Amalan Sunat (2) – Tanyalah Ustaz 09.05.2013


Ustaz Muhammad Nidzam Abdul Kadir


Tiada orang yang boleh pasti bahawa amalan fardhunya telah sempurna, oleh itu amalan sunat boleh digunakan untuk menampung kekurangan yang pasti berlaku dalam solat, puasa, zakat dan ibadah khusus yang lain.

Kepentingan amalan sunat adalah untuk mendapatkan penjagaan Allah di dunia, mendapat ganjaran di akhirat dan mestilah bersumberkan hadis yang sahih.

Senarai soalan dan jawapan
S: Bolehkah dilakukan inovasi dalam amalan sunat?
J:  Ibadat seperti solat sunat, puasa sunat dan yang berkaitan ibadat khusus tidak lagi boleh diubahsuai. Contohnya tidak boleh puasa sunat setengah hari sahaja. Puasa, walaupun sunat mesti mengikut syariat yang telah ditetapkan. Tetapi dalam ibadat umum, inovasi adalah dibenarkan. Contohnya dalam hal kendura-kenduri, kita boleh memperkenalkan gotong-royong untuk saling membantu.
Dalam surah Al-Haj, ayat 77:

Allah Ta’ala nyatakan 3 perkara dalam hal ini - Hubungan seorang Muslim dengan Allah – melalui solat dan ibadat kepada Allah, dan buatlah perkara baik – menggambarkan hubungan baik dengan orang sekeliling kita. Perkara baik itu umum dan boleh dipelbagaikan dan dibuat inovasi. Contohnya – makan malam amal dan sebagainya.

S: Bagaimana melakukan amalan sunat berdasarkan hadis dhaif?
J: Kitab-kitab Jawi kita yang dulu-dulu kebanyakannya tidak memberikan rujukan sumber hadis. Amalan khusus mesti bersumberkan daripada Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Pahala, syurga adalah milik Allah, oleh itu perlu mengikut syariat yang Allah tentukan. Hadis ada juga yang dipalsukan. Oleh itu, amalan yang ingin kita lakukan mesti bersandarkan hadis yang sahih. Antara tip beramal dengannya:
  • Amalan itu mesti bersumberkan hadis yang sahih. Contohnya, jika ada 10 hadis menyebut tentang sesuatu amalan, dan hanya 2 daripadanya ialah hadis sahih, maka kita beramal kerana hadis sahih itu. Mungkin hadis sahih tidak menyebut ganjaran tetapi disebutkan dalam hadis daif. Jadi, kita beramal kerana hadis sahih itu.
  • ulama mengatakan janganlah hadis itu pada tahap yang melampau lemah.
  • Tanyalah pada orang yang berilmu dan gunakan buku berkualiti sebagai rujukan.

S: Ada orang yang memperelokkan amalan (sunat) di hadapan orang lain. Adakah amalan ini wajar?
J: Allah Maha Tahu apa yang kita lakukan. Kita kena ingat yang di akhirat nanti kita akan dipersoalkan semula adakah ibadat yang dilakukan adalah untuk Allah atau untuk tontonan manusia. Contohnya, jika dirumah kita solat tak pakai baju, pergi ke surau pun kita mesti buat yang sama. Jangan kita pakai cantik-cantik kerana ingin menunjukkan kepada orang lain.

S: Adakah wajar jika kita bersikap tidak peduli dengan amalan sunat?
J: Keutamaan kita memang ibadat yang khusus. Tetapi jika kita ada kelapangan dan kemampuan, jangan kita memandang rendah pada amalan sunat. Kita ingin menambah pahala dan kekurangan atas amalan wajib kita. Contohnya doa sebelum masuk tandas – memang tiada masalah jika kita tak baca, tapi jika diperhatikan maknanya – kita sebenarnya memohon perlindungan daripada Allah daripada gangguan syaitan yang kita tidak nampak. Ini sebenarnya adalah perkara yang besar dan tak wajar jika ditinggalkan. Contoh lain ialah amalan membaca surah Kahfi pada hari Jumaat. Jika tak mampu baca sepenuhnya, boleh baca 10 ayat yang pertama dan hadis Nabi SAW menyebut bahawa kita akan dijaga daripada fitnah dajjal. Fitnah dajjal ini mungkin datang dalam bentuk fahaman sesat dalam agama kita.

S: Bilakah amalan sunat boleh ditinggalkan?
J: Contohnya dalam mendahulukan perkara yang lebih utama – contohnya menjada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Contohnya Imam Syafie diminta menjadi imam solat Subuh di masjid pengikut mazhab Hanafi. Walaupun Imam Syafie mengatakan doa Qunut itu ialah sunnah muakkad, tetapi beliau meninggalkannya demi menjaga hati para makmumnya. Sorang sahabat Nabi iaitu Abdullah ibnu Mas’ud pernah bersama Nabi Muhammad SAW mengerjakan haji, dan ketika itu baginda solat cuma 2 rakaat (solat Qasar). Ketika Sy. Uthman menjadi khalifah dan mengerjakan haji, beliau solat 4 rakaat (tidak mengqasarkan) dan Abdullah ibnu Mas’ud mengikut apa yang dilakukan Sy. Uthman demi menghormati hati khalifah ketika itu.

S: Adakalanya amalan sunat dipaksa untuk dilakukan. Adakah wajar?
J: Contohnya – solat tahajjud beramai-ramai di sekolah. Ini mungkin bertujuan sebagai pendidikan. 

S: Bagaimana dengan sikap orang yang mengutamakan amalan sunat berbanding amalan fardhu?
J: Kita sepatutnya merasa lebih seronok dengan amalan fardhu berbanding dengan amalan sunat. Kata ulama, “Jika seseorang menjaga amalan sunat melebihi amalan fardhunya, maka dia telah ditipu daya syaitan”. Amalan sunat tidak akan diterima sekiranya amalan fardhu belum dilaksanakan. Oleh sebab itu, Rasulullah sangat mengutamakan rukun iman dan rukun Islam.

S: Bagaimana jika isteri puasa sunat tanpa izin suami?
J: Nabi SAW menyuruh kita agar jangan mengabaikan hak orang lain dalam mengerjakan amalan sunat. Contoh lain ialah pekerja yang rajin puasa sunat, tetapi menyebabkan dia letih untuk melakukan tugas hakikinya di pejabat. Perkara sebegini tidak boleh dilakukan.

p/s: Mohon maaf atas kekurangan. Yang baik jom kita amalkan, yang tak baik, sila beri teguran :)


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab