Tafsir Ayat 20-22, surah Ali-Imran, MTDM 08.03.2013

Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
MTDM 08.03.2013


Ulangkaji daripada ayat 19:


Ayat sebelum ini (19) yang menyebut bahawa hanya Islam agama yang diredhai di sisi Allah. Perselisihan yang berlaku antara orang berilmu menyebabkan seseorang menyekat berkembangnya ajaran ilmu orang lain. Dia cuma menerima pendapat dirinya sahaja dan menyalahkan pendapat orang lain. Sepatutnya, perbezaan dalam kefahaman ilmu boleh dilihat sebagai satu bentuk keluasan dalam memahami AL-Quran, dan hadis. Sesungguhnya, orang itu telah menyempitkan sifat keluasan yang ada pada sesuatu ilmu.

Imam Malik menolak ketika diminta oleh Khalifah Harun Ar-Rashid agar kitab hadisnya iaitu Kitab Al-Muwattak dijadikan sebagai kitab yang wajib diikut oleh seluruh umat Islam. Imam Malik luas pandangannya dan beliau tidak mahu menyempitkan ilmu hadis dengan apa yang terkandung dalam kitabnya sahaja. Katanya, “Sahabat Nabi SAW itu ada di mana-mana, dan ada yang aku tidak berjumpa dengan mereka untuk mengambil sanad hadis Nabi SAW. Sekiranya kitab ini diwajibkan menjadi pegangan semua umat Islam, tetapi ada sahabat Nabi SAW menyebut hadis yang tidak terdapat dalam kitab ini, tetapi hadisnya memang benar. Maka kebenaran hadis Nabi SAW daripada sahabat itu akan ‘didustakan’ oleh kerana ianya tidak terdapat dalam kitab ini”.

Ilmu itu luas sifatnya. Ilmu tidak boleh dihadkan seperti yang difahami oleh individu atau satu kelompok sahaja. Khilaf (perbezaan) pendapat perlu dihormati dan diraikan, dan tidak memenangkan kepada satu pihak sahaja. Pada zaman dahulu, antara anak murid dan guru juga boleh berbeza pendapat. Imam Abu Hanifah belajar dengan Imam Jaafar As-Saddiq selama 2 tahun, tetapi dia banyak berbeza pendapat dengan gurunya. Tetapi Imam Abu Hanifah tidak pernah mengatakan yang cuma pendapatnya yang benar. Imam Syafie pernah berguru dengan Imam Malik dan mereka berbeza pandangan dalam banyak hal. Imam Hambali juga sangat banyak memuji Imam Syafie walaupun mereka banyak berbeza pendapat. Perbezaan pendapat antara mereka tidak sekali-kali menyebabkan mereka hilang hormat antara satu sama lain atau menuduh ajaran orang lain yang bertentangan dengan fahaman mereka sebagai sesat.

Sebaliknya hari ini, ramai orang yang baru sahaja memahami sedikit tentang pandangan Imam Syafie berkenaan masalah yang tidak difahaminya betul-betul, sehingga berani mengeluarkan kenyataan yang tidak beradab tentang Imam Syafie. Contohnya dalam hal batal wudhuk ketika melakukan tawaf. Pandangannya yang sempit menyebabkan dia nampak pemahaman Imam Syafie pun sempit. Sepatutnya dia perlu memahami dasar-dasar yang dipandang oleh Imam Syafie dan darjat taqwa Imam Syafie terlebih dahulu.

Dalam kisah yang masyur sekali, Imam Syafie pernah ke Baghdad, ke Masjid Imam Abu Hanifah dan diminta menjadi imam solat Subuh di situ. Diriwayatkan bahawa ketika Imam Abu Hanifah meninggal dunia, lahir seorang imam yang baru iaitu Imam Syafie. Hubungan Imam Syafie mesra dengan anak murid Imam Abu Hanifah, walaupun mereka berbeza pandangan. Ketika menjadi imam, Imam Syafie tidak menjaharkan bacaan Basmallah ketika membaca Fatihah dan beliau juga tidak membaca doa Qunut. Selesai solat, dia ditanya, “Adakah kamu telah keluar mazhab kamu sendiri?” Jawabnya, “Tidak. Dalam pegangan saya membaca Basmallah masih termasuk rukun dalam solat dan perlu dijaharkan dan doa Qunut merupakan sunat muakkad”. Orang bertanya lagi, “Jadi, mengapa tadi tidak didengari Basmallah dan ditinggalkan Qunut?”. Kata Imam Syafie, “Aku menghormati tuan punya maqam di masjid ini”. Imam Syafie merujuk kepada Imam Abu Hanifah yang dikebumikan di masjid tersebut. Imam Syafie tetap menghormati pandangan Imam Abu Hanifah, walaupun Imam Hanifah sudah pun meninggal. Inilah contoh akhlak yang ditunjukkan oleh Imam Syafie.

Oleh itu, adalah sangat tidak patut apabila ada generasi hari ini yang tidak beradab dalam menyebut perkara berkaitan Imam Syafie. Tidak salah jika seseorang itu tidak setuju dengan pendapat, atau pandangan Imam Syafie, tetapi jangan diperli atau direndah-rendahkan martabatnya orangnya sekali. Itu perbuatan melampaui batas. Imam Syafie berakhlak mulia bukan semata-mata kepada orang yang hidup bahkan kepada orang yang telah meninggal juga.

Orang yang menerima pendapat dirinya sahaja sama seperti Firaun. Ketika memburu Nabi Musa dan bani Israel, sepupu Firaun yang beriman berkata kepadanya, “Adakah kamu akan membunuh seorang hanya kerana dia berkata tiada Tuhan selain Allah, sedangkan dia mendatangkan bukti-bukti terhadap apa yang disampaikan itu? Kalau dia berdusta, biarkan dia berdusta. Tetapi kalau dia benar, aku khuatir akan turun azab kepada kita”. Jawab Firaun, “Tiada pengetahuan selain apa yang aku tahu. Kamu salah. Aku ini tak tunjuk kepada kamu kecuali jalan yang lurus”. Firaun menyangka jalannya itu yang betul dan menolak jalan orang lain. Tidak, Allah tidak hadkan pemahaman sesuatu berdasarkan apa yang difahami oleh seorang individu sahaja. Oleh sebab itulah, setiap orang diberikan akal agar masing-masing dapat berfikir dan memahami.

Perselisihan yang berlaku antara ahli kitab, antara ahli agama bukanlah berdasarkan ikhtilaf dan ijtihad, tetapi lebih kepada sikap untuk memenangkan pendapat dirinya dan menyalahkan pendapat orang lain. Inilah sumber malapetaka dan kehancuran umat Islam. Silapnya bukan pada perbezaanya tetapi pada tujuan dalam perbezaan itu.

Perselisihan antara orang agama bukanlah kerana salah agama, tetapi kerana seseorang itu ingin mengikut hawa nafsunya sendiri. Ketika zaman Rasulullah SAW, ada beberapa kisah di mana sahabat berbeza pendapat dalam memahami arahan Nabi. Mereka masing-masing melakukan mengikut pemahaman mereka dan Nabi SAW membenarkan kedua-duanya. Antara mereka tiada yang menyalahkan pemahaman pihak lain.

Inilah yang Allah maksudkan bahawa perselisihan yang berlaku antara mereka adalah mengikut hawa nafsu semata-mata (daripada hujung ayat 19 surah Ali-Imran).

Perbahasan ayat 20:


Kalau mereka (kaum Yahudi, Nasrani atau munafiqin) itu berhujah/berdebat kepadamu (wahai Muhammad) untuk memenangkan hawa-nafsu mereka, katakan bahawa “Aku berserah kepada Allah”. Tugas Nabi SAW hanyalah untuk menyampaikan dan menunjukkan bukti yang jelas.


Bukan hanya Nabi SAW yang perlu berserah kepada Allah, tetapi orang-orang yang mengikut Nabi SAW juga perlu tetapkan keimanan dan tidak terpengaruh dengan hujjah yang dibawa oleh orang kafir. Jangan menjadi pak turut sahaja yang tiada prinsip sendiri.


"Dan katakanlah kepada orang yang diberi Kitab dan orang yang Ummi (tidak tahu membaca dan menulis)..". 
Nabi SAW diutusan kepada kaum Arab yang juga dikenali sebagai kaum Ummi kerana mereka tidak tahu membaca dan menulis dan dianggap tidak bertamadun. Ketika itu kaum Persian dan Rom dianggap sebagai bangsa yang maju.


Sudahkah kamu mematuhi dan menurut Islam yang aku bawa itu?
Nabi SAW disuruh bertanya sebagai satu pengesahan yang Nabi sudah menyampaikan kepada mereka dan menjalankan tugas yang diberikan Allah.


Ayat ini menjadi sebagai penghibur kepada Nabi SAW yang dia tidak bertanggungjawab sekiranya apa yang disampaikan oleh Baginda tidak diterima oleh manusia. Semua Rasul diberi amanah untuk menyampaikan amanah dakwah kepada manusia dan mereka akan dipersoalkan semula dengan amanah ini di akhirat nanti.


Perbahasan ayat 21:

Mengapa dikatakan – Orang yang kufur kepada ayat Allah, dan tidak kepada Allah?
Maksudnya sama sahaja – apabila seseorang itu kufur kepada ayat Allah, maka secara tidak langsung dia kufur juga kepada Allah. Allah tidak dapat dilihat dengan mata, jadi jika seseorang tidak percaya kepada tanda-tanda adanya Allah, maka dia juga telah kufur kepada Allah.

Ratusan para Nabi dibunuh oleh bani Israel. Mengapa? Adakah Nabi berkeras atau memaksa mereka mengikut ajaran yang dibawa mereka? Adakah Nabi memerangi mereka? Tidak, Nabi-nabi cuma memberi nasihat agar berbuat kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, dan suruh beriman kepada Allah. Jadi mengapa Nabi dibunuh? Kerana bani Israel mengikut hawa nafsu mereka dan tidak senang melihat orang tidak baik berubah menjadi baik.

Dalam Al-Quran juga, Allah SWT menyatakan bahawa orang zalim memang tidak senang melihat orang berubah menjadi baik. Bila tengok orang berubah menjadi baik, pasti mereka ingin perli dan mengata, sehinggakan orang merasa takut untuk berubah kepada kebaikan. Oleh sebab itu, ada juga orang yang menyembunyikan perubahan baiknya kerana dikhuatiri diejek oleh kawan-kawannya.

Allah beri berita 'gembira' dengan azab yang pedih. Tak kiralah apa jua media yang digunakan untuk menghalang dakwah kepada Allah, semuanya akan mempunyai saham tidak baik disisi Allah.

Perbahasan ayat 22:

Semua amal perbuatan baik mereka digugurkan di dunia lagi dan juga di akhirat nanti. Contohnya, orang yang mencipta lampu, mikrofon, pembesar suara tetapi tidak Islam, mereka tidak akan mendapat apa-apa di sisi Allah walaupun manfaat dari apa yang mereka lakukan itu sangat banyak.

Setiap apa yang dilakukan mestilah ditetapkan maltlamatnya kerana Allah. Dalam sahih Bukhari, ada diceritakan tentang 3 golongan iaitu:
  • Orang yang syahid bukan kerana Allah, tetapi untuk mendapat pujian orang ramai. Orang ramai pun memujinya jadi Allah pun mengatakan yang dia telah dapat apa yang dia inginkan dan dia dihantar ke neraka.
  • Orang yang bersedekah kerana inginkan pujian orang ramai
  • Orang yang membaca Al-Quran agar orang memuji bacaannya.
Amal yang tidak ikhlas kerana Allah tiada nilai langsung di sisi Allah, walau sebesar mana sekalipun ianya. Oleh itu, lebih baik beramal sedikit tapi betul-betul ikhlas, kerana hanya itulah ibadah yang Allah terima. Semoga Allah berikan kita keikhlasan dalam semua amalan yang kita lakukan. Amin.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab