Kepentingan memberi nama, mendidik anak dan berdoa - Tafsir Quran: Ayat 36 & 37, surah Ali-Imran


Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta’lim Darul Murtadza, 26.04.2013



Huraian ayat 36:


Setelah melahirkan dan didapati anaknya perempuan, isteri Imran iaitu Hannah, berasa bersalah dan mengungkapkan penyesalan kerana tak mampu memberikan bayi lelaki untuk diwaqafkah kepada rumah Allah. Dia sedikitpun tidak buruk sangka pada Allah. Para solihin sentiasa menisbahkan hal baik yang berlaku kepada Allah, dan hal buruk yang berlaku akan dinisbahkan kepada diri mereka sendiri, walhal segala sesuatu datangnya daripada Allah.

Nabi Ibrahim sendiri pernah mengungkapkan bahawa “Jika saya sakit, Engkau Yang menyembuhkan”. Dia tidak mengatakan, “Jika Engkau beri aku sakit..”. Begitulah sikap para Anbiyaa.
Seterusnya disebutkan bahawa lelaki tidak sama dengan perempuan. Ada dua pendapat yang mentafsirkan ayat ini. Pendapat pertama mengatakan yang ayat ini ialah kata-kata ibu Siti Mariam kerana orang yang biasanya berkhidmat di rumah Allah itu ialah lelaki, maka tidak samalah antara lelaki dan perempuan. Pendapat kedua mengatakan ini adalah ayat Allah untuk memberitahu bahawa Siti Mariam itu tidak sama dengan mana-mana lelaki dan dia dimuliakan Allah dengan dilahirkan Nabi Isa daripadanya.

Nama ‘Mariam’ bererti ‘yang mengabdikan diri di rumah Allah’. Walaupun anaknya perempuan, Hannah tidak melepaskan peluang menamakan anaknya sesuai dengan nazarnya. Nama memberi kesan yang besar kepada anak. Nabi SAW bersabda, “Berilah nama yang baik kepada anak kamu. Sesungguhnya nama itu akan dipanggil di hari kiamat”. Nabi SAW juga mengubah nama beberapa orang sahabat yang tidak baik kepada yang baik maknanya. Nabi SAW juga suka menyimpan harapan baik kepada nama-nama yang baik. Sebelum singgah di sesuatu tempat, baginda SAW akan bertanya nama tempat tersebut. Sekiranya namanya baik, barulah baginda akan bersetuju. Suatu hari pernah Nabi SAW bertanya, “Siapakah yang boleh menuangkan susu?” Lalu bangun seorang dan ditanya namanya oleh baginda. Tetapi oleh kerana namanya tidak elok, baginda SAW menyuruhnya duduk semula. Ini berulang sehingga 3 orang, dan kemudian barulah seorang yang namanya bermaksud, “yang hidup” diizinkan Nabi SAW untuk menuangkan susu.

Dalam satu kisah - Ada salah seorang solihin masuk ke sebuah kampong dan diberitahu agar jangan lalu di hadapan sebuah rumah kerana ianya sebuh zoo. Solihin itu tidak percaya yang haiwan tinggal di dalam rumah. Oleh kerana ingin tahu, dia pun pergi ke rumah itu. Apabila diketuknya, seorang wanita membuka pintu dan bertanya, “Kau datang untuk berziarah atau untuk perli aku? Jika kau datang untuk perli, aku akan panggil haiwan-haiwanku untuk usir kau”. Solihin itu pun berkata, “Haiwan kau boleh faham ke?” Kemudian wanita itu pun memanggil, “Wahai anjing, wahai musang, wahai harimau!”. Rupa-rupanya dia memberikan nama haiwan kepada anak-anak lelakinya. Apabila dipanggil, anak-anaknya melompat seperti ingin menerkam kepada mangsanya. Kata solihin itu, “Benarlah nama itu memberi kesan kepada pemiliknya”.

Huraian ayat 37:

Dalam ayat ini Allah menyatakan yang nazar ibunya Mariam diterima dengan qabul (penerimaan) yang baik. Jika diikutkan, cukup jika Allah nyatakan ‘qabul’ tetapi Allah tambah dengan ‘qabul hasanah (yang baik) dengan penganugerahan Nabi Isa yang akan menjadi Nabi dan Rasul melalui diri Mariam kelak.

Seterusnya dinyatkan bahawa Mariam akan membesar dengan didikan yang baik – ayat ini menekankan kepentingan mendidik anak-anak. Mariam diserahkan kepada Masjid Baitul Maqdis sebagai memenuhi nazar ibunya. Walaupun adat ketika itu ialah menyerahkan anak setelah baligh, tetapi ibu Mariam menyerahkan lebih awal agar Allah yang menentukan siapa yang akan menjaga dan mendidik anaknya. Allah menentukan bahawa Nabi Zakaria yang memelihara Mariam. Nabi Zakaria sebenarnya ialah bapa saudara kepada Mariam. Nabi Zakaria merupakan salah seorang pentadbir di masjid Baitul Maqdis. Apabila Mariam diserahkan, semua pentadir merasakan mereka mempunyai hak untuk menjaga Mariam. Oleh kerana tiada persetujuan, mereka pun melakukan undian. Masing-masing pun mengambil pen yang digunakan untuk menulis kitab Taurat, yang tertera nama mereka dan dicampakkan ke dalam air. Pen yang timbul akan mendapat hak penjagaan ke atas Mariam. Setelah dicampakkan, hanya pen Nabi Zakaria yang timbul. Siapakah yang mengizinkan pen itu timbul sedangan semua pen dibuat daripada bahan yang sama? Tentunya Allah SWT. Dengan keputusan itu, Nabi Zakaria pun menjaga Mariam sehingga beliau baligh. Setelah itu, baru dibinakan sebuah mihrab di Baitul Maqdis sebagai tempat untuk beliau beribadah.
Dalam hal ini Allah menekankan kepentingan memilih pendidik terbaik untuk anak. Allah yang memilih Nabi Zakaria untuk mendidik Mariam. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita perlu mengikut akhlak yang Allah tunjukkan dalam ayat ini dengan mencari pendidik terbaik untuk anak-anak. Anak ialah produk orang-tuanya.

Mihrab ialah tempat termulia untuk beribadah. Mihrab pada zaman dahulu ialah satu bilik kecil yang terasing untuk seseorang berkhalwat dengan Allah. Dikatakan dalam beberapa riwayat bahawa mihrab Mariam mempunyai tangga untuk turun ke bawah.


Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Mariam di mihrab, dia dapati ada rezeki (buah-buahn luar biasa) di sisinya.
Mihrab Mariam tidak boleh dimasuki orang luar sewenang-wenangnya. Apa yang lebih pelik ialah buah-buahan yang ada di sisi Mariam itu adalah buah yang di luar musim. Itulah kelebihan orang yang mendapat kemuliaan daripada Allah. Ayat ini menjadi bukti keramat yang berlaku kepada para auliya’.

Nabi Zakaria pun bertanya dari mana rezeki itu datang. Jawab Mariam:


Ayat ini mengajar kita bergantung sepenuhnya kepada Allah. Kita mendapat rezeki bukan kerana gaji daripada majikan, kita mendapat kesembuhan bukan kerana ubat yang diambil, kita mendapat ilmu bukan kerana belajar, tetapi semuanya adalah kerana keizinan Allah juga. Kita tidak boleh bergantung dengan hukum sebab, tetapi perlu bergantung kepada pemberi sebab (iaitu Allah).

Ketika menyedari hal Mariam yang tidak keluar dari biliknya tetapi mendapat rezeki yang di luar musim, Nabi Zakaria yang ketika itu sudah berusia 90 tahun lebih dengan isterinya yang berumur lebih kurang sama dan dikatakan mandul, maka Nabi Zakaria pun memohon dikurniakan anaknya. Nabi Zakaria berdoa:
“Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku daripada sisi-Mu…”
Nabi Zakaria menggunakan perkataan dari sisi-Mu kerana segala kebaikan berada di sisi Allah SWT.


Nabi Zakaria meminta zuriat yang baik (toyyibah). Beliau tidak sekadar meminta zuriat, tetapi meminta zuriat yang baik. Dalam surah Mariam, ayat 4 dinyatakan dengan teliti akan doa Nabi Zakaria:

Doa ialah senjata orang mukmin. Oleh itu, jangan diperlekehkan atau di pandang doa sambil lewa sahaja. Orang-orang mukmin sebelum ini telah banyak kali memenangi peperangan kerana doanya baginda Rasulullah SAW, dan bukan kerana kekuatan yang dimiliki mereka.
Moga-moga Allah Ta’ala berikan kepada kita doa yang mustajab, dikabulkan permintaan kita dan diberikan kita zuriat yang hasanah. Amin. Allahumma Amin.

p/s: Yang baik, jom amalkan, yang tak baik, mohon teguran :) 


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab