Hubungan Dengan Allah & Manusia (2) - Tanyalah Ustaz 23.05.2013


Ustaz Dr. Mohd Sukki Othman


Bacaan surah Ali-Imran, ayat 112-114:

Dalam ayat ini Allah ceritakan kehinaan yang diberikan kepada sebahagian ahli kitab yang kufur kepada Allah atau dengan kata lain tidak menjaga hubungan dengan Allah. Seterusnya mereka ini juga tidak menjaga hubungan dengan manusia dengan membunuh para Nabi, memerangi orang beriman dan seumpamanya.


Dalam ayat ini pula Allah ceritakan tentang sebahagian ahli Kitab yang baik – mereka beriman dan menerima Islam, beribadat dan bersegera berbuat baik kepada sesama manusia dan menghalang perbuatan mungkar.

Oleh itu, daripada ayat ini dapat difahami bahawa akan sentiasa ada dua kumpulan manusia, walaupun ayat ini diturunkan untuk ahli kitab, ianya juga boleh digunakan secara umum kepada kita.

Senarai soalan dan jawapan
S: Apakah kelebihan menjaga hubungan baik dengan Allah dan dengan manusia?
J: Kita semua inginkan syurga, hatta orang gila sekalipun! Orang yang menjaga kedua-dua hubungan ini akan mendapat ketenangan di dunia dan mendapat nikmat syurga di akhirat. Mereka merupakan orang yang berjaya menghadapi ujian Allah di dunia. Hidup di dunia sangat singkat sebenarnya. Oleh itu, mari sama-sama jaga elok-elok hubungan kita dengan Allah dan manusia lain.

S: Bagaimana jika seseorang sangat baik hubungannya dengan Allah, tetapi sebaliknya dengan manusia?
J: Ini menunjukkan bahawa amalannya itu tidak diterima Allah kerana ibadatnya tidak dapat membentuk akhlaknya dengan manusia lain. Dalam beribadat perlu ada ilmu dan keikhlasan. Tanpa kedua-duanya, ibadat itu tidak berkualiti dan mungkin tidak diterima Allah.

S: Bagaimana mewujudkan manusia yang berkasih-sayang kerana Allah?
J: Nabi SAW bersabda bahawa ada 7 golongan yang akan mendapat naungan daripada Allah di akhirat nanti. Antaranya ialah 2 orang yang saling berkasih-sayang kerana Allah. Ini menunjukkan betapa besarnya ganjaran untuk orang yang berkasih-sayang kerana Allah. Nabi SAW bersabda bahawa “Perumpamaan orang beriman itu adalah seperti satu tubuh, jika satu anggota sakit, maka anggota lain akan terasa sakit juga”. Oleh itu, seorang muslim perlu ambil berat akan hal muslim yang lain. Nabi SAW mengajarkan cara untuk mengeratkan kasih-sayang ialah dengan menyebarkan ‘Salam’. Salam merupakan doa kesejahteraan dan perlu dilafazkan dengan betul dan penuh keikhlasan. Yang peliknya, selepas tahiyat akhir, semua orang boleh sebut salam dengan betul, tetapi di luar solat, sebut “Semekom” pula!.

S: Apakah sebab yang boleh merosakkan ukhuwwah?
J: Ada banyak – contohya hasad. Inilah yang berlaku antara Habil dan Qabil sehingga akhirnya Habil dibunuh. Umpatan juga mempunyai kesan negatif dalam perhubungan dengan manusia. Begitu juga sifat tamak harta dan banyak lagi. Sila rujuk kitab Ihya’ Ulumiddin.

S: Bagaimana tip untuk berkomunikasi?
J: Komunikasi ada yang berbentuk lisan, dan bukan lisan iaitu melalui memek muka. Amalkan 3 S – Beri salam, senyum dan sabar (kerana mungkin kita senyum tapi dia tidak senyum balik!).

S: Bagaimana menangani masalah manusia yang hari ini semakin ramai menolak Islam?
J: Orang yang tolak Islam ialah orang yang menolak hablun minallah. Apabila baca Quran, perlu bertadabbur dengannya. Oleh itu, tidak cukup sekadar tahu (berilmu) tapi perlu beramal juga dan mereka perlu cepat-cepat bertaubat.

S: Bagaimana jika seseorang sangat baik hubungannya dengan manusia, tetapi sebaliknya dengan Allah?
J: Dia mungkin tergolong dalam golongan yang jahil dan perlu di.

S: Apa pandangan ustaz tentang manusia hari ini?
J: Manusia sentiasa ada 2 golongan – yang soleh dan lawannya yang toleh. Oleh sebab itulah ada syurga dan neraka. Namun, tugas kita ialah mengajak dan membawa diri kita, keluarga, sahabat dan orang yang kita sayang kepada jalan ke syurga. Kita perlu sokong yang baik, dan cegah yang tidak baik. Jangan ikut arus yang merosakkan.

S: Bolehkah kita mengenali ahli syurga atau neraka?
J: Itu hak Allah. Kita hanya boleh mengenal amalan yang membawa ke syurga atau ke neraka dan menjadikannya panduan bagi diri kita. Tepuk dada, Tanya iman. Ikutlah jalan yang ditempuh para siddiqin, solehin.

 p/s: Yang baik jom amalkan, yang terkurang mohon maafkan ;)

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab