Iktibar Israk Mikraj (1) – Tanyalah Ustaz 15.06.2012
Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin
'Yang Kami berkati sekelilingnya'
Bacaan surah Israk, ayat 1 yang bermaksud:
Alhamdulillah, dapat berjumpa di pagi Jumaat penuh barakah
ini dan dapat kita sulamkan dengan sedikit majlis ilmu. Semoga sedikit yang
dibincangkan dapat memberi manfaat kepada kita semua. Izinkan saya mengulang
kembali ilmu kita semua sudah pun tahu sebenarnya - ‘Beringat-ingatlah, kerana
peringatan itu sangat berguna bagi orang yang beriman’.
Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rejab. Hari ini akan
dibincangkan ayat yang dibacakan patah demi patah, esok akan disambung dengan memperlihatkan
gambar-gambar Masjid Aqsa, batu tergantung, struktur masjid Aqsa dan lain-lain
berkaitan.
Allah mulakan ayat ini dengan perkataan – ‘Subhanallah –
Maha Suci Allah’ – perkataan tauhid yang membuktikan Allah berkuasa berbuat apa
sahaja perkara, termasuklah yang nampak ajaib di mata manusia. Peristiwa israk
mikraj adalah satu peristiwa yang ajaib terutamanya ketika 1400 tahun dahulu. Jika
saya kata, semalam saya makan malam di Bangkok, kemudian jumpa kawan pula di
Jakarta, kemudian solat subuh di KLIA. Tuan-puan boleh percaya kerana mungkin
saya ambil penerbangan murah ke Bangkok :D. Tetapi jika ucapan yang sama
diucapkan 50 tahun dahulu, mungkin orang akan garu kepala mendengarnya kerana
ketidaklogikannya. Sebab itulah Allah mulakan ayat ini dengan mentauhidkan-Nya
agar kita yakin dengan apa yang Allah ingin sebut seterusnya.
‘Maha Suci Allah yang telah mengisrakkan’
Nabi SAW diisrakkan dengan tunggangan bernama Bura’, yang
dicipta daripada kilat, sebab itulah ianya lebih laju daripada cahaya. Mengikut
teori sains, jika manusia dapat bergerak melebihi kelajuan cahaya, ada
kemungkinan manusia boleh menjelajah ke masa hadapan. Tetapi ini tidak boleh
dilakukan kerana semakin laju bergerak, jisim manusia semakin bertambah. Teori
ini tidak boleh dibuktikan, tetapi ianya menjadi inspirasi kepada pembikin
filem fantasi. Jika teori ini betul, ada kemungkinan bahawa Nabi SAW telah
menjelajah ke masa hadapan kerana ketika itu Nabi telah melihat ahli neraka,
keindahan syurga. Wallahhu’alam.
Nabi kita merupakan kekasih Allah, penghulu para Nabi tetapi
ketika Nabi diisrakkan, Nabi tidak diisrakkan dengan pangkat yang tinggi tetapi
dengan pangkat ‘hamba’. Oleh itu kita semua juga berupaya untuk mencapai
pangkat hamba ini. Sebab itu ada banyak ayat Al-Quran yang meminta kita tunduk
kepada Allah. Ayat pertama surah Israk ini diletakkan di atas kubah Masjid
Al-Aqsa. Bila melihatnya, terharu saya rasa.
Seterusnya kenapa Nabi SAW itu diisrakkan pada waktu malam?
Kerana ianya merupakan peristiwa yang ghaib dan ditutup daripada mata kita dan
kita diminta beriman dengan mempercayainya. Begitu juga dengan perkara ghaib
lain seperti syurga, neraka, seksa kubur dan sebagainya.
Masjidil Haram berada di Mekah, manakala Masjidil Aqsa pula
di Palestin. Kenapa Masjidil Aqsa? Langit juga ada pintunya dan pintu ini
bertepatan dengan kedudukan Masjidil Aqsa.
Kenapa diberkati disekelilingnya? Ada 3 sebab:
- Kerana banyaknya maqam para Nabi di sekitar masjid Aqsa
- Kerana banyaknya maqam orang-orang soleh di sini.
- Tempat ini juga sentiasa menjadi medan syahid dari dahulukala sehinggalah hari ini. Pada zaman Nabi dulu, banyak berlaku perang kerana agama di sini. Pada zaman Nabi SAW, berlaku perang Salib. Sekarang orang Palestin sedang berperang dengan Yahudi. Akan datang, perang dengan Dajjal juga akan berakhir di sini, iaitu di Pintu Lut, yang terlekat lebih kurang 15 km daripada Tel Aviv.
- Mekah dan Madinah disebut sebagai Darul Aman
- Syria dan Yaman disebut sebagai Darul Barakah – Nabi pernah mendoakan berkat kepada Yaman dan Syam. Sebab itulah mereka ini semuanya lemah-lembut. Orang Najjat (Riyadh sekarang) juga minta didoakan Nabi, tapi Nabi kata tidak, dan berkata, “di Najjat akan tumbuh tanduk-tanduk syaitan”.
- Iraq disebut Darul Fittan (Fitnah) – akan sentiasa berlaku peperangan keran fitnah di sini. Bermula dengan Harut dan Marut, Nabi Ibrahim di bakar dan banyak lagi.
'Untuk kami perlihatkan tanda-tanda kebesaran Kami'
Allah tunjukkan berbagai peristiwa syurga dan neraka kepada
Nabi SAW. Untuk masuk syurga kenalah mati dahulu. Dan yang paling penting ialah
mati dalam Islam.
'Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui'
Ini juga ayat tauhid kerana tujuan ayat ini diturunkan
adalah untuk mentauhidkan kepada Allah. Kita semua akan pulang kembali kepada
Allah walau siapa sekalipun kita.
Penutup:
Peristiwa yang berlaku 1400 tahun dahulu adalah untuk kita
bergantung sepenuhnya kepada Allah Taala. Bergantung pada pangkat, harta,
suami, semuanya akan musnah juga akhirnya, tetapi jika bergantung pada Allah,
kita tak perlu risau kerana Allah yang beri rezeki, beri jalan keluar apabila
kita dalan kesulitan.
Senarai soalan & jawapan:
S: Allah telah mempertontonkan hukuman terhadap dosa yang
dilakukan dan setiap kali Israk Mikraj kita membincangkannya. Sayangnya ramai
yang tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa ini. Jadi bagaimana untuk
menimbulkan kesedaran?
J: Hidayah itu milik Allah. Jadi orang-orang masjid, orang
surau jangan jemu berdakwah. Kita ni, kadang-kadang cermin mata pun lupa letak
di mana, inikan pula perkara-perkara lain yang lebih besar. Jadi teruskanlah,
biarpun cerita yang diulang-ulang setiap tahun.
S: Saya sedih kerana ada pihak yang mengatakan cerita Israk
Mikraj ini dongeng semata-mata. Mohon pandangan ustaz?
J: Pertama, kena lihat latar belakang keluarganya. Mungkin
betul dia tidak tahu kerana tidak dibesarkan dalam suasana ilmu Islam, mungki
dibesarkan di luar negara. Oleh itu perlu bersabar dan berdakwah dengannya
secara berhikmah. Kedua, jika dia menolak kerana ingkar perlu diucapkan,
“Innalillahiwa inna ilai hi ro ji’un” :D. Aqidahnya sudah agak tersasar, jadi
doakan agar dia diberi hidayah. Siapa tahu mungkin Allah beri dia hidayah dan
menjadi jauh lebih baik daripada kita. Jadi kita jangan sombong dengan hidayah
yang Allah beri hari ini, kerana belum tentu hidayah ini kekal. Kita perlu
sampaikan kepada orang kerana dengan itu Allah akan memperkukuhkan keimanan
kita, InsyaAllah.
S: Bagaimana cara untuk menasihati rakan-rakan yang tidak
solat?
J: Perkara yang paling penting ialah jangan jemu mengajak
rakan-rakan kepada kebaikan. Saya dulu ketika belajar selalu ketuk bilik
pelajar sebelah untuk ajak solat, walaupun mereka tak pernah ikut. Setelah
habis sekolah, dan berjumpa kembali, rakan itu berterima kasih kerana katanya
walaupun dulu dia tak solat, sekarang bila sudah solat, dia teringat pada saya
yang selalu ketuk pintu biliknya dahulu. Jadi mungkin mereka tidak mengikut
ajakan kita hari ini tapi suatu hari nanti InsyaAllah. Kita tidak boleh mengharapkan
mereka terus berubah. Jika kita sendiri yang malas untuk solat, rajinkan ucap ‘La
hau la wa la quwwata illa ..’azim’. Kelebihan membacanya - jika masih malas,
Allah akan beri kekuatan, jika sudah buat akan diberi keikhlasan dalam
beribadat.
S: Bagaimana untuk meyakinkan orang lain bahawa apa yang
Nabi SAW alami adalah benar?
J: Benda yang tidak nampak tak bermakna yang benda itu
tiada. Ada satu kisah seorang Profesor Aethis – tak mempercayai agama. Dia
memberikan contoh benda sekeliling yang ada seperti pen untuk membuktikan
teorinya. Oleh kerana tiada siapa nampak, dia memutuskan Tuhan tiada. Lalu
bangunlah seorang pemuda Islam dan bertanya jika Profesor itu ada. Mereka
menjawab ada kerana semua boleh melihatnya. Kemudian dia bertanya lagi: “Profesor
ada akal tak?” Semua pun terdiam. Jadi teorinya itu tidak betul. Allah
mengingatkan kita bahawa orang bertaqwa adalah orang yang beriman dengan
perkara-perkara yang ghaib. Kita perlu terus ingatkan keluarga atau rakan-rakan
yang masih ‘terlupa’. Semoga Allah memberi hidayah. Allah tak lihat di mana
kita bermula, tetapi di mana kita berakhir. Allah tak lihat kesalahan kita,
Allah nak lihat taubat kita.
S: Adakah umat Islam yang tidak mempercayai adanya balasan syurga
dan neraka tergolong dalam kumpulan yang tidak mempercayai rukun iman?
J: Bab syurga dan neraka termasuk sebahagian rukun iman.
Tidak mempercayai sepenuhnya, bermakna akan rosaklah imannya. Jika orang itu
tidak tahu kita perlu beritahu dan sampaikan ilmu padanya. Cuba ikut cara Nabi
SAW yang tidak pernah jemu atau merajuk jika dahwahnya tidak diterima. Kita
hanya berusaha menyampaikan, Allah jugalah yang memberi hidayah.
S: Ketika diisrakkan Nabi melihat ramai kaum wanita di
neraka. Kenapa?
J: Kebanyakan wanita masuk neraka kerana gagal mentaati
suami. Jadi isteri perlu sentiasa mohon maaf dengan suami. Suami pula, jika
betul sayangkan isteri, selalulah maafkan isteri. Antara perkara yang paling
menggembirakan kita di akhirat nanti ialah apabila kita dapat masuk syurga
bersama ahli keluarga. Oleh sebab itu dalam keluarga perlu ada sifat saling
memaafkan.
S: Jika meragui kisah Israk Mikraj, apakah kesan kepada iman
dan akidah?
J: Yang dikatakan beriman dengan Rasul ada 5:
- Beriman dengan wujudnya rasul dan nabi
- Beriman dengan 25 Nabi yang disebut dalam Al-Quran
- Beriman dengan syariat yang dibawa para Nabi
- Beriman dengan apa yang ada pada Nabi, contohnya mukjizat para Nabi
- Beriman dengan perkara-perkara sahih yang berlaku pada Nabi
Jadi jika kurang salah satu, akan rosaklah kepercayaan kepada
Rasul, dan rosaklah rukun imannya.