“Nak, jom solat”(1) – Tanyalah Ustaz 31.05.2013

Ustaz Muhidin Mokter


Bacaan surah Taha, ayat 130-132:

Ada 3 pengajaran daripada ayat-ayat ini:
  1. Solat bukanlah mudah untuk dilakukan, dan kita hanya akan terasa seronok sekiranya ianya dilakukan dengan penuh kusyuk dan tawadduk
  2. Jangan kita terpengaruh dengan nikmat dunia yang diberikan kepada orang-orang kafir
  3. Didiklah anak untuk solat dengan sabar
Mengapa solat penting?
Inilah tunggak agama sepertimana yang disabdakan Nabi SAW – “Solat itu tiang agama”. Tanpa solat, agama tiada nilainya di sisi seseorang.

Ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak solat hari ini. Oleh itu, kita perlu didik anak sedari kecil lagi untuk solat. Besarkan anak dalam keadaan solat – di rumah kita solat, dalam perjalanan, di pejabat pun begitu juga agar dapat menjadi teladan kepada anak-anak.

Dalam satu hadis riawayar Tabrani, Nabi SAW bersabda, “Tiada ada satu kanak-kanak kecil yang membesar dengan mengabdikan diri  kepada Allah sehingga besar dan mengekalkan agamanya sehingga meninggal, akan dikurniakan ganjaran pahala 99 darjat orang siddiqin”. Orang siddiqin ialah orang yang mempunyai darjat yang tinggi dan akan bersama para syuhada dan solihin di akhirat nanti.

Untuk mengajar anak solat sedari kecil, ibu-bapa perlu mewujudkan sekeliling yang mengutamakan solat. Bila azan berkumandang, segera bersedia untuk solat. Jika dengar azan pun ibu bapa buat tak tahu, bahkan tukar saluran TV pula, ini akan menjadi contoh yang tidak baik kepada anak-anak.

Senarai soalan dan jawapan
S: Dalam surah Ar-Rum, ayat 31 – Allah menyuruh kita solat agar tidak menjadi musyrikin (orang yang syirik). Mohon pencerahan.
J: Kenapa dalam ayat ini Allah kaitkan solat dengan syirik? Orang solat akan mengutamakan dan bergantung hati dengan Allah. Orang yang tidak solat mungkin akan cuba mencari tempat lain untuk bergantung dan sekaligus melakukan syirik tanpa sedar. Oleh itu, selain menekankan anak solat, kita perlu juga tekankan kepada anak sebab kita solat. Kita perlu terangkan yang Allah tak perlukan solat dan ibadat kita tetapi kitalah yang perlukan kepada Allah.

S: Anak saya baru berumur 4 dan 7 tahun dan belum faham tentang solat, tetapi saya ajan mereka berjemaah dengan saya. Adakah mereka dikira makmum dan saya perlu berniat sebagai imam?
J: Ini ialah umur yang baik untuk diajarkan solat. Nabi SAW suruh ajar anak solat setelah mereka mumayyiz – tahu membezakan yang kiri dan kanan, atau yang baik dan buruk. Jika anak sudah mumayyiz dan membersihkan diri dengan betul, dan mengambil wudhuk dengan betul, maka adalah sunat bagi mereka solat dan akan diberi ganjaran ‘advance’ sebelum mereka baligh. Maka harus bagi ayah niat imam bila solat bersama mereka bagi mendapatkan pahala berjemaah.

S: Bolehkan anak berumur 13 tahun yang sudah tahu solat, belum baligh, tapi sudah berkhitan menjadi imam kepada ibu dan neneknya?
J: Hukumnya harus (boleh) dengan syarat dia mumayyiz, suci daripada hadas dan tahu hukum-hakam solat (tahu apa yang rukun, apa yang sunat).

S: Lepas wudhuk, apa makna doanya?
J: Dalam doa ini ada tiga bahagian iaitu:
  1. Ya Allah jadikan kami orang yang bertaubat kepada-Mu – sebagai manusia kita tidak terkecuali daripada melakukan dosa. Oleh itu kita minta pengampunan dan Allah sayang pada orang bertaubat.
  2. Ya Allah jadikan kami orang yang suci – suci ini merangkumi suci zahir dan batin. Oleh itu kita perlu cuba bersihkan hati daripada sifat mazmumah.
  3. Jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang soleh  – iaitu untuk menjadi orang yang rapat dengan Allah dengan mentaati suruhan dan meninggalkan larangannya.
S: Solat dapat mencegah daripada perbuatan mungkar. Selain mengajak anak solat, bolehkan kita mengamalkan doa untuk anak-anak solat?
J: Solat yang dilakukan dengan penuh kusyuk akan mempunyai impak yang besar iaitu dapat menghalang seseorang itu daripada melakukan perbuatan mungkar. Dalam mendidik anak dua bahagian – satu ialah usaha ibu bapa dan yang kedua ialah doa kepada Allah. Kita tidak boleh sombong dengan usaha kita semata-mata.

S: Solat dan majlis ilmu adalah dituntut. Tetapi jika majlis ilmu sedang berlangsung dan azan berkumandang, mana yang perlu diutamakan?
J: Betul, selalu berlaku di masjid-masjid kita kuliah diadakan selepas waktu Maghrib, dan jarak dengan solat Isyak itu tidak lama. Dalam hal ini perlu dilihat keutamaan yang lebih tinggi. Jika solat menyebabkan majlis ilmu tergantung dan tidak sampai mesejnya, tidak mengapa dilewatkan sedikit kerana kita bukan sengaja melewat-lewatkan solat itu. Kadang-kadang ada majlis yang memberi manfaat lebih besar, maka harus juga melambatkan sedikit solat Isyak agar program berjalan lancar. Tetapi jika tiada apa-apa, janganlah dibiasakan begitu.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab