Solat Kosong (3) – Tanyalah Ustaz 17.03.2013

Ustaz Rohidzir Rais


Bacaan ayat 1-11, surah Al-Mukminin:

Dalam ayat ini, Allah menyatakan bahawa orang beriman yang berjaya ialah:
  • Mereka yang kusyuk dalam solat
  • Mereka yang membayar zakat
  • Mereka yang menjaga kehormatannya
  • Mereka yang menjaga amanah dan janji
  • Mereka yan menjaga solat betul-betul
Apakah ganjaran orang berjaya? Allah menyatakan bahawa mereka akan menjadi pewaris syurga Firdaus dan mereka akan kekal di dalamnya. Daripada 5 golongan ini, ada 2 golongan yang berkaitan dengan ibadah solat - yang kusyuk dan yang menjaga solat betul-betul. Oleh sebab itu, akan dibincangkan di sini bagaimana untuk mendapatkan solat yang sempurna dan diterima Allah.

Antara sebab solat menjadi kosong ialah:
1. Solat tanpa ilmu
Bagaimana mengatasinya? Nabi SAW bersabda yang bermaksud bahawa sekiranya Allah menginginkan kebaikan kepada seseorang, maka akan diberi kefahaman (faqqih) kepadanya dalam bidang agama. Banyak bezanya antara orang berilmu dan tidak. Oleh sebab itu, mahu tidak mahu, MESTI belajar. Tiada cara lain. Tidak memadai, jika panggil ustaz ceramah tentang mengajar solat, sedangkan kita duduk di belakang menganga-ngaga, tanpa nota, tanpa amali. Cadangan saya ialah, panggil seorang guru datang ke rumah dan ajar betul-betul cara solat dengan betul. Baca Fatihah di hadapan ustaz tersebut. Lakukan rukuk, sujud di hadapan ustaz dan minta ustaz betulkan jika masih tidak betul. Di pihak sekolah pula, anjurkan kursus-kursus solat kepada anak-anak murid dan usahakan untuk solat bersama-sama mereka, sekurang-kurangnya solat Zohor di sekolah. Solat tidak perlukan surau, asalkan ada ruang yang lapang, boleh diusahakan.

2. Ada sumber makanan/pakaian/tempat tinggal yang tidak halal
Setelah mencari ilmu dan mengamalkannya, persoalan berkaitan makanan dan pakaian yang digunakan juga perlu dititik-beratkan. Solat yang dibuat dengan sempurna, tetapi dilakukan menggunakan pakaian/makanan/tempat yang dibeli dengan sumber yang haram, tetap tidak akan diterima. Cara mengatasinya? Perlu dibersihkan harta itu dengan memulangkan apa yang telah diambil secara tidak sah. Jika tidak dapat dipastikan kerana terlalu banyak, maka banyakkan bersedekah kepada anak yatim.

3 Solat tidak kerana Allah semata-mata
Jangan solat untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia. Dalam satu hadis Qudsi, Allah berfirman tentang sifat solat yang diterima-Nya iaitu:
“Sesungguhnya Aku hanya akan menerima solat orang yang dengan solat itu, dia merendahkan diri dihadapan-Ku, dia tidak solat dengan makhlukku yang lain, dia tidak mengulangi maksiat kepada-Ku, dia menyayangi orang miskin dan orang menderita. Aku akan tutup solat orang itu dengan kebesaran-Ku. Aku akan menyuruh malaikat menjaganya dan kalau dia berdoa kepada-Ku, Aku akan memperkenankannya. Perumpamaan dia dengan makhlukku yang lain seperti perumpamaan Firdaus di syurga”.
Daripada hadis Qudsi, Allah memberi kita tips untuk solat sempurna, iaitu:

1. Solatlah dalam keadaan merendahkan diri
Diriwayatkan bahawa Sy. Ali bin Abi Talib akan terketar-ketar tubuhnya dan pucat lesi sebelum ingin menunaikan solat. Orang pun bertanya mengapa berlaku sedemikian rupa. Jawabnya, “Engkau tidak tahu yang sebentar lagi aku akan menghadapi waktu amanah. Kemudian, dia membaca ayat Al-Quran yang ringkasannya bermaksud - Sesungguhnya solat itu merupakan amanah yang sangat besar yang gunung-ganang pun tidak sanggup menerima untuk menunaikannya. Oleh sebab itulah, Ali takut dan terketar-ketar untuk menunaikan amanah solat. Jika Sy. Ali yang dekat dengan Nabi SAW ketakutan sebegitu rupa, kita yang lebih jauh daripada Nabi SAW ini perlu lebih takut lagi dan solat dalam keadaan lebih merendah diri dan berharap solat akan diterima Allah. Jangan solat dalam keadaan ujub atau riak.

2. Ketika solat, tidak boleh sombong kepada makhluk lain.
Jangan kerana kita menunaikan solat, kita rasa kita sudah baik dan orang lain semuanya jahat.

3. Jangan mengulangi maksiat
Bagaimana mungkin seseorang yang solat sempurna, tetapi masih bercakap kasar di rumah, masih menipu orang lain dalam perniagaan, masih mengambil rasuah, dan seumpamanya. Solat sepatutnya menjauhkan kita daripada kemungkaran. Kita risau solat yang tidak sempurna boleh menjauhkan diri seseorang itu daripada Allah. Di hari kiamat nanti, orang solat tidak sempurna Allah akan membawa solatnya kepada Allah. Solat itu akan dilipat-lipat seperti melipat kain yang kotor dan usang dan akan dicampakkan ke mukanya. Solat ini bukanlah amalan rutin yang kita buat kerana orang lain buat, tetapi solat ini mengandungi nilai iman kita kepada Allah. Solat juga mempunyai nilai sosial kita dengan manusia lain. Jika solat sempurna dalam keluarga, in sha Allah keluarga akan menjadi harmoni. Begitu juga pada peringkat negara, jika pemimpinnya solat sempurna, maka tidak akan ada masalah besar dalam negara. Kuncinya ialah solat.

4. Menyayangi orang miskin
Apa kaitan orang miskin dengan solat kita? Orang miskin mungkin tidak boleh menjejaskan solat kita, tetapi orang miskin membantu kita mendapat solat sempurna. Banyakkan bersedekah dan berbuat baik kepada orang miskin untuk mendapat solat yang sempurna.

Kesimpulan
Bagaimana untuk mendapatkan solat yang sempurna? Jawapannya ialah disamping menjaga solat fardhu, perbanyakkan solat sunat. Ini kerana dalam hadis Nabi SAW menceritakan, “Perkara pertama yang akan dihitung pada seorang hamba ialah solatnya. Sekiranya didirikan solat itu dengan sempurna, maka ditulis solat itu didirikan dengan sempurna. Sekiranya tidak sempurna, Allah menyuruh untuk diperhatikan sekiranya hamba itu ada melakukan solat-solat sunat. Kemudian barulah akan dihitung zakat dan amalan yang lain”.

Hadis ini menunjukkan bahawa solat sunat memainkan peranan penting untuk menyempurnakan solat fardhu kita yang tak sempurna. Jadi, kita perlu ubah mentaliti masyarakat yang tidak mementingkan solat sunat. Solat sunat ini seumpama tayat 'spare' kita. Ini sepatutnya menjadi berita gembira bahawa ada jaminan untuk kita menyempurnakan solat dengan membanyakkan solat sunat.

Solat tidak boleh dibuat dengan ikut-ikutan sahaja. Solat merupakan perantaraan perhubungan kita dengan Allah dan dengan manusia juga. Solat ialah anak kunci untuk keseimbangan kehidupan individu dan masyakarat. Kita perlu jadikan solat ini sebagai kunci utama dalam keluarga dan negara. Saya yakin jika kunci ini dijaga, in sha Allah keluarga dan negara akan harmoni. Saya menyeru agar kita semua segera memperbaiki solat kita. Jika ada masalah dengan orang lain, segera minta maaf kerana ianya mungkin menyebabkan solat kita tak sempurna. Bagi yang kurang ilmu, dapatkan buku dan jumpa ustaz untuk belajar semula.
Fikirkan bersama adakah solat yang kita lakukan ini sampai kepada Allah? Adakah solat yang dilakukan betul-betul boleh mendekatkan diri kita kepada Allah atau sebaliknya menjauhkan jarak kita dengan Allah. Nilaikan semula adakah solat kita menjauhkan kita daripada perkara mungkar?

Program kita ini tidak berniat mencari siapa salah, siapa betul, siapa hebat, siapa pandai. Kita semua sama-sama muhasabah diri. Kita harapkan program ini akan dapat memberi teguran dan menyebabkan masyarakan melakukan anjakan paradigma ibadah kita, agar ibadah kita menjadi lbih baik.

Solat bukan dipelajari ketika di sekolah saja kerana ramai yang beranggapan solatnya sudah sempurna dan belajar solat ini hanya untuk anak-anak kecil. Ini salah, kerana tanpa ilmu yang betul, kita tak pasti sama ada solat yang dilakukan selama ini sempurna atau tidak. Kita tidak mahu, nanti di akhirat, ketika buku catatan amalan kita diserahkan, didapati rupa-rupanya solat kita selama ini kosong sahaja. Inilah tujuan rancangan hari ini – untuk memberi teguran dan ingatan untuk saya sendiri, kru dan semua sekali


Senarai soalan dan jawapan

S: Apa orang solat kerana ingin orang lihat dia datang masjid/surau. Untuk solat Jumaat pula, ada yang membuat jaduak supaya datangs sekali setiap 3 minggu untuk elak pintu hatinya ditutup. Mohon pandangan ustaz?
J: Ini ialah orang yang solat unutk menunjuk-nunjuk kepada manusia. Jika solat kepada manusia, minta pahala pada manusia. Tiada fatwa yang membenarkan umat Islam untuk membuat jadual dan pergi solat Jumaat minimum sekali bagi setiap 3 minggu. Kita perlu solat bukan semata-mata untuk mendapatkan pahala atau takutkan neraka, tetapi kerana kita adalah hamba Allah. Oleh itu, untuk mendapatkan solat sempurna, kita perlu solat dalam keadaan merendah diri, tanpa perasaan riak atau sombong, dan penuh pengharapan penerimaan daripada Allah Ta'ala.Jangan solat lebih banyak di hadapan orang berbanding ketika kita sendirian. Oleh sebab itu, ahli feqah menyatakan jika solat dimasjid, ringkaskan dan tak perlu baca panjang.

S: Mohon berikan tip untuk mengelak solat kosong dan mohon diberi kesimpulan?
J: In sha Allah akan diberikan.

S: Ketika muda, seseorang itu lalai dan meninggalkan solat. Setelah tua, mendapat kesedaran, bertaubat dan suka menunaikan solat sunat disamping melakukan solat qadha. Bolehkah dilakukan begitu?
J: Solat yang ditinggalkan wajib diganti semula, tetapi buatlah setakat yang termampu. Ada sebahagian ulama yang mengatakan solat yang ditinggalkan wajib diqadha, tanpa ada alasan. Cuma, sebagai keringanan saya mengatakan gantilah semampu yang mungkin, kerana saya bimbang jika seseorang yang baru insaf dan ingin berjinak untuk kembali kepada Islam dibebani dengan solat qadha yang terlalu banyak, akan putus asa dan langsung tidak menunaikan solat. Oleh itu, pada saya, kita qadha apa yang termampu dan selebihnya serah kepada Allah. Tentang persoalan bolehkan melakukan solat sunat jika masih ada solat yang perlu diqadha pula – boleh sekiranya solat sunat itu bersebab. Contohnya solat sunat tarawikh, solat sunat wudhuk, solat tahiyyatul masjid dsb. Solat sunat yang tidak digalakkan ialah solat sunat mutlak.

S: Bolehkah wudhuk tanpa pakaian, dan solat dengan pakaian dalam sahaja dan memakai telekung?
J: Boleh wudhuk tanpa pakaian, tapi makruh. Sebaik-baiknya, pakai tuala dahulu, baru berwudhuk. Solat dengan hanya pakai pakaian dalam sahaja tidak sah sekiranya masih boleh menampakkan kulit. Aurat perlu ditutup sempurna ketika mengerjakan solat dan juga diluar solat. Kadang-kadang, walaupun berjubah, jika jubah itu nipis atau menampakkan bentuk badan, ianya masih tidak memenuhi syarat menutup aurat. Tudung yang dipakai juga perlu menutupi bahagian dada.

S: Saya dan rakan bermusafir dan telah menunaikan solat Zohor. Setelah itu, bolehkah jika kami ingin menunaikan solat Jumaat pula? Adakah solat Jumaat saya itu sia-sia saja?
J: Orang yang bermusafir pada hari Jumaat tidak diwajibkan menunaikan solat Jumaat. Tetapi jika mampu dan berkesempatan, digalakkan untuk menunaikan solat Jumaat juga. Kedua-dua solat yang dilakukan diterima dan tidak sia-sia. Begitu juga kesnya jika kita sudah solat sendirian, kemudian datang orang untuk solat jemaah. Kita digalakkan ikut bersama walaupun telah solat kerana pahala solat jemaah itu lebih tinggi.

S: Jika sedang musafir dan ingin solat jamak dan qasar, bolehkah mengikut imam yang solat penuh? Mana yang lebih afdhal – solat jamak dan qasar sendirian atau mengikut jemaah yang solat biasa?
J: Solat jamak ialah mengumpulkan 2 solat dalam satu waktu. Solat qasar pula bermaksud memendekkan solat 4 rakaat kepada 2 rakaat. Jika contohnya imam solat Zohor biasa, musafir boleh ikut solat Zohor bersama tetapi diniatkan dijamakkan bersama solat Asar. Setelah imam selesai solat Zohor, musafir boleh menyambung menunaikan solat Asar sendirian. Apa yang tidak boleh ialah memendekkan solat dengan imam yang solat penuh 4 rakaat. Jika imam juga solat qasar, maka tiada masalah untuk musafir juga ikut qasar. Jika imam solat qasar, tetapi makmum ingin solat penuh 4 rakaat dibolehkan. Mana lebih baik antara solat sendirian atau berjemaah – berjemaah lebih baik. Antara jamak dan qasar, pandangan ulama mengatakan lebih baik qasar dan solat ikut waktu jika mampu (tidak jamak).

S: Seorang wanita mengalami masalah keluar angin melalui farajnya, dan selalu memperbaharui wudhuknya. Bolehkah dia menjadi imam kepada anak-anak perempuannya atau wanita lain.
J: Masalah keluar angin ini sama seperti masalah kencing tak lawas dan darah istihadah (darah penyakit). Ketika solat, kadang-kadang darah/kencing boleh keluar sedikit dan sepatutnya ianya membatalkan solat. Tetapi, mereka ini diberi kelonggaran dengan cara mereka perlu membersihkan dahulu bahagian kemaluan, gunakan tuala wanita jika perlu (dalam kes kencing dan darah istihadah), kemudian ambil wudhuk dan segera solat. Untuk solat fardhu berikutnya, bersihakn kemaluan semula dan gantikan dengan tuala wanita yang baru, dan berwudhuk semula. Ini dipanggil wudhuk alternatif. Orang begini tidak boleh menjadi imam kepada orang yang boleh berwudhuk sempurna dan hanya boleh jadi imam kepada mereka yang sama berwudhuk alternatif seperti dirinya sahaja.

S: Saya selalu terasa ingin buang angin ketika solat dan jika saya tahan, adakah sah solat saya?
J: Sah. Apa yang dimaksudkan dengan makruh ialah apabila menahan kentut/ingin buang air kecil/besar sebelum memulakan solat. Jika tengan solat, dan mampu tahan, maka boleh teruskan.

S: Apa hukumnya menggunakan mikrofon untuk solat jemaah yang cuma seorang-dua, sehingga mengganggu orang yang duduk di sekitar masjid?
J: Islam tidak menghalang sekiranya perbuatan itu boleh mengajak orang di luar untuk datang dan berjemaah ke masjid. Jika di kedai, orang pasang lagu dangdut, kita tidak pula marah. Tapi bila dipasang suara Imam baca Quran, kita rasa nak marah pula. Hari ini ada banyak berlaku di mana orang duduk di sebelah masjid, tapi masih tidak mahu pergi ke masjid. Pada saya, kuatkan lagi bunyinya dan teruskan lagi dakwah sebegini rupa.

S: Bagaimana dengan wanita yang suka solat sunat seperti solat dhuha sedangkan mereka ada solat yang tertinggal contohnya ketika haid dan bersalin. Adakah solat ini perlu diqadhakan?
J: Lebih baik diqadha solat yang tidak sempat ditinggalkan kerana melengahkan solat sehingga haid datang sebelum melakukan solat sunat. Kes ini berbeza dengan kes orang yang tidak solat terlalu lama dan terlalu banyak untuk diqadha. Oleh sebab itu, wanita perlu mensegerakan solat terutamanya 1-2 hari sebelum waktu tiba waktu haidhnya.

S: Adakah solat fardhu yang dilakukan dengan duduk di dalam keretapi, dan arah kiblat tak dapat dipastikan perlu diulang semula?
J: Perlu dicari arah kiblat, dan menghadap kiblat ketika takbiratul ihram. Setelah takbir, tidak kisah lagi menghadap kearah mana-mana pun. Menariknya pula, solat sunat boleh dibuat di atas kenderaan sepertimana yang Nabi SAW pernah lakukan.

Rujukan siri sebelum ini:
Solat Kosong (2)
Solat Kosong (1)

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab