Solat Kosong (2) – Tanyalah Ustaz 16.03.2013


Ustaz Rohidzir Rais


Bacaan ayat 45, surah Al-Ankabut:

Dalam siri ini, kita ingin muhasabah adakah solat kita selama ini diterima Allah 100% atau sebaliknya. Jika contohnya, kita ini malas mencari ilmu, ada kemungkinan solat yang kita lakukan itu kosong atau tiada nilainya di sisi Allah.

Dalam satu hadis daripada Abdullah bin Umar, yang bermaksud, “Barangsiapa yang membeli baju dengan harga 10 dirham, dan daripada wang itu terdapat 1 dirham dari sumber haram, maka solatnya tidak akan diterima selama mana dia masih memakai pakaian tersebut”. Kenyataan ini menunjukkan bahawa walaupun perlakuan dan bacaan solat telah sempurna, ianya masih tidak diterima seandainya terdapat unsur haram di dalamnya.

Ibadah solat merupakan ibadah yang menghubungkan seseorang terus kepada Tuhan-Nya. Oleh sebab itu, adalah wajib untuk memastikan sumber pendapatan yang diperolehi adalah halal. Kita semua perlu muhasabah diri adakah kita sudah menjalankan tugas di pejabat dengan sejujurnya. Jangan terlibat dengan rasuah, atau kelalaian dalam menjalankan tugasan.

Apabila ada masalah, cepat-cepat solat dan mengadu pada Allah. Usah mengadu pada FB – orang tengok pun menyampah. Lebih baik ‘face-to-face’ dengan Allah melalui solat.

Ayat yang dibacakan tadi mengatakan yang solat sepatutnya menjaga kita daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Namun, persoalannya, mengapa orang yang solat masih juga buat perbuatan yang mungkar? Antara sebabnya ialah kemungkinan harta yang digunakan tidak halal.
Dalam satu hadis, Nabi SAW menerangan bahawa orang yang muflis diakhirat ialah orang yang datang dengan pahala solat, puasa, zakat tetapi akhirnya hilang pahalanya kerana sebab-sebab berikut:
  • Mencela orang
  • Menuduh orang
  • Makan harta orang lain
  • Menumpahkan harta orang lain
  • Memukul orang lain.
Pahalanya akan diberi kepada orang yang pernah disakitinya, dan sekiranya pahalanya sudah habis, maka dia akan mengambil dosa orang yang dizaliminya.

Pengajarannya ialah disamping menjaga solat dengan sempurna, seseorang juga perlu menjaga hubungan yang sempurna dengan manusia disekelilingnya. Jangan ada kita mengambil apa yang bukan hak kita. Jangan sampai penat-lelah kita bersolat, tidak membawa apa-apa pahala, seumpama penat bekerja sebulan, tetapi tidak mendapat gaji di hujung bulannya.

Oleh itu, 2 langkah yang boleh ditambah untuk mendapatkan solat sempurna ialah:
  • Mencari rezeki dengan cara yang halal
  • Perbaiki hubungan dengan manusia
Jika kita ada bersalah sebelum ini, maka segera bertaubat, mohon maaf dan memulangkan hak yang pernah diambil.

Kesimpulan:
Sekiranya kita ada buat salah dengan manusia lain  - ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan atau jiran tetangga, maka segera minta maaf hari ini juga, dan gantikan apa yang terambil. Secara tidak langsung, rupa-rupanya solat juga merupakan satu EJEN untuk memperbaiki masyarakat.
Jangan solat kerana riak atau kerana ingin dilihat orang (riak). Solat ialah satu-satunya jalan bertemu Allah. Namun harus diingat yang seseorang tidak masuk syurga dengan ibadatnya, sebaliknya dengan rahmat dan izin Allah, barulah seseorang boleh masuk syurga.

Senarai soalan dan jawapan
S: Bolehkah menqada’ solat tanpa mengikut waktu solat?
J: Ini ialah soalan yang paling banyak ditanya. Dalam membahaskan soal ini, ada berbagai pendapat. Ada yang agak ‘extreme’ dan mewajibkan agar semua solat yang ditinggalakan diqada’. Daripada pengalaman peribadi saya, saya juga pernah solat tidak sempurna sehingga berada di Tingkatan Enam. Setelah menyedarinya, saya pun masuk mengaji di pondok, dan mengira semula dan cuba mengqada’ 5 waktu solat pada setiap waktu. Tetapi ada juga yang saya kumpulkan untuk diqada selepas Isyak, contohnay 5 wakta Maghrib dan 5 waktu Isyak pada malam hari. Saya masih ingat bagaimana saya solat sehingga berpeluh-peluh. Di samping peluh, mengalir juga air mata menyesali perbuatan dan rasa bersyukur kerana masih diberi hidayah kembali kepada Allah. Oleh itu, nasihat saya, jangan putus harap pada Allah. Saya yang bergelas ustaz pun pernah buat silap tetapi dibantu Allah dan kemudian diberi peluang menyambung pelajaran ke Mesir pula. Oleh itu, jika ada yang masih belum solat,  segeralah solat dan usahakan mengganti solat yang ditinggalkan, jangan ditangguh-tangguh lagi.

S: Bagaimana jika solat dalam keadaan menangis?
J: Jika keadaan itu berlaku kerana kita menghayati bacaan dalam solat, tiada masalah. Sebaliknya, jika tangisan berubah menjadi seperti raungan, maka itu sudah termasuk bercakap dalam solat dan membatalkan solat.

S: Bagaimana jika seorang itu solat tapi tak faham bacaan dalam solatnya?
J: Syarat sah solat tak mewajibkan memahami makna bacaan, selagi bacaannya betul. Tetapi untuk mendapatkan solat yang sempurna, kita perlu berusaha memahami maknanya.

S: Adakah saya boleh menjamak solat kerana bekerja waktu syif yang panjang dan tempat solat tidak disediakan?
J: Istimewanya solat – ianya boleh dilakukan di mana-mana saja asalkan tempat itu bersih. Tak perlu menunggu adanya surau atau masjid. Bagi wanita, telekung juga tidak wajib asalkan pakaian yang dipakai elok menutup aurat. Perbuatan menjamak solat tidak boleh kerana ianya hanya untuk musafir yang memenuhi syarat-syarat tertentu.

S: Sahkah solat orang yang tidak kusyuk?
J: Alim ulama tidak meletakkan kusyuk sebagai syarat sah solat. Tetapi untuk mendapatkan ‘markah’ yang tinggi, usahakan untuk kusyuk dalam solat.

S: Bagaimana mengelak penyakit was-was ketika solat?
J: Was-was juga boleh menyebabkan masalah dalam akidah. Satu cara mengatasinya adalah dengan berguru, kerana apabila kita ada ilmu tentang sesuatu, kita akan yakin dengan apa yang dilakukan dan hilanglah was-was itu.

S: Bagaimana jika aurat terbuka ketika solat dan kita tidak menyedarinya?
J: Jika pakaian yang dipakai tidak sempurna dan boleh menyebabkan aurat terbuka - contohnya memakai seluar yang ke bawah pinggangnya dengan baju yang pendek, dan ketika sujud menyebabkan bahagian belakang sedikit terbuka dan menunjukkan aurat, maka wajib diulang semula solat itu. Tetapi jika sudah memakai kain pelekat, tetapi terselak sedikit dan tidak menampakkan aurat besar, maka perlu ditutup cepat-cepat dan boleh diteruskan solat.

S: Saya seorang OKU, dan solat duduk di atas katil atau atas kerusi. Apakah yang lebih afdhal untuk saya lakukan?
J: Perlu dilihat kemampuan diri dahulu – jika tidak mampu berdiri, baru duduk. Jika tak mampu duduk, baru mengiring atau berbaring. Jika mampu berdiri sekejap, maka berdiri sebentar untuk takbiratul ihram, dan kemudian baru duduk. Jangan kerana sakit sedikit, terus solat berbaring.

S: Saya mempunyai penyakit kencing tidak lawas. Bolehkah saya menjadi imam kepada isteri dan anak-anak?
J: Dalam keadaan ini, kemaluan perlu dibersihkan dan dibalut kemaluannya dengan kapas atau menggunakan tuala wanita. Kemudian, ambil wudhuk dan terus solat. Wuduknya hanya boleh digunakan untuk sekali solat fardhu sahaja. Jika ingin solat fardhu lagi, buang kapas/tuala wanita, bersihkan kemaluan dan ulang ambil wudhuk semula.

S: Mohon tunjukkan cara betul untuk takbiratul ihram?
J: Solat perlu diajar dalam bentuk amali dan bacaan pula perlu dipelajari dengan cara talaqqi. Kita tidak boleh belajar solat dengan mengikut-ikut orang sahaja. Jika umur sudah lewat, cadangkan di surau/masjid berdekatan untuk belajar secara praktikal dengan ustaz.

S: Betulkah jika bacaan Fatihah imam tidak betul, solat makmunnya tidak sah?
J; Untuk menjadi imam, orang itu mestilah seorang yang mempunyai bacaan Fatihah yang terbaik dalam kalangan orang yang sama-sama ingin berjemaah dengannya. Jika seorang yang lebih baik bacaanya berjemaah dengan imam yang ada kekurangan dalam bacaannya, maka orang itu perlu murafakah dan solat sendiri. Jika tidak, solatnya tidak sah, tetapi solat imam tetap sah kerana itu adalah setakat kemampuannya. Sekiranya, imam yang membaca tidak betul itu yang tebaik dalam kalangan jemaahnya, maka sah solat mereka semua.

S: Suami saya suka main nombor ekor dan biasa menang wang.  Wang itu digunakan untuk membeli baju tetapi tidak digunakan untuk solat. Saya ada juga memberikan pakaian yang dibeli dengan duit menang itu kepada kakak, dan memaklumkan padanya, tetapi dia tidak kisah. Apakah hukumya perbuatan suami dan bagaiamana dengan pemberian kepada kakak?
J: Pertama sekali – beli nombor ekor itu hukumnya haram, berdosa besar dan boleh menyebabkan syirik. Perbuatan ini mesti ditinggalkan segera. Duit yang diperolehi tidak boleh digunakan untuk beli buku, baju atau apa-apa yang dimakan atau tak dimakan. Harta yang diperolehi itu perlu diberi kepada anak-yatim tetapi jangan diberitahu yang sumbernya haram. Jika sudah tidak dapat mengira lagi berapa banyak yang pernah digunakan sebelum ini, maka segera bertaubat kepada Allah dan berubah meninggalkan dosa. Isteri perlu menasihati suami, tetapi jika suami tidak berubah juga, isteri tidak menanggung dosa suaminya.

Rujukan siri lengkap
Solat Kosong (1)
Solat Kosong (3)

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab