Berinteraksi Dengan Al-Quran (3) - Tanyalah Ustaz 10.06.2012

Ustaz Prof. Madya Dr. Muhd Najib Abdul Kadir

Bacaan surah Taha, ayat 1-8:

Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur setelah dimatikan sebentar malam tadi. Setelah bangun, Nabi SAW menganjurkan kita membaca doa bangun tidur.

Sayyidina Umar memeluk Islam setelah mendengar adiknya, Fatimah, membacakan ayat-ayat surah Taha ini. Antara intipati utama ayat surah ini adalah Al-Quran diturunkan bukanlah untuk menyusahkan Nabi SAW, sebaliknya sebagai tazkirah(peringatan) kepada mereka yang takut kepada Allah. Mudah-mudahan kita juga termasuk dalam golongan ini kerana kita takut dengan siksaan, azab dan kemurkaan Allah dan kita ingin menjadi Muslim, mukmin yang taat dengan perintah Allah SWT.

Berinteraksi dengan Al-Quran mempunyai kaitan dengan membudayakan Al-Quran. Jadikan ianya sebagai rutin harian agar membaca Al-Quran, sepertimana Sayyidina Uthman yang akan berasa tidak senang jika dalam sehari tidak membaca Al-Quran. Sayyidina Uthman membaca Quran begitu kerap sehingga lusuh mashafnya. Setiap daripada kita juga perlu mempunyai mashaf sendiri yang sentiasa dibaca. Nabi SAW menyatakan sebaik-baik amalan adalah apa yang istiqamah. Oleh itu saya ingin menyarankan agar kita sekurang-kurangnya cuba membaca dan memahami 10 ayat Al-Quran sehari.

Antara kesan-kesan membudayakan Al-Quran adalah seperti berikut:
1. Dapat menjadi seorang yang beribadah kepada Allah kerana dengan membacanya mendapat pahala. Dalam surah Munzamiil, ayat 20, Allah berfirman yang sebahagiannya bermaksud: “.. oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran ..”

2. Mengukuhkan keimanan kepada Allah Taala. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 2: 
3. Dapat menyucikan jiwa. Kalam-kalam Allah ini boleh menyembuhkan 'penyakit' dalaman yang tiada ubatnya di hospital. Dalam surah Yunus, ayat 57, Allah berfirman yang bermaksud:
Penyakit hati sukar untuk diubati, jadi gunakanlah bacaan Al-Quran sebagai penawarnya.

4. Dapat meluruskan akal (gaya berfikir) agar dapat menerima kebenaran Al-Quran. Akal manusia ini sebenarnya cetek dan berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, Al-Quran itu bertindak sebagai pemimpin akal agar selari dengan isi Al-Quran. Dalam surah Al-Israk, ayat 9, Allah SWT berfiman yang maksudnya: 
Jadi ayat ini memberitahu kita bahawa dengan panduan wahyu, manusia akan dapat berfikir dengan bijak.

5. Mengenal manhaj Allah. Al-Quran itu adalah pemisah yang hak dan batil. Sayangnya, masyarakat kita cuma baca Al-Quran dalam bulan Ramadhan sahaja. Membaca Al-Quran tidak boleh dijadikan bermusim, sebaliknya perlu dijadikan sebagai rutin harian. Dalam bulan Ramadhan kita mampu baca Quran setiap hari. Sebenarnya Allah ingin menunjukkan bahawa kita mampu sebenarnya untuk membaca Al-Quran setiap hari. Ulama kita memperbanyakkan ibadat pada bulan Ramadhan. Imam Syafie mengkhatam Al-Quran sebanyak 60 kali di bulan Ramadhan dan 30 kali di bulan lain. Rasul SAW bertaddarus bersama Jibril di bulan Ramadhan. Biasanya Nabi khatam sekali di bulan Ramadhan, tetapi pada tahun terakhirnya, baginda SAW mengkhatam 2 kali dalam bulan Ramadhan.

Sebagai kesimpulan, hendaklah kita cuba menjadikan membaca Al-Quran sebagai rutin harian kita. Yang kedua, kita cuba memahami isi Al-Quran dan ketiga cuba mengamalkan isi kandungannya. Semoga dengan itu mudah-mudahan kita mendapat hidayah dan selamat di dunia dan akhirat.

Senarai soalan & jawapan:
S: Pada masa dahulu saya belajar Al-Quran Nul Majid. Sekarang kita menggunaka Al-Quran Nul Karim resam Uthmani. Apa beza antara keduanya?
J: Ini merupakan pelarasan yang di buat di negara ini. Sekarang kita menggunakan tulisan resam Uthmani. Dahulukala kita menggunakan resam Baghdadi atau Muhammadi kerana ianya lebih memudahkan. Apa yang penting ialah kita membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul.

S: Mohon ustaz huraikan ayat 44-47, surah Al-Maidah?
J: Dalam surah Al-Furqan, ayat 30, Nabi SAW menyatakan yang bermaksud bahaha umatnya akan meminggirkan Al-Quran. Inilah sebab utama yang menjadikan kita mundur. Ulama membahaskan perkataan meminggirkan itu bermaksud kita tidak membaca, tidak memahami dan tidak mengambil berat dengan Al-Quran. Walaupun ramai sudah khatam Al-Quran, tetapi kita tidak cuba memahami isinya dan ini menyukarkan mesej Allah sampai kepada kita. Dalam ayat yang ditanyakan tadi – Allah mengarahkan agar kita tidak boleh sekali-kali mempertikaikan kandungan Al-Quran. Kita tidak boleh syak dengan Al-Quran apatah lagi menyalahi hukum-hukum dalam Al-Quran. Dalam ayat ini diceritakan kisah Bani Israel yang menolak kitab Taurat yang diturunkan kepada mereka. Kita takut jika kita menolak Al-Quran kita boleh jatuh menjadi orang yang zalim dan fasiq.

S: Apa yang lebih afdhal dibaca di dalam solat – membaca surah yang telah dihafal atau membaca Al-Quran yang diletak di hadapan tetapi belum dihafal?
J: Tadi ada saya sebut dalam surah Munzamiil, ayat 20, Allah berfirman yang sebahagiannya bermaksud: “.. oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran ..” Jadi bacalah surah yang telah dihafal kerana ianya lebih mudah berbanding melihat Al-Quran di hadapan yang mungkin boleh menyebabkan bacaan kita tidak lancar.

S: Al-Quran merupakan petunjuk kepada semua, Islam dan bukan Islam. Banyak kajian yang diambil daripada Al-Quran dan tanpa Al-Quran, manusia akan hilang pedoman dan tamadun.
J: Betul, Al-Quran merupakan kitab mukjizat yang boleh memberi hidayah Allah kepada kita. Dengan membaca Al-Quran, kita akan menemui ilmu-ilmu atau mutiara yang indah-indah. Prof. Al-Darras pernah berkata: “Apabila seseorang mengkaji Al-Quran, akan terpantul mutiara-mutiara yang berlainan di antara satu sama lain.” Ini adalah kelebihan Al-Quran. Sudah banyak berlaku apabila orang bukan Islam mengkaji Al-Quran, mereka akan memeluk Islam kerana mendapat hidayah melalui kajian tersebut.

S: Air yang dibacakan dengan ayat Al-Quran akan berubah rasa dan auranya dan menjadi penawar apabila diminum.
J: Betul, kajian sudah dilakukan dan memang terdapat perbezaan. Benarlah sepertimana firman Allah “Dan Kami menurunkan Al-Quran itu sebagai syifa' dan rahmat kepada orang mukmin.” Oleh itu apabila kita minum air yang dibacakan dengan Al-Quran, InsyaAllah Allah beri kehebatan.

S: Adakah para malaikat juga membaca Al-Quran dan kitab Taurat, Zabur dan Injil?
J: Ya, betul. Dalam surah Jin, Allah nyatakan bahawa ada sebahagian daripada jin yang membaca dan mendengar Al-Quran. Inilah juga yang dinyatakan sebagai malaikat membaca dan mendengar Al-Quran.

S: Bagaimana jika kita ingin bawa Al-Quran bersama selalu, tetapi sukar menjaga wudhuk?
J: Saya nasihatkan beli Al-Quran yang mempunyai terjemahan, kerana ramai ulama berpendapat tidak perlu ada wudhuk untuk memegangnya.

S: Apa beza bacaan Al-Quran di dalam dan luar solat?
J: Di dalam solat, ada bacaan yang wajid dan ada yang sunat. Di luar solat, semua bacaan adalah sunat. Kita mesti menjaga wudhuk jika kita ingin menyentuh ayat Al-Quran. Jika membaca ayat yang kita sudah hafal, tidak perlu berwudhuk.

S: Kenapa Allah bahasakan diri sebagai “Kami”?
J: Untuk menunjukkan kemuliaan Allah Taala.

S: Bagaimana jika kita tidak menutup aurat dengan sempurna ketika membaca Al-Quran, contohnya berbaju lengan pendek atau berselendang sahaja (bagi wanita)?
J: Kita perlu menutup aurat dengan sempurna sebagai penghormatan kepada Al-Quran.

S: Kenapa masih ada masyarakat bahkan ulama yang sangsi dengan isi Al-Quran?
J: Ini merupakan sikap manusia yang ingkar. Dalam surah Al-Baqarah, ayat kedua, Allah berfirman:

Orang yang bertaqwa akan yakin dengan dosa dan pahala, neraka dan syurga. Kita perlu beriman sepenuhnya dengan Al-Quran.

S: Apa hukum beimamkan sesorang yang baca Fatihah tanpa “Bismillah..”?
J: Ini adalah khilaf antara mazhab. Hukumnya boleh dan sah solat.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab