Memikat Hati Suami (1) – Tanyalah Ustaz 18.03.2013
Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek
Bacaan surah Al-Qadr:
Para isteri, amalkan membaca surah ini dalam solat Isyak,
dan baca pada malam hari sebelum bersama suami. In sha Allah akan terasa
kelaianan yang baik. Surah ini juga menjadi amalan wanita yang ingin kelihatan
awet muda.
Dalam menghadapi apa jua masalah, banyakkan bersyukur pada
Allah. Isteri takkan dapat mengubah sikap suami yang tidak baik dengan sifat
sabar sahaja, isteri perlu membanyakkan sifat bersyukur. Dengan sifat syukur,
Allah yang akan membantu mencampakkan hidayah ke hati suami. Bersyukur dengan
apa saja kebaikan yang suami berikan, walaupun sekecil mana sekalipun.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Bagaimana memikat hati suami yang sedang
marah?
J: Jika lelaki sedang marah, jangan kata apa-apa. Diam
sahaja dan hidangkan air kepadanya. Selawat, doakan dan hembus, “Ya Allah,
lembutkan hati suamiku sebagaimana Engkau melembutkan besi kepada Nabi
Daud”. Pahala menghidangkan air
segelas untuk suami yang baru balik ke rumah lebih baik ganjarannya berbanding
puasa setahun. Ketika memasak, dan membasuh beras, amalkan doa daripada hadis
Qudsi yang bermaksud, “Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Tuhan kami dan Tuhan
mereka, hati kami dan hati mereka dalam genggaman-Mu. Sesungguhnya Engkau
menguasai atas mereka”. Genggam beras dan bayangkan wajah ahli keluarga dan doakan mereka.
S: Benarkah wanita dapat memikat hati
dengan masakan yang sedap-sedap?
J: Suami akan semakin sayang jika isteri masak dengan air
tangannya sendiri. Isteri hari ini ramai yang nak cepat saja dan tidak
berselawat langsung ketika menyediakan makanan. Sepatutnya banyakkan
berselawat, berzikir dan berdoa ketika disediakan. Masak juga dengan penuh
kasih-sayang. Sediakan makanan yang panas dan belum berusik untuk suami.
Asingkan makanan untuk suami jika suami balik lambat. Belajar tentang selera
suami daripada ibu mertua.
S: Antara suami dan isteri, siapa yang
lebih patut banyak memikat?
J: Pada pandangan peribadi saya, isteri perlu lebih banyak
memikat. Isteri perlu lebih mudah memaafkan.
S: Bagaimana untuk memikat hati suami yang
suka merajuk?
J: Untuk memujuk selain daripada berdoa, ada beberapa cara –
tulis surat cinta (sms pendek sangat). Ambil video keluarga dan pasang semula
untuk mengenangkan perkara-perkara yang telah dilalui bersama keluarga.
S: Betulkah ada isteri yang menggunakan
sihir untuk memikat suami?
J: Ada tapi perbuatan itu salah. Ada cara lebih mudah yang
boleh diamalkan iaitu dengan menggunakan ayat Al-Quran. Contohnya:
- Baca surah Al-Qadr ketika solat Isyak dan ketika ingin bersama suami
- Baca surah Al-Inshirah, dan pada ayat ke-4, hembus pada tangan dan usap pada wajah hingga ke belakang. Boleh diulang 3 atau 7x.
- Baca doa ketika membasuh beras seperti diajar di atas.
S: Betulkah jika suami merajuk, isteri
dilaknat oleh malaikat?
J: Apa yang saya difahamkan ialah jika isteri menolak ajakan
suami untuk bersama, maka malaikat akan melaknatnya dari malam hingga ke pagi
hari.
S: Wajarkah seorang isteri bekerja mencari
rezeki untuk memikat hati suami?
J: Wajar. Rasulullah SAW juga pernah dibantu isterinya yang
kaya iaitu Siti Khadijah.