Reset Minda Penyabar – Islam Itu Indah 06.06.2012
Prof. Dr Muhaya Muhammad
Setelah membincangkan beberapa siri
tentang kerjaya, saya ingin fokus kepada sifat-sifat positif pula
dalam rancangan ini. Sifat sabar bukanlah mudah untuk dicapai dan
ianya memerlukan perjuangan yang tinggi. Walau bagaimanapun, dalam
apa jua yang kita lakukan, tanya diri, adakah urusan yang dilakukan
itu adalah urusan di jalan Allah atau tidak? Kalau kita diberikan
kesibukan oleh Allah, itu maknanya Allah tahu yang kita mampu. Semasa
kecil lagi, kita telah diajar yang sabar itu separuh daripada iman,
orang yang menang ialah orang yang sabar dan banyak lagi kelebihan
memiliki sifat ini.
Daripada pengalaman sebagai doktor pula, saya banyak
melihat kes-kes yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Sebab itulah
walaupun sudah dibuat temujanji dengan doktor, selalu berlaku
kelewatan kerana prosedur yang perlu diikuti ada banyak. Jadi
alangkah baiknya jika semua orang di Malaysia, tak kiralah jawatan
apa sekalipun, sama ada doktor, jururawat, pesakit, guru dan semua
orang memiliki sifat sabar.
Manusia ada dua jenis – pertama: orang yang
mempunyai kesedaran keegoan dan ikut nafsu, kedua pula mempunyai
kesedaran ketuhanan dan ikut iman. Orang yang ikut nafsu inilah yang
cepat nak marah – semua nak cepat, nak ikut cara dia saja,
pentingkan harta, pangkat, ingat nak menang saja. Orang begini jika
berlaku kelewatan, dia akan mudah marah kerana merasakan dirinya
penting dan orang lain perlu beri layanan istimewa kepadanya. Saya
dulu begitu juga. Keburukannya ialah apabila kita marah,
hormon-hormon negatif akan dikeluarkan. Begitu juga jika selalu
takut, panik, risau atau sifat-sifat negatif lain. Sifat-sifat ini akan
menghilangkan segala khasiat makanan-makanan baik yang kita ambil,
dan mengeluarkan hormon yang merosakkan badan pula. Sebaliknya jika
hidup dengan kesedaran ketuhanan dan menggunakan keimanan dalam
setiap reaksi kita, kita akan sentiasa:
- bekerjasama,
- menghargai orang lain,
- penuh kasih sayang,
- melihat kebaikan pada seseorang atau pada setiap kejadian
- bermurah hati,
- berterusan memperbaiki diri, dan
- menerima manusia seadanya
Semasa menghadapi sesuatu yang diluar
jangkaan, amalkan sifat sabar. Contohnya jika berlaku kelewatan dalam
temujanji dengan doktor. Jika kita memberi reaksi negatif, kita
sendiri yang akan tertekan. Tetapi jika redha, kita akan berasa lebih
tenang. Gunakan masa yang ada untuk buat perkara lain dulu, contohnya boleh solat hajat, baca Quran, dan sebagainya. Berusahalah menjadikan
sifat sabar itu sebagai tabiat kita semua.
Ibu merupakan seorang yang cukup
penyabar, sebab itulah jika diperhatikan ibu jarang sakit. Oleh itu,
bila ibu sudah tua, sebagai anak, kita perlu juga banyak bersabar
dengan karenah ibu kita. Tiba-tiba saya dapat idea, para ibu, bila
anak kecil mengamuk, buat perangai, rakam menggunakan video dan
simpan. Esok-esok bila dia sudah besar, tunjukkan kembali padanya,
kerana lumrah manusia ini sangat mudah lupa.
Senarai soalan & jawapan:
S: Alhamdulillah setelah banyak
mendengar ucapan Prof, saya berubah menjadi seorang yang lebih
penyabar dengan anak dan suami dan mendapat kehidupan yang lebih
bahagia. Terima kasih.
J: Syukur, Alhamdulillah. Inilah yang
saya katakan, apabila kita berubah, dunia akan berubah bersama kita.
S: Saya cepat marah pada anak yang suka
tidur selepas solat Subuh sehingga membawa ke tengah hari. Suami
menegur agar saya jangan marah kerana anak cuma balik sekali-sekali.
Anak sudah berumur 20 tahun. Mohon nasihat Prof.
J: Pertama, Puan bersyukur tak ada anak
yang sihat, tak terlibat dalam kemalangan? Jika bersyukur, kita
kenalah layan anak kita dengan baik. Dalam masyarakat kita ramai yang
menyesal setelah seseorang itu mati, kerana ketika hidup asyik
bergaduh, tak bertegur-sapa dan sebagainya. Oleh itu saya nak sarankna
semua ibu bapa, pembuat polisi, guru-guru tadika agar menanam
cita-cita pada anak-anak untuk menjadi ahli syurga. Jika tidak rugilah
umur yang diberikan kepada kita. Sekarang anak Puan sudah berumur 20
tahun, mungkin 20 tahun yang lalu Puan tidak mendidiknya untuk
menjadi ahli syurga, sebaliknya menekankan pencapaian akademik
semata. Cuba Puan jadi seorang yang tenang terlebih dahulu. Ibu yang
tenang akan menenangkan anak-anak. Tegur anak-anak dengan
kasih-sayang bukan dengan marah-marah. Anak saya pun sama juga, bila
sekali-sekala balik, dapat makan sedap, mereka pun tidur dan bangun lewat juga. Jadi
ibu perlu buat perancangan. Cuba beritahu anak esok nak pergi
berkelah contohnya, saya jamin anak itu takkan bangun lewat. Atur aktiviti
bersifat 'bonding time' bersama anak-anak. Dalam aktiviti itu sebut
perghargaan kepada anak-anak. Kita kena ubah pendekatan dengan
anak-anak. Selama ini kita asyik marah dan anak masih juga belum
berubah, jadi ibu perlu ubah taktik juga. Albert Einstein kata,
“Orang yang tak siuman ialah orang yang buat benda yang sama,
tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.”
S: Bagaimana untuk istiqamah menjadi
orang yang sabar dan membuat kebaikan, kerana semakin kita ingin
berubah, terasa semakin banyak dugaan yang datang?
J: Pertama, syaitan memang suka kita
masuk neraka bersamanya. Sebab itu syaitan tidak ganggu orang kafir,
tetapi ganggu kita. Bila dah tahu, kita perlu lebih bersedia untuk
melawannya. Kita perlu terus-menerus berfikiran positif dan bersabar,
sehinggalah ianya menjadi tabiat dan sebahagian daripada kita. Bila
dah jadi tabiat, kita tak perlu fikir untuk bersabar, kerana secara
automatiknya kita tahu untuk bersabar. Untuk membentuk tabiat positif
memang memerlukan mujahadah dan disiplin yang tinggi. Boleh juga buat
catatan jurnal untuk membantu, InsyaAllah.
S: Bagaimana untuk mengatasi anak yang
pandai berbohong? Anak berumur 9 tahun dan berbohong contohnya bila
ditanya sudah solat, dia mengatakan ya walaupun belum solat.
J: Anak berumur 9 tahun sudah ada akal
dan mungkin dia mencari jalan untuk tidak melakukan sesuatu. Kita
perlu ingat yang anak berumur 7-14 tahun akan ikut perangai
orang-orang sekelilingnya. Jadi perhatikan juga diri kita sendiri,
anak-anak yang lebih dewasa dan rakan-rakannya. Saya cadangkan supaya ubah fokus daripada sifat anak yang suka berbohong kepada
sifat-sifat murni pada Rasulullah SAW. Cuba bacakan sirah-sirah
Rasulullah atau para sahabat yang menunjukkan bahawa sifat berkata
benar dan jujur membawa ganjaran yang lebih baik. Secara tidak
langsung anak akan berfikir sendiri bahawa tiada gunanya dia
berbohong. Tidak perlu memarahi sifat suka berbohongnya secara terus.
Gunakan cerita yang memberi contoh nilai-nilai positif. Cerita
merupakan satu bahan bantu mengajar yang baik untuk anak-anak.
S: Bagaimana membantu menenangkan rakan
yang kematian anak kecilnya?
J: Kita semua dalam perjalanan menuju
alam lain, iaitu alam barzakh dan akhirat. Beritahu kawan yang Allah
telah memilih anaknya untuk jadi ahli syurga. Kita didik anak
sehingga besar belum tentu lagi dapat menjadikan dia ahli syurga.
Jadi bersyukurlah dan dekatkanlah diri dengan Allah. Ingatkan selalu
bahawa Allah tidak akan menguji sesuatu yang kita tidak mampu menghadapinya.
S: Sebagai guru, ada kalanya saya tidak
dapat menahan sabar dengan anak murid. Tetapi bila mengenangkan
bahawa merekalah yang akan mendoakan saya nanti, jadi sejuk kembali
hati dan bersemangat semula.
J: Para guru, sebelum melangkah untuk
mengajar, semaikan dalam hati bahawa mencurahkan ilmu kepada anak
murid itu sebagai ladang pahala yang akan dituai hasilnya di akhirat,
InsyaAllah. Bersabar dengan ujian karenah anak-anak. Cuba kita berasa
nikmat dalam kepayahan dan kesusahan yang dialami, kerana di situ
adanya janji ganjaran Allah.
S: Mohon pandangan Prof untuk berdepan
dengan ibu bapa yang garang?
J: Orang yang suka marah sebenarnya dia
merasa rendah diri. Orang yang tiada apa-apa biasanya merasakan yang
dia perlu 'tunjuk' pada orang lain. Orang yang sudah ada, dia takkan
rasa perlu untuk menunjuk-nunjuk. Jadi bila nampak orang marah-marah,
kita perlu rasa kasihan pada mereka. Imej diri mereka sangat negatif.
Cuba bandingkan akhlak orang yang benar-benar berjaya dan orang-orang
yang kurang berjaya. Selagi dunia dalaman tidak diubah, dunia luaran
juga takkan berubah. Cuba kita sibuk betulkan diri kita sendiri, tak
perlu untuk ubah orang lain. Jadikan segala tujuan, setiap perkataan,
perbuatan kita hanya untuk Allah. InsyaAllah orang-orang yang
mempunyai kesedaran ketuhanan, auranya sangat positif dan akan dapat
membantu orang negatif disekeliling juga berubah, InsyaAllah.
S: Bagaimana untuk membantu abang yang
tertekan kerana ibu dan adik-beradik lain tidak menyokong usaha abang
untuk berubah?
J: Pertama, kita mesti menerima manusia
seadanya. Mungkin pengharapan ibu sebagai ibu tunggal kepada anak
agak tinggi. Jadi anak-anak jangan pandang ibu dengan negatif. Kena
selalu ingat yang syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Sedangkan ibu
yang bukan Islam pun kita perlu hormat, inikan pula ibu kita yang sememangnya Islam.
Kemungkinan reaksi ibu agak berlebihan. Jadilah manusia yang
mempunyai kesedaran ketuhanan tinggi dan yakin dengan bantuan dari
Allah. Lihat semua situasi sebagai peluang mencari kebaikan dan
bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Tahniah pada Puan yang
mengambil berat hal adik-beradik. Cuba pujuk ibu dengan kelembutan,
berikan hadiah, peluk ibu, kerana kelembutan tidak pernah kalah. Cuba
dengar pandangan sebelah ibu pula. Cuba cari bantuan orang yang lebih
arif untuk membantu abang. Jangan berkira dalam membantu
adik-beradik. Esok di hari akhirat, kita akan sibuk mencari pahala,
oleh itu ambil peluang membuat pahala sebanyaknya ketika kita masih
mampu.
S: Saya cuba bersabar dalam menghadapi
tekanan masalah, tetapi kesannya saya menjadi sakit pula. Mohon
panduan dari Prof.
J: Kan saya dah kata, siapa yang
'stress' memang akan sakit. Buang perkataan 'stress' dari dalam
kehidupan dan pemikiran. Orang yang berjaya adalah orang yang mampu
mengawal pemikirannya. Fokus pada mencari keredhaan Allah, bukan
kepada perghargaan manusia.
S: Saya sukar mengawal perasaan marah
pada anak yang masih kecil, baru berumur setahun lebih. Mohon nasihat Prof.
J: Wanita, jika ada suami, ada anak,
ada sumber ekonomi yang bagus sudah ada syurga di dunia sebenarnya.
Perhatikan berapa ramai wanita yang belum dapat jodoh, sibuk minta
jodoh. Yang belum ada anak, sibuk minta anak. Tetapi bila dah dapat,
banyak pula komen nak menjaganya. Jadi wanita, tolong ada sifat
tawaduk. Tolong jangan rasa diri lebih daripada orang lain. Kita hanya
berani marah orang jika kita rasa kita lebih daripada orang lain. Siapa
kita untuk merasa begitu? Anak kecil itu, jika meninggal, terus
menjadi ahli syurga. Saya teringat kata-kata Hasan Al-Basri, “Bila
aku pandang orang kafir, aku merasa malu dengannya kerana jika dia
mengucapkan kalimah syahadah, akan terhapus segala dosanya. Sedangkan
aku memohon doa diampunkan segala dosa tetapi belum tentu lagi doaku
dimakbulkan.” Begitu juga pandangannya terhadap anak kecil yang
belum berdosa. Oleh itu bayangkan anak itu sebagai ahli syurga, oleh itu jagalah mereka dengan penuh kasih sayang. Saya ingin cadangkan pada
orang yang suka marah, pakai getah pada tangan dan setiap kali ingin
marah, tarik getah itu sebagai peringatan. Ini adalah teknik NLP dan
boleh menjadi terapi yang baik untuk mengawal marah. Begitu juga jika
kita suka mengumpat, tampar pipi sebagai peringatan. Lama-kelamaan
kita akan boleh tinggalkan tabiat buruk ini. Ada lagi dua kata-kata
ulama yang ingin saya kongsi di sini, pertama - “Aku tidak keluar
rumah sehinggalah aku merasakan semua orang lebih baik daripada
diriku.” Kedua: “Aku tidak keluar rumah sehinggalah aku
bergantung hanya pada Allah.” Bayangkan jika kita hanya bergantung
pada Allah dan merasakan semua orang lebih baik daripada kita, kita
sudah mencapai kesedaran ketuhanan yang sangat tinggi dan InsyaAllah
mendapat syurga dunia dan syurga akhirat. Jadi ibu-ibu jangan marah
anak-anak di rumah, mereka itu semuanya ahli syurga.
S: Saya dikejutkan dengan berita suami
berkahwin lagi, mohon nasihat Prof.
J: Memanglah poligami ini ujian bagi
semua wanita. Kita tidak boleh menolak kerana ini merupakan hukum
Allah. Kita boleh bercakap, tetapi siapa yang belum terkena pasti tak
tahu bagaimana rasanya. Oleh itu saya cadangkan pada Puan, niatkan
diri menjadi ahli syurga dan penuhkan diri dengan kasih sayang rohani
iaitu pergantungan penuh dengan Allah. Siapa yang banyak makanan
rohaninya tak perlukan makanan emosi iaitu kasih-sayang manusia.
Sebab itu orang yang kurang makanan rohani, dan emosi suka makan
makanan fizikal yang banyak. Ada kisah seorang wanita usahawan yang
sangat berjaya, tetapi setiap hari dia bangun solat tahajud dan
menangis pada Tuhan. Dia menjaga keluarganya dengan baik dan masak di
rumah setiap hari. Pada satu ketika dia merasakan begitu dekat dan
bergantung sepenuhnya dengan Allah sehingga meminta suaminya
berkahwin lagi satu. Tetapi suaminya yang menolak. Jadi, Puan fokus
pada mendidik diri dan anak menjadi ahli syurga. Fokus untuk mencari
Allah, kerana disitu Puan akan berjumpa ketenangan. Jangan benarkan
kata-kata atau sikap orang luar mempengaruhi Puan.
S: Alhamdulillah setelah mendengar
ceramah Prof, saya banyak berubah. Cuma sifat sabar ini yang sukar
saya amalkan. Saya tidak sabar dalam menerima kerja orang lain yang
tidak sempurna, namun saya sedar yang saya sendiri juga sukar
memberikan kesempurnaan. Saya sukar nak marah orang tetapi saya pula
yang tertekan.
J: Memang, sebagai manusia, kita tidak
sempurna. Hanya Nabi SAW yang maksum. Orang yang suka risau
sebenarnya adalah orang yang ego. Mereka tak percaya pada orang lain
dan ini menyebabkan mereka banyak risau. Segal-galanya adalah dalam
kawalan Allah sebenarnya. Apabila saya melakukan pembedahan, saya
nyatakan pada pesakit yang saya hanyalah alat dan Allah yang mengawal
segala-galanya. Oleh itu mari bersama-sama kita menyerahkan diri
kepada Allah dan bergantung sepenuhnya kepadanya. Hanya dengan jalan
itu kita akan tenang.
S: Suami tidak membenarkan saya pulang
ke kampung ibu. Ibu telah tiada tetapi masih ada rumah di kampung.
Perjalanan cuma 2 jam dan kami tiada masalah kewangan. Mohon nasihat
Prof.
J: Mungkin dalam perhubungan suami dan
anak-anak ini, suami Puan bagus, cuma dia tidak mahu balik kampung. Tetapo apabila Puan fokus pada satu perkara negatif ini, ianya akan menjadi
semakin besar. Sedikit ujikaji:
Prof Muhaya: Cuba Maz (juruhebah
bertugas) kira ada berapa lampu bulat di atas siling dalam konti ini?
DJ Mazlina: Ada 1,2.. 11 (sambil melihat dan mengira).
Prof. Muhaya: Ok, sekarang pejam mata
dan beritahu saya ada berapa keping siling tadi?
DJ Mazlina: Ermm...tak ingat.
Begitulah, kita hanya akan nampak apa
yang kita fokus. Walaupun Mazlina telah lihat keseluruhan siling tadi,
sebab fokus pada lampu, tidak nampak berapa keping syiling yang ada.
Begitulah dalam kehidupan kita – jika fokus pada negatif – suami
tak mahu balik kampung, suami tak mahu dengar cakap saya, negatiflah
yang dirasa. Sehinggakan tidak nampak kebaikan-kebaikan lain yang
diberi suami. Sebagai wanita, kita perlu taat ada suami selepas Allah
dan Rasul. Tambahan pula ibu Puan pun sudah meninggal. Jadi jika
suami tidak setuju, ikutkah dahulu. Berlembutlah, jangan melawan
dengan kekasaran. Jangan mengungkit-ungkit. Pujuk suami dengan baik
dan berdoa. Jika suami masih tidak setuju, redha dan lapangkan dada.
S: Saya selalu menahan rasa marah bila
berhadapan dengan karenah suami dan anak-anak. Saya beristighfar, dan
kemudian rasa lebih tenang.
J: Betul, saya ingin tambah perkongsian
dari Mufti Menk, kalau tak silap. Beliau mencadangkan jika kita
rasa nak marah, minum dan kemam air. Kerana bila ada air dalam mulut,
kita tak boleh keluarkan perkataan-perkataan kesat yang kita mungkin
menyesal nanti. Perkataan ini, jika belum dikeluarkan hak kita,
tetapi jika sudah dikeluatkan akan menjadi hak orang lain. Sebab itu saya sendiri takut sangat jika tersilap cakap di IKIM ini.
S: Suami menghadapi ujian dalam
perniagaan sehingga lingkup. Dia cuba bekerja tetapi tidak bertahan
lama. Saya bekerja dan tidak kisah hidup susah. Apa yang menyedihkan
ialah suami tidak lagi solat sekarang. Mohon nasihat Prof.
J: Pertama: Sebagai langkah pencegahan
– wanita sebelum nak berkahwin periksa dulu bakal suami solat atau
tidak dan sama ada dia seorang perokok. Bagi Puan, sebagai isteri
memang payah untuk menegur suami. Jadi cuba buka rancangan yang
baik-baik di rumah seperti 'Tanyalah Ustaz' dan belikan buku-buku
yang baik. Gunakan kelembutan dalam berkomunikasi. Komunikasi
bukanlah apa yang kita cakap, tetapi apa tindak-balas orang terhadap
apa yang kita katakan. Jadi, walaupun kita rasa kita sudah cakap
bagus, tetapi jika orang tak dengar apa gunanya? Bercakap itu biar
ada kesan pada orang. Sebelum bercakap, jangan ada rasa lebih baik
daripada suami, ingat kata-kata orang alim tadi – wujudkan perasaan
bahawa semua orang adalah lebih baik daripada kita. Tambahan pula
suami tidak bekerja, harga dirinya akan semakin rendah. Jadi apabila
isteri yang bekerja ingin menegur dengan menunjuk bagus, suami akan
semakin susah untuk terima. Apa kata, pujuk suami dan ajak suami
untuk jadi ahli syurga.