Beriman Kepada Hari Akhirat (1) – Tanyalah Ustaz 01.06.2012

Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah

Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 1-5 yang bermaksud:
[1]
Alif, Laam, Miim.

[2]
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak)bertaqwa;

[3]
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
[4]
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (WahaiMuhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

[5]
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Beriman kepada hari akhirat merupakan rukun iman yang kelima. Kepentingannya adalah untuk membetulkan jalan kita di dunia dan menjamin nikmat yang berkekalan di akhirat. Tanpa akhirat, kita akan hilang pedoman, tidak mengetahui di mana kita akan bermula dan akan berakhir. Lalu manusia pun melakukan banyak perkara sia-sia dan maksiat  kepada Allah SWT. Akhirat boleh memandu kita menjadi baik kerana kita takut untuk melakukan kesalahan kerana mengetahui akan kesan yang akan diterima nanti. Dunia hanyalah persinggahan yan sementara.

Huraian ayat yang dibacakan: Orang yang bertaqwa sangat yakin dengan akhirat. Orang yang melihat hidup melalui jendela akhirat tidak akan lupa pahala dan dosa, syurga dan neraka dan nikmat lain yang Allah janjikan. Kita tidak diciptakan dengan sia-sia. Allah tinggikan kedudukan manusia daripada malaikat. Allah beri kemudahan mengawal langit dan bumi dan Allah izinkan manusia menjadi pemimpin di muka bumi. Ini semua adalah sebagai ujian agar kita tidak leka dan menjadi orang berjaya yang membawa bekalan pahala ke akhirat.

Dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyebut tentang akhirat. Akhirat merupakan hari kemusnahan bumi,dan kemudian Allah menggantikan dengan dunia yang baru, lalu membangkitkan semua makhluk untuk menjalani kehidupan di dunia yang baru itu. Manusia kemudiannya akan dikumpulkan di Padang Masyar untuk dihisab, kemudian menuju je Mizan (pertimbangan), kemudian menuju ke Mahkamah Rabbul Jalil untuk pengadilan dan kemudian perlu melalui titian sirat sebelum sampai ke syurga atau neraka. Kita akan cuba membincangkan bahagian-bahagian ini. Kita juga akan menyentuh tentang telaga Al-Kauthar, di mana Nabi Muhammad SAW akan memberi minum kepada umatnya yang patuh, yang taat mengikut ajarannya.

Dalam surah Al-Qiyamah, ayat 36-40 yangbermaksud:
[36]
Patutkah manusiamenyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?

[37]
Bukankah ia berasal dari airmani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?

[38]
Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?

[39]
Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis – lelaki dan perempuan.

[40]
Adakah(Tuhan yang menjadikan semuanya) itu – tidak berkuasa menghidupkanorang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)!

Allah berkuasa menjadikan kita daripada ada kepada tiada, jadi jangan pertikaikan kuasa Allah untuk menghidupkan orang yang telah mati. Bukan setakat menghidupkan semula, Allah mampu membina semula cap jari kita. Dalam dunia ini, tiada lagi orang yang boleh mencipta cap jari. Kemudian semua amalan hidup kita akan ditayangkan kembali kepada kita. Jangan beranggapan kita boleh terlepas di dalam kesesakan ramai manusia di akhirat nanti. Jangan pandang kecil kekuasaan Allah SWT. Jagalah kehidupan kerana Allah senantiasa memantau dan memerhati perbuatan kita.

Perhentian-perhentian akhirat:
Pertama : Kebangkitan semula
Dalam satu hadis sahih riwayat Bukhari, diceritakan  bahawa Nabi SAW mengatakan yang kita akan dibangkitkan dalam 3 kelompok - yang pertama berjalan dengan 2 kaki, yang kedua berjalan dengan kenderaan, dan yang ketiga berjalan dengan muka. Jadi sahabat bertanya bagaimana manusia boleh berjalan dengan muka? Lalu Nabi SAW menjawab, sebagaimana Allah berkuasa menjalankan manusia dengan kaki, begitu jugalah Allah berkuasa menjalankan manusia dengan muka.Dikatakan tanah baru itu mempunyai banyak pokok berduri, jadi alangkah susahnya mereka yang berjalan menggunakan muka ini. Mereka yang sombong, bengis dan zalim pula akan dibangunkan seperti semut dan dipijak-pijak oleh manusia lain.

Setelah dibangkitkan, manusia perlu menunggu selama 40 ribu tahun sebelum dihisab. Manusia pun tidak tahan lalu memohon bantuan Nabi Adam agar memohon pada Allah agar dipercepatkan hisab, tetapi Nabi Adam tidak dapat membantu. Kemudian manusia meminta bantuan Nabi Musa pula. Baginda juga tidak dapat membantu. Kemudian manusia meminta pula bantuan Nabi Muhammad SAW. Lalu Nabi SAW pun memberikan syafaatnya. Syafaat Nabi SAW merupakan permohonan doa agar dipercepatkan hisab dan diperkenankan Allah SWT.

Bersambung esok, InsyaAllah.

Soalan & Jawapan
S: Setiap malam Jumaat saya akan sedih kerana takut mati. Lagipun sudah berlaku dua kematian dalam keluarga saya. Tetapi masih ramai ahli keluarga saya, terutamanya yang wanita yang masih terlalu cintakan dunia, tidak ingat mati dan suka mengumpat. Akibatnya saya dipulaukan, walaupun saya ynag menjaga ayah sehingga dia meninggal. Mereka merasakan saya tidak layak menjaga arwah bapa. Mohon ustaz beri nasihat.
J: Sememangnya hidup ini dijadikan sebagai medan ujian kepada kita. Lidah dan hati memang perlu dijaga. Ada kisah dalam hadis Nabi menceritakan bagaimana seorang wanita yang kuat solat dan puasa masuk neraka hanya kerana dia menzalimi seekor kucing. Ini kerana hatinya tiada kasih sayang sesama makhluk. Oleh itu kita jangan jadi begitu dan gunakanlah hati untuk berkasih-sayang sesama makhkuk. Kadang-kadang kematian ibu bapa menimbulkan ujian harta-benda antara adik-beradik pula. Mereka yang tiada iman akanberebut harta dan tidak menggunakan sistem faraid yang telah Allah sediakan. Ingatlah akhirat agar kita tidak bergaduh dan utamakan harta kerana hidup kita bukan di sini, tapi di akhirat.

S: Apakah hukum tidak mempercayai hari akhirat?
J: Hukumnya tidak sah iman kerana dia tidak memenuhi rukum iman yang enam. Dalam Islam, seseorang perlu memenuhi kesemua enam rukun iman. Jika tiada satu, bukan tinggal 5, tetapi kosong dan dikira tidak beriman dengan Allah dan Rasul. Menolak hari akhirat bermakna menolak Al-Quran yang ada menyebut tentang akhirat di dalamnya.

S: Kepercayaan agama lain bercanggah dengan kepercayaan akhirat umat Islam. Ada kepercayaan agama lain menyatakan yang ada kehidupan lebih baik selepas mati dan berpeluang berjumpa orang yang tersayang. Bolehkah kita juga mempercayai sebegitu dan adakah kita akan mengalami kehidupan yang sama seperti mereka?
J: Kita beriman kepada kehidupan di alam barzakh, iaitu alam kubur. Ianya satu alam yang terpisah daripada dunia. Nabi SAW mengatakan bahawa alam kubur itu merupakan satu daripada negeri-negeri akhirat. Ibnu Qayyim ada menyatakan bahawa ada nikmat-nikmat tertentu yang Allah sediakan di alam itu. Berkenaan siksaan kubur, jumhur ulama mengatakan bahawa yang disiksa adalah roh. Allah Taala berkuas untuk memberi siksaan atau nikmat kepada roh kita. Bagaimana bentuknya tidak perlu kita perbincangkan dengan panjang lebar, yang penting kita perlu percaya.

S: Apa yang dimaksudkan dengan masad dan mizan?
J: Masad ertinya tali yang dipintal, seperti yang disebut dalam surah 'Tabbat yada abi lahabin watab', dan juga dikenali sebagai surah Al-Masad. Itu merujuk kepada Abu Lahab yang kuat menentang Islam, suka merosakkan tali persaudaraan sesama manusia dan membuat kejahatan yang mengganggu Nabi SAW. Mizan ialah penimbang Allah yang akan digunakan untuk menimbang amalan manuisa. Hebatnya mizan adalah ianya bukan sekadar menimbang amalan secara fizikal, tetapi ia boleh menimbang amalan hati kita juga. Amalan yang ikhlas sahaja yang akan menggerakkan jarum timbangan Mizan. Dalam Al-Quran ada disebut "Sesiapa yang berat timbangannya, dia akan hidup dalam keadaan berpuas hati. Sesiapa yang ringan timbangannya, maka tempat tinggalnya ialah neraka hawiyah".

S: Bagaimana keadaan manusia ketika dikumpulkan di akhirat? Adakah keadaan kita sama seperti di dunia atau kita seperti dilahirkan semula?
J: Kita akan dikumpulkan dalam keadaan sudah remaja, setinggi 60-70 hasta iaitu setinggi Nabi Adam. Kita akan bangkit dalam keadaan berbogel, tak berkasut dan tidak berkhitan. Mengikut Imam Ghazali, kita akan berdiri menunggu selama 40 ribu tahun di Padang Masyar. Matahari pula didekatkan dengan kita. Ada pendapat mengatakan dengan jarak hanya sejengkal sahaja daripada kepala. Jadi bayangkanlah betapa susahnya di akhirat nanti.

S: Allah ada berfirman siapa tak keluarkan zakat, kafir di akhirat. Nabi SAW pula bersabda,"Barangsiapa yang tidak mengenali Nabi yang 25, kafir diakhirat. Mohon penjelasan ustaz.
J: Berzakat merupakah sebahagian rukun Islam manakala beriman kepada nabi-nabi merupakan sebahagian daripada rukun iman. Ada kisah Nabi seperti Nabi Yusuf yang disebut secara terperinci dan ada yang cuma disebut namanya. Zakat merupakan pembuktian keimanan kita. Kita membenarkan hukum yang Allah tetapkan dan tidak mengikut hawa nafsu sendiri. Bila kita sanggup keluarkan zakat,  itu maksudnya kita percaya kepada dosa dan pahala akibat ibadat zakat itu.

S: Mereka yang cacat di dunia, adakah akan bangkit dalam keadaan yang sama atau sempurna?
J: InsyaAllah akan bangkit dalam keadaan sempurna. Allah beri amaran kepada orang yang buta Al-Quran di dunia walaupun celik matanya. Mereka ini yang akan dibangkitkan dalam keadaan buta. Mereka akan terkejut dan bertanya Allah kenapa mereka dibutakan? Lalu Allah menjawab, "Demikianlah Aku mendatangkan ayat-ayat dan tanda kekuasaan-Ku, tapi kau lupa. Maka hari ini kau juga akan dilupakan oleh Aku." Jadi berdasarkan ayat ini, orang yang mengikut ajaran Al-Quran akan celik matanya di akhirat dan mudah berjalan menuju syurga Allah.

S: Beriman dan bertaqwa adalah tanda orang taat kepada Allah. Bagaimana dengan orang yang suka buruk sangka. Adakah mereka lupa akan akhirat?
J: Buruk sangka ini berpunca dari hati yang gelap. Hati memerlukan cahaya yang perlu dicari melalui tarbiyyah, pendidikan nafsu, majlis ilmu dan zikrullah. Nabi SAW diutus untuk mengajar kita mentadbir bahagian yang paling sukar ditadbir iaitu nafsu kita. Hati yang gelap takkan nampak bahaya di akhirat dan membuatkan kita suka berbuat kejahatan dan maksiat. Oleh sebab itu, sibuklah mencari ilmu agar dapat mencerahkan hati.

S: Kami sekeluarga disihir, semua ahli keluarga jadi tak tentu hala. Saya dah penat berubat. Suami isteri, anak-anak asyik bergaduh. Anak-anak saya daripada solat semua dah tinggal solat. Jadi jika ditakdirkan mereka ditarik nyawanya, siapakah yang disalahkan? Adakah saya sebagai ibu bapa atau orang yang menyihir kami? Patutkah saya memaafkan orang yang menyihir kami sehingga kami lupa kepadaAllah?
J: Sihir termasuk dalam dosa yang paling besar. Orang yang melakukan sihir berkawan dengan syaitan sedangkan Allah suruh kita bermusuh dengan syaitan. Jadi tinggalkanlah amalan ini. Jangan berdengki dengan orang lain. Kita masuk syurga bukan dengan amalan, tetapi kerana kasih sayang Allah. Jika di dunia pun kita sudah tiada kasih sayang, ke mana kita hendak pergi di akhirat nanti? Celikkan mata hati kita dan ingatkan hari akhirat. Sebagai peringatan, cuba tahan berdiri di tengah panas terik tanpa kasut. Adakah kita cukup kuat? Pasti tidak, bahkan sekejap saja kita sudah lemah dan mungkin demam. Itu baru cahaya matahari yang beribu km jauhnya. Api neraka nanti,  kita tak tahu berapa panasnya nanti. Oleh itu, ingatlah akhirat, pasti akan lurus kehidupan kita di dunia. Perhatikan susahnya orang yang nak mati dan ambillah pengajaran. Jangan nanti kita termasuk golongan yang berjalan dengan mukanya di akhirat. Sebaliknya berusaha untuk meluruskan kehidupan di dunia agar mendapat balasan baik di akhirat nanti.
Jangan pandang manusia dengan hina, sebalinya pandanglah dengan kasih sayang. Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud – Janganlah kita menjadi manusia yang gersang dan kemarau dengan kasih sayang. Rahsia untuk masuk syurga adalah dengan kasih sayang Allah. Jadi untuk mendapat kasih sayang Allah, kita perlu berkasih sayang dahulu dengan manusia dan seluruh makhluk di dunia dahulu. 


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab