Masjidil Aqsa (1) – Tanyalah Ustaz 25.06.2012
Ustaz Dr. Mohd Sukki Othman
Bacaan ayat 1, surah Al-Israk yang
bermaksud:
Allah SWT menyebut secara langsung
tentang Masjid Aqsa dalam ayat ini. Apabila Allah sebut sesuatu,
maknanya ianya sesuatu yang sangat penting. Tambahan pula Allah
nyatakan bahawa tempat itu adalah tempat yang diberkati. Oleh sebab
itu Masjid Aqsa ini perlu ada dalam hati setiap umat Islam. Namun,
ramai yang tidak jelas, yang mana satu Masjid Aqsa sebenarnya kerana
di internet banyak ditunjukkan bahawa masjid berkubah emas, atau
juga dikenali sebagai Dome of the Rock itu sebagai Masjid Aqsa. Itu
sebenarnya ialah Masjid Al-Sakhra yang yang dibina oleh Khalifah
Malik bin Marwan padah tahun 72 Hijrah. Masjid Aqsa yang sebenar,
iaitu masjid yang Nabi SAW mengimamkan solat sebelum diisrakkan ialah
Masjid Aqsa yang lama, iaitu masjid yang berkubah hijau. Masjid ini
terletak bertentangan dengan Masjid Al-Sakhra. Walaubagaimanapun,
Masjid Sakhra juga sebenarnya terletak dalam kawasan Masjid Aqsa
juga. Jadi kawasan sebenar Masjid Al-Aqsa meliputi kedua-dua masjid
ini, seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas. Semoga kita tidak lagi
keliru selepas ini.
Kadang-kadang orang menganggap bahawa
Masjidil Aqsa itu di Palestin, jadi biarlah mereka di sana yang
mempertahankannya. Tetapi kita kena ingat bahawa Masjid ini merupakan masjid tempat Nabi SAW pernah solat, tempat Nabi SAW diisrakkan dan juga tempat yang disebut di dalam Al-quran. Masjid ini berkaitan dengan soal agama,
sebab itulah kita mesti ambil peduli dan membantu mereka di sana.
Senarai soalan & jawapan:
S: Apakah fadhilat dan kelebihan
Masjidil Aqsa?
J: Pertama – Masjid ini disebut dalam
Al-Quran dan dipilih sebagai tempat sebelum Nabi diisrakkan. Nabi SAW
juga ada bersabda yang bermaksud: “Jika kita ingin
bersungguh-sungguh solat di masjid, usahakan untuk solat 3 masjid
berikut. Pertama: Masjidil Haram, kedua: Masjid Aqsa, dan ketiga:
Masjidku (Masjid Nabawi)”. Jadi daripada hadis ini jelas di
nyatakan bahawa Masjid Aqsa ini mempunyai tempat yang tinggi dalam
Islam. Seperti yang disebut dalam sesetengah riwayat, fadhilat
menunaikan solat di Masjidil Haram mendapat ganjaran sebanyak 100
ribu pahala, Masjid Nabawi sebanyak 1000 pahala, dan Masjid Aqsa
sebanyak 500 pahala. Inilah kelebihan yang disebut yang terdapat pada
masjid ini. Selain itu, Masjid Aqsa juga merupakan kiblat pertama
umat Islam sebelum dipindahkan ke Masjidil Haram.
S: Apakah hikmah yang dapat diperolehi
daripada perjalanan Israk Nabi SAW daripada Masjidil Haram ke
Masjidil Aqsa?
J: Ada banyak. Kita perlu merujuk sirah
Nabi SAW. Sebelum kejadian Israk, Nabi SAW menghadapi sangat banyak
tekanan. Tekanan paling tinggi adalah apabila Nabi SAW kehilangan
isterinya, Khadijah dan bapa saudanya, Abdul Mutalib. Allah mengisrakkan
Nabi SAW untuk menghiburkan hatinya. Kedudukan masjid adalah sangat
penting dalam Islam, sebab itulah Nabi disinggahkan dahulu di situ
sebelum diisrakkan. Jika Allah mahu, Allah boleh sahaja mengisrakkan
Nabi SAW terus daripada rumahnya, tetapi Allah tak buat begitu.
Kedua, di kawasan Aqsa terdapat makam ramai nabi-nabi. Fokus utama
Israk & Mikraj ialah kefardhuan solat. Solat itulah yang menjadi
hiburan kepada Nabi SAW, dan bukan cara berhibur seperti yang kita
lakukan hari ini. Solat difardhukan di langit, dan ini menunjukkan
kepentingan ibadah ini. Seterusnya ada juga ditunjukkan seksaan
neraka dan nikmat syuga kepada Nabi SAW. Inilah sebahagian daripada
hikmah, yang lain kita boleh bincangkan lain kali dala tajuk khusus
Israk & Mikraj.
S: Siapakah yang membina Masjidil Aqsa?
J: Jika merujuk kepada satu hadis
riwayat Abu Dzar, Abu Dzar bertanya “Ya Rasulullah, apakah masjid
yang pertama yang didirikan di muka bumi? Jawab Nabi: Masjidil Haram.
Abu Dzar bertanya lagi, “Selepas itu?” Nabi menjawab, “Masjidil
Aqsa”. Abu Dzar bertanya jarak antara pembinaan kedua-dua masjid.
Jawab Nabi ialah selama 40 tahun. Namun persoalannya siapa yang bina?
Para ulama tidak sependapat. Ada yang mengatakan Nabi Sulaiman, namun
ada sebahagian yang mengatakan bahawa Nabi Sulaiman cuma
memperbaharui binaan masjid yang telah ada. Jika dikaji hadis Nabi
betul-betul, tiada disebutkan siapakah pembina asalnya.
S: Bilakah berlaku pertukaran qiblat
daripada Baitul Maqdis ke Masjidil Haram dan mengapa?
J: Jika merujuk kepads sirah Nabi SAW,
perstiwa ini berlaku lebih kurang 16 atau 17 bulan selepas Hijrah.
Ketika itu Nabi SAW sedang mengimamkan solat, dan Nabi diberi wahyu
untuk menukar kiblat ke arah Masjidil Haram. Nabi SAW sendiri
sebenarnya sangat-sangat meninginkan agar kiblat ditukar ke Masjidil
Haram kerana Nabi SAW dan umat Islam selalu diejek oleh golongan
Yahudi kerana menghadap ke arah Baitul Maqdis. Walaupun Nabi SAW
tidak meminta atau berdoa untuk menukarkan kiblat, Allah SWT
mengabulkan permintaan tersebut.
S: Adakah menjadi sunnah untuk kita
solat di sana sedangkan masjid itu ada dalam cengkaman Zionis?
J: Bagi orang yang duduk di situ, boleh
solat dan tiada masalah. Tetapi bagi kita yang jauh dan tiada
keperluan untuk solat di situ, dan selagi masjid itu dikuasai Zionis,
kita tidak dibenarkan pergi kerana keselamatan tidak terjamin. Lebih
baik kita simpan duit dan pergi solat di Masjidil Haram dalam keadaan
aman dan tenang. Tambahan pula jika kita pergi, kita akan menyumbang
wang ringgit kepada Zionis yang akhirnya akan digunakan untuk
memyembelih umat Islam di Palestin. Oleh sebab itu, adalah penting
untuk kita membantu membebaskan Palestin daripada cengkaman Yahudi.
S: Bagaimana Yahudi boleh menguasai
Palestin?
J: Palestin itu asalnya milik umat
Islam, dibuka semenjak zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Sejarahnya
panjang, tetapi berbalik kepada perancangan orang Inggeris dan Yahudi
untuk menguasai Palestin. Sebelum kejatuhan kerajaan Othmaniah,
pemimpin Islam tidak membenarkan seinci pun tanah Palestin untuk
diberikan kepada orang Yahudi. Namun, orang Inggeris banyak membantu
Yahudi dalam memecah-belahkan kerajaan Islam. Setelah Inggeris
berjaya menjajah Palestin, tanah yang dijajah itu diberikan kepada
Yahudi dan pada tahun 1948, Israel (Yahudi) mengisytiharkan bahawa
Palestin itu miliknya.
S: Apakah hukum seorang Islam
menziarahi, berurusan dengan Yahudi (Israel)?
J: Ada ulama berkata tiada masalah
sekiranya mereka tidak memberi bahaya. Tetapi ramai ulama menolak
kerana perbuatan mereka yang datang ke negeri Islam dan
mengisytiharkan negara itu milik mereka. Jadi, kita tidak boleh
berurusan dengan sesuatu yang boleh menguntungkan mereka. Orang
Yahudi membuat perancangan jangka panjang untuk menguasai umat Islam
seluruhnya. Seorang ulama ada menyatakan pada zahirnya orang Yahudi
menguasai tanah umat Islam di Palestin, tetapi mereka sebenarnya
telah menguasai pemikiran umat Islam seluruhnya. Jadi, kita perlu
berhati-hati. Kesimpulannya kita dilarang bekerjasama dengan mereka
selagi mereka belum memulangkan hak rakyat Palestin yang diambil.
S: Apakah tanggungjawab umat Islam
untuk membebaskan Masjidil Aqsa?
J: Ini merupakan tuntutan agama kita
dan tempat ini adalah tempat yang diberkati. Masjidil Aqsa merupakan
tempat ramai nabi-nabi dan hari ini terdapat ramai orang Yahudi yang
mencemarkan kawasan ini dengan perbuatan syirik dan zalim mereka.
Oleh itu kita perlu beri perhatian dan berusaha menyumbang untuk
membebaskannya. Tempat ini merupakan tempat yang diberkati. Khalifah
Umar Al-Khattab yang membukanya. Sebelum pemimpin asal Baitul Maqdis, iaitu orang Rom, menyerahkan kunci pemerintahan kepada Umar, mereka meminta Umar untuk
datang sendiri mengambilnya. Umar tidak datang bersama angkatan tentera, sebaliknya datang cuma berdua, bersama khadamnya dan seekor unta. Adilnya Umar, dia bergilir-gilir menaiki unta bersama
khadamnya. Walaupun khadamnya menolak, Umar menyatakan bahawa
khadamnya itu juga seorang manusia biasa yang tahu erti letih. Ada kalanya mereka membiarkan unta itu juga rehat tanpa tunggangan. Ketika
sampai, giliran Umar berjalan kaki dan khadamnya menaiki unta.
Apabila pemimpin-pemimpin Baitul Maqdis melihat peristiwa ini, mereka
menyatakan bahawa mereka tidak salah jika memberikan kunci itu kepada
Umar. Sejak itu ramai para sahabat datang dan tinggal di situ untuk
memakmurkan Baitul maqdis. Sayangnya tempat ini telah dicemari oleh
kaum Yahudi. Oleh itu kita semua perlu ambil berat dan paling kurang
kita perlu mendoakan keselamatan Palestin.