"Kenali Nabi Yahya", tafsir ayat 39, surah Ali-Imran, MTDM 10.05.2013


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza, 
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa. KL



Ayat ini menceritakan tentang Nabi Zakaria yang telah lama menikah, tapi masih belum mempunyai zuriat. Ketika melihat keajaiban makanan yang berada di sisi Mariam, yang tidak keluar langsung daripada mihrabnya. Apa yang lebih menghairankan ialah buah yang didapati itu ialah buah yang diluar musim. Apabila ditanya Mariam daripada kamu dapat - jawabnya Allah yang memberikan. Allah memang boleh menjadikan sesuatu daripada tiada kepada ada. Tiada yang mustahil bagi Allah. Oleh itu, Nabi Zakaria yang tahu bahawa walaupun isterinya mandul, dia tetap memohon kepada Allah kerana Allah Maha Besar. Bagi kita sesuatu pemberian Allah itu besar, tapi bagi Allah ianya kecil sahaja. Kecil pada sisi Allah, tidak semestinya kecil di sisi kami.

Dalam ayat sebelumnya (38), Nabi Zakaria melafazkan doa meminta zuriat yang baik. Oleh itu, jika kita ingin minta zuriat, mintalah zuriat yang baik. Nabi SAW sendiri mendoakan kebaikan ketika pernikahan puterinya, Fatimah. Nabi SAW mendoakan agar Fatimah mendapat zuriat yang ramai. Nabi SAW akan membangakan dirinya dengan ramainya umatnya – dengan itu akan ramai orang akan dapat berkongsi syurga dengan baginda Nabi SAW. Nabi Zakaria berdoa bersungguh-sungguh dan doanya dijawab ketika beliau masih dalam solat. Ketika Allah ingin memberi, Allah boleh mempercepatkannya. Sama juga seperti kisah Nabi SAW yang sebelum solat melihat ke langit dengan harapan dalam hati agar kiblat ditukar ke arah Kaabah. Nabi SAW tidak menyatakan secara lisan dan Allah tidak menunggu sehingga Baginda habis solat untuk memaqbulkan hajat Nabi SAW. Ketika di Madinah, Nabi SAW patuh pada arahan Allah agar menghadap kiblat ke Baitul Maqdis selama 17 bulan, setelah itu barulah Allah perintahkan tukar ke arah yang baginda suka iaitu Kaabah.

Dalam satu kisah - ada seorang yang sedang musafir kehilangan unta. Dia melilau-lilau mencari dan bertemu dengan seorang yang kelihatan seperti pengemis. Orang itu bertanya jika dia dapat membantu. Jawabnya - "Engkau lebih memerlukan pertolongan berbanding aku". Pengemis itu mendesak lagi bertanya dan akhirnya diceritakan oleh musafir itu. Pengemis itu pun segera berdoa sambil mengangkat sebelah kakinya, “Ya Allah, kembalikan unta orang ini sebelum aku meletakkan kakiku ini ke tanah”. Dengan serta-merta, sebelum pengemis itu meletakkan kakinya, unta musafir itu sudah kembali. Sebagai pengajarannya, kita jangan melihat rupa luaran orang semata-mata. Mungkin jika seseorang yang nampak hina di mata kita berdoa, Allah akan maqbulkan terus. Oleh itu, jangan pandang hina pada orang lain.

Allah menjawab doa Nabi Zakaria, dan Allah terus beri nama kepada anaknya iaitu Yahya. Yahya bermaksud 'hidup', walaupun hakikatnya beliau meninggal pada usia muda. Jadi, mengapa Allah namakan dia yang ‘hidup”. Nabi Yahya merupakan seorang yang soleh dan diminati oleh seorang wanita. Nabi Yahya menolak wanita itu dan wanita itu sakit hati dan ingin membalas dendam. Inilah sifat orang yang tidak redha dengan ketentuan Allah. Wanita itu cantik dan diminati oleh seorang Raja. Raja itu meminangnya dan wanita itu mensyaratkan agar mas kahwinya ialah kepala Nabi Yahya. Maka Nabi Yahya pun syahid dibunuh Raja tersebut. Orang yang syahid tidak mati sebenarnya, dan hidup di sisi Allah. Oleh sebab itulah, namanya 'Yahya' iaitu yang ‘hidup’ di sisi Allah.

“Bahawasanya Allah memberi khabar menggembirakanmu..”
Allah 'ucap' tahniah pada keluarga yang mendapat zuriat. Oleh itu, kita juga perlu mengucapkan tahniah pada orang yang baru mendapat zuriat. Berilah tahniah dalam bentuk doa (rujuk poster di bawah).


“..yang akan beriman dengan Kalimat daripada Allah..”
“Seorang anak bernama Yahya, yang akan beriman dengan Kalimat dari Allah..”
Apa yang dimaksudkan dengan “Kalimat dari Allah”? Antara Nabi Yahya dan Nabi Isa tidak jauh beza umur - dikatakan jaraknya 6 bulan. Ibu kepada Nabi Yahya ialah adik beradik kepada ibu Nabi Isa. Nabi Yahya lebih tua 6 bulan, dan kenabian mereka berlaku pada masa yang sama. Nabi Yahya mengimani kalimat  yang dibawa Nabi Isa. Kenapa dikatakan Nabi Isa itu kalimat daripada Allah? Malaikat menyerupai seorang lelaki dan masuk ke mihrab Mariam. Mariam terkejut dan berkata - "Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Penyayang. Jika kamu orang yang bertaqwa, kamu takkan mengapa-apakan aku". Inilah sifat wanita soleh yang tidak mudah untuk diajak melakukan maksiat. Malaikat pun menerangkan yang dirinya ialah malaikat yang datang untuk memberitahu yang Mariam akan mengandung. Mariam bertanya bagaimana dia akan mengandung sedangkan dia tidak berkahwin. Malaikat pun berkata, Jika Allah mengatakan 'kun' maka jadilah sesuatu yang Allah kehendaki. Setelah Allah menyebut ‘kun’ ketika malaikat melawatnya, maka bermulalah kehamilan Mariam. Oleh sebab itu, Nabi Isa juga digelar “kalimat Allah’ kerana kejadiannya bermula dengan kalimat yang Allah ucapkan.

“..dan akan menjadi ketua (sayyid)..”
Ada banyak maksud ‘sayyid’. Antaranya mulia, atau orang yang menjadi pemimpin ketuanya. Ada 2 orang yang Nabi SAW gelar sebagai ‘Sayyid’ iaitu seorang Ansar bernama Saad ibnu Muadz yang menjadi ketua kaumnya dan cucu Baginda sendiri iaitu Hassan kerana beliau akan mendamaikan 2 kumpulan muslimin yang sedang bertelagah dan sekaligus mengelakkan daripada pertumpahan darah yang besar.

“..dan menahan diri daripada berkahwin..”
Perkataan ‘hasur” bermaksud orang yang tidak mempunyai nafsu tetapi itu bukan maksudnya kepada Nabi Yahya kerana Nabi tidak mempunyai kekurangan atau aib. Dalam ayat ini maksudnya, Nabi Yahya berjaya mengawal nafsunya.

Nabi Zakaria mendapat durian runtuh dengan kurniaan Allah ini, dan hatinya berbunga-bunga untuk mengungkapkan rasa gembiranya. Apakah yang diungkapkan Nabi Zakaria? To be continued :)

p/s: 29.05.2013 - Maaf, tertinggal petikan ayatnya sebelum ini.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab