Acuan Rabbani (2) – Tanyalah Ustaz 25.05.2013


Ustaz Dr. Danial Zainal Abidin

Bacaan surah Ali-Imran, ayat 185:

Orang yang berjaya di sisi Allah ialah orang yang mendapat syurga di akhirat nanti. Oleh itu, kita jangan tertipu dengan mengejar kejayaan di dunia sahaja. Kerana ianya bersifat sementara. CGPA yang tinggi, pangkat, gelaran, kekayaan bukanlah kemuncak kejayaan, sebaliknya dapat masuk ke jannah itu barulah kejayaan yang sebenar.

Dalam mencari jalan ke syurga, Allah mengatakan bahawa orang yang paling mulia di sisi-Nya ialah orang yang paling bertaqwa. Menurut Abdullah ibnu Maas’ud r.a., taqwa yang sebenar bermaksud:
  • Taat jangan maksiat
  • Ingat jangan lupa
  • Syukur jangan kufur

Dengan taqwa. takkan ada pemberi rasuah, penjenayah, kacau-bilau dan seumpamanya. Oleh itu, jika taqwa dijadikan agenda setiap orang, in sha Allah negara ini akan aman.

Semalam kita berbincang tentang acuan Rabbani seperti yang disebut dalam ayat 79, surah Ali-Imran – yakni belajar dan mengajar kitab Allah iaitu Al-Quran.

Sedikit kisah tentang saya - Pada suatu ketika, saya pernah tercabar dengan kebenaran Islam. Saya tertanya-tanya benarkah Allah wujud dan jika betul, mengapa saya tak dapat melihatnya, saya bertanya betulkah Nabi SAW itu Al-Amin. Saya berada di persimpangan. Alhamdulillah, Allah beri bantuan melalui kesedaraan kepentingan acuan Rabbani. Kemudian saya belajar bahasa Arab dan dengan sedikit kebolehan itu memberi kefahaman kepada Al-Quran yang seterusnya membuka mata saya. Saya ini orang sains dan berfikir kritikal dengan cara orang sains. Saya ingin tahu apa kata Al-Quran tentang ilmu-ilmu sains yang saya pelajari. Contohnya, dalam surah Al-Hadid, ayat 25:

Saya terkejut kerana Al-Quran menceritakan tentang besi (hadid) sedangkan orang berkata bahawa ianya ialah kitab petunjuk. Dalam ayat itu Allah nyatakan bahawa, “Besi itu diturunkan..” yang bermakna ianya tidak dihasilkan di bumi atau matahari. Baru-baru ini sains baru membuktikan bahawa suhu bumi ataupun matahari terlalu rendah untuk membentuk besi dengan sendirinya. Subhanallah, inilah yang telah membawa kepada Allah, dan kepada iman

Sebagai manusia, kita sering diuji. Bagaimana menghadapinya dengan acuan Rabbani? Dalam surah Al-Baqarah, ayat 153,

Inilah yang saya namakan formula 2 ‘sod’ iaitu sabar dan solat. Oleh itu, jangan mengeluh, melenting dan paling penting jangan lupa solat. ‘Allah is going to help you but you must help your self too’.

Cara terbaik mendekati Al-Quran ialah dengan belajar bahasa Arab. Jika tidak dapat, maka bacalah kitab tafsir terjemahan bahasa Melayu.

Dalam surah Al-Fussilat, ayat 53:

Saya bertanya siapa mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini. Setelah berundur beberapa ayat, saya dapati ‘mereka’ ini ialah orang yang menentang Islam dengan menunjukkan keajaiban penciptaan alam. Oleh sebab itu, jika kita perhatikan, ada ramai saintis kafir yang menolak Islam menemui banyak teori sains yang kemudiannya didapati terdapat dalam Al-Quran. Dengan itu, mereka pun memeluk Islam.

In sha Allah, esok akan dibincangkan bagaimana menggunakan acuan Rabbani untuk hidup. Contohnya, bagaimana untuk bercakap, bagaimana menjadikan keluarga cemerlang dsb.

Senarai soalan dan jawapan
S: Pada siapa perlu kita merujuk untuk memahami Al-Quran?
J: Setelah belajar mengenal huruf, tajwid dan membaca Al-Quran, kita perlu meningkatkan ilmu dengan mentadabbur kandungan Al-Quran pula. Antara kitab tafsir yang bagus untuk rujukan ialah Tafsi Al-Azhar oleh Hamka yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Menariknya, Hamka juga mengaitkan ayat-ayat dengan aplikasi kehidupan kita hari ini.

S: Bagaimana mengubah kepercayaan orang yang tidak percaya wujudnya Allah kepada orang yang percaya sesuatu hanya berdasarkan sains. Adakah ayat Al-Quran boleh membantu?
J: Jika kita melihat contoh dakwah para Rasul, ada banyak iktibar yang boleh diambil iaitu:
Pertama, para Rasul mempunyai akhlak baik, yang boleh membuat orang tertarik kepada mereka. Ada orang yang beriman cukup dengan melihat akhlak sahaja, tetapi ada yang menolak.
Kedua, bagi yang menolak dakwah, Allah berikan suhuf iaitu risalah kecil melalui Rasul-rasulnya untuk membawa manusia kepada kebenaran. Namun, tidak semua menerimanya.
Ketiga: Allah beri juga mukjizat sebagai bukti kelebihan kepada orang yang masih menolak Islam. Contohnya, Nabi Musa diberi tongkat yang boleh berubah menjadi ular. Nabi Muhammad SAW diberikan Al-Quran. Al-Quran juga merupakan mukjizat terbesar Nabi SAW. Oleh itu, dalam memujuk dan menarik hati orang kepada Islam, kita boleh gunakan isi kandungan Al-Quran. Contohnya, dalam Al-Quran diceritakan bahawa ada 6 kali disebut tentang Haman yang tiada rekod tentangnya di Mesir, atau jika ada sekalipun orang tidak tahu membacanya. Sebagai contoh lain pula, di dalam Al-Quran, pada era Nabi Musa, gelaran yang diberi kepada Raja ialah Firaun. Tetapi pada era Nabi Yusuf, gelarann yang digunakan ialah ‘Malik’. Pengetahuan ini tidak mungkin datang daripada Nabi Muhammad SAW melainkan ianya adalah wahyu sebenar daripada Pencipta, iaitu Allah.

S: Dengan kajian Al-Quran, berlaku banyak penemuan sains yang membantu kehidupan manusia. Namun mengapa saintis barat hanya mengkaji sains tetapi masih menolak Islam?
J: Sains ialah kajian. Al-Quran banyak meransang manusia untuk mengkaji alam ini. Dalam banyak ayat Allah bertanya ‘Tidakkah kamu melihat …’. Al-Quran melahirkan minda saintifik. Allah menyuruh kita berjalan dan lihat (analisa) tentang kehidupan sebelum ini. Sayangnya ramai umat Islam hari ini lebih ramai yang berhibur berbanding mengkaji. Para saintis Islam dahulukala semuanya mengkaji kerana mendapat ransangan daripada Al-Quran. Walaupun saintis Barat banyak mengkaji, mereka perlukan hidayah Allah untuk menerima Islam. Sebenarnya, semakin ramai yang mendapat hidayah dan telah memeluk Islam melalui kajian mereka.

S: Saya biasa melakukan usrah dan membaca Quran dan merujuk kepada terjemahan. Kami tidak berani ulas kerana takut tersasar. Mohon tip untuk mendekati Al-Quran?
J: Mari kita berazam untuk menjadi hamba Allah yang diredhai. Sebagai rujukan untuk mendekati Al-Quran, dapatkan tafsir Al-Azhar oleh Hamka dan juga tafsir Ibnu Kathir yang juga boleh diperoleh dalam terjemahan Bahasa Melayu. Baca Al-Quran dengan tajwid yang betul dan bincangkan maksudnya menggunakan terjemahan daripada kitab-kitab yang dinyatakan.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab