Rasulullah SAW – Guru Sepanjang Zaman (3) – Tanyalah Ustaz 19.05.2013


Ustaz Mustafa Kamal Hamzah



Bacaan surah Qalam, ayat 1-4:

Ayat ini menyatakan bahawa Nabi SAW merupakan seorang yang bijaksana. Seseorang itu akan mendapat ilmu dengan mendengar dan menulis.

Akhlak Rasulullah SAW ialah Al-Quran. Antara akhlak baginda yang boleh ditiru oleh guru ialah:
  • Sabar dengan karenah anak murid – “Sesungguhnya Allah bersabar dengan orang yang sabar”.
  • Sabar dalam menyampaikan ilmu – Kejayaan guru bukan diukur dengan tingginya ilmu, tetapi lebih kepada pembetukan akhlak pelajar yang baik. Kata ulama, “Jadikan ilmu kamu seperti garam, dan akhlak kamu seperti tepung”. Biarlah ilmunya sedikit, tetapi ibadat dan akhlaknya baik berbanding memiliki ilmu yang tinggi tetapi tidak beribadat dan berakhlak. Guru sebenar ialah guru yang membawa kepada ubudiyyah kepada Allah dan bukan mencari harta semata-mata.
  • Sabar dengan berdoa kepada Allah – Doakan anak murid, dan doakan agar diberi keihklasan dalam menyampaikan ilmu Allah. Allah sangat kasih pada orang berilmu dan bertaqwa pada-Nya.
  • Guru juga perlu berlapang dada dan menghormati anak murid juga

Perkata terpenting ialah akhlak dan kerana itulah Nabi SAW diutuskan kepada kita. Akhlak ini meliputi seluruh aspek kehidupan – dalam ibadat, ketika bersama keluarga dan masyarakat, ekonomi, dan sebagainya. Begitu juga dalam pendidikan, ada juga akhlak yang tertentu. Ketika mengajar Nabi SAW tidak marah kepada orang yang tidak tahu, tetapi baginda menunjukkan contoh yang baik.

Senarai soalan dan jawapan

S: Suatu ketika dahulu, guru dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Tetapi keadaan berbeza hari  ini sehinggakan pelajar berani memusuhi dan melawan guru. Adakah ini kerana pelajar hari ini sudah tidak tahu adab berguru?
J: Betul, tetapi sebelum kita ingin dihormati, kita perlu menghormati orang lain terlebih dahulu. Sebelum ingin disayangi, maka kita perlu menyayangi orang lain. Guru jangan tunggu dijemput, tetapi turut berkhidmat kepada masyarakat. Guru perlu berlemah-lembut dan  bermanis muka dan menunjukkan akhlak yang baik kerana bukan sahaja pelajar yang melihatnya, bahkan ibu bapa dan masyarakat juga. Guru perlu tawadduk (rendah diri) – siapa rendah diri, Allah akan muliakan dia.

S: Jika umat Islam kuat akidah dan imannya, maka ekonomi, perpaduan dan umatnya akan menjadi kuat daripada serangan musuh. Kenapa ini tidak berlaku?.
J: Nabi SAW berjaya mendidik akidah yang mantap kepada sahabat dan pengikutnya. Maka dengan itu turunlah keberkatan dari langit kepada mereka.  Oleh itu, guru perlu tanamkan akidah kepada anak-anak. Berikan contoh yang mengaitkan anak-anak dengan Nabi SAW, tentang Allah, dan seumpamanya. Contohnya, “Jika nak bercerita, berceritalah tentang Nabi SAW agar dapat menyemai mahabbah kepada Nabi. Di samping itu, guru juga perlu menekankan kekuatan ibadat dan turut melakukannya bersama anak murid. Contohnya, guru menjadi imam solat berjemaah. Sekolah yang berjaya biasanya banyak membaca Al-Quran, gurunya solat berjemaah bersama murid dan mendoakan murid.

S: Apakah hukumnya mencerca Rasulullah SAW dan mengata guru dan alim ulama’?
J: Jika mencerca Nabi SAW, hukumnya berdosa besar dan orang yang membenci orang yang dikasihi Allah akan dibenci Allah. Guru juga tidak boleh dicerca kerana itu sebahagian daripada adab kepada guru.
Adab dengan Allah, banyakkan berzikir ‘La ila haillallah’,
Adab dengan Baginda Rasulullah SAW, banyakkan berselawat,
Adab dengan ibu bapa, banyakkan berdoa,
Adab dengan guru, hendaklah menghormatinya.
Maka, berdosa jika seseorang guru dicerca.

S: Apa hukumnya pelajar perempuan mencium tangan guru lelaki?
J: Kita memang perlu menyayangi guru – guru kita, guru ibu bapa dan guru anak-anak kita. Namun, ada batasan pergaulan antara guru lelaki dan murid perempuan. Hukumnya haram bersalaman antara guru lelaki dan anak murid perempuan. Ada satu kisah seorang ulama datang ke Malaysia dan dijemput menjadi tetamu di sebuah rumah milik orang Malaysia. Mereka bertemu dan berbual mesra. Namun setelah itu, ulama menolak untuk menjadi tetamunya. Apabila ditanya kenapa, ulama itu menyatakan bahawa setelah berbual didapati dia pernah belajar dengan datuk orang Malaysia tersebut dan kerana enggan menyalahi adab kepada cucu gurunya, dia menolak pelawaan menjadi tetamunya. Inilah cara orang berilmu menjaga adab kepada guru mereka. Walaupun gurunya itu telah lama meninggal dunia, dan cucunya itu hanya orang biasa dan tidak alim, ulama itu tetap menghormatinya. Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang kasihkan dan memuliakan gurunya. Guru perlu dikasihi tapi jangan sehingga melanggar perkara yang Allah larang.

S: Saya musykil kerana ada pendapat mengatakan ajaran Rasulullah SAW hanya sesuai untuk zaman dahulu dan tidak relevan lagi sekarang. Apa pendapat ustaz?
J: Pendapat ini salah. Allah utuskan Nabi SAW sebagai contoh untuk sepanjang zaman. Ini berlaku kerana seseorang itu tidak betul-betul mengenali Rasulullah SAW, sedangkan baginda telah memberikan contoh dalam semua sudut dan bukan sekadar sudut ibadat saja. Perhatikan juga – adakah orang yang mengikut Nabi SAW itu berjaya atau orang yang tak mengikut Nabi SAW. Kejayaan tidak boleh diukur dengan materialistik sahaja tetapi daripada segi kebahagiaan jiwa juga. Sebagai umat Islam, kita perlu mencontohi Nabi SAW dan menunjukkan contoh yang baik agar orang lain memandang tinggi kepada Islam. Orang biasanya memusuhi apa yang tidak dikenalinya. Contohnya, Sy Umar sebelum Islamnya sangat memusuhi Islam, namun setelah memeluk Islam dan mengikut Nabi SAW, beliau telah berjaya menyebarkan Islam sehingga ke 2/3 dunia. Oleh itu, kita semua perlu mencontohi Nabi SAW. Jangan bermusuh-musuhan, saling mencela atau membuka aib orang.

p/s: Yang baik, jom kita amalkan, yang kurang baik, mohon teguran :)

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab