Adab Berziarah (1) – Tanyalah Ustaz 06.05.2013

Ustaz Raihan Abdul Aziz

Bacaan ayat 27, surah An-Nur:

  • Islam ini agama yang mengajar cara hidup. Contohnya, kita diajar masuk ke tandas dengan kaki kiri, ke disko jangan masuk! :)
  • Sesungguhnya Nabi SAW itu diturunkan untuk memberi teladan akhlak yang sempurna.
  • Kita perlu tahu syariat, barulah apa yang kita lakukan menjadi ibadat. Contohnya, sebutan salam juga mestilah tepat dan bukan bacaan yang dipendek-pendekkan.
  • Antara perkara yang dapat memberatkan timbangan di Mizan ialah akhlak yang mulia.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah kelebihan berziarah dalam Islam?
J: Kita ingin menjadikan amalan ini bukan sekadar adat, tetapi sebagai ibadat agar mendapat pahala di sisi Allah. Dalam sepotong hadis, Nabi SAW bersabda, “Ziarahlah orang yang raib, agar bertambah-tambah kasih-sayang”. Keduanya, dalam sepotong hadis lain, Sy. Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sedekah dan menghubungkan kerabat boleh menambahkan umur dan mengelak kematian yang hina”. Ada banyak lagi hadis tentang kelebihan ziarah. Antaranya – memudahkan rezeki, memudahkan sakaratul maut dan banyak lagi.

S: Yang mana didahulukan – beri salam dan minta izin masuk atau sebaliknya?
J: Dalam ayat yang dibacakan tadi – disebut minta izin dan beri salam. Tetapi dalam satu hadis Nabi SAW, riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih. Ada seorang lelaki dari Bani Amir datang ke rumah Nabi dan bertanya, “Bolehkah saya masuk”. Kemudian Nabi SAW mengatakan kepada pembantunya, “Kamu keluar sebentar dan ajar dia adab minta izin. Beritahu dia untuk berkata “Assalamu'alaikum, dan kemudian minta izin masuk” Lelaki itu mendengar perkataan Nabi SAW, dan pun mengucapkan salam dan meminta izin. Setelah itu, dia dizinkan masuk oleh Nabi SAW. Oleh itu, ulama mengatakan perlu didahulukan beri salam kerana salam ialah pembuka kalam.

S: Jika seseorang masuk rumah tanpa izin tuannya, bolehkah orang itu disuruh keluar?
J: Ada satu kisah seorang bernama Khildah bin Hambal yang disuruh membawa susu awal dan makanan kepada Nabi SAW yang ketika itu berada di atas sebuah wadi (lembah air). Nabi SAW suruh dia keluar dan beri salam dahulu. Dia pun melakukannya. Oleh itu, hadis ini mengajarkan yang kita boleh suruh dia keluar jika dia masuk tanpa izin. Tetapi ada juga tempat yang izin masuk diberi secara automatik/isyarat. Contohnya: masuk ke pasaraya, rumah/dewan kenduri.

S: Ada batasan tak bilangan kali untuk memberi salam dan minta izin?
J: Baginda Rasulu Saw bersabda dalam satu hadis, “Minta izin sehingga 3 kali, dan jika tak diizinkan, maka balik”. Tetapi orang Melayu mudah kecil hati. Kadar antara salam pertama dan kedua sebaik-baiknya ialah selama solat 4 rakaat agar tidak mengganggu tuan rumah yang mungkin sedang solat atau qada' hajat atau sedang sibuk dengan urusan lain. Imam Nawawi berkata dalam Syarah Muslim - Sunat memberi salam, dan minta izin masuk dan berdiri di sebelah pintu. Jangan berdiri di hadapan pintu atau mengintai-intai melalui tingkap atau pintu.

S: Selepas diberi salam 3 kali, dan tuan rumah macam tak dengar, bolehkah kita mengulang lagi untuk beri salam?
J: Jika mengikut Imam Nawawi – Untuk mengikut tepat seperti hadis Nabi SAW, cukup sekadar 3 kali. Jika tak diizinkan, Nabi SAW suruh balik. Namun, Imam Ibnu Arabi menyenaraikan ada 3 pendapat mazhab berkaitan soal ini:
1- boleh diulang-ulang sekiranya rumah itu besar dan kemungkinan tuan rumah tak dengar.
2- sekadar 3 kali seperti yang diajar hadis Nabi SAW.
3- boleh diulang jika ucapannya minta izinnya tidak sama
Namun, pendapat paling kuat ialah pendapat kedua.

S: Jika tuan rumah bertanya siapa yang datang, perlukah dikenalkan diri?
J: Ada berbagai sebab orang datang ke rumah – ada juga tujuan tidak baik. Sebelum buka pintu, bacakan 2 Qul (surah Al-Falaq dan surah An-Nas) sebagai perlindungan daripada sihir/pukau melalui mata yang banyak berlaku hari ini. Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, sebelum pintu langit dibuka, Malaikat bertanya, “Siapa itu?” Jibril menjawab, “Jibril”. Kemudian malaikat bertanya lagi, “Siapa bersama kamu?” Jawab Jibril, “Muhammad”. Ini berlaku pada setiap pintu langit sehingga langit ke tujuh. Oleh itu, adabnya ialah mengenalkan diri terlebih dahulu. Sy. Jabir pernah mengetuk rumah Nabi SAW, dan Nabi SAW bertanya siapa. Sy. Jabir menjawab, “Saya”. Nabi SAW bertanya lagi, “Siapa”. Sy Jabir mengatakan Nabi SAW bertanya seolah-olah baginda tidak suka kepada jawapan “Saya” dan sebaliknya seseorang itu perlu menyebut namanya.

S: Bagaimana nak buat jika tuan rumah tak izin masuk dan disuruh balik?
J: Ayat selepas ayat yang dibacakan tadi, iaitu ayat 28 surah An-Nur ada disebutkan jika disuruh balik, maka balik itu adalah lebih baik. Tuan rumah ada hak menyuruh kita keluar dan tetamu tidak boleh marah dan perlu berlapang dada. Inilah yang dilakukan salafussoleh.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab