Kenali "Habrul Ummah" - Abdullah Ibnu Abbas

Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Kuliah Dhuha Masjid Darul Ehsan, Tmn TAR, Ampang 26.02.2013


Abdullah bin Abbas, ialah sepupu Nabi Muhammad SAW, atau anak kepada bapa saudaranya iaitu Abbas. Umur Abbas dan Nabi Muhammad SAW tidak jauh bezanya, walaupun pangkatnya ialah bapa saudara kepada Nabi SAW. Ayah Nabi SAW, iaitu Abdullah merupakan abang kepada Abbas.

Abbas mempunyai beberapa orang anak tetapi yang masyur dari segi keilmuan ialah Abdullah ibnu Abbas. Abdullah digelar “Habrul Ummah” yang membawa maksud seorang yang sangat luas ilmunya. Umurnya ketika Nabi SAW meninggal baru 13 tahun. Beliau banyak menemani Nabi SAW dalam banyak hal. 

Hubungannya menjadi lebih rapat dengan Nabi SAW apabila ibu saudara Abdullah bin Abbas, yang namanya Maimunah diperisterikan Nabi SAW. Maka Abdullah bin Abbas mendapat peluang belajar dengan Nabi bukan sahaja ketika di luar rumah, bahkan di dalam rumah juga. Bila giliran Nabi SAW tidur di rumah Maimunah, Abdullah akan ikut sama dengan tujuan melihat apa yang dilakukan Nabi SAW ketika di rumah. Namun, pastilah dalam keadaan penuh adab sehingga tidak menganggu kepada rumahtangga Nabi SAW dan ibu saudaranya.

Oleh kerana kesungguhan Abdullah mencari ilmu, Nabi SAW sering mengambil peluang untuk mengajar setiap kali bersamanya, hatta ketika berada di atas tunggangan unta atau keldai sekalipun. Nabi SAW akan menyuruh Abdullah naik di belakangnya. Oleh itu ada beberapa hadis riwayat Abdullah yang berbunyi, “Saya berada di belakang haiwan tunggangan Nabi SAW, lalu Nabi SAW bersabda, “Ya Ghulam (yang bermaksud - Wahai anak kecil)”. Panggilan ‘Ghulam’ ini merupakan satu ‘trick’ Nabi SAW untuk menarik hati Abdullah untuk mendengar apa yang ingin disampaikan. 

Kemudian Nabi SAW akan menyambung, “Saya ingin mengajarkan kamu beberapa kalimat. Yang pertama - Jagalah Allah, Allah akan jaga kamu”. Ketika itu, Abdullah masih belum baligh lagi tetapi Nabi SAW sudah mengajarnya agar menjaga hak-hak Allah. Apabila kita meminta Allah menjaga kita, maksudnya kita meminta Allah menjaga kita daripada segala macam bahaya, memohon nikmat dan bermacam-macam lagi. Kita menjaga Allah pula bermaksud kita menjaga segala hak-hak Allah agar sebagai Tuhan.

Sambungan hadis itu, “Jagalah Allah, kamu akan dapati Allah berada di hadapan kamu”.
Perkataan ‘berada di hadapan kamu’ maksudnya, jika kita dalam kesusahan, orang pertama yang akan membela, atau menghiburkan atau meringankan beban yang dihadapi kita ialah orang yang paling sayangkan kita, orang yang paling ingin memberi yang terbaik kepada kita. Contohnya jika anak dalam kesusahan, maka ibu bapa merupakan orang pertama yang akan membantu mereka. Begitulah jika kita menjaga hak Allah, maka apabila menghadapi kesulitan, maka Allah yang paling dahulu akan membantu kita.

Sambungan hadis itu lagi, “Dan ketahuilah apa yang ditulis Allah Ta’ala takkan berubah walaupun ada orang ingin mendatangkan manfaat kepada kamu. Orang itu takkan dapat mendatangkan manfaat kecuali apa yang Allah tentukan. Jika semua orang berpakat untuk mendatangkan mudharat kepada kamu, takkan dapat mendatangkan mudharat kecuali apa yang ditulis Allah SWT”.

Isi nasihat Nabi SAW ialah untuk mengajar Abdullah agar mempunyai sifat muroqabah iaitu sifat menjaga hak Allah. Nabi SAW mengajarkan in ketika Abbas masih kecil, belum baligh dan baru berumur 11 tahun. Apa maknanya? Kita juga mesti mengajar anak-anak kita agar kenal kepada Allah ketika mereka masih kecil lagi, sebelum dikenalkan dengan benda-benda lain. Apa yang masuk ke dalam minda anak kita, maka itulah yang akan lekat. Oleh itu, jika kita selalu ulang sebut tentang Allah kepada anak-anak kita, maka itulah yang akan melekat pada hati mereka. Tambahan pula dalam zaman moden hari ini, anak-anak suka bertanya. Jadi, sebagai ibu bapa, kita kena bersedia dengan jawapan yang sesuai dengan jiwa anak-anak yang masih kecil. Jangan pula disamakan penjelasan kepada persolan mereka seperti penjelasan kepada orang dewasa.

Suatu ketika, Abdullah mendengar yang Nabi SAW berada di rumah Maimunah, lalu dia pun pergi bermalam di rumah Maimunah. Dia meletak satu bekas wudhuk di luar bilik Nabi SAW sebagai tanda khidmatnya untuk memudahkan Nabi SAW bangun dan bersedia untuk solat tahajjud. Bagi Nabi SAW, solat tahajjud, solat Dhuha adalah wajib, tapi tidak kepada kita. Ada benda lain yang Nabi SAW boleh buat kita tak boleh - contohnya Nabi boleh berkahwin lebih daripada 4, tetapi kita tidak boleh.

Apabila terlihat bekas itu, Nabi SAW pun bertanya siapa yang meletakannya. Setelah diberitahu bahawa Abdullah Ibnu Abbas yang meletakkannya, Nabi SAW pun mendoakannya: “Allahumma faqqihhu fiddin wa ‘allimhu ta’wil” yang bermaksud, “Ya Allah, dalamkanlah pengetahuannya dalam agama dan ajarkan dia ta’wil Qur’an”. Ilmu ta'wil ialah ilmu tafsir Al-Quran. Dengan keberkatan doa Nabi SAW dan kesungguhan yang ada pada dirinya itu, jadilah dia “Habrul Ummah” yang bermaksud orang yang luas ilmunya.

Umurnya ketika Nabi SAW wafat baru 13 tahun. Namun, dia terus mencari ilmu daripada sahabat-sahabat Nabi pula. Antara gurunya ialah Sayyidina Ali bin Abi Talib. Walaupun telah berguru dengan Nabi SAW, beliau masih mencari ilmu daripada sahabat-sahabat Nabi SAW. Rumahnya pernah menjadi seperti sekolah di mana ramai orang datang untuk belajar, dan ditetapkan waktu-waktu tertentu untuk belajar perkara tertentu seperti - ilmu Al-Quran, imu hadis, ilmu feqah dan lain-lain.

Dalam majlis Al-Syura peringkat pentadbiran negara, Abdullah ibnu Abbas, yang masih muda ketika itu, dijemput sama dan perkara ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan sahabat lain yang berumur. Namun, mereka takut untuk menyampaikan kepada Sayyidina Umar, tetapi akhirnya berita ini sampai juga kepada beliau. Lalu, Saiyyidin Umar pun membuat satu mesyuarat dan bertanya kepada ahli mesyuarat tentang pemahaman mereka tentang surah Al-Nasr:

Ayat ini turun ketika Nabi SAW mengerjakan haji bersama 100 ribu lebih orang, ketika Nabi berada di Mina. Ini adalah satu jumlah yang besar ketika itu.

Semua ahli mesyuarat mentafsir ayat itu dengan makna yang hampir sama iaitu sebagai satu tanda ucapan tahniah Allah atas kejayaan kaum Muslimin, dan semua orang Islam mesti bertasbih memuji Allah Ta’ala. Abdullah bin Abbas ditanya terakhir sekali dan jawapannya, “Ayat ini adalah ucapan takziah Allah kepada kaum Muslimin”. Pendapatnya itu berlawanan sama sekali dengan pendapat sahabat lain. Sambung Abdullah lagi, “Sepertimana kejayaan itu sudah dicapai oleh Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah dan sudah lengkap waktu yang disampaikan oleh Rasulullah, dan sudah ramai kaum Muslimin yang memeluk Islam, maknanya, sudah selesai tugas Nabi Muhammad SAW menyampaikan wahyu. Apabila tugas Nabi sudah selesai, maknanya akan tiba masa baginda kembali kepada Allah SWT”. Sy. Umar pun berkata, “Demi Allah, pemahaman aku tentang ayat ini persis pemahaman kamu”. Jadi, jelaslah kepada sahabat lain akan kelebihan yang dimiliki Ibnu Abbas.

Beliau berpindah dan meninggal di Taif kerana takut untuk tinggal di Mekah dan tidak dapat menunaikan hak-hak kesucian kota Mekah. Berbuat maksiat di kota Mekah atau Madinah tidak sama seperti berbuat maksiat di tempat lain. 2 kota ini dimuliakan dengan larangan-larangan tertentu seperti tak boleh berburu yang tidak dilarang ditempat lain. Kerana kekhuatirannya tidak dapat menjaga kesucian kota Mekah, beliau berpindah ke Taif. Oleh itu, kita kena tahu adab berada di kota Mekah dan Madinah. Kita kena tahu apa yang keistimewaan kota Mekah dan kota Madinah. Kota Mekah diistimewakan kerana doa Nabi Ibrahim, manakala Kota Madinah diistimewakan kerana doa Nabi Muhammad SAW. Oleh sebab itu, kita digalakkan mandi sebelum memasuki kota Mekah dan membaca doa ketika memasukinya.

Pada zaman jahiliyyah dulu, mereka tidak membunuh di dalam kota Mekah, dan melakukannya di luar tanah haram. Orang jahiliiyah pun tahu menjaga adab kepada kota Mekah. Kita hari ini perlu juga menghormati kesucian kota Mekah - contohnya di dalam bilik hotel, jangan dibuka saluran TV yang melanggar kesucian kota Madinah dan Mekah.

Moga-moga Allah jadikan kita orang yang tahu tempat-tempat yang dimuliakan Allah untuk kita dapat memuliakan tempat tersebut. Amin.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab