Tiada Rahsia Lagi (1) – Tanyalah Ustaz 08.03.2013
Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang
Bacaan ayat 65, surah Yaasin:
Ayat ini pendek, tapi huraiannya panjang dan cukup untuk
memberi peringatan kepada kita semua. Ketika di dunia, jika pandai bercakap
atau ada banyak duit, seseorang itu boleh lari dari kesalahannya. Tetapi di
akhirat nanti, tangan, kaki yang akan menjadi saksi kepada apa yang kita
lakukan.
Ada yang mempersoalkan bagaimana mungkin tangan, kaki kita
bercakap di akhirat nanti sedangkan tidak mempunyai lidah? Mari kita
perhatikan: TV, radio, iPad pun tidak mempunyai lidah, tetapi tidakkah
alat-alat ini juga boleh bersuara? Inilah sedikit ilmu yang Allah beri agar
kita dapat berfikir.
Sambil-sambil membaca surah Yasin itu, kita perlu juga memahami maknanya. Di samping membaca surah Yaasin, baca juga surah lain. Janganla surah Yaasin saja yang jadi anak kandung, tapi surah-surah lain dianaktirikan :)
Adakah Allah perlu kepada saksi? Tidak sebenarnya kerana
Allah itu Maha Melihat. Di dalam mahkamah, biasanya akan dibawa saksi untuk
mengadili sesuatu kes. Imam Al-Qurtubi membawakan satu hadis daripada Anas bin
Malik, yang berkata, “Kami berada bersama Rasulullah SAW, dan baginda
tersenyum. Sahabat bertanya kenapa. Nabi SAW pun menceritakan bahawa ada seorang
hamba berkata, “Bukankah Allah telah berjanji yang hambanya tidak akan
dizalimi”. Allah kata “Ya”. Oleh sebab itu, hamba itu meminta dirinya sendiri
menjadi saksi untuk hisab dirinya. Allah pun berfirman bahawa hamba itu dan
malaikat yang akan menjadi saksi dirinya sendiri. Selesai Allah berfirman
begitu, hambar tadi pun dipateri dan anggota badannya yang lain pun mula
berbicara. Nabi tersenyum kerana hamba itu tidak tahu bahawa saksi kepada
dirinya itu ialah anggota badannya, dan bukan mulutnya itu.
Ibadah ialah setiap perkata yang Allah suka dan tidak
terikat kepada ibadat khusus sahaja. Contohnya – keluar bekerja agar tidak
meminta-minta daripada orang lain, membantu isteri di dapur, bergurau-senda
dengan isteri.
Sambungan daripada hadis Nabi SAW mengenai 4 perkara yang
akan ditanya kepada setiap orang iaitu:
- Umur – apa yang telah dilakukan
- Ilmu - Di samping amal perbuatan, ilmu perbuatan yang dimiliki juga akan ditanya adakah telah diamalkan. Sama-sama kita doa Allah beri kekuatan kita beramal dengan ilmu yang dipelajari. Ada seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata, “Aku sayang kepada satu kaum, tetapi aku tidak mampu mengikut amalan mereka. Aku sayang kepada Rasul, Abu Bakar dan Umar, tetapi aku tidak mampu mengikut amalan mereka”. Kemudian Nabi SAW berkata, “Di akhirat nanti, seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya”. Oleh itu, jika kita tak mampu memperbanyakkan amalan, marilah kita menyayangi para ulama dan golongan berilmu, moga-moga kita akan dikumpulkan bersama mereka kelak, In sha Allah.
- Harta – ada banyak contoh harta tidak halah seperti tipu waktu bekerja, ‘claim’ lebih daripada yang sepatutnya. Di samping sumbernya akan ditanya, cara membelanjakan juga ditanya Allah. Adakah kita berbelanja di tempat yang tidak sepatutnya.
- Kesihatan – ke mana telah digunakan.
Bersambung esok, In sha Allah.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Jika anggota badan kita yang menjadi saksi, orang lain yang terlibat
tidakkah turut menjadi saksi?
J: Apabil dihimpunkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis
Rasulullah SAW, ada 11 saksi kepada setiap perbuatan manusia:
- Lidah
- Tangan
- Kaki
- Pendengaran
- Penglihatan
- Kulit
- Bumi
- Malam
- Siang
- Malaikat
- Manusia
Antara sumbernya ialah seperti yang disebut dalam surah
Al-Fussilat, ayat 20-23.
S: Kita akan dipersoalkan tentang umur ketika dihadapan Allah. Mengapa?
J: Ini kerana Allah telah berfirman bahawa tujuan manusia
dijadikan hanyalah untuk beribadah. Bilakah masanya untuk beribadah? Mestilah
ketika kita masih hidup iaitu ketika masih berumur. Dalam satu hadis, Nabi SAW
ada bersabda, “Tidak akan bergerak kaki anak Adam sehingga ditanyakan 4 perkara
iaitu umur, ilmu, harta dan kesihatan”. Oleh itu, masa yang diberikan itu akan dipersoalkan kemanakah
telah digunakan. Ada orang umur panjang tetapi tidak berkat, tetapi ada orang
yang umur pendek tapi berkat, contohnya ialah Imam Nawawi yang meninggal
sebelum berusia 50 tahun, tetapi banyak kitab yang ditulisnya yang memberi
manfaat kepada kita sehingga hari ini. Apa yang lebih baik lagi berdoa memohon
umur yang panjang dalam keadaan beramal soleh.
S: Saya mendengar ada ustaz mengajarkan bahawa segala amalan baik dan
buruk kita akan dipertontonkan di khalayak ramai. Bagaimana perkara ini dapat
mempertingkatkan iman kita?
J: Pastilah perkara ini membantu kerana apabila seseorang
terfikir bahawa segala yang dilakukan akan dibentangkan semula, ianya boleh
bertindak sebagai ‘internal police’ dan mengelak dirinya meneruskan maksiat
yang ingin dilakukan.
S: Jika ajal, maut, jodoh adalah rahsia Allah. Adakah perbuatan
mempersoalkan jodoh itu menunjukkan kita tidak redha?
J: Ada dua kemungkinan dala perihal jodoh – jodoh lambat
atau mendapat jodoh yang tidak membahagiakan. Untuk mendapatkan jodoh,
seseorang perlu berusaha dan berdoa. Dalam Islam, tidak salah jika perigi
mencari timba, asalkan mengikut adab yang ditetapkan Islam. Sampaikan hajat
melalui orang ketiga, atau ibu bapa untuk menyampaikan. Jangan pula buat status
di FB dan menawarkan diri. Bagi yang sudah menemui jodoh, perlu juga ikhtiarkan
untuk memperbaiki hubungan dan banyakkan juga berdoa. Amalkan ayat 74 surah
Al-Furqan untuk memohon dan mengekalkan jodoh yang baik.
S: Ada orang suka baca Quran tetapi dalam masa yang sama dia derhaka
dan berzina. Adakah Al-Quran dapat memberi syafaat padanya?
J: Kita takut jika dia termasuk dalam golongan yang Nabi SAW
kata sebagai orang yang membaca Al-Quran tetapi Al-Quran melaknatnya. Kenapa?
Kerana dia tidak mengamalkan makna yang ada di dalam Al-Quran. Tetapi jangan
pula dijadikan alasan untuk tidak membaca Al-Quran. Taat kepada ibu bapa pula
diletak sebagai tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul. Oleh
menderhakai mereka termasuk dosa yang besar. Perbuatan zina juga perlu
ditinggalkan dan jauhi rakan-rakan atau tempat yang mendekatkan diri kepada
zina. Dalam peristiwa israk dan mikraj, Nabi SAW melihat segolongan manusia
yang memakan daging busuk sedangkan ada daging elok dihadapan mereka. Jibril
memberitahu itu adalh hukuman kepada orang yang ada isteri tetapi masih
berzina. Oleh itu, hadiri majlis ilmu dan fahami makna ayat Al-Quran.
S: Jika semua perkara tiada rahsia lagi, tidakkah lebih elok jika kita
tidak berahsia dalam kehidupan seharian bersama keluarga, dalam kerjaya dll?
J: Kebenaran perlu disampaikan walaupun pahit. Namun, perlu
dilihat keadaan juga. Contohnya jika ingin menegur kesalahan seseorang,
pilihlah waktu yang sesuai. Ada perkara yang tidak perlu dirahsiakan –
contohnya bab hukum-hakam agama.
Ketika peristiwa Israk Mikraj, ada yang menyuruh Nabi SAW agar
merahsiakan agar tidak dipermainkan oleh orang lain. Tetapi Nabi SAW enggan. Contoh
lain dalam hal rahsia keselamatan negara, maka menyimpannya adalah satu
keperluan.