Solat Musafir (2) – Tanyalah Ustaz 28.06.2012
Ustaz Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz
Sebagai ulangkaji daripada semalam:
Siapakah yang dikatakan musafir?
Seseorang yang berjalan melebihi dua marhalah (92km), atas
tujuan yang diharuskan, dan berniat untuk tinggal di satu tempat tidak melebihi
3 hari dan 3 malam, tidak termasuk hari sampai dan hari keluar. Tetapi jika
berniat untuk tinggal lebih daripada 3 hari dan 3 malam, dia dikira musafir
semasa dalam perjalanan, tetapi setelah sampai ke destinasi, dia dikira sebagai
bermukim di situ. Sebagai orang bermukim, dia tidak lagi boleh mengerjakan
solat jamak dan qasar. Jika dia niat untuk tinggal di situ selama-selamanya
pula, dia dikira musafir semasa dalam perjalanan, tetapi setelah sampai ke
destinasi, dia dikira sebagai bermastautin di situ.Sebagai orang bermastautin,
dia tidak lagi boleh mengerjakan solat jamak dan qasar.
Jamak bermaksud mengumpulkan dua solat dalam satu waktu.
Waktu yang dibenarkan ialah waktu Zohor dan Asar atau waktu Maghrib dan Isyak.
Boleh dipilih untuk dilakukan pada waktu pertama – iaitu jamak takdim, atau
dilakukan pada waktu kedua – iaitu jamak takkhir. Jamak takkhir perlu diniatkan
ketika masuk waktu pertama iaitu Zohor atau Maghrib. Jamak takdim tiada masalah
kerana terus dilakukan kedua-dua solat sekaligus.
Qasar pula memendekkan solat 4 rakaat kepada 2 rakaat. Solat
yang boleh diqasarkan ialah Zohor, Asar dan Isyak sahaja. Kita boleh jamak dan qasar
sekaligus.
Senarai soalan & jawapan:
S: Adakah jika melancong ke luar negara tidak dibenarkan
solat jamak & qasar?
J: Bergantung kepada niat melancong itu. Sekiranya untuk
berjalan-jalan sambil mengambil iktibar kebesaran Allah hukumnya harus. Ada
ayat dalam Al-Quran yang menyuruh kita berjalan di muka bumi sambil mengambil
pengajaran. Jadi, bolehlah dikerjakan solat jamak & qasar. Namun jika
melancong atas tujuan maksiat, barulah tidak boleh.
S: Bolehkan seseorang yang ingin musafir mengerjakan solat
jamak & qasar dirumahnya sebelum bergerak?
J: Berdasarkan hadis Nabi SAW, riwayat Anas yang menceritakan
bahawa jika Nabi SAW bermusafir sebelum waktu Zohor, baginda akan meneruskan
perjalanan dan setelah masuk Asar, baginda akan mengerjakan solat jamak
takkhir. Jika Nabi keluar musafir setelah masuk waktu, baginda akan solat Zohor
seperti biasa. Ini menunjukkan bahawa selagi belum keluar daripada mukimnya
atau kampungnya, seseorang itu tidak boleh mengerjakan solat jamak atau qasar
di rumahnya. Takrif mukim atau kampung disini termasuk juga taman perumahan.
Oleh itu, ini menunjukkan solat jamak dan qasar tidak boleh dilakukan di rumah.
S: Jika saya memandu jarak yang berpusing-pusing sehingga
menjadi melebihi dua marhalah, bolehkah saya solat jamak dan qasar.
J: Jarak dua marhalah itu dikira jarak terus antara dua
tempat, bukan jalan yang berpusing-pusing. Ulama mengatakan kita perlu mengira
jarak terus dahulu untuk memastikan jarak itu melebihi dua marhalah.
S: Jika seseorang memandu tanpa arah tujuan dan sedar-sedar
sudah melebihi dua marhalah. Bolehkah dia mengerjakan solat jamak & qasar?
J: Tidak boleh, kerana tiada niat musafir ke tempat yang
tertentu.
S: Ada yang mengatakan jika seorang musafir mengerjakan
solat tamam (penuh) berjemaah, dia tidak lagi boleh mengerjakan solat jamak
atau qasar selepas itu.
J: Ini orang biasa yang cakap. Tetapi Imam Syafie kata harus
buat jamak dan qasar selagi bermusafir. Tiada masalah jika pernah mengikut imam
solat tamam atau tidak.
S: Seorang musafir berniat tinggal di satu tempat seminggu.
Dia melakukan solat jamak & qasar untuk tiga hari pertama, dan kemudian
baru solat penuh. Bolehkah begitu?
J: Betul, ini juga banyak saya dengar berlaku. Sebenarnya
TIDAK boleh, kerana setelah tiba, dia telah dikira sebagai orang bermukim di
situ, dan bukan lagi musafir. Sesiapa yang pernah terbuat, kena qada’ balik
solat yang pernah ditinggalkan kerana solat jamak yang dilakukan tidak sah.
S: Jika niat asal untuk musafir selama tiga hari, tetapi
oleh kerana urusan tidak selesai, pemusafiran bersambung sehari demi sehari.
Jika begitu masih bolehkah buat solat jamak dan qasar?
J: Jika niat asal memang untuk duduk 3 hari sahaja, tetapi kerana keperluan,
terpaksa dipanjangkan pada kadar sehari, kemudian perlu tambah sehari lagi dan
seterusnya sehari lagi, ada pendapat ulama yang membenarkan sehingga tujuh
hari.
S: Solat jamak dan qasar diharuskan ketika keadaan tidak
aman dan selamat. Tetapi zamana sekarang sudah aman, jadi masih perlukan
melakukan solat jamak dan qasar?
J: Soalan ini pernah ditanya oleh Sa’labah kepada Umar. Umar pun berkata yang dia juga ingin
bertanya perkara yang sama, lalu mereka pun bertanya kepada Nabi SAW. Lalu Nabi
SAW menjawab, “Itu merupakan satu sedekah yang Allah beri kepada kita.” Oleh
itu, kita terima saja tanpa perlu bertanya banyak.
S: Jika ingin solat jamak dan qasar, bolehkah mengikut imam
solat tamam?
J: Ijmak ulama mengatakan, jika musafir ingin solat jamak,
dia tidak boleh ikut imam yang solat tamam. Jika ingin ikut juga, dia perlu
solat tamam seperti imam juga. Tetapi orang solat tamam boleh berimamkan orang
yang solat jamak dan qasar. Setelah imam bagi salam, orang itu boleh sambung
rakaat seterusnya, seumpama imam masbuk.
S: Anak saya belajar di KL, apabila balik ke rumah di SP,
adakah dia boleh mengerjakan solat jamak dan qasar?
J: Anak itu dikira bermukim di KL, walaupun rumahnya di SP.
Jika dia balik untuk 3 hari atau kurang, dia dianggap musafir dan boleh
mengerjakan solat jamak dan qasar. Feqah tidak menetapkan sama ada rumah
sendiri atau rumah orang.
S: Saya bermusafir daripada KL ke SP. Dalam perjalanan saya
mengerjakan jamak takdim untuk Zohor dan Asar. Apabila sampai di SP, waktu
Zohor masih belum habis. Jadi perlukan saya solat Asar lagi sekali?
J: Tak perlu kerana telah dilakukan ketika menjadi musafir.
Kita boleh juga sengaja tunggu waktu masuk sebelum sampai ke rumah ketika masih
dalam perjalanan, contoh pergi makan dahulu, untuk mengambil kemudahan solat
jamak dan qasar.