Hidup Berjiran (2) – Tanyalah Ustaz 14.06.2012

Ustaz Rujhan Mohamed Razali
Bacaan surah An-Nisaa, ayat 36 yang bermaksud:
Semoga hati dan jiwa kita dibuka untuk menerima kebaikan kerana apabila Allah ingin berikan kebaikan kepada seseorang hambanya, maka Allah akan memberikan hamba itu faham dengan ilmu agama. Bagaimana cara nak faham? Kenalah belajar ilmu. Tahniah kepada TV9 yang berusaha membawakan majlis ilmu sebegini yang membantu menambah kefahaman umat Islam dalam agama.

Senarai Soalan & Jawapan:
S: Mohon ustaz jelaskan lagi tentang hak-hak kejiranan yang kita perlu laksanakan.
J: Ada banyak hak-hak dalam berjiran. Hak-hak ini perlu kita usahakan untuk dilaksanakan. Untuk maklumat lanjut boleh rujuk contohnya dalam Kitab Ihya' Ulumiddin. Antara yang boleh disebut di sini ialah:
  • Jika dia minta tolong, tolonglah.
  • Jika dia perlukan pinjaman, beri pinjam.
  • Jika dia sakit, ziarahi.
  • Jangan membina bangunan lebih tinggi dari rumahnya sehingga angin tidak masuk kerumahnya kecuali dengan izinnya.
  • Jika beli makanan, beri sedikit padanya atau sorok jangan sampai dia nampak.
  • Jika masak makanan yang berbau kuat, beri sedikit padanya.
  • Jangan biarkan anak kita makan sesuatu sehingga ternampak oleh anaknya.
  • Jangan mengekori dengan mata apa yang dibelinya.
  • Jika dia meninggal, hantar jenazahnya ke kubur.
  • Ada banyak lagi tetapi menurut Imam Al-Ghazali, yang paling penting ialah bersabar dengan karenahnya atau apabila disakitinya.
S: Apakah sifat mazmumah yang boleh merosakkan kejiranan?
J: Mazmumah adalah sifat-sifat keji. Antaranya, sifat talam dua muka – baik di depan, buruk di belakang, suka mengumpat, menjatuhkan air muka orang lain, cepat marah, memendam rasa, hasad dengki dan banyak lagi.

S: Bagaimana sikap kita terhadap jiran yang kurang baik?
J: Memang manusia ini bermacam perangainya. Sebab itu dikatakan pilih jiran sebelum pilih rumah. Tetapi kalau sudah ditakdirkan, kita perlu menghadapinya mengikut contoh yang Nabi SAW tunjukkan. Untuk menghadapi jiran yang kurang baik, kita perlu:
  • Menyambung kembali perhubungan yang diputuskan olehnya.
  • Memaafkan kesalahan jiran yang pernah berlaku zalim pada kita.
  • Memberi kepada jiran yang tidak memberi kepada kita.
  • Berbuat baik kepada jiran yang berbuat jahat kepada kita.
  • Mendoakan kebaikan untuknya.
S: Jika buah pokok jiran jatuh ke dalam pagar rumah saya, bolehkah saya mengaku buah itu milik saya?
J: Tidak boleh, buat itu tetap milik pemilik pokok. Tetapi apabila pokok masuk ke kawasan rumah jiran, pemilik pokok perlu minta izin jiran. Langkah yang terbaik adalah kedua-dua jiran saling bermuafakat dan berbincang. Jika pokok jiran mendatangkan mudarat kepada harta jiran, contohnya mencalarkan kereta jiran, pemilik pokok perlu membayar ganti rugi kepada jiran tersebut.

S: Apakah hukum memasang khemah sementara untuk majlis perkahwinan?
J: Jika sementara, ianya diharuskan, dengan syarat meminta izin daripada jiran-jiran yang terlibat, tak kita jiran Islam atau bukan Islam. Sebenarnya dengan menjemput mereka datang sudah dikira sebagai meminta izin dan biasanya masyarakat kita memahami dan berlapang dada.

S: Apakah langkah yang perlu diambil apabila berlaku krisis di kalangan jiran?
J: Manusia ini memang pelbagai jenis perangainya, jadi pasti akan berlaku krisis. Oleh itu kita perlu tahu bagaimana menanganinya. Pertama, perlu bertenang. Jangan mengapi-apikan lagi keadaan. Kedua, jaga mulut dan jangan sekali-kali menokok-tambah cerita apa yang berlaku. Lebih baik berdiam diri. Tiada siapa yang untung apabila bergaduh, yang gembira adalah syaitan dan musuh-musuh Islam. Nabi SAW sendiri apabila menghadapi krisis akan berdiam diri sehingga mendapat jawapan daripada Allah.

S: Apakah ciri-ciri utama dalam jiran dan sahabat yang baik?
J: Kita hendaklah ...
  • mengharapkan kebaikan kepadanya akan segala kebaikan yang kita inginkan
  • tidak mengharapkan keburukan yang kita sendiri tidak menyukainya
  • menggembirakan hatinya dan memberi kebaikan kepadanya
  • menjaga maruahnya di depan dan di belakangnya
  • memberi pinjaman dan bantuan apabila dia memerlukan
  • menjaga dan menutup aibnya
  • membelanya apabila dia teraniya
  • memberi nasihat kepadanya dengan hikmah
  • berbakti kepada anak isterinya setelah dia meninggal
  • mendoakan keselamatannya di dunia dan akhirat. 
Ada orang tanya dapat apa jika kita doakan orang lain? Apabila kita doa untuk diri sendiri, mungkin ada banyak hijab antara kita dengan Allah. Tetapi apabila kita doakan untuk orang lain, Allah takkan tolak doa itu dan apa yang didoakan itu akan kembali kepada kita juga.

Sedikit penekanan terhadap cara bersalam. Bersalam sebenarnya adalah ibadat dan bukan adat semata-mata. Pada salam itu ada tautan hati. Oleh itu kita perlu genggam betul-betul dan bukan cuma sentuh pada hujung jari saja. Setelah salam, jangan lepas cepat sangat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, jika ada 10 kebaikan, 9 akan diberi kepada orang yang lepaskan tangan kemudian, dan 1 kebaikan kepada orang yang lepas tangan dahulu. Mata perlu bertentang mata dan lihat wajah orang yang disalam, mulut menguntum senyum, lidah berselawat dan hati mendoakan kebaikan untuknya. Apa yang kita doakan itu pasti akan kembali semula kepada kita. Tanya diri kita ada tak kita buat begini ketika bersalam? Adakah salam yang kita lakukan mendekatkan hati kita atau semakin menjauhkan kita daripada satu sama lain?

S: Apakah panduan yang boleh diamalkan agar dapat hidup dalam keadaan harmoni dan berkasih-sayang.
J: “Apa erti hidup yang senang, jika hati tidak tenang?” Siapa yang memegang hati kita? Allah. Oleh itu kembalikan hati kita kepada Allah. Hari ini majoriti kita lupa kepada Allah. Kita cuma ingat Allah ketika susah, sakit dan menghadapi musibah. Jadi untuk mendapat hidup yang tenang, seluruh masyarakat perlu kembali kepada Allah. Jika kita sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan iaitu agama. Agama adalah panduan dalam hidup. Apa yang wajib kita laksanakan, yang sunat kita bangunkan, yang haram kita jauhkan, yang makruh kita hindarkan, yang harus, kita jadikan ibadah kita. Kita akan merosakkan agama jika apa yang wajib kita tak buat, yang haram kita langgar, yang sunat kita tak berkenan buat dan yang makruh pula selamba kita buat. Kita semua kena balik kepada soal iman dan taqwa. Jangan 'penjarakan' taqwa itu di surau dan masjid sahaja. Taqwa perlu berada sepanjang masa bersama kita, walau di mana saja kita berada. Orang bertaqwa adalah orang yang sangat berhati-hati dalam segala hal – berhati-hati dalam menerima maklumat, dalam memberi ulasan dan sebagainya. Saya bawakan sebuah kisah agar kita semua mendapat pengajaran daripadanya – seorang ulama bernama Muhammad bin Idris bin As-Syafie yang sedang menaiki unta ditanyakan, “Wahai Imam, unta ada berapa kaki?”. Oleh kerana berhati-hatinya, dia turun dahulu dan mengira betul-betul sebelum memberi jawapan. Oleh itu kita juga perlu berhati-hati dalam setiap perbuatan terutamanya percakapan dan ulasan kita dalam menjaga keharmonian hidup berjiran.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab