Siapa Punya (1) - Tanyalah Ustaz 01.03.2013
Ustaz Mohd Ghazali Ibrahim
Bacaan ayat 21 surah Ar-Rum:
Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur, dan bukan itu sahaja bahkan Allah masih beri kita
berbagai nikmat – rezeki untuk makan dan minum, tempat tinggal, tubuh badan
yang sihat. Jika makan garam masih terasa masin, itu sebenarnya juga satu nikmat daripada Allah. Nikmat Allah terus diberikan walaupun kita masih tidak sepenuhnya mentaati-Nya.
Fokus hari ini ialah kepada pembahagian harta faraid. Hukum
faraid ini Allah turunkan bukan untuk dibaca saja, tetapi untuk diamalkan.
Jangan dilengah-lengahkan urusan faraid kerana semakin lama, semakin panjang
isunya.
Setelah meninggal seorang Islam, maka hartanya boleh
digunakan untuk menguruskan jenazahnya. Selepas itu, perlu digunakan hartanya
untuk melangsaikan hutangnya dengan Allah (fidyah, kafarah dsb), dan hutang
dengan manusia. Kemudian, perlu dilihat jika ada wasiat-wasiat tertentu.
Sekarang sudah ada system moden pengiraan Faraid secara 'online'. Pengiraan sangat canggih, tetapi pengguna mesti jujur dalam memasukkan data agar pembahagian betul mengikut hukum Faraid. Untuk mencuba, boleh lawati di sini.
Dalam membuat wasiat, mesti ada lafaznya, dan saksi. Jangan buat
sendiri-sendiri tanpa saksi, yang mungkin menjadi punca pergaduhan waris
setelah seseorang meninggal.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Adakah kita wajib mengikut hukum faraid jika tiada perselisihan
antara waris?
J: Boleh, tiada masalah jika semua baligh dan bersetuju.
Hukum faraid ialah satu panduan. Jika bergaduh atau ada yang tidak setuju, maka
kena ikut hukum faraid.
S: Bolehkah memberi harta kepada anak angkat?
J: Pertama, anak angkat tidak boleh dibin atau bintikan
dengan nama ayah angkatnya. Untuk anak angkat, boleh diwasiatkan maksimum 1/3
harta kepada anak angkat. Jika ingin beri lebih, beri sebagai hibbah sebelum
meninggal. Jika beli harta, terus namakan kepada anak angkat.
S: Bagaimana pembahagian harta faraid seorang ibu tunggal yang
meninggal, dan semua anaknya meninggal.
J: Oleh kerana ibu tunggal, . Jika semua anak perempuan, 2/3 pergi kepada anak. Bakinya
1/3 diberi kepada adik-beradik ibu. Jika ada adik-beradik lelaki dan perempuan,
maka nisbahnya ialah 2:1. Jika adik beradik ibu semuanya perempuan, maka perlu berkongsi dengan Baitulmal.
S: Jika seseorang memeluk Islam, adakah adik-beradiknya yang bukan
Islam mempunyai hak faraid atas hartanya?
J: Tidak, begitu juga sebaliknya iaitu dia yang Islam tidak
mempunyai hak faraid atas harta keluarganya yang tidak Islam. Kecuali jika dia
membuat wasiat (maksimum dibenarkan ialah 1/3 sahaja daripada harta).
S: Saya ingin membayar hutang suami yang meninggal, tetapi pemiutang
kata telah dihalalkan, tapi saya rasa was-was kerana ketika suami ingin
membayar dahulu, saya minta suami lambatkan kerana ada keperluan lain.
J: Sepatutnya, hutang jika sudah dijanji, mesti dibayar,
walaupun tak mampu bayar semua, ansurkan sedikit demi sedikit. Jika ada
perasaan was-was dengan pemiutang, cubalah berterus-terang dan bertanya semula.
Sekiranya pemiutang betul telah menghalalkan, mungkin boleh diberi wang itu
kepada anak-anaknya pula sebagai hadiah.
S: Saya ada 4 beradik duduk dengan ibu. Ibu dan bapa berpisah. Bapa tak
pernah beri nafkah pada kami dan ibu. Bapa hanya beri nafkah pada anak-anak
barunya. Adakah kami mempunyai hak ke atas harta bapa?
J: Anak ada hak ke atas harta bapanya, walaupun ibu bapa
telah berpisah. Harta ayah yang meninggal boleh dituntut oleh anak bekas isteri
dan anak yang baru. Bahkan anak boleh menuntut kembali perbelanjaan membesarkan
anak yang diabaikan oleh ayah ketika hidupnya.