Tarbiyah Halal (3) – Tanyalah Ustaz 12.05.2013


Ustaz Mohd Amri Abdullah


Hari ini sudah masuk 2 Rejab dan hari Ibu, tetapi hari ibu sepatutnya diraikan setiap hari. Jangan lupa mendoakan kebaikan di dunia dan akhirat untuk ibu-ibu kita.

Rasulullah SAW telah bersabda bahawa mencari makanan yang halal itu adalah kewajipan di atas kewajipan yang lain. Mereka yang hidup sebagai minoriti di negara bukan Islam sanggup bersusah-payah demi menjaga akidah dan mencari makanan yang halal. Oleh itu, kita di sini tidak boleh terlalu berbaik sangka dan perlu juga memeriksa dan mengambil tahu perihal halal/haram makanan dan minuman seharian.

‘Rennet’ ialah bahan yang digunakan untuk membuat keju dan berasal daripada usus haiwan. Oleh itu, cari keju yang ada logo halal sebelum membeli dan memakannya.

Perbuatan menghalalkan yang haram, dan sebaliknya sewenang-wenangnya adalah salah dan pihak pengguna perlu memeriksa dengan pihak berwajib untuk mendapat kesahihan.

Nabi SAW bersabda bahawa yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara yang syubhat dan sesiapa yang menjauhinya, maka dia telah menjaga kehormatan dan agamanya.

Ada 3 keadaan menghadapi perkara syubhah:
  • Jika dia yakin halal, tapi kemudian rasa was-was, maka dia perlu ambil pendapat yang pertama.
  • Jika dia rasa  haram, tetapi mungkin terliur selepas melihatnya dan merasakan halal, maka perlu dijauhi.
  • Jika dia ragu-ragu antara halal dan haram, maka perlu diajuhi.

Makanan halal mempunyai kaitan yang sangat kuat dengan hati. Jika baik hati, maka baiklah seluruh jasad dan perbuatannya. Jika sebaliknya, maka jahatlah seluruh jasad itu. Oleh sebab itu, Nabi SAW bersabda yang taqwa itu di dalam hati.

Kata Imam Ibnu Al-Mulaqqi* - Kebaikan hati itu ada 5:
  1. Baca dan tadabbur Al-Quran
  2. Tidak banyak makan. Sy. Aisyah ra berkata, “Bala pertama sakali yang akan menyerang umat Islam ialah kekenyangan perut. Apabila kenyang perutnya, maka akan gemuklah badannya dan nafsu pun menguasai”. Abu Hurairah nampak Nabi SAW solat duduk dan bertanya kenapa. Baginda mengatakan yang dirinya lapar. Abu Hurairah pun menangis tetapi Nabi SAW mengatakan bahawa orang yang lapar di dunia tidak akan diazab diakhirat jika dia menjaga kebaikan-kebaikan yang lain.
  3. Beribadah pada waktu malam
  4. Berdoa pada waktu sahur
  5. Berada di sisi orang-orang yang soleh

Said bin Yazid pula menyebut ada 5 kesempurnan ilmu iaitu:
  1. Mengenali Allah
  2. Mengetahui kebenaran
  3. Melakukan amalan ikhlas kerana Allah
  4. Beramal mengikut sunnah
  5. Makan makanan yang halal
Now, I know why Steve always wear the same style!

Ubatilah hati dengan makan yang kurang. Untuk makan jangan lebih daripada 2 lauk. Inilah yang diamalkan oleh Sy. Umar. Seorang ahli psikologi terkenal berkata, “Aku tidak mahu menghabiskan banyak masa untuk berfikir, maka aku ada sehelai sahaja baju untuk setiap hari”. Kita hari ini ada banyak helai baju, banyak warna dan banyak juga habis masa untuk memilih yang mana untuk dipakai.

Makan jangan terlalu sedap dan jangan simpan terlalu banyak makanan di dalam rumah kerana akan banyak masa akan dihabiskan di situ. Banyakkan puasa sunat untuk mengurangkan makan juga.

Nabi SAW suka makanan segar, dan makanan manis seperti madu dan kurma.

Daripada 25 pesanan Luqman Nul Hakim kepada anaknya, antara yang berkaitan makanan ialah:
Pesanan 11 - jangan makan terlalu kenyang. Jika berlebihan lebih baik diberi kepada anjing.
Pesanan 14: makan dengan orang yang bertaqwa dan bermesyuaratlah dengan alim ulama dengan meminta nasihat dari mereka.

Daripada 30 pesanan Imam Syafie pula, yang ketiga menyuruh kita memakan makanan yang halal kerana ianya baik untuk kesihatan.

Jangan lupa baca Basmallah dan doa sebelum dan selepas makan. Jika terlupa, syaitan akan makan bersama kita dan akan memberi kesan kepada tubuh bada kita.

Orang Yahudi menguasai dunia walaupun mereka cuma 16/17 juta orang sahaja kerana meraka sangat menjaga makan – mereka tak makan organ dalaman sepertimana orang kita. Organ dalaman ini ialah tempat tersimpannya banyak toksik dan tidak bagus untuk kesihatan.

Sesungguhnya apa yang halal itu lebih banyak daripada apa yang haram.


Senarai soalan dan jawapan

S: Bagaimana status halal makanan jika tukang masaknya bukan Muslim?
J: Halal/haram makanan bergantung kepada bahan yang digunakan, peralatan penyediaan dan pengangkutan yang terlibat. Namun, jika kita ingin menjaga kewarakan, kita carilah makanan yang dimasak oleh orang yang Islam.

S: Dahulu di Singapura  ada pusat penyembelihan ayam halal tetapi telah ditutup. ‘Bannernya’ masih ada tetapi peniaga baru ialah orang bukan Islam yang mengaku menyembelih secara Islam. Jadi,  orang Islam terus membeli di situ. Apakah hukumnya?
J: Jika pemiliknya orang bukan Islam, tetapi orang yang menyembelih ialah orang Islam dan mengikut syarak, maka boleh dibeli. Perihal penggunaan ‘banner’ yang sudah tidak sah pula perlu diuruskan dengan pihak berwajib di Singapura.

S: Rakan di luar negara suka makan ‘burger’ di kedai makanan segera kerana berpendapat dagingnya disembelih oleh ahli kitab. Mohon pencerahan.
J: Orang Kristian bukanlah ahli kitab. Ahli kitab ialah orang keturunan Nabi Yaakub dan orang Yahudi sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW. Persoalannya adakah mereka masih ada? Oleh itu, Jakim menolak sembelihan ahli kitab. Tambahan pula, ‘burger’ bukan semata-mata daging. Ada banyak bahan lain yang dicampur untuk membuat ‘burger’.

S: Ada juga pendapat mengatakan orang Islam boleh makan makanan yang ada sijil kosher?
J: Salah. Kosher ialah sijil makanan orang Yahudi dan mereka bukan ahli kitab. Sembelihan mereka dilakukan oleh orang Yahudi juga.

S: Bagaimana dengan peniaga bukan Islam yang menggunakan ayat-ayat Quran sebagai penarik pelanggan Islam (Contohnya kedai mamak yang kebanyakan bukan lagi milik India Muslim seperti suatu ketika dahulu)?
J: Ini merupakan kesalahan dan boleh dihukum jika sabit kesalahan. Pengguna boleh membantu dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa (Jakim/Pejabat Islam negeri). Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh memberi sehingga separuh denda kepada pengguna yang membuat aduan.

S: Fatwa tentang rokok telah jelas iaitu haram, tetapi kenapa ianya masih dijual secara berleluasa?
J: Pihak Jakim tidak mempunyai kuasa untuk menyekat penjualan rokok.

Senarai soalan dan jawapan (Online Chat)
S: Salam Ustaz, bagaimana makanan segera yang diboikot orang Islam kerana sumbangan kepada Israel, walaupun makanan itu halal?
J: Perkara ini bergantung kepada niat seseorang. Sekiranya ia bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi negara haram Israel, maka hukumnya adalah harus.Wa Allahu A'alam.

S: Salam ustaz, adakah cheese dari negara-negara luar yang mempunyai logo halal negara itu sendiri, diyakini halalnya?
J: Sekiranya logo halal itu memang logo halal original daripada negara pengeluar,maka ianya dianggap halal dan harus memakannya. Sekiranya tidak pasti,adakah ianya logo yg sahih,maka boleh rujuk laman web JAKIM : www.halal.gov.my untuk mengetahui badan2 halal yg diiktiraf.

S: Assalamualaikum ustaz, saya ingin mohon pencerahan ustaz berkenaan artikel yang mengatakan kod E 471 dll adalah kod babi. Adakah ia benar ustaz?
J: Wa'alaikumussalam. Kod E merupakan tambahan makanan yang digunakan sebagai perasa, pewarna, pengawet, bahan pengental dan sebagainya. Kod2 E boleh dibuat daripada tumbuhan atau haiwan, bergantung kepada jenis Kod E. Maka sekiranya produk tersebut ada logo halal, maka insya Allah ianya halal.

S: Salam ustaz, saya kerja di tadika, tapi pelajar2 bkn islam dan guru yg lain selalu mkn PORK,dan saya pernah terpegang sbb saya tk tahu,adakah berdosa?
J: Sekiranya tidak mengetahui tidak mengapa. Tetapi setelah mengetahui,maka wajiblah dielakkan daripada memegangnya. Mengikut mazhab syafie,wajib disamak tangan yang memegang khinzir tersebut.

S: Salam, bagaimana dengan status halal bagi vitamin @ supliment tambahan @ ubat-ubatan yang tiada apa-apa logo halal?
J: Sekiranya tiada logo halal,maka cara lain ialah dengan meneliti bahan2 yg digunakan dalam pembuatan barangan tersebut.Ini kerana ada istilah bahan yang kita ketahui sbg bahan yg tidak halal seperti gelatin khinzir dn sebagainya. Jika tiada yg haram, maka hukumnya harus digunakan. Jika was2 maka elakkan.

S: Salam ustaz, kita slalu mendengar istilah halal dan baik .Bagaimana pula jika makanan itu halal tetapi tidak baik spt mknn ringan dan minuman bergas?
J: Ianya masih tetap halal,cuma sekiranya makanan dn minuman tersebut memudharatkan, maka haruslah dikurangkan pengambilannya atau dielakkan.Ini kerana kewajipan bagi setiap muslim itu ialah menjaga kesihatan tubuh badannya agar mudah untuki kita beribadat kepada Allah SWT.

S: Salam ustaz.anak saya ada masalah kulit,doktor mencadangkan sabun oilatum baS. Dabun ini tidak ada cop logo halal. Minta penjelasan?
J: Sila rujuk laman web JAKIM untuk maklumat lanjut : www.halal.gov.my

S: Salam Ustaz, apakah hukum jika kita makan di sebuah restoran yang makanannya halal,tetapi turut menjual air arak?
J: Seeloknya dijauhi. Ini kerana dibimbangi makanan yang dimasak itu akan dicampur dengan arak atau sebagainya. Walaupun begitu tiada masalah untuk makan makanan yg dijual disitu jika diyakini halal dan bersih dari segi bahan2nya sehinggalah kepada penyediaannya. Sekiranya was2, maka eloklah dielakkan.

S: Salam ustaz,saya nak tanya kalaulah kita orang islam tapi kita kerja kat kedai yang haram adakah duit gaji itu halal ? terima kasih
J: Duit gaji itu tetap halal,cuma ianya termasuk dalam sumber yang syubhat,sekiranya perniagaan kedai itu tidak 100% haram. Ia bercampur dengan produk halal dan haram. Sekiranya 100% produk haram,maka gaji itu juga jadi haram.Seharusnya kita mencari pekerjaan lain, bagi mengelakkan syubhat dan hasil haram.

* - mungkin tersilap kerana tidak dapat mendengar dengan jelas.

p/s: Mohon maaf atas kekurangan. Yang baik jom kita amalkan, yang tak baik, sila beri teguran :)


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab