Tiada Rahsia Lagi (2) – Tanyalah Ustaz 09.03.2013


Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang


Bacaan ayat 49, surah Al-Kahfi:

Jika diteliti makna ayat  ini, ianya cukup menggerunkan. Dalam tafsir Al-Qurtubi, dibawakan dua pandangan tentang ayat ini – pertama ialah keadaan pada hari hisab atau ketika kitab diberi kepada manusia. Jika kita hari dibicarakan di mahkamah, dan didapati ada resit-resit yang menjadi bukti kesalahan kita, maka kita pasti rungsing. Inikan pula apabila  Allah menyatakan bahawa setiap amalan manusia, yang baik atau yang tidak baik, semuanya akan dicatatkan oleh malaikat. Manusianya semuanya ketakutan. Kitab ini tidak meninggalkan satu apa pun – baik perbuatan yang besar atau yang kecil. Hatta perkara-perkara kecil seperti perbuatan baling perut ikan ke rumah jiran, kenyit mata dengan isteri jiran, buat perkara tak sepatutnya di masjid. Perkara melibatkan dosa besar seperti zina lebih-lebih lagilah akan dicatat.

Ayat ini menceritakan suasana hisab yang kita wajib beriman dengannya. Bila kita baca surah Kahfi, pada malam atau hari Jumaat, cuba ‘pause’ sebentar pada ayat ini dan renung kembali diri kita. Di akhirat nanti tidak akan satu rahsia pun dengan Allah. Oleh itu, ayat ini sepatutnya membuatkan seseorang berfikir banyak kali sebelum melakukan maksiat.  Pada fitrahnya, manusia akan berasa tidak sedap hati ketika ingin melakukan maksiat. Jadi, jangan pula kita buat-buat tak tahu selepas membaca ayat sebegini. Oleh sebab itulah penting untuk kita menghadiri majlis ilmu kerana di dalamnya kita akan diberi peringatan. Itulah tugas utama Nabi SAW – memberi peringatan kerana peringatan itu akan memberi manfaat kepada orang beriman. Bagaimana pula dengan orang yang tak beriman? Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tetapi bagi orang yang beriman, walaupun sedikit sahaja peringatan yang diberikan, contohnya melalui rancangan ini, ianya akan masuk dan menyubur di dalam hatinya. Nabi SAW membuat perumpamaan mengenai hati manusia, iaitu:
  • Ada yang seperti pasir – bila air dicurahkan, airnya tak lekat pada tanah itu.
  • Ada yang mampu menakung air dan  airnya boleh digunakan untuk menyiram pokok.
  • Ada yang umpama bumi, yang menyerap air dan mengeluarkan pohon-pohon yang begitu subur.

Maka kita pohon kepada Allah agar hati kita menjadi hati-hati yang dapat menerima manfaat daripada peringatan-peringatan seperti ini.

Dalam ayat sebelumnya, ayat 48, surah Al-Kahfi:

Manusia akan berbaris dalam keadaan tak berpakaian. Lalu Aisyah bertanya tidakkah manusia malu jika tidak berpakaian. Nabi SAW pun berkata yang ketika itu manusia tidak lagi terfikirkan tentang itu kerana ada perkara lain yang lebih menggerunkan mereka.

Alhamdulillah majlis ilmu boleh sampai ke rumah kita melalui teknologi yang ada hari ini. Di samping kita menonton, sebarkan juga  melalui sms/teleforn kepada keluarga dan rakan dengan mengingatkan mereka juga untuk menonton bersama. Ini semuanya akan dicatat menjadi amalan yang baik, In sha Allah.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Saya suka menolong orang yang susah, tetapi saya tidak beritahu suami. Apa pandangan suami? Dapat pahala tak?
J: Allah akan menolong orang yang menolong saudaranya. Kebanyaakan kita menggunakan konsep, “Kau susah, aku tolong. Nanti, aku susah, kau tolong pula”. Ini kaedah yang salah dan boleh buat kita sakit jiwa dengannya J. Kita akan tertekan bila orang yang ditolong itu tidak membalas pertolongan apabila diperlukan. Sepatutnya, kita menyandarkan pertolongan itu kepada Allah, Allahlah yang akan membantu kita apabila kita susah kelak. Oleh itu, ubah kaedah kita kepada, “Kau susah, aku tolong. Aku susah, Allah akan tolong”. Dalam persoalan ini, isteri suka bantu orang tanpa pengetahuan suami. Pertama, perlu dilihat sumber dana yang digunakan – jika duit isteri tiada masalah. Sebaliknya, jika duit suami, mesti minta izin dulu.

S: Segala amalan baik dan buruk akan dihitung. Bagaimana dengan amalan buruk yang telah dikesali dan yang kita telah bertaubat. Adalah ianya juga akan dihitung?
J: In sha Allah, akan dihapuskan amalan buruk seseorang itu, apabila dia betul-betul bertaubat atas dosanya itu. Bahkan jika seorang kafir masuk Islam setelah berusia 35 tahun, segala amalannya sebelum itu tidak di ambil kira, buku catitannya ‘zero’ seumpama ‘baby’ berusia 35 tahun. Begitulah juga dengan orang yang pernah melakukan dosa, tetapi bertaubat kemudiannya. Tetapi syarat taubat perlu dipenuhi terlebih dahulu. Ada 2 bentuk dosa manusia – dosa dengan Allah, dan dosa dengan manusia. Dosa dengan Allah contohnya – tak solat, tak puasa, tak tutup aurat dsb. Syarat bertaubat daripada dosa dengan Allah ada 3 iaitu:
  1. Tinggalkan perbuatan maksiat
  2. Menyesal atas perbuatan maksiat yang telah dilakukan
  3. Berazam tidak akan mengulangi maksiat tersebut.

Sekiranya dosa berkaitan manusia, maka perlu ditambah lagi satu syarat iaitu:
  • Menyelesaikan dengan manusia juga. Contohnya – jika terambil yang bukan hak, perlu dikembalikan, jika pernah memfitnah, perlu minta maaf pada orang yang difitnah.

Perbuatan taubat juga merupakan satu bentuk amalan soleh. Allah sangat gembira apabila hambanya bertaubat, dengan syarat nyawa belum sampai ke halkum. Jangan ketika sudah hampir mati, baru nak bertaubat. Itulah yang Firaun lakukan, ketika hampir tenggelam di lautan setelah Nabi Musa diselamatkan, baru Firaun berkata, “Aku beriman dengan Tuhan yang Bani Israel beriman dengannya”. Dalam keadaan terdesak begitu sekalipun, Firaun masih sombong dan tidak mahu menyebut nama Allah. Taubat ketika itu sudah tidak berguna lagi dan tidak diterima Allah.

S: Memandangkan hebatnya keadaan di mahkamah Allah nanti, sepatutnya ini menyedarkan manusia. Sebaliknya masih ada manusia yang berkata tunggu tua baru beribadat. Bagaimana untuk menyedarkan golongan ini ustaz?
J: Memang ini menjadi ‘trend’ bagi sesetengah orang.  Ini kerana mereka tidak diberi peringatan. Kita perlu berfikir berkenaan hala tuju kita – jika hari ini berumur 22 tahun, di manakah kita ketika berumur 32 tahun nanti? Jika ingin menunggu – adakah kita dapat menjamin yang kita akan hidup lagi esok? Betapa ramai orang muda yang meninggal sebelum sempat tua? Namun, tidaklah boleh orang muda saja disalahkan. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, contohnya pihak AJK masjid, pemimpin di setiap peringkat, perlu membuat program yang boleh menarik perhatian golongan muda sebagaimana contoh yang ditunjukkan Nabi. Golongan muda pada zaman Nabi SAW, contohnya Usamah bin Zaid yang baru berusia 9 tahun sengaja berdiri di atas jari kakinya agar nampak lebih berusia untuk menyertai perang Uhud. Hapuskan juga program yang merosakkan anak-anak muda. Ingatlah yang perbuatan itu juga akan dicatat dan akan dihisab di hadapan Allah nanti. Anak muda merupakan tulang belakang negara yang tercinta ini. Oleh sebab itu, mereka perlu dididik sebaik mungkin.

S: Saya pernah mendengr tazkirah – Jika kita menjaga aib orang, maka Allah akan menjaga aib kita. Mohon penjelasan ustaz.
J: Allah akan tutup aibnya di dunia. Di hari akhirat nanti, segala amalannya akan dibentangkan semula. Namun, ada manusia yang dipilih Allah, diberi rahmat, dan diampunkan dosanya. Adakah kita sudah menjadi seorang yang bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya. Nabi SAW beristighfar 70 atau 100 kali dalam sehari. Ulama membincangkan kenapa Nabi beristighfar sedangkan Nabi maksum. Sebabnya ialah kerana Nabi berasa masih belum cukup bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan. Setiap nikmat yang Allah berikan pasti akan ditanya semula kemana ianya telah digunakan.  Oleh itu kita perlu menjadi hamba yang besyukur. Suatu hari Nabi SAW bertemu Muaz dan mengajarkan doa berikut (untuk diamalkan setiap kali selepas solat). Doa ini Allah beri pada sahabat yang disayanginya, moga-moga kita juga menjadi orang yang disayangi Rasulullah SAW.


Amalkanlah doa ini setiap kali selepas solat. Ajarkan dan kongsi dengan rakan-rakan lain juga. Inilah MLM ilmu ;)

S: Ada orang celik di dunia, tetapi buta di akhirat. Adakah kerana dosanya di dunia? Bagi yang seperti saya yang buta di dunia pula, adakah akan celik di akhirat nanti?
J: Alhamdulillah, walaupun tidak dapat melihat, pemanggil menggunakan nikmat telinganya untuk tetap mendengar majlis ilmu. Dalam surah Taha, ayat 124-126, Allah berfirman:

Dalam ayat 124, dinyatakan bahawa walaupun mata seseorang itu celik di dunia, jika dia mengambil selain Allah ketika di dunia, maka dia akan dilupakan dan dibangkitkan dalam keadaan buta di akhirat. Ada ramai orang yang buta matanya di dunia, tetapi hati mereka celik. Ada juga yang boleh menghafal Quran dan rajin menghadiri majlis ilmu. Ulama-ulama juga ramai yang buta penglihatannya. Bukan sekar itu, para sahabat Nabi SAW juga ada yang buta. Salah seorangnya ialah Abdullah bin Abu Maktum. Dia datang dan berkata kepada Nabi SAW, “Ajarkan kepadaku apa yang Allah ajarkan kepada kamu”. Nabi SAW yang ketika itu juga sedang berdakwah kepada pembesar berpaling sedikit kerana merasa sedikit terganggu. Abdullah tidak tahu yang Nabi SAW sedang berdakwah kerada dia tidak dapat melihat, tetapi dia sangat berminat untuk mencari ilmu. Allah SAW menurunkan wahyu dan menegur perbuatan Nabi SAW itu agar turut menjaga akhlak walaupun dengan orang yang tidak dapat melihat. Amanahnya Nabi SAW, baginda tetap menyampaikan ayat ini walaupun ayat ini menegur akan kesilapan diri baginda. Kalau kitalah, pastilah bahagian tersebut akan dijadikan ‘off-record’.

S: Bagaimana dengan dosa orang berzina dengan mahramnya walaupun orang tidak tahu di dunia ini? Apakah yang perlu dilakukan untuk menghapuskan dosanya?
J: Mahram ialah orang yang tak boleh dikahwini. Jika berlaku, taubatlah sungguh-sungguh dan jangan cerita dengan orang. Jika ditangkap, dan dia sudah kahwin, maka hukumannya ialah rejam sehingga mati. Jika belum kahwin, maka perlu disebat 100 kali. Selain itu, ada juga berlaku kes perkosa dalam rumahtangga. Oleh sebab itulah Islam mengajarkan paling kurang rumah mesti ada 3 bilik –  anak lelaki dan perempuan perlu diasingkan. Oleh itu, mereka yang membina rumah kosa rendah juga akan dipersoalkan jika membuat rumah hanya1 atau 2 bilik sahaja. Dalam peristiwa israk dan mikraj, Nabi SAW melihat segolongan manusia yang memakan daging busuk sedangkan ada daging elok dihadapan mereka. Jibril memberitahu itu adalah hukuman kepada orang yang ada isteri tetapi masih berzina. Sepatutnya, mahram ialah orang yang patut dilindungi. Inilah antara kesan hiburan berlebihan dan tidak terkawal. Kita risau kita sudah terikut orang Yahudi dan Israel kerana Nabi SAW mengatakan yang kita akan mengikuti mereka setapak demi setapak, sehinggakan jika mereka masuk ke lubanga biawak pun kita ikut sama. Perbuatan ini akan meruntuhkan institusi kekeluargaan. Oleh itu, jika ada yang telibat, bertaubat segera sebelum nyawa sampai ke halkum. Ada orang lain yang berbuat dosa yang lebih besar lagi tetapi Allah terima taubat mereka.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab