Harap & Takut dalam Solat – Mukmin Profesional 30.04.2012
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Alhamdulillah Allaw SWT mengizinkan
kita berada dalam daerah kebaikan. Semoga perbincangan kita bukan
sahaja menjadi halwa telinga bahkan turut menjadi makanan bagi hati
dan jiwa kita. Semoga kita dapat merasakan kebenaran, dan bukan
sekadar kita menerima kebenaran dengan pemikiran.
Pada minggu-minggu yang lalu, kita
telah bincangkan perihal solat sebagai talian hayat kita dengan Allah
SWT. Kita juga telah menegaskan berkali-kali bahawa untuk memperbaiki
dunia, perlu perbaiki manusia, untuk perbaiki manusia, perlu perbaiki
hati, untuk perbaiki hati, perlu perbaiki solat. InsyaAllah jika
semua orang berusaha memperbaiki solat, kita akan boleh lihat kesan
berantai yang positif. Apabila diri kita baik, kita didik keluarga
jadi baik, seterusnya masyarakat akan baik sehinggalah ke peringat
semakin tinggi ke seluruh dunia. Oleh sebab itulah, solat dikaitkan
secara langsung dengan kejayaan, ketenangan dan kefakiran.
Jika kita tanya diri kita, logikkah
solat yang cuma beberapa minit dapat menjamin kejayaan yang begitu
besar. Kita perlu ingat bahawa kejayaan yang dijanjikan melalui
pelaksanaan solat yang kusyuk bukan sahaja menjamin kejayaan di dunia
bahkan di akhirat juga. Sebagai hamba Allah, kita perlu ingat bahawa
kejayaan kita bukanlah sesuatu yang dapat kita usahakan dengan kudrat
sahaja. Segala sesuatu itu berlaku dengan izin dan kekuasaan Allah
juga. Kejayaan atau kegagalan kita terletak mutlak di tangan Allah.
Jesteru sekiranya kita inginkan kejayaan, kita perlukan bantuan
Allah. Adat dalam perhubungan, sebelum kita meminta bantuan, kita
perlulah rapat dengan orang itu dahulu. Untuk rapat dan akrab dengan
Allah ialah melalui solat. Solat merupakan 'senjata' yang sangat
penting buat kita di dunia dan akhirat.
Dalam kuliah terdahulu, kita telah
bincangkan bagaimana punca lemahnya umat hari adalah kerana
meninggalkan solat. Kita sedih dengan dapatan kajian yang menunjukkan
bahawa seramai 80% rakyat Malaysai tidak solat. Ini menunjukkan
begitu ramainya umat yang telah terputus hubungan dengan Allah SWT.
Apabila terputus hubungan dengan Allah, manusia seumpama
layang-layang yang putus talinya. Dia akan terumbang-ambing tanpa
hala tujuan dan diperkotak-katikkan musuh-musuhnya. Apabila manusia
tidak akrab dengan Allah, Allah akan serahkan manusia itu kepada
manusia lain untuk dicorak dan diperkotak-katikkan. Oleh sebab itu,
kita perlu bersunguh-sungguh menjaga solat kita.
Untuk menjaga kusyuk dalam solat, ada 6
kaedah yang kita bincangkan bersama minggu lepas. Ini cuma beberapa
kaedah sahaja, mungkin ada kaedah-kaedah yang lain yang boleh juga
diamalkan. Enam langkah untuk mencapai kusyuk adalah seperti berikut:
- Memahami makna bacaan dan perbuatan.
- Pemusatan (fokus) pemikiran kepada apa yang dibaca dan dilakukan.
- Membesarkan Allah (haibah).
- Kagum dan takut pada Allah.
- Harap pada Allah.
- Merasa malu dan hina pada Allah.
Rasa-rasa inilah yang memberi roh
kepada solat – ini juga seumpama 'software' kepada solat kita.
Jangan solat kita sekadar fizikal (hardware) sahaja. Imam Ghazali
berkata ada rasa-rasa tertentu yang hanya dibuka ketika manusia
solat, dan tidak akan terbuka di luar solat iaitu rasa takut, rasa
harap dan rasa malu pada Allah SWT. Rasa-rasa ini kita terjemahkan
dalam tiga bentuk. Pertama – melaui kata-kata (bacaan dalam solat)
yang juga rukun qauli. Kedua pula ialah perbuatan kita iaitu rukun
fi'li. Ketiga dan yang paling utama ialah hati kita. Contohnya,
kadang-kadang jasad kita sujud, tetapi hati kita masih belum sujud
pada Allah. Oleh itu perlu wujud perasaan takut dan harap dalam solat
kita. Takut dalam solat bercampur dengan perasaan kagum. Takut pada
Allah bukan seperti takut kepada harimau, tetapi seperti takut kepada
raja, ibu bapa kita. Walaupun kita takut, kita ingin mendekati
mereka.
Pertama, kita takut akan kemurkaan
Allah. Kedua, kita takut neraka Allah. Dengan perasaan takut ini,
kita akan menjadi gementar dalam segala perbuatan kita. Para sahabat
solat dengan perasaan takut ini sehinggakan mereka berdiri tegak, tak
bergerak-gerak seumpama pohon kayu, lalu dihinggapi burung.
Pergerakan dalam solat adalah untuk menzahirkan rasa takut ini.
Kemudian, bacaan-bacaan yang kita lafazkan juga mencerminkan perasaan
takut kita. Dalam kehidupan ini kita takut dengan bermacam-macam
benda. Kita takut nak ambil peperiksaan, takut majikan marah, takut
isteri curang dan sebagainya. Apabila kita ada rasa takut pada Allah,
Allah akan pelihara kita dan buat orang lain jadi takut dan
menghormati kita. Tetapi jika kita tiada rasa takut pada Allah, semua
makhluk akan berani kepada kita.
Di samping rasa takut, kita perlu ada
rasa harap pada Allah. Kenapa? Agar kita tidak bersangka buruk pada
Allah, dan perasaan ini boleh membawa kepada perasaan putus asa.
Kedua-dua rasa takut dan harap ini seumpama sayap kiri dan kanan pada
burung. Apabila ada kedua-duanya barulah burung itu boleh terbang
dengan stabil. Begitulah juga hati kita perlu ada kedua-dua perasaan
ini. Kita harapkan pengampunan Allah. Namun, harus diingat supaya
kita tidak terlalu berharap sehinga mengambil sambil lewa dan
berangan-angan dengan keampunan Allah. Perlu diseimbangkan 50-50
antara kedua-dua perasaan.
Bagaimana untuk menterjemahkan rasa
berharap dalam solat kita? Ketika kita duduk bersimpuh antara dua
sujud. Kemudian kita sujud. Ketika sujud merupakan waktu yang paling
hampir antara hamba dan Tuhannya, sebab itu amat digalakkan untuk
berdoa ketika itu. Kita boleh mendoakan segala macam kebaikan dan
mengharapkan agar mendapat kebaikan tersebut. Mengikut 'LOA – Law
of Attraction' – Apabila kita bersangka baik, kita akan tarik
kebaikan tersebut. Jadi apabila kita akrab dengan Allah melalui
solat, kita sedang membina aura-aura yang baik dalam kehidupan kita.
Saya bacakan sedikit petikan daripada
tulisan saya tentang rasa harap daripada buku 'Mukmin Profesional':
Rasa harap diterjemahkan dalam solat menerusi bacaan Al-Fatihah,
iaitu sewaktu kita meminta 'jalan yang lurus' dan ketika duduk antara
dua sujud, di mana kita meminta keampunan, belas kasihan, minta
ditinggikan darjat dan sebagainya. Ketika bacaan Qunut pula, kita
minta hidayah pada Allah. Perlakuan lain seperti rukuk, sujud dan
duduk tahiyyat akhir juga melambangkan rasa harap kita pada Allah.
Rupa-rupanya solat ini merupakan waktu yang sangat intim antara
seorang hamba dengan Allah. Saya teringat kata-kata seorang ulama
iaitu Al-Hakim, “Kalau kita ingin Allah bercakap dengan kita,
hendaklah kita baca Al-Quran. Tetapi kalau kita ingin bercakap dengan
Allah, dirikanlah solat.” Dalam solat, kita meminta-minta kepada
Allah. Jadi, mudah-mudahan kita dapat benar-benar merasa perasaan
takut dan harap dalam solat kita. Perasaan inilah yang akan
memberikan roh kepada solat kita.
Senarai soalan & jawapan:
S: Berkenaan kadar 20% sahaja orang
Islam yang solat, jika diambil kira yang solat di masjid pula,
mungkin tinggal 5% sahaja. Jika dibandingkan dengan markah
peperiksaan, ini sudah dikira tahap gagal. Jadi mohon penjelasan
ustaz bagaimana keadaan umat Islam yang markahnya cuma 5% saja di
sisi Allah SWT.
J: Alhamdulillah, kita sudah ada
kesedaran. Apabila kita sudah sedar yang kita telah jatuh terkebawah
sekali, pada masa itu kita akan mula naik. Tetapi jika kita tidak
mahu menerima hakikat bahawa kita telah jatuh, maka kita akan jatuh
semakin ke bawah. Oleh sebab itu kita gerakkan bersama kesedaran
tentang solat melalui rancangan-rancangan seperti di IKIM ini. Dalam
kaedah menyelesaikan masalah, apabila punca masalah sudah diketahui,
separuh daripada masalah itu telah dapat diselesaikan, biarpun belum
lagi berjumpa jalan penyelesaiannya. Apabila kita mengakui bahawa
sesuatu itu merupakan 'real problem', bukan 'presenting problem',
maka ketika itu kita akan jumpa penyelesaiannya. Solat merupakan
perkara paling utama di dunia ini, jadi kita kena selesaikan bab
solat ini. Kita kena jaga solat agar kita dapat menjaga kejayaan di
dunia dan akhirat. Kita perlu menggembeling tenaga bersama untuk
menggerakkan solat. Setiap orang perlu mengingatkan diri
masing-masing, dan setiap ibu bapa perlu gerakkan anak-anak untuk
mengerjakan solat. Kita perlu mulakan dalam keluarga dan kemudian
bawa ke dalam masyarakat dan organisasi kita.
S: Dulu ustaz ada sebut ada orang
tengok laut, ingat nak mandi, jika nelayan pula ingat nak tangkap
ikan, kalau petronas pula ingat nak carigali minyak. Kita sekarang
pula, ada yang tengok masjid seumpana balai raya, ada yang tengok
masjid seperti bangunan biasa saja, dan ada pula yang nampak khazanah
Allah di situ. Mohon ulasan ustaz.
J: Dalam masjid itu ada berbagai
generasi, dan janganlah perbezaan ini membawa jurang dalam hati pula.
Biarlah masjid kita mesra orang pencen dan juga mesra remaja. Apabila
melihat masjid, jauhkan daripada nampak ianya seperti balai raya atau
bangunan biasa saja. Masjid itu rumah Allah, dan apabila kita datang
ke masjid, kita akan dekat dengan Allah. Mudah-mudahan, rumah Allah
sentiasa di hati kita kerana Allah sentiasa di hati kita. Jangan pula
kita ke masjid ketika nikah dan menjadi jenazah sahaja. Bila dalam
hati ada cinta kepada Allah, hati kita akan berdebar-debar apabila
mendekati masjid. Umat yang mencintai masjid adala umat yang dekat
dengan Allah. Umat yang dekat dengan Allah, InsyaAllah akan dekat
dengan kejayaan.
S: Ketika solat berjemaah, terutamanya
ketika solat terawih, bolehkah buka Quran agar dapat ikut apa yang
imam baca. Ada yang mengatakan kita memutuskan saf.
J: Bagi kita yang baca Quran tapi tak
faham, masih belum terlambat untuk bermula. Jadi apa yang boleh
diusahakan ialah contohnya melihat Al-Quran ketika solat. Perbuatan
ini tidak membatalkan solat. Ulama-ulama mengatakan dalam solat-solat
sunat, kita boleh membuka Al-Quran untuk membaca dan memahaminya. Ada
juga orang berkata apa guna kita baca Al-Quran andainya kita tidak
faham. Jangan kata begitu. Al-Quran ini satu mukjizat dan tidak sama
seperti buku lain. Ada 3 perkara yang kita lihat sahaja terus dapat
pahala: pertama – lihat kaabah, kedua – lihat wajah ibu bapa, dan
ketiga – lihat Al-Quran. Sebagai perkongsian seterusnya saya
bawakan satu cerita. Ada seorang anak murid diminta untuk membaca
Al-Quran. Anak murid itu mengadu kenapa mesti dia baca sedangkan dia
tidak faham. Lalu gurunya meminta dia mengambil air menggunakan satu
bakul raga dan mengisi sebuah tempayan. Dia pun mengikutnya tetapi
belum sempat sampai lagi, airnya sudah tiris keluar. Dia mengulang
beberapa kali sebelum berjumpa gurunya kembali. Anak murid itu
mengadu bahawa perbuatannya sia-sia kerana bakul itu tidak boleh
diisi air. Lalu guru itupun menyangkal dan menyuruh anak murid itu
melihat ke dasar bakul itu. Dasarnya yang sebelum ini kotor telah
bersih kerana berkali-kali dimasukkan air. Begitula juga kesan bacaan
Al-Quran kepada hati kita. Sedikit-sebanyak bacaan itu akan dapat
mensucikan hati pembacanya. Begitu juga jika ada orang kata selagi
belum dapat kusyuk dalam solat, selagi itulah dia tidak mahu solat.
Jika begitu, alamatnya sampai bila-bilalah dia takkan solat.
S: Bagaimana pula dengan orang yang tak
solat tapi berjaya, dan orang yang solat tapi tak berjaya. Mohon
ulasan ustaz.
J: Pertama, kita kena faham apakah
ukuran kejayaan dan kekayaan yang sebenar. Orang yang tak solat
mendapat kekayaan, tetapi kekayaan itu bukanlah segala-galanya.
Kekayaan harta benda bergantung pada keberkatan harta tersebut.
Harta yang berkat, sedikit mencukupi, banyak boleh diagihkan. Harta
yang tidak berkat pula, sikit tak mencukupi, banyak tak memuaskan
hati. Seumpama orang yang minum air laut, semakin diminum semakin
haus. Oleh sebab itu, jika kita perhatikan, orang yang terlibat
dengan rasuah, bukanlah daripada golongan orang yang miskin, tetapi
orang yang sedia kaya. Kenapa? Mereka ini kaya harta tetapi miskin
jiwa. Jadi, kekayaan sebenar ialah orang yang kaya jiwa. Kaya jiwa
inilah yang dimiliki oleh orang yang solat. Orang yang kaya jiwa,
jika dia miskin dia akan sabar, dan jika dia kaya, dia akan
bersyukur. Jadi jangan kita fikir orang yang tak solat itu kaya.
Mungkin betul hartanya banyak, tetapi dalam jiwanya penuh perasaan
tamak dan tidak puas. Dia seumpama mengejar fatamorgana. Ukuran
ketenangan ialah hati tenang mengingati Allah, dan tabah menghadapi
apa saja ujian kehidupan. Kejayaan itu bukanlah dapat mengumpul harta
yang banyak, kelulusan atau pangkat yang tinggi. Allah Maha Adil
dengan tidak meletakkan kejayaan kepada harta benda. Jika tidak,
pasti orang miskin akan rasa mereka didiskriminasi. Kejayaan juga
tidak terletak pada rupa yang cantik atau pangkat yang tinggi.
Sebaliknya Allah letak kejayaan pada hati yang dekat dengan-Nya.
Jadi, orang yang miskin pun boleh dapat, kaya pun boleh dapat,
lelaki, perempuan, orang atasan, orang bawahan, semua pun boleh
meraihnya. Orang yang tidak solat tiada ketenangan dalam jiwanya.
S: Saya seorang muallaf yang baru
memeluk Islam 17 bulan. Bagaimana untuk mengajak rakan Islam lain
untuk solat bersama?
J: Alhamdulillah dan tahniah kerana
diberi hidayah. Tambahan pula Allah juga campak hidayah untuk
mengajak rakan-rakan kepada kebaikan. Apabila sedang bekerja dan kita
meninggalkan kerja untuk solat terlebih dahulu, itu juga merupakan
satu bentuk dakwah. Walaupun kita tidak mengajak secara lisan, ianya
dinamakan sebagai dakwah perbuatan. Soalnya bagaimana cara yang
hikmah untuk mengajak orang solat? Pertama dan yang paling utama
ialah bina perhubungan terlebih dahulu. Bina jambatan, bukan tembok.
Cuba paparkan sifat orang solat yang intim dengan Allah, dia akan
intim juga dengan manusia. Saya pernah katakan dahulu, “Akrablah
dengan manusia untuk mengetahui masalah mereka. Akrablah dengan Allah
untuk membantu mengatasi masalah mereka.” Apa yang penting ialah
selalu berbual dengan mereka. Paparkan bahawa kesan solat itu
melahirkan akhlak yang baik. Nabi SAW berdakwah dengan mempamerkan
kesan solat itu dalam pergaulan seharian. Jika ada orang sakit, pergi
ziarah. Jika ada yang susah, berkongsi masalah dengannya. Dalam
pergaulan seharian itu, apabila ada ketika yang sesuai, selitkanlah
kepentingan dan kelebihan solat. Inilah yang dikatakan oleh Stephen
Covey, “Seek to understand, then to be understood.” Cuba fahami
apakah masalah seseorang itu dan beri bantuan yang kita termampu.
Jika dilakukan berterusan begini, orang akan perasan kebaikan akhlak
kita. Pada ketika itu, kita akan menjadi teladan yang baik untuk
mereka ikuti. Dakwah yang paling berkesan ialah dakwah melalui
teladan, bukanlah dakwah lisan semata-mata.
S: Sebagai guru, dapat diperhatikan
bahawa ramai pelajar yang meninggalkan solat. Mohon tip mengatasinya.
J: Paling utama ialah kena mengajak,
bukan sekadar mengajar. Mengajar cuma semata-mata perpindahan ilmu.
Tetapi mengajak ialah apabila kita membimbing dan buat sekali bersama
mereka. Kalau dilihat daripada faktor pendidikan, kesalahan sasaran
dakwah kita adalah kerana kesalahan pendidik, iaitu guru-guru. Berapa
ramai guru yang betul-betul solat bersama anak murid di sekolah?
Guru perlu membimbing anak murid
bersama-sama. Perhatikan anak-anak murid ketika ambil wudhuk dan
perbetulkan jika ada kesalahan. Wujudkan hubungan yang rapat dan
mesra dengan pelajar. Bila sudah rapat, mudah untuk mendekati dan
menegur mereka. Dalam Islam, anak-anak diminta solat ketika berumur 7
tahun, dan setelah 10 tahun, anak-anak boleh dirotan andainya tinggal
solat. Dalam jarak masa 3 tahun itu, ada 3x365x5=5475 waktu solat.
5475 kali inilah yang perlu dididik oleh ibu bapa dan guru.
Pengulangan inilah yang penting dan jangan mengharap kesan yang
mendadak. Mengikut kajian, anak-anak memerlukan pengulangan sebanyak
300 kali sebelum memahami sesuatu perkara. Jangan jemu untuk terus
mengajak anak-anak solat. Diceritakan bahawa Nabi SAW mengetuk pintu
rumah Abu Jahal tidak kurang daripada 100 kali untuk mengajaknya
kepada Islam. Seterusnya, cara untuk mengambil hati anak-anak ialah
dengan mewujudkan perkara- perkara yang meriah di samping melakukan
solat. Contohnya, buat jamuan makan, permainan, senam, 'treasure
hunt' yang berunsurkan pendidikan tentang solat. Pokok pangkalnya
mohon bantuan, kekuatan, ketabahan dan kebijaksanaan daripada Allah
untuk mengajar orang lain.
Kesimpulan:
Semoga kita dapat mewujudkan perasaan
takut dan harap ini di dalam dan juga di luar solat. Apabila kita
takut dengan Allah, secara tidak langsung, kita akan mengusir keluar
'takut-takut' yang lain di dalam hati. Sebaliknya, jika tiada rasa
takut kepada Allah, kita akan diburu oleh pelbagai rasa takut dan
menyebabkan hilang ketenangan dalam jiwa. Dengan berharap kepada
Allah, kita akan mempunyai ketabahan menghadapi kehidupan. Ketika
semua orang mungkin mengecewakan kita, Allah sentiasa berada dekat di
sisi kita untuk mendengar rintihan kita, dan permintaan kita dan
Allah akan mengabulkan segala permintaan kita, InsyaAllah.