Hiburan Hati (2) – Tanyalah Ustaz 21.05.2013


Ustaz Tuan Syed Norhisyam Tuan Padang


Bacaan surah Luqman, ayat 6:

Indahnya Islam ini membenarkan kita berhibur dan diberikan pahala. Ayat ini menceritakan tentang orang yang mengeluarkan wang untuk mencari hiburan berbentuk nyanyian dan perkara melalaikan.

Alhamdulillah kita berpagi-pagi dengan majlis ilmu. Namun, ini tidak mencukupi. Jika ada kemampuan, hadiri juga majlis-majlis ilmu di masjid pula.

Islam tidak menghalang segalanya, tetapi Islam mengawal dan menguruskan kehendak manusia dengan cara yang sesuai.

Belajar dan mengamalkan adalah dua perkara yang berbeza. Oleh itu, kita perlu mengambil langkah pertama untuk mengamalkan apa yang telah dipelajari. In sha Allah akan diberi kekuatan untuk terus mengamalkannya.

Senarai soalan dan jawapan

S: Pada zaman jahiliyyah ada orang tenggelam dalam maksiat tiba-tiba boleh berubah dan menjadikan Al-Quran sebagai penghibur hati mereka. Adakah ini boleh berlaku lagi hari ini dan apakah rahsia disebaliknya?
J: Betul, mereka bukan saja pernah tenggelam dalam maksiat, tetapi mereke menyembah berhala, membunuh anak perempuan dan sebagainya. Contohnya ialah Sy. Umar Al-Khattab, Sy. Khaled Al-Walid dan ramai lagi. Perkara seumpama ini boleh berlaku lagi. Hidayah Allah tidak kira masa untuk sampai. Ada banyak contoh di sekeliling kita. Contoh-contoh besar ialah Yusuf Islam yang dahulunya Cat Stevens, dan ramai lagi. Rahsianya ialah inilah kehebatan Al-Quran. Apabil Quran telah masuk ke dalam hati seseorang, sinarannya akan menerangi kegelapan dan dengan sendirinya hati akan menjadi tidak lagi suka kepada maksiat.

S: Bagaimana menjadikan pasangan dan anak-anak sebagai hiburan?
J: Inilah hiburan yang terbaik. Kita pun tahu Rasulullah SAW pernah lumba lari dengan isterinya Sy. Aisyah. Ini menunjukkan yang Rasulullah juga bergurau-senda dengan isterinya.Baginda juga membiarkan cucu-cucunya naik ke atas belakangnya. Ini akan mengikat hati suami untuk segera pulang ke rumah.

S: Apa komen ustaz tentang orang yang suka melawak tentang hal agama? Contohnya – Malaikat tak letih ke?
J: Jangan buat lawak bodoh  sebegitu kerana ianya boleh menjadi punca dosa. Jika ada orang buat begitu, jangan kita gelak dan terus tegur dan beritahu yang hukumnya haram. Jangan buat lawak berkaitan perkara akidah.

S: Apa pandangan ustaz dengan ibu bapa yang bawa anak-anak pergi tengok wayang atau konsert melalaikan?
J: Betul, ada ibu bapa yang beralasan tidak mengapa kerana pergi dengan keluarga. Itu salah, kerana ibu bapa telah mengajar anak-anak bahawa perkara itu tidak salah. Setelah besar nanti, mereka akan pergi dengan kawan-kawan, dengan ‘boyfriend/girlfriend’ pula. Oleh itu, jangan diajar. Ada banyak lagi aktiviti keluarga yang boleh dilakukan seperti berkelah, beriadah, melakukan aktiviti seperti lumba kereta ditrek dan sebagainya.

S: Apabila dinasihatkan agar mencari hiburan yang dibenarkan Islam, ada orang akan berkata, “You jaga kubur you, I jaga kubur I”. Apa pandangan ustaz?
J: Cuba tanya balik, “You masuk kubur sendiri ke nanti?” J. Sebenarnya, dalam menasihati, teknik kita perlu betul dan dilakukan dengan lemah-lembut. Janganlah kita menegur orang dengan memandang rendah kepadanya. Jika telah dilakukan dengan lemah-lembut, tetapi masih ditolak, kita doakan untuknya pula. Mohon Allah lembutkan hati mereka. Jika yang ditegur itu ahli keluarga, maka perlu diulang tegur tanpa jemu.

S: Selain berzikir, mengaji, apakah perkara lain yang boleh dilakukan dalam menghadapi musibah?
J: Ada satu kisah: seorang perempuan menangisi anaknya yang meninggal di sisi kuburnya, lalu ditegur Rasulullah SAW. Dia tidak perasan bahawa yang menegurnya itu Rasulullah dan berkata, “Kau tidak tahu”. Apabila dikhabarkan yang itu Rasulullah SAW, wanita itu pun segera pergi ke rumah Nabi dan meminta maaf. Nabi SAW pun bersabda, “Sabar yang tertinggi ialah ketika berlakunya musibah itu”. Oleh itu, ilmulah yang mengajar kita agar bersabar. Kita juga perlu berkawan dengan orang-orang yang dekat dengan Allah agar mereka dapat menasihati dan berkongsi ilmu dengan kita.

S: Apa pendapat ustaz dengan budaya main game dengan gajet-gajet moden hari ini?
J: Budaya ini bukan sekadar berlaku pada anak-anak, tapi pada ibu bapa juga. Teknologi moden boleh mendekatkan yang jauh, dan menjauhkan yang dekat. Mendekatkan yang jauh dengan menghubungkan mereka yang berada jauh di mata. Mendekatkan yang jauh contohnya isteri di sebelah, tapi suami ‘online’ dengan orang lain. Oleh itu, ibu bapa perlu mengawal diri dan anak-anak. Pilih permainan yang sesuai – hindarkan permainan ganas, karakter yang berpakaian seksi. Hadkan masa juga agar mereka tidak leka dan membazirkan masa.

p/s: Salam, yang baik jom kita amalkan, yang kurang baik, mohon teguran :) 


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab