"Pemimpin dan yang dipimpin" - Tafsir ayat 26, surah Ali-Imran, MTDM 22.03.2013
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 22.03.2013
Masjid Muaz bin Jabal Setiawangsa, KL
Tafsir Quran - Ayat 26, surah Ali-Imran:
Dua ayat ini (ayat 26 dan 27) menunjukkan kuasa pemerintahan Allah yang mutlak –
baik yang berada di dunia ataupun yang berada di langit.
Perbahasan ayat 26:
Dalam memberi kekuasaan, dalam mencabut kekuasaan, dalam memberi
kemuliaan, dalam menghinakan seseorang, dan memberi segala jenis kebaikan –
semuanya berada dalam kekuasaan Allah. Ada beberapa sebab yang mirip
antara satu sama lain yang menjadi sebab turunnya ayat ini. Imam
Al-Baghawi berkata, ketika pembukaan kota Mekah, Nabi SAW menjanjikan
umatnya bahawa Persia dan Romawi akan jatuh kepada kaum Muslimin.
Orang munafiqin pun berkata, “Tidak cukupkah dengan penawanan kota
Mekah dan kota Madinah ini untuk Muhammad, sedangkan Persia dan
Romawi adalah dua kuasa yang besar!”
Nuzul kedua ialah semasa umat Islam
menggali parit sebagai persediaan Perang Khandak pada tahun ke-5
Hijrah. Nabi SAW melakar kawasan yang perlu digali dan sampai di satu
kawasan, Salman Al-Farisi dan sahabat bertemu dengan satu batu besar
yang tidak dapat dihancurkan. Mereka pun bertemu Nabi SAW untuk
mengadukan hal tersebut. Dalam hal ini, sahabat patuh pada arahan
Nabi SAW tidak pula memandai-mandai untuk mengubah lakaran yang telah
ditetapkan oleh Nabi SAW. Nabi SAW pun pergi ke tempat yang
dimaksudkan dan memukul batu tersebut dengan penukul. Pukulan
tersebut menyebabkan batu itu pecah dan mengeluarkan cahaya yang
begitu terang. Kata baginda Rasulullah SAW, “Allahu Akbar, akan
dibuka untukku kerajaan Persia”. Nabi menyambung pukulan ke atas
batu itu. Pukulan kedua juga memecahkan batu itu dan mengeluarkan cahaya yang terang. Kata baginda Rasulullah SAW, “Allahu
Akbar, akan dibuka untukku kerajaan Romawi”. Pada pukulan ketiga, berlaku perkara yang sama dan baginda Nabi SAW berkata, ““Allahu Akbar,
akan dibuka untukku kerajaan Yaman”. Keadaan umat Islam ketika itu
sangat kekurangan. Orang munafiqin pun berkata, “Kita nak pergi
buang air pun takut kepada orang Musyrikin, inikan pula ingin menawan
kota Persia, Romawi dan Yaman”. Ini adalah cakap orang yang melihat
sesuatu dengan zahirnya sahaja. Walhal hak kekuasaan mutlak adalah
milik Allah dan Allah berkuasa memberi kepada sesiapa yang
dikehendaki atau mencabut daripada sesiapa yang dikehendaki. Kuasa
kerajaan Persia/Romawi atau Yaman bukanlah berada pada tangan mereka
sendiri. Ayat ini turun sebagai jawapan kepada ejekan orang munafiqin
tersebut.
Allah juga berkuasa memuliakan atau
menghinakan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tidak semestinya memiliki
sesuatu kerajaan bermakna seseorang itu dimuliakan dan begitu juga sebaliknya.
Allah akan menghantar orang yang zalim kepada pemerintah yang zalim
juga sepertimana yang difirmankan dalam Al-Quran. Orang yang selamat
ialah orang yang tidak zalim – ketika diberi kuasa atau ketika
dicabut kuasanya. Orang yang tidak zalim patuh pada
apa yang Nabi SAW suruh. Nabi menyuruh kita menolong orang yang zalim
dan orang yang dizalimi. Sababat pun bertanya, “Adakah wajar
membantu orang yang zalim?” Jawab Baginda, “Kamu menolong dia
agar dia berhenti melakukan perkara yang zalim itu”.
Dalam satu
kisah yang berlaku dalam Perang Khaibah, Nabi SAW bersabda, “Bendera
ini akan aku bagi kepada seseorang yang mencintai Allah dan
Rasul-Nya, dan dia juga dicintai Allah dan Rasul-Nya”. Maka
mendengarkan ucapan itu, Sy. Umar pun berkata, “Demi Allah, saya tidak pernah
inginkan kuasa pemerintahan kecuali pada hari itu. Saya tidak pernah
bermimpi untuk menjadi pemimpin setelah masuk Islam kecuali pada hari
itu”. Kenapa? Kerana ingin menjadi orang yang dimaksudkan dalam
sabda Nabi SAW itu. Sy. Umar mengharapkan kedudukan yang Nabi SAW
sebut itu. Keesokan harinya, Nabi SAW mencari Sy. Ali untuk diberikan
bendera tersebut.
Kisah ini menunjukan bahawa niat utama Sy. Umar
menginginkan kuasa kepimpinan adalah untuk mendapatkan kecintaan
daripada Allah dan Rasul-Nya. Setelah menjadi khalifah, beliau
terlalu sibuk dan diberikan satu tugasan kepada puteranya, Abdullah.
Apabila mendengar berita itu, beliau pun berkata, “Cukuplah hanya
Umar seorang sahaja daripada keluarga Al-Khattab yang akan
dipertanggungjawabkan dengan amanah dihadapan Allah di akhirat
nanti”. Beliau berkata begitu kerana sedar akan beratnya
tanggungjawab seorang Amirul Mukminin.
Bilakah orang zalim akan dihukum
dengan orang yang zalim juga? Dalam satu riwayat, dikatakan apabila
Allah ingin menghukum hambanya yang zalim, maka akan dihantar kepada
mereka hakim yang zalim juga. Orang yang zalim ialah mereka yang
ingkar kepada Allah dan banyak melakukan maksiat. Dalam surah
Al-Isra', ayat 4-5, Allah berfirman:
Dalam ayat ini dinyatakan bahawa
Allah menghantarkan orang yang zalim kepada Bani Israel oleh kerana
kezaliman (keingkaran) yang mereka lakukan. Pertama, ketika sebelum
zaman Nabi Musa, Allah hantarkan Firaun yang menyeksa mereka
bertahun-tahun menjadi hamba sahaya. Ketika sudah mulai sedar dan
ingin bertaubat, Allah hantar Nabi Musa sebagai penyelamat. Allah
selamatkan mereka daripada Firaun dan berikan mereka berbagai nikmat.
Namun, tidak lama selepas itu, mereka ingkar semula dan Allah
hantarkan pula Raja Persia untuk menyeksa mereka. Perkara ini
tidak cuma berlaku kepada bani Israel sahaja, tetapi akan berlaku
kepada mana-mana kaum yang zalim, di mana akan dihantarkan kepada
mereka pemerintah yang zalim juga. Bagaimana sikap kamu kepada Allah,
begitulah pemimpin yang Allah akan berikan kepada kamu. Semuanya
bergantung kepada diri kita sendiri. Adakah kita baik kepada Allah,
atau kita menjadi sebab untuk Allah menghantarkan pemimpin yang zalim
kepada kita?
Kuasa Romawi dan Persia, walaupun
hebat pada awalnya, akhirnya hancur juga kerana kuasa pemerintahan adalah hak mutalak Allah. Apakah bentuk pelanggaran
(mukhalafah) hukum Allah yang kita lakukan? Ada banyak bentuk, iaitu:
- mukhalafah dengan mata
- mukhalafah dengan telinga
- mukhalafah dengan cara berfikir
- mukhalafah dengan hati
- mukhalafah dengan maksiat dan banyak lagi.
Apabila maksiat berleluasa, azab
Allah akan menimpa orang yang zalim dan orang yang tidak zlaim juga.
Oleh itu, kita semua mesti sama-sama berhati-hati.
Sy. Ali r.a meriwayatkan bahawa Nabi
SAW bersabda, “Sesungguhnya surah Al-Fatihah, ayat Kursi, dan 2
ayat daripada Ali-Imran (18 hingga 19, dan 26 hingga 27) dapat
menjadi sebab syafaat. Kalimat-kalimat itu bergantung di bawah arasy
Allah SWT dan tiada penghalang antara kalimat itu dengan Allah SWT.
Yang berdoa, akan dikabulkan. Yang berhajat akan ditunaikan. Yang
berharap akan dipenuhi. Mereka (ayat-ayat yang disebutkan) akan
berkata kepada Allah, “Ya Allah, Engkau turunkan aku ini kepada
orang-orang yang bermaksiat kepada Engkau?”. Allah berfirman,
“Dengan Zat-Ku aku bersumpah, tak seorang pun yang membaca kamu
semua setiap kali selepas solat wahai ayat-ayat, melainkan aku
jadikan syurga tempat untuknya, dan aku akan tempatkan dia dalam
'Hadiratul Qudsi', dan akan pandang dia dengan pandangan-Ku ini, dan
aku akan tunaikan hari-hari untuknya minimum 70 hajat atau paling
kecil sekali aku berikan pengampunan pada-Nya. Aku lindungi dia
daripada bahaya musuh dan bahaya orang yang hasad kepadanya”.
Hadis
ini tarafnya hadis dhaif. Tetapi pandangan Imam Nawawi dan
ramai ahli hadis lain berkata boleh beramal dengan hadis seperti ini.
Semoga Allah jadikan kita orang yang mampu beramal dengan hadis ini,
Amin.
Berikut ialah 2 ayat yang dimaksudkan (4 semuanya - 18, 19 dan 26, 27). Ayat 26 dan 27 telah dimuatkan di atas.