhob, La tardhob, La tardhob (jangan marah)”. Banyakkan beristiazah dan doa yang bermaksud, “Ya Allah ampunkan dosaku, jauhkan segala kemarahan yang berada di dalam hatiku, dan lindungi aku daripada tipu-daya syaitan”. Kemudian, bertawakallah pada Allah.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab