"Amal selepas berilmu!" - Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani


Terjemahan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza, 19.04.2013


Saya bersyukur kepada Allah dengan kemudahan untuk sampai dan menghadiri majlis ini. Ini kali ketiga saya sampai ke sini. Semoga Allah memberi barakah kepada majlis ini, untuk semua yang hadir, untuk negeri ini dan juga untuk semua manusia.

Apa yang patut dilakukan setelah mendapat ilmu? Kita telah mendengar tafsir kalamullah, kemudian kita mendengar hadis Nabi SAW, serta ilmu dan kata-kata solihin iaitu Imam Al-Ghazali dan Imam Al-Haddad. Selepas mendapat ilmu, kita perlu beramal! Dalam hadis Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang ilmunya semakin bertambah tetapi amalnya tidak bertambah, maka dia adalah semakin jauh daripada Allah SWT”. Di dalam kitab Zubar disebutkan bahawa orang yang mengetahui satu ilmu dan tidak mengamalkan ilmu itu, maka dia akan diazab Allah sebelum penyembah berhala dihukum Allah. Oleh bersyukurlah kita berada di dalam majlis ilmu, tetapi perlu diingat bahawa ilmu itu menuntut untuk kita mengamalkannya.


Sayyidina Umar ibnu Khattab mengambil masa setahun untuk menghafal surah Al-Baqarah. Katanya, “Kami tidak menghafal Al-Quran sebanyak 3 ayat dan kami tidak menambahkan hafalan kami melainkan kami sudah menghafal betul ayat itu, faham maknanya dan mengamalkan tiga ayat tersebut”. Oleh kerana itu, beliau mengambil masa setahun untuk menghafal surah Al-Baqarah.

Oleh kerana itu, bilamana kita menginginkan Allah memberikan kita manfaat dengan ilmu yang kita pelajari, hendaklah kita mengamalkan ilmu tersebut. Tempat utama untuk kita memulakan ialah rumah-rumah kita sendiri. Adakah rumah kita mirip seperti rumah Nabi Muhammad SAW. Rumah ialah tempat pertama untuk kita menerapkan pendidikan dan pengajaran dan mempraktikkan apa yang diajar baginda Rasulullah SAW. Apa yang sedang berlaku di rumah kita pada saat ini? Dalam satu hadis, ketika ditanyakan kepada Aisyah akan keadaan Baginda Nabi SAW dirumah, beliau menjawab, “Baginda SAW sama seperti orang lain – terkadang baginda menyapu, terkadang baginda menjahit baju/seliparnya yang koyak. Baginda sentiasa berada dalam keadaan membantu ahli keluarganya yang lain. Tetapi bilamana azan dilaungkan, baginda seakan-akan mengenal kepada kami lagi”. Sesibuk bagaimana sekalipun Baginda Nabi SAW, baginda tidak mengabaikan solat dan tidak mengabaikan hak ahli keluarganya. Bagaimana dengan kita? Adakah kita membantu ahli keluarga kita di rumah? Adakah kita pernah menjahit baju kita yang koyak? Adakah kita segera menjawab seruan azan untuk solat berjemaah? Nabi Muhammad SAW tidak pernah solat di rumah kecuali 3 hari ketika sakit sebelum baginda wafat.

Baginda Rasulullah SAW hidup dalam keadaan sederhana dan tidak bermewah-mewah. Alas tidur baginda hanyalah sekeping tikar, dan tidak seperti bilik tidur kita yang mewah dengan tilam dan hiasannya. Pada suatu hari, Aisyah melipatnya menjadi dua lapis agar lebih tebal. Baginda pun tidur dan setelah bangkit baginda bertanya, “Apa yang telah berlaku kepada alas tidurku ini?” Jawab Aisyah, “Aku telah melipatnya wahai Rasulullah”. Baginda pun berkata, “Kembalikan seperti sediakala kerana ianya telah melalaikan aku daripada solat”. Kata Anas bin Malik, “Baginda tidak pernah makan 2 kali dalam sehari. Jika sudah makan tengahari, baginda tak makan malam. Jika sudah makan malam, baginda tak makan tengahari. Baginda tidak pernah makan roti atau daging yang sedap”. Kata Sy. Aisyah, “Terkadang sehingga 6 atau 3 kali muncul anak bulan, tiada api yang menyala di rumah Nabi SAW”. Lalu seorang wanita bertanya, “Jadi, jka tiada api yang muncul (tiada apa yng dimasak) apa yang dimakan?” Jawab Sy. Aisyah, “Saya minum air kosong dan makan kurma”.

Isteri baginda Rasulullah hidup dalam keadaan menjaga maruah, beribadah kepada Allah SWT, dan bermujahadah. Dalam Al-Quran, Allah berfirman:

Ini ialah perintah Allah kepada isteri Nabi, ahli keluarganya dan perempuan yang beriman. Maruah mereka terjaga dengen menjaga hijab. Pada suatu malam, isteri Nabi SAW yang bernama Zainab datang melawat Nabi SAW yang sedang beriktikaf di Masjid Nabawi. Walaupun jarak rumah Nabi SAW ke masjid hanyalah beberapa langkah sahaja, Nabi SAW tidak membiarkan isterinya pulang sendirian dan ditemaninya. Ketika dalam perjalanan itu, Nabi SAW ternampak ada 2 sahabat yang terlihat mereka, lalu Nabi SAW memanggil dan memberitahu mereka bahawa wanita yang bersamanya itu ialah isterinya. Sahabat itu pun menjawab, “Ya Rasulullah, semoga Allah mengampunkan kepada engkau. Kami tak akan menuduh perkara yang bukan-bukan kepada engkau”. Jawab baginda, “Sesungguhnya saya khuatir kamu akan buruk sangka dan kamu akan celaka”. Inilah sifat Nabi SAW – baginda tidak redha isterinnya pulang sendirian walaupun jaraknya yang sangat dekat. Wahai kaum suami, bagaimanakah kita melayan para isteri kita? Dengan keadaan wanita hari ini yang bebas bergerak ke sana-sini, adakalanya para isteri keluar tanpa izin suami. Dalam hadis, Nabi SAW bersabda bahawa malaikat akan melaknat isteri yang keluar rumah tanpa izin suaminya sehinggalah dia pulang kembali ke rumahnya. Marilah kita bersama memperbaiki keadaan rumah kita, isteri kita, anak-anak kita agar dapat meneladani rumahnya baginda Rasulullah SAW.

Di dalam Al-Quran, Allah memerintahkan Nabi SAW menyuruh ahli keluarganya mendirikan solat. Jika suruhan ini diberikan kepada Nabi SAW, bukankah kita lebih patut mentaatinya. Pesanan pertama oleh Luqman Nul-Hakim kepada anaknya juga ialah untuk mendirikan solat. Al-Habib Muhammad bin Abdullah Al-Haddad selalu bercerita tentang seorang yang alim dalam ceramahnya. Orang alim itu ditangkap oleh penguasa yang zalim dan disiksa sehingga dia hampir meninggal dunia. Kemudian, ada orang tengah membuat rayuan dengan penguasa dan orang alim itu pun dibebaskan. Orang ramai menyambut kepulangannya dan melemparkan kata-kata keji kepada penguasa yang zalim itu. Orang alim itu melarang dan berkata, “Jangan kamu maki kepada penguasa yang zalim itu”. Orang ramai pun hairan dan bertanya kenapa. Jawabnya, “Saya layak mendapat siksaan seperti yang dikenakan itu kerana sebelum ditangkap, setiap hari saya akan bertanya kepada pembantu rumah saya tentang solatnya. Pada suatu hari, saya terlupa bertanya dan saya pun ditangkap. Saya sebenarnya telah dihukum Allah SWT melalui penguasa zalim yang menangkap saya itu. Ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW – Apabila manusia meninggalkan mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah apa yang mungkar, Allah akan menghukum mereka dengan orang yang jahat dan doa mereka tidak diterima Allah SWT”.

p/s: Mohon maaf atas kekurangan. Yang baik jom kita amalkan, yang tak baik, sila beri teguran :)

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab