Kuliah Maghrib Bersama Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim
Lokasi: Masjid As-Sobirin, AU5 pada 24.06.2012
Masjid ini selalu terlintas di hati
saya kerana terletak berdekatan dengan rumah adik ipar. Masjid ini
juga adalah satu-satunya masjid yang sukar untuk saya mendapat saf
pertama. Apabila saya telah berpindah ke Madinah, jemputan pertama
yang saya terima untuk memberi ceramah apabila pulang adalah daripada
masjid ini dan saya amat gembira untuk menerimanya.
Saya sekarang mengajar di Universiti
Taibah, Madinah dan sedang bercuti musim panas selama 2 bulan. Di
Madinah, rumah saya terletak di kaki bukit Uhud, berdekatan tempat
dilakukan hukuman Qisas. Sebelum balik, saya ada menyaksikan sendiri
hukuman pancung dan pengalaman itu memang sesuatu yang lain daripada
yang lain. InsyaAllah akan saya kongsikan dalam blog nanti.
Ketika mula mengajar di Madinah, antara
pengalaman ganjil yang dialami ialah saya mengajar pelajar lelaki
sahaja. Wanita tidak dibenarkan masuk ke kawasan universiti kami.
Bahkan setiausaha kami pun lelaki. Saya jadi begitu jarang melihat
aurat wanita, kecuali jika keluar dari kawasan Tanah Haram. Tetapi
setelah 10 bulan berada di Madinah, saya rasa ganjil apabila sampai
di KLIA kerana melihat begitu ramai wanita yang membuka aurat.
Apabila pulang ke rumah saya di Shah Alam juga saya saya melihat
ramai wanita membuka aurat.
Kalau di Masjid Nabawi pula, terasa
ganjil apabila orang solat Subuh tak baca doa Qunut. Baru-baru ini
saya ada bawa tetamu dari Arab Saudi dan seorang rakan saya bertanya
pada rakan tersebut apa bezanya Malaysia dan Arab Saudi. Lalu
jawabnya, orang Malaysia kurang bergaduh sebab baca doa lebih sikit
iaitu doa Qunut ;D
Sebelum ke Madinah, saya beritahu semua
orang. Kombinasi buku tulisan saya dan isteri saya rasanya sudah
mencapai ratusan ribu yang terjual, jadi saya rasa macam ramai orang
kenal saya, saya rasalah ;). Saya beritahu jika datang ke Madinah,
telefon saya dan datanglah ke rumah. Dari musim haji tahun lalu
sehinggalah sekarang ini, setiap hari saya menerima tetamu dari
Malaysia. Sesiapa yang ingin datang, boleh ambil nombor telefon saya
di website ataupun di Majalah Anis. Saya ada 'uploadkan'
gambar-gambar tetamu yang datang ke FB dan blog saya. Jadi, orang
tanya tak letih ke Prof. layan tetamu? Saya jawab - jika sesuatu
dilakukan semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah,
semata-mata kerana Allah, InsyaAllah kita tak letih. Mereka yang
datang ke Madinah itu sama ada orang yang buat umrah atau buat haji.
Orang Malaysia yang bekerja di Madinah seperti saya ada cuma 8
keluarga sahaja. Para pelajar pula ada lebih kurang 160 orang
sahaja. Jadi, apabila saya menjemput orang Malaysia, bermakna saya
menjemput dan melayani tetamu Allah SWT. Saya rasa saya seperti wakil
Allah SWT untuk melayani tetamu-Nya. Tuan-tuan dan puan -puan tak nak
ke peluang macam tu? Saya rasa begitu seronok menerima tetamu-tetamu
Allah ini.
Kebiasaanya saya akan minta mereka
tunggu di parking 11A, Masjid Nabawi dan had 4 orang sahaja kerana
kereta saya muat 4 orang sahaja ;). Tetapi jika ramai bolehlah ambil
teksi. Pada saya mereka ini adalah tetamu Allah, jadi saya rasa
bertuah dapat menjaga tetamu Allah. Isteri saya akan sediakan
makanan, dan biasanya Nasi Arablah yang akan menjadi hidangan. Cuma
ada satu syarat sebelum makan di rumah saya, iaitu kena dengar
sedikit tazkirah daripada saya :). Inilah yang menjadi rutian harian
kami. Orang pun tanya isteri saya tak penat ke kena masak setiap
hari? Jawabnya tidak, bahkan, setelah 6 bulan, dia berjaya menyiapkan
sebuah buku berjudul 'Bukan Sekadar Resipi'.
Untuk memulakan tazkirah, biasanya saya
akan tanya tetamu wanita, “Sudah dapat masuk Raudhah?” Biasanya,
ramai yang jawab sudah. Bila ditanya pula kusyuk tak masa solat di
Raudhah, ramai wanita biasanya akan tertunduk membisu. Kebanyakannya,
iaitu hampir 95%, mempunyai pengalaman yang tidak begitu kusyuk
kerana orang terlalu ramai. Mereka bisasanya tertekan dan terpaksa
berasak-asakan dan akan diminta keluar cepat-cepat oleh pengawal yang
bertugas. Kemudian saya akan tanya pula kenapa nak pergi Raudhah?
Biasanya mereka akan jawab, “Kerana pertama: dikatakan di situ
doanya sangat mustajab, dan kedua: kerana berada di situ adalah taman
syurga".
Jadi saya tanya pula, jika puan ingin
doa mustajab, pernah tak dengar satu hadis Qudsi, riwayat Muslim dan
Bukhari yang berbunyi,
“Allah s.w.t turun ke langit dunia
apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : Ada
sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Kumakbulkan , ada sesiapa yang
meminta kepada-Ku untuk Kuberikan , ada sesiapa yang beristighfar
memohon keampunan untuk Kuampunkan?”
Janji Allah ini tidak merujuk khusus pada tempat, tetapi masa. Pukul berapa? Pukul 2 pagi, 3 pagi, 4 pagi.
Tuan-tuan tak perlu menghabiskan beribu-ribu ringgit semata-mata
untuk mendapatkan doa yang mustajab. Ia berada pada diri kita, dan
berada di mana-mana sahaja. Adakah kita menggunakan peluang ini
sepenuhnya?
Kedua: Puan pernah mendengar tak hadis
Nabi SAW yang menyebut bahawa mereka yang berpuasa, doanya sangat
mustajab? Puasa juga tidak mensyaratkan tempat. Adakah kita sudah
menggunakan peluang ini? Puasa sunat boleh dilakukan setiap Isnin,
dan Khamis, atau selang sehari seperti puasa Nabi Daud, dan juga juga
puasa pada hari-hari putih iaitu 13, 14, dan 15 haribulan hijrah.
Ketiga: Puan-puan dan tuan-tuan pernah
dengar tak bahawa doa ibubapa sangat mustajab? Status ibubapa tak
bergantung pada masa, atau tempat. Oleh itu sentiasalah berdoa untuk
anak-anak kita.
Kita telah sebut tentang doa yang
mustajab, sekarang saya nak sentuh tentang taman syurga pula. Taman
syurga juga ada bersama kita kerana Nabi SAW berkata barangsiapa yang
menghadiri majlis ilmu, maka dia berada di taman syurga. Sebab itu
saya suka beri tazkirah sedikit sebelum beri makan pada tetamu. Dalam
majlis ilmu, diceritakan bahawa malaikat akan datang berduyun-duyun.
Jadi bila tiap-tiap malam saya buat majlis ilmu, maka tiap-tiap
malamlah rumah saya dikunjungi para malaikat. Jadi, bila orang tanya
saya letih tak, tentulah saya kata tak letih. Bahkan saya rasa
gembira kerana saya tahu apa yang saya buat. Untuk buat majlis ilmu,
kita tidak boleh lokek atau berkira. Tidak mengapalah apabila saya
perlu mengeluarkan sedikit belanja kerana saya yakin ada ganjaran
yang lebih tinggi di sisi Allah SWT. Setelah kita tahu, cubalah kita
usahakan untuk mengamalkannya.
Syarat untuk menjemput saya bercakap
mudah sahaja. Pertama - Jangan bayar saya. Saya buat semata-mata
kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah.
Allah SWT telah mengurniakan nikmat yang terlalu banyak kepada saya.
Jika tuan-tuan baca buku travelog haji saya, tuan-tuan akan lebih
memahaminya. Jika dikaji di dalam Al-Quran, para nabi dan rasul tidak
pernah mengambil upah atas kerja-kerja dakwah yang dilakukan. Dalam
surah Yaasin ayat 20 & 21 ada disebutkan dan kita ikutlah
petunjuk Nabi SAW. Tetapi jika tuan-puan ingin beri hadiah, saya tak
tolak kerana Rasul SAW tidak tolak hadiah. Jadi, kalau nak bagi,
bagilah banyak-banyak. Baru-baru ini, Masjid Bandar Uda beri saya
RM1500. Saya terdengar bisikan untuk mengambilnya. Lalu cepat-cepat
saya tutup dan derma kembali kepada masjid tersebut. Dalam seumur
hidup saya, itulah kali pertama saya derma RM1500 kepada masjid. Oleh
itu jika tuan-tuan nak beri hadiah saya, berilah mahal-mahal agar
saya juga dapat menyumbang jumlah yang besar kepada masjid ;).
Silakan menjemput saya kerana saya tak kisah masjid kecil atau besar,
jemaah ramai atau sedikit.
Kemudian, setelah selesai bertanya
kepada tetamu wanita, saya akan bertanya pula kepada tetamu lelaki:
Datang ke sini atas tujuan apa? Biasanya jawapan mereka antara haji
atau umrahlah. Kemudian saya tanya lagi, “Tolong sebut 5 perkara
yang akan dibuat selepas balik nanti?” 90% tak boleh jawab soalan
ini. Kenapa? Kerana mereka cuma membuat persiapan sebelum pergi dan
ketika berada di Mekah dan Madinah sahaja. Ramai yang tidak fikir
persiapan setelah balik. Haji yang mabrur balasannya syurga. Oleh
itu, jika kita pergi haji pada umur 50 tahun, dan purata hidup
sehingga 75 tahun, kita mesti mempertahankan haji mabrur itu selama
25 tahun. Jadi jika pergi lagi awal, lebih lama lagi kita perlu
mempertahankannya.
Tujuan ucapan saya pada malam ini
adalah supaya bakal haji dan orang yang telah balik haji dapat
mengambil iktibar. Saya menulis buku travelog haji pada tahun 2006.
Saya pergi ketika berumur 40 tahun dan saya sangat jahil ketika itu.
Saya belajar mengaji Quran sebelum pergi haji. Bolehlah dapatkan buku
itu untuk rujukan lanjut kerana buku itu adalah perkongsian daripada
hati saya, InsyaAllah ada pengajarannya.
Bila datang ke Mekah, semua orang
mengidamkan haji yang mabrur. Sekarang, orang yang pergi penerbangan
awal, akan ke Madinah dahulu selama 8 hari. Orang yang pergi
penerbangan lambat akan ke Mekah dulu, duduk sehingga selesai urusan
haji, kemudian barulah ke Madinah selama 8 hari. Orang yang buat
umrah pula biasanya hanya berada di Madinah selama 3 hari sahaja.
Daripada pengalaman saya, jika saya masuk Masjid Nabawi, InsyaAllah
akan ada orang yang kenal saya. Tetapi pada musim haji yang lalu,
ketika saya masuk ke Masjid Nabawi, tiada seorang pun yang kenal
saya. Saya pun jadi hairan juga. Tetapi apabila orang yang telah
pergi Mekah dahulu sampai ke Madinah, mereka kenal saya. Kenapa orang
yang masuk Madinah dulu tak kenal saya, tetapi orang yang pergi Mekah
dahulu kenal saya? Kerana orang yang belum ke Mekah masih susah hati
dan fokus pada persiapan hajinya. Mereka ini jalan pun tunduk sahaja.
Masing-masing takut dengan cerita-cerita balasan Allah seperti yang
dibaca di dalam Mastika. Seusai solat, mereka akan menyandar di
dinding sambil menelaah buku-buku panduan haji. Saya yang biasanya
menegur dan memulakan perbualan dan memberi sedikit tazkirah kepada
mereka. Itulah rutin saya setiap hari selepas Asar hingga Maghrib.
Tetapi bagi mereka yang telah selesai
mengerjakan haji, mereka sudah berasa selesa dan santai ketika di
Madinah. Rupa-rupanya tak ada pun cerita-cerita pembalasan Allah
seperti yang ditakut-takutkan itu. Mungkin adalah kisah selipar
hilang atau tersesat tetapi tidaklah terlalu besar. Secara puratanya,
biasa-biasa saja pengalaman orang yang mengerjakan haji. Oleh sebab
itu mereka pun tidak lagi jalan menunduk dan lebih mudah mengenali
saya ;). Ada ramai orang yang membaca buku travelog haji saya, sedar
bahawa jika saya yang jahil pun boleh menunaikan haji, mereka pasti
boleh juga, kerana mereka tidaklah sejahil saya, cuma mereka telah
lama meninggalkan Quran.
Oleh kerana berasa selesa setelah
menunaikan haji, mereka lebih mengutamakan aktiviti beli-belah
daripada solat berjemaah di Masjid Nabawi. Pada mereka, urusan haji
telah pun selesai, dan solat berjemaah bukanlah termasuk dalam rukun
haji. Apabila saya dipanggil memberi ceramah kepada jemaah haji di
hotel-hotel sekitar Madinah, saya katakan pada mereka yang mereka
sebenarnya sekadar melancong sahaja. Mereka pun tarik muka bila saya
kata begitu. Sepatutnya setibanya di Madinah, jemaah perlu rasa lebih
sebak kerana ujian selepas haji telah pun bermula. Jemaah perlu mohon
bantuan Allah untuk beribadat seperti mana yang dilakukan ketika di
Mekah. Tambahan pula jemaah akan pulang ke Malaysia dan menghadapi
pelbagai ujian lain yang lebih berat. Jemaah sepatutnya meminta
bantuan Allah agar dikekalkan dengan amalan yang telah dibuat semasa di
Madinah dan Mekah.
Cuba perhatikan apakah yang dilakukan
setelah sampai ke Malaysia? Ada tak jemaah pergi sujud syukur dan
merintih memohon bantuan Allah untuk diberi kekuatan untuk terus
beribadah? Kebanyakan daripada jemaah tidak melakukannya. Ketika itu
mereka sibuk dengan air zam-zamnya, tamarnya, abayanya dan keluarga
yang sedang menunggu di luar. Tidak sedikitpun wujud perasaan takut
atau gementar dengan ujian yang bakal dihadapi. Ramai yang tidak
sedar yang mereka perlu mempertahankan haji mabrur selama 20, 30,
40 tahun lagi. Sebab itulah mereka tidak boleh jawab soalan saya tentang 5
perkara yang akan dilakukan setelah balik haji. Kadang-kadang hari
pertama balik lagi sudah gagal solat Subuh kerana alasan 'jetlag'.
Saya juga suka untuk menggalakkan semua jemaah agar melakukan puasa
sunat. Kenapa? Apa kaitan puasa dengan ibadat haji? Betul, tiada
kaitan. Jadi mengapa saya suruh puasa? Menurut Imam Ghazali, puasa
terbahagi kepada tiga peringkat:
- puasa lapar & dahaga sahaja
- puasa pancaindera sahaja
- puasa semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah seperti puasa para nabi & anbiya.
Jadi, apakah bentuk puasa para nabi and
anbiya'? Sebenarnya, saya berceramah berdasarkan
2 keadaan:
Pertama: berdasarkan surah Al-Waqiah -
ayat 10-14 yang bermaksud pada hari kiamat nanti, kita akan
dibangkitkan dalam 3 kumpulan. Satu kumpulan bersama Rasulullah SAW,
dan sedikit sahaja dalam kumpulan ini yang terdiri daripada umat
akhir zaman. Golongan ini akan masuk syurga tanpa hisab. Ibnu Kathir
berkata bahawa kita memang merupakan umat akhir zaman. Daripada kita
semua, hanya segelintir sahaja yang akan masuk syurga bersama Nabi
SAW.
Kedua: Dalam satu hadis qudsi, riwayat
At-Tabrani, Allah SWT berfirman, “Wahai Adam, kumpulkanlah umatmu
untuk dibawa ke muka pengadilan. Daripada seribu yang Adam bawa, cuma
seorang saja yang akan masuk syurga tanpa dihisab. Tuan-tuan berani
ke nak masuk ke neraka walaupun sekejap? Saya takut. Sebab itu saya
selalu mohon semoga saya, isteri, anak-anak, rakan-rakan dan orang
yang saya bagi ceramah, semuanya dapat masuk syurga tanpa dihisab.
Kita tidak boleh berharap untuk masuk syurga dengan ilmu yang kita
ada, tetapi hanyalah dengan rahmat-Nya.
Jadi, memang ketat prosedur untuk masuk
syurga. Allah telah tetapkan segala suruhan dan larangan-Nya. Para
nabi dan rasul juga telah memberikan contoh amalan-amalan yang kita
juga mampu buat. Sesungguhnya Allah tidak menyusahkan kita, yang
susah adalah kerana kita degil dan kerana kita memang tak nak buat.
Jadi, bagaimana puasa para Nabi dan
Anbiya berpuasa? Ada sesiapa di sini yang pernah berpuasa semata-mata
kerana Allah? Ada banyak cabaran berpuasa di Malaysia. Pertama:
banyaknya aurat wanita yang terbuka dan kedua: makanan. Nak tahu sama
ada kita berpuasa kerana Allah atau tidak mudah saja. Sekiranya pada
pukul 2 petang, kita sudah mula berfikir nak makan apa untuk berbuka,
itu menunjukkan yang puasa kita sudah sedikit terpesong. Tetapi jika
kita pergi ke pasar Ramadhan atas sebab menyediakan makanan untuk
suami dan anak-anak, itu tidak mengapa. Jangan pergi atas tuntutan
nafsu sendiri. Jangan kata sebab aku puasa hari ini, aku nak makan
xyz untuk berbuka.
Untuk mencapai puasa seperti para nabi
dan anbiya tidaklah susah. Bahkan saya pun boleh mencapainya. Nanti
dulu, jangan kata saya sombong atau riyak, bukan itu niat saya datang
jauh-jauh dari Madinah. Mari renungkan kisah ini - Api sifatnya
membakar, jika letak tangan, api akan membakar. Tetapi api yang
menggunung tinggi tidak membakar apabila Nabi Ibrahim masuk ke
dalamnya. Kenapa? Kerana Allah berfirman sejuklah api.
Semasa buat haji pada 2006, saya pergi
dalam keadaan jahil, jadi saya cuba buat yang terbaik. Saya cuba berpuasa pada hari Isnin, Khamis, dan pada hari-hari putih. Esok hari Isnin, jadi
saya harap kita semua boleh buat puasa sunat beramai-ramai. Duduk di
masjid, jadi ketika berbuka, saya cuma makan tamar, dan jika ada teh,
buat air teh. Oleh kerana saya berpuasa, saya tak pula meminta isteri
saya masak yang sedap-sedap. Saya pergi dalam keadaan sangat takut
dan pergi masjid Nabawi pada pukul 3 pagi lagi. Saya selalu menangis
dan memohon keampunan pada Allah. Saya luangkan masa sepenuhnya di
masjid, buat solat sunat, baca Quran, baca terjemahan. Di Masjid
Nabawi, pada waktu Maghrib hari Isnin, Khamis dan hari-hari putih
akan dibentang saprah. Apabila azan dilaungakan, saya pun pergi duduk
di saprah dan buka puasa dengan apa yang ada - tamar dan air zam-zam.
Pada ketika itu saya rasa begitu nikmatnya berpuasa dan berbuka.
Diam-diam dalam diri saya berkata, mungkin beginilah puasa para nabi.
Mengapa? Oleh kerana saya luangkan masa sepanjang hari di masjid dan
saya rasa itulah cara Nabi puasa. Sepanjang di masjid saya hanya
pegang Quran, buat solat sunat dan saya tak ada mengata orang, atau
tengok tv. Itulah nikmat puasa yang sebenarnya. Jadi, apabila kita
telah merasa nikmat sebegini, rugilah jika kita kembali ke Malaysia
dan sekadar berpuasa pada tahap 1 kembali. Oleh sebab itu, selepas
pulang dari mengerjakan haji, jika berpuasa, saya takkan berbuka di
rumah jika saya tak dapat pastikan saya dapat solat berjemaah. Saya
tidak lagi mementingkan soal berbuka tetapi lebih mementingkan solat
berjemaah kerana ia adalah sesuatu yang Nabi SAW tak pernah tinggal
kecuali 3 hari sebelum baginda wafat.
Bila masuk bulan Ramadhan, ramai pula
yang mengejar Lailatul Qadr. Tidaklah salah tetapi sepatutnya
kita kejar fadhilat solat fardhu berjemaah juga, bukan sekadar solat
sunat. Tuan-tuan tahu bagaimana rupa malam Lailatul Qadr? Kita semua
pun pernah dengar cerita yang kata nampak pokok sujud, atau air
membeku. Malam dalam Islam bermula daripada
selepas Maghrib ke Fajar. Jadi bagi mereka yang tinggal solat Magrib
berjemaah, saya pasti mereka tidak mendapat Lailatul Qadr. Mereka
mengutamakan makan di rumah berbanding solat berjemaah yang Nabi SAW
tak pernah tinggal. Tetapi jika Allah nak beri, itu adalah hak Allah.
Jadi, saya berbuka di masjid, dan tak tinggal solat maghrib
berjemaah. Selepas itu saya balik rumah makan dan kemudian pergi
semula untuk solat Isyak berjemaah. Saya tidur pukul 11 kerana ingin
bangun 2:30 pagi kerana itu adalah waktu sepertiga malam. Saya bangun
untuk mohon keampunan, atas dosa-dosa yang pernah dilakukan sama ada
sedar atau tidak. Saya tak pernah minta untuk bertemu Lailatul Qadr.
Dosa yang paling bahaya ialah syirik yang kita tidak sedar. Contohnya
ialah apabila kita sombong dengan kelebihan diri yang dimiliki. Atau contoh ketika
kenduri kahwin, mohon bantuan bomoh hujan. Saya bangun pagi-pagi,
dirikan solat, baca Quran dan bermunajat pada Allah. Lepas itu, saya
pergi solat subuh berjemaah. Jadi, jika kita sudah buat begini setiap
hari, salahkan jika saya kata saya sudah mendapat Lailatul Qadr?
Syaratnya, janganlah buat satu malam atau pada malam 27 hari bulan saja. Kenalah
buat setiap hari, setiap bulan. Allah itu Maha Pengasih, takkanlah
Allah tak nak beri kepada kita apa yang telah dijanjikan-Nya.
Ada orang tanya petua untuk bangun
malam. Cuba tanya diri kita - adakah kita akan gosok gigi esok?
InsyaAllah kita akan jawab ya. Kenapa? Kerana kita sudah merasa
nikmat berus gigi setiap hari dan jika sehari tak gosok, kita akan
berasa tidak senang. Cuba tanya soalan yang sama kepada orang asli.
Orang asli itu tak peduli pun untuk berus gigi atau tidak. Kenapa?
Kerana mereka tidak pernah diajar sedangkan kita telah diajar dari
kecil lagi, dan diingatkan juga di sekolah. Berbalik kepada soal
bangun malam, berapa ramai ibu bapa yang ajar anak bangun sepertiga
malam untuk solat? Saya yakin tiada ibu bapa yang mengamalkannya.
Sebab itu kita perlu jadikan bangun malam ini tabiat dengan
mengajarkan anak-anak sedari mereka kecil. Berapa ramai ibu bapa yang
pergi solat Subuh berjemaah tetapi takut nak kejut dan ajak anak
sekali? Ibu bapa takut anak-anak akan mengantuk di sekolah. Jangan
takut, Allah sudah janjikan kejayaan. Jika nak jadi orang terpilih,
kita kena berani dan berusaha.
Jika kita dah tua, bagaimana nak bentuk
tabiat baru ini? Sebab itu Allah berfirman yang bermaksud - tidak
sama orang yang berilmu dan tidak berilmu. Ilmu adalah apa yang Allah
beri, bukan apa yang kita belajar di universiti. Ilmu adalah apa yang
Allah buka hijab kepada kita. Kenapa ketika di Madinah dan Mekah kita
mampu pula bangun malam? Jika seseorang berjaya melatih diri ketika di
Mekah, InsyaAllah dia akan terasa nikmatnya bangun malam dan akan
memohon bantuan Allah untuk istiqamah setelah balik ke Malaysia.
Tetapi jika dia tidak berbuat begitu ketika di Mekah, rugilah kerana
dia tidak memanfaatkan peluang yang Allah berikan. Kita sangat
beruntung kerana waktu Mekah lewat 5 jam daripada Malaysia. Waktu
1:30 pagi di Mekah itu sebenarnya sudah 6:30 pagi di Malaysia.
Apabila terjaga, bangunlah dan terus baca doa bangun pagi dan ambil
wudhuk untuk meleraikan ikatan syaitan pada tubuh kita. Kemudian
terus pergi solat dan iktikaf dalam Masjid Nabawi atau Masjidil
Haram. Cuba buat begitu setiap hari. Di Madinah biasanya tiada
masalah kerana hotelnya dekat. Tetapi apabila tiba di Mekah pula,
keadaan menjadi mencabar kerana hotel agak jauh dan kawasannya
sedikit berbukit. Oleh sebab itu ramai yang membuat alasan untuk
balik ke hotel untuk berehat. Bagaimana nak jadi manusia terpilih
jika begini? Apa salahnya jika berehat dengan tidur di dalam masjid
dan niatlah untuk iktikaf . Di samping itu ramai juga yang suka solat
di kawasan luar masjid. Rugilah kita datang jauh-jauh, bayar
mahal-mahal, jika tidak solat di dalam masjid. Puratanya ramai orang
cuma solat 3 waktu saja – Maghrib, Isyak dan Subuh, di Masjidil
Haram. Jangan sampai kita termasuk dalam golongan ini. Sebab itulah
ramai yang tak boleh jawab apa yang mereka akan buat selepas pulang
dari Mekah. Kita sepatutnya minta bantuan dengan Allah agar kita
diberi kekuatan untuk solat 5 waktu berjemaah, untuk berpuasa pada
hari Isnin, dan Khamis, untuk baca Quran setiap hari. Kekuatan bukan
datang daripada fizikal kita, tetapi semata-mata kurniaan Allah.
Inilah yang saya doakan setahun sebelum saya pergi menunaikan fardhu
haji.Saya tidak berniat untuk riak, tetapi saya ingin beri motivasi
kepada semua. Saya tak pernah tinggal solat berjemaah di masjid sejak
balik haji tahun 2007 kecuali solat jamak dan qasar. Itu adalah
hadiah daripada Allah SWT.
Apabila kita berbuat begini, pasti
ketika kita pulang kita akan terasa kelainan dan akan mohon bantuan
Allah untuk mengekalkan amalan baik tersebut. Sebelum saya tutup saya
ingin kongsi cerita sedikit. Ada seorang Profesor juga yang bersetuju
dengan saranan saya supaya jangan tinggal solat jemaah, tetapi
katanya jadualnya sejak dahulu lagi memang penuh pada pukul 12-2
petang. Begitu juga dengan seorang pramugari yang ingin tutup aurat
tetapi katanya MAS tak izinkan. Saya renung wajah mereka dan katakan.
“Betulkah yang mereka ingin lakukan kebaikan?” Kemudian saya tanya
lagi, “Dalam Talbiah kita ada mengucapkan – Tiada sekutu bagi
Allah – Adakah pengucapan itu benar datang daripada hati kita?”
Cuba kita tanya diri kita – “Ada tak satu benda yang Allah tak
boleh buat?” Sepantas kilat kita boleh jawab “Tak ada”. Jadi
adakah Allah yang mencipta langit, bulan, bintang ini tidak boleh
mengubah 'time table' seorang profesor? Sebagai hamba, kitalah yang
kena memohon bantuan daripada Allah. Bangunlah pada sepertiga malam
dan mohonlah, menangislah dan merayulah pada Allah. Apabila sudah
minta, jangan buruk sangka pada Allah. Semuanya hak Allah, terpulang
pada-Nya bila Dia berkenan memberikan. Inilah yang dikatakan tauhid
pada Allah. Jika betul nak tutup aurat, mohonlah pada Allah. Allah yang hantar saya ke Madinah, sedangkan saya sendiri tak pernah terfikir
untuk tinggal disini.
Yang terakhir sekali, jika nak tahu
seseorang itu dapat haji mabrur atau tak, tengok masa mereka naik
kapal terbang. Adakah mereka masih menutup aurat dengan sempurna?
Adakah Allah cuma berada di Mekah atau Madinah sahaja? Aurat juga
bukan ditutup ketika pergi ke pejabat sahaja dan tidak ketika menyapu
sampah di depan rumah. Inilah cabaran para suami dan bapa. Kita perlu
tegur dan didik kaum wanita agar menjaga aurat sepenuhnya.
Saya minta maaf jika ada tersalah atau
terlalu bersemangat. Mudah-mudahan esok kita semua sama-sama
berpuasa. Nabi SAW berkata puasa sunat yang paling disukai ialah
puasa Nabi Daud. Setelah empat bulan di Madinah, saya amalkan puasa
Nabi Daud. Saya tanya pelajar di sana, kenapa Allah suka puasa Nabi
Daud. Mereka tidak dapat menjawabnya. Setelah empat bulan mengamalkannya, saya rasa saya boleh jawab.
Ada ilmu yang Allah beri melalui amalan. Oleh itu kalau nak tahu,
cuba puasa dulu selama empat bulan. Apa yang saya dapat setelah empat
bulan? Pernah dengar tak orang kata sihat dan sakit itu sama saja?
Manakan pula sakit dan sihat sama? Begitu juga jika ada orang kata
lapar dan puasa itu sama saja. Tentulah tidak betul kerana
kedua-duanya bersifat berlawan. Setelah mengamalkan puasa Nabi Daud,
suatu hari saya berkata pada isteri yang saya rasa sama saja berpuasa
atau tidak. Setelah itu baru saya tersedar, itulah nikmatnya puasa
Nabi Daud. Amalan itu adalah amalan yang Allah paling sukai.
Takkanlah kita tak nak buat. Ramai orang zuhud yang mengamalkan
tetapi tidak berkongsi dengan orang lain. Saya ingin berkongsi dan
mengajak kita semua beramai-ramai mengamalkannya. Ibadah yang Allah
paling sukai dan segelintir sahaja manusia yang sanggup buat. Inilah
satu daripada seribu.
Untuk menghubungi Prof Kamil, sila lawati link ini.
Maklumat untuk menghubungi Prof Kamil adalah seperti berikut:
Boleh dihubungi melalui 0502127721 bila berada di Saudi.
Maklumat untuk menghubungi Prof Kamil adalah seperti berikut:
Boleh dihubungi melalui 0502127721 bila berada di Saudi.
Dari Malaysia, +966502127721 . Jika berada di Malaysia,
0193154444. Juga melalui e-mel: mki@muhdkamil.org atau
muhdkamiltaibah@gmail.com.