Si Tanggang Moden – Tanyalah Ustaz 29.05.2013

Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek


Bacaan surah Fatihah:

Ayat Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca di dalam solat, bahkan mempunyai seribu satu kelebihan. Seorang sahabat Nabi menggunakan surah ini untuk mengubati seorang ketua kampung tanpa mengetahuinya dan Nabi SAW pun bertanya bagaimana dia tahu yang surah ini adalah satu bentuk ruqyah. Dalam mengamalkan surah ini, setelah dibaca ayat 6, mohonlah dalam hati agar Allah beri panduan untuk mendidik anak dengan baik.

Si Tanggang ialah kisah seorang anak dibela dengan ibunya dengan penuh kasih-sayang, tetapi setelah berjaya dan mengahwini anak raja, dia menderhaka ibunya kerana malu dengan keadaan ibunya yang miskin. Dia akhirnya disumpah menjadi batu oleh ibunya. Wallu’alam, kisah ini benar atau tidak. Tetapi kita meyakini bahawa doa seorang ibu itu mustajab.

Kisah derhaka sebegini masih ada berlaku di zaman ini. Contohnya ada pelajar yang belajar di bandar, dan malu dengan ibu di kampung yang miskin, atau cacat yang ingin datang melawat mereka.

Semoga ilmu yang diperolehi, boleh kita amalkan dan sampaikan pula kepada yang lain.

Senarai soalan dan jawapan

S: Apakah yang dimaksudkan dengan si Tanggang moden?
J: Sama juga seperti Tanggang lama, tetapi bentuk derhakanya mungkin berbeza dengan menyakiti hati ibu bapa setelah dewasa dengan tidak menjaga mereka, atau memberi belanja keperluan contohnya.

S: Ibu bapa mendidik anak dengan sepenuhnya, tetapi mengapa masih berlaku anak yang tidak mendengar kata?
J: Mungkin kerana pendidikan agama yang diberi tidak mencukupi dan tiada penerapan nilai-nilai Islam di rumah itu sendiri. Ibu bapa hanya mengharapkan sekolah dan guru sahaja. Ibu bapa suruh anak solat tetapi mereka sendiri tidak solat. Ibu bapa sendiri yang perlu mendidik anak melakukan amal soleh dan meninggalkan maksiat. Sebab kedua mungkin kerana ibu bapa terlalu tegas (‘skema’) sehingga anak tidak rasa terhibur berada di dalam rumah. Di luar rumah ada banyak bentuk hiburan bersama kawan-kawan dan ibu bapa perlu pandai menggunakan peluang seperti ini untuk menarik hati anak-anak. Luangkan masa bersukan/beriadah dengan anak-anak agar mereka berasa lebih gembira bersama keluarga berbanding jika meluangkan masa dengan kawan-kawan.

S: Apakah kesan anak degil kepada masyarakat?
J: Anak-anak akan tunjuk perangai ibu bapanya di sekolah. Jika ibu menjerit di rumah, begitulah anaknya di sekolah. Guru-guru sudah tahu, tetapi tak sampai hati nak beritahu ibu bapa. Mereka ini akan mengganggu anak-anak lain yang ingin belajar. Jika terlalu teruk, mungkin akan malas belajar, ponteng sekolah dan  akhirnya akan menyebabkan anak dibuang sekolah. Namun, itu bukanlah penyelesaian yang terbaik. Di luar sana, ada ramai yang ingin mengambil anak-anak muda sebagai pelapis penjenayah. Oleh itu, keluarga terutamanya ayah perlu memainkan peranan dan perlu lebih rapat dan mesra dengan anak-anak. Jangan dimarahi semata-mata sehingga anak bosan di rumah.

S: Apakah punca fenomena si Tanggang semakin menjadi-jadi?
J: Mungkin kerana hubungan menjadi renggang setelah anak belajar, bekerja dan berkahwin. Anak semakin sibuk dan ibu bapa tertunggu-tunggu anak menelefon mereka. Anak juga lupa memberikan wang belanja kepada ibu bapa yang sudah uzur.

S: Apakah balasan kepada anak derhaka?
J: Allah tak tunggu di akhirat untuk membalas perbuatan anak derhaka. Saya ceritakan sebagai pengajaran daripada pengalaman – saya pernah memandikan satu jenazah yang asalnya putih kulitnya tetapi menjadi seperti terbakar. Apabila ditanya ibunya, rupa-rupa anak itu pernah meludah ibunya kerana marah tidak diberikan wang dan ibunya kecil hati dan tidak menghalalkan susu untuk anaknya itu. Oleh itu, saya merayu bagi anak-anak yang masih ada ibu bapa, jangan tempah tiket neraka dan buat baik dan berlemah-lembutlah pada ibu bapa.

S: Apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak agar tidak menjadi si Tanggang?
J: Anak itu seumpama kain putih dan ibu bapalah yang membentuk mereka. Ada 3 kaedah mendidik anak iaitu - Akademik, Agama dan Akhlak.  A – Akademik. Anak sekarang pergi sekolah pada umur 4 tahun dan belajar ABC. Tapi mengikut Islam sepatutnya anak-anak ini diajar menghafal. Kita pun masih ingat sampai hari ini apa yang dihafal ketika di tadika dahulu. Para sahabat Nabi SAW juga banyak mendapat ilmu melalui hafalan. Kedua – didik anak tentang agama – ajar anak tutup aurat, solat dan seumpamanya. Ajar anak bawakan air untuk ayah, bawa beg pada ayah, suapkan makanan pada ibu bapa. Tak perlu tunggu sakit baru nak minta tolong anak suapkan. Ajar anak membantu di dapur juga.Ajar dan tunjukkan anak akhlak yang baik. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab