Solat Musafir (1) - Tanyalah Ustaz 27.06.2012
Ustaz Dato' Abu Hassan Din
Bacaan surah An-Nisa;, ayat 101 yang
bermaksud:
Siapakah yang dikatakan musafir?
Seseorang yang berjalan melebihi dua
marhalah (92km), atas tujuan yang diharuskan, dan berniat untuk
tinggal di satu tempat tidak melebihi 3 hari dan 3 malam, tidak termasuk
hari sampai dan hari keluar. Tetapi jika berniat untuk tinggal lebih
daripada 3 hari dan 3 malam, dia dikira musafir semasa dalam perjalanan,
tetapi setelah sampai ke destinasi, dia dikira sebagai bermukim di
situ. Sebagai orang bermukim, dia tidak lagi boleh mengerjakan solat
jamak dan qasar. Jika dia niat untuk tinggal di situ selama-selamanya
pula, dia dikira musafir semasa dalam perjalanan, tetapi setelah
sampai ke destinasi, dia dikira sebagai bermastautin di situ.Sebagai
orang bermastautin, dia tidak lagi boleh mengerjakan solat jamak dan
qasar.
Syarat-syarat musafir:
- Pemergian itu adalah musafir yang wajib, sunat atau harus. Contoh musafir wajib ialah perjalanan pergi menunaikan haji, musafir sunat ialah melawat saudara, dan musafir harus pula apabila membuat lawatan tertentu. Tidak dikatakan musafir jika dia berjalan atas tujuan perkara-perkara haram seperti merompak, mencuri dan lain-lain.
- Mesti tahu dengan pasti tempat yang ingin dituju, contoh musafir ke Sungai Petani.
- Untuk jamak – pasangannya ialah zohor dan asar, atau maghrib dan isyak.
- Untuk qasar – hanya boleh zohor, asar dan isyak, dipendekkan daripada 4 kepada 2 rakaat. Maghrib tidak boleh diqasarkan.
Jika seseorang niat bermusafir, tetapi
setelah sampai didapati jarak perjalanan baru 90km. Dia tidak boleh
menambah jarak sebanyak 2km lagi demi membolehkan mengerjakan solat
jamak dan qasar. Kita tidak dibenarkan menambah atau mengurangkan
sesuatu untuk mengubah sesuatu hukum. Contohnya jika bela kambing,
cukup 40 ekor untuk setahun perlu dizakatkan seekor. Tetapi jika dia
sengaja menyembelih seekor pada bulan ke-11 untuk mengurangkan
bilangan, dia tetapi kena zakat seekor kambing juga.
Untuk solat jamak takkhir, nak buat
solat mana dahulu? Zohor atau Asar? ada dua pendapat, ada yang
katakan dahulukan yang dahulu iaitu Zohor dulu, kemudian Asar. Atau
utamakan yang empunya waktu iaitu buat Asar dulu, kemudian Zohor.
Senarai soalah & jawapan:
S: Kami bermusafir dari Sungai Petani
ke KL. Adakah solat jamak dan qasar ini diwajibkan atau sebagai
ruksah kepada kami?
J: Ulama berselisih pendapat dalam hal
ini. Mazhab Hanafi mengatakan yang qasar dan jamak itu wajib bagi
musafir. Bagi mazhab Maliki pula hukumnya sunat muakkad (sunat yang
digalakkan). Bagi mazhab Syafie dan Hambali pula, hukumnya harus. Apa
maknanya? Terpulang nak buat atau tidak. Ianya merupakan kemudahan
yang Allah hadiahkan buat musafir.
S: Bolehkah musafir menjamakkan solat
Jumaat dan solat Asar?
J: Ada hadis mengatakan kita tidak
digalakkan bermusafir pada hari Jumaat. Tetapi jika ada keperluan,
boleh dilakukan. Musafir digugurkan daripada tanggungjawab menunaikan
solat Jumaat, jadi dia boleh solat jamak Zohor dan Asar. Tetapi jika
dia tetap ingin menunaikan solat Jumaat juga, majoriti ulama
mengatakan harus dijamakkan dengan Asar sekali. Boleh ikut solat
Jumaat bersama imam, selepas imam beri salam, musafir boleh sambung
dengan solat Asar yang diqasarkan atau tidak.
S: Bagaimana jika seseorang itu tidak
berniat musafir, tetapi tersesat sehingga melebihi dua marhalah.
Bolehkah dia solat jamak dan qasar?
J: Tak boleh kerana pertama:dia tidak
berniat musafir. Kedua: jarak antara tempat yang ingin dituju (pada
asalnya sebelum sesat) tidak melebihi dua marhalah.
S: Ada orang kata, dalam Al-Quran cuma
disebut qasar sahaja dan jamak tidak disebut. Apa komen ustaz?
J: Betul, cuma qasar disebut dalam
Al-Quran, seperti yang dibaca dalam ayat pada permulaan rancangan
tadi. Betul, Al-Quran merupakan asas kepada sesuatu hukum. Seperti
juga dengan solat, dalam Al-Quran cuma menyebut solatlah, tetapi
tidak disebutkan bila, berapa kali, berapa rakat dan sebagainya.
Sebab itulah kita perlu gandingkan Al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Contoh dalam ayat surah Al-Maidah, ayat 3 bermaksud, “Diharamkan ke
atas kamu semua bangkai”. Jika ikut ayat ini, ikan pun boleh jadi
haram kerana ikan semuanya dah jadi bangkai masa kita beli di pasar.
Tetapi hadis Nabi SAW yang membenarkan kita memakan bangkai ikan.
Seperti juga soal solat jamak dan qasar. Ianya disebut dalam satu
hadis Nabi SAW, di mana jika Nabi SAW musafir sebelum waktu Zohor,
baginda akan meneruskan perjalanan dan setelah masuk Asar, baginda
akan mengerjakan solat jamak takkhir. Jika Nabi keluar musafir
setelah masuk waktu, baginda akan solat Zohor seperti biasa. Ini
menunjukkan bahawa selagi belum keluar daripada kampungnya, seseorang
itu tidak boleh mengerjakan solat jamak atau qasar di rumahnya.
S: Bagaimana pula jika seseorang
berniat untuk mengerjakan jamak takkhir, tetapi jalan sesak sehingga
luput waktu solat. Apakah yang perlu dilakukan?
J: Dia perlu mengqada' solat tersebut.
Tetapi qada' yang bagaimana? Jamak atau seperti biasa? Ada ulama
mengatakan jika luput waktu tetapi dia masih dalam musafir, boleh
mengqada' dalam bentuk jamak. Tetapi majoriti ulama tidak bersetuju
dan mengatakan yang dia perlu mengqada' penuh iaitu Zohor 4 rakaat,
dan Asar 4 rakaat. Jika waktu luput dan dia tidak lagi dalam musafir,
semua ulama bersetuju dia perlu mengqada' secara penuh.
S: Bolehkah seorang doktor yang perlu
menjalankan pembedahan yang panjang melakukan solat jamak &
qasar?
J: Fatwa telah membincangkan dan
mengatakan harus untuk pesakit dan doktor terlibat melakukan solat
jamak.
S: Adakah pemandu bas yang mengembara
setiap hari, contoh dari KL ke SP, adakah dikira sebagai musafir?
J: Kita guna kaedah tafsiran tadi: '
Seseorang yang tinggal di satu tempat tidak melebihi 3 hari dan 3 malam
di kira sebagai musafir'. Maka sebagai musafir, dia boleh melakukan
solat jamak dan qasar.
Walaupun dia balik ke rumahnya sendiri,
jika tinggal kurang daripada 3 hari, dia masih dikira sebagai musafir
dan diharuskan solat jamak dan qasar.
S: Berapa lama seseorang itu menjadi
musafir dan boleh mengerjakan solat jamak dan qasar?
J: Selagi seseorang itu tinggal di
satu tempat tidak melebihi 3 hari, 3 malam, dia dianggap sebagai
musafir. Contoh, jika seseorang itu belayar dan tidak tinggal tetapi
di mana-mana tempat, maka sepanjang masa pelayaran itu dia dikira
sebagai musafir dan tiada had untuk mengerjakan solat jamak dan
qasar.
S: Di manakah tempat yang terbaik untuk
melakukan solat sunat musafir, sebelum atau selepas keluar rumah?
J: Solat sunat musafir diharuskan
dilakukan sebelum keluar bermusafir, di rumahnya sendiri, bukan di
luar rumah.