Iktibar Israk Mikraj (2) – Tanyalah Ustaz 16.06.2012
Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin
Bacaan surah Al-Ahzaab ayat 23 yang
bermaksud:
Mudah-mudahan Allah takdirkan kita
sentiasa berada dalam kebaikan. Selawat dan salam kepada Nabi SAW yang
mengajar kita erti keimanan. Semoga majlis ini membawa kebaikan
kepada kita semua.
Mengikut sebahagian besar ulama, Israk
Mikraj berlaku pada malam 27 Rajab, iaitu malam ini. Setelah sampai
ke Masjid Aqsa, Nabi SAW dimikrajkan dari satu langit ke langit
berikutnya dan Nabi SAW nampak ramainya tentera-tentera Allah yang
menjaga langit. Nabi SAW juga bertemu dengan para anbiya' sehinggalah
baginda sampai ke Siratul Muntaha. Dan di situlah Nabi SAW
dikurniakan dengan ibadah solat. Kenapa solat diberikan secara
langsung kepada Nabi sedangkan ibadah lain diwakilkan melalui wahyu
kepada Jibril. Ini menunjukkan bahawa solat ini istimewa. Allah
berfirman, “Solatlah untuk mengingati-Ku”. Jadi dengan kata lain
solat merupakan mikraj seorang hamba untuk 'bertemu' Allah. Oleh itu
kita ulang solat setiap hari bukanlah untuk menjadikan kita mahir gerakan solat sahaja, tetapi untuk mengingati Allah agar dengan itu kita akan
terpelihara daripada perbuatan fahsyak dan mungkar.
Fokus pada
hari ini ialah 8 perkara yang kita minta dalam solat. Lapan perkara itu ialah:
- Mohon hidayah daripada Allah - Doa ini Allah wajibkan kita baca dalam surah Al-Fatihah, iaitu “Tunjukilah daku jalan yang lurus”. Kita bukan sekadar minta jalan lurus dalam soal agama, tetapi meliputi seluruh bidang kehidupan. Setiap detik dalam kehidupan ini kita perlu membuat keputusan – untuk jadi rajin atau malas, untuk buat baik atau jahat dan sebagainya. Ulama berpesan agar kita solat sekurang-kurang 40 rakaat setiap hari untuk memelihara iman. Solat wajib berjumlah 17 rakaat, solat-solat sunat sebelum dan selepas berjumlah 14 rakaat. Jadi baru 31, lagi 9 perlu ditambah dengan solat sunat taubat(2), solat hajat(2), solat sunat tahajud(2) dan sunat witir (3). Cukuplah 40 rakaat, tetapi boleh juga ditambah dengan solat sunat dhuha.
- Kita minta ampun pada Allah pada bacaan duduk antara 2 sujud – 'Rabbighfirli...wa'fuanni'. Apa beza 2 bacaan ini – yang pertama kita minta ampun dosa yang kita tahu, yang kedua kita minta ampun dosa yang kita tak tahu kita terbuat.
- Kita minta kasih sayang Allah (warhamni) – Kita mohon rahmat Allah, kerana tanpa rahmat-Nya, kehidupan kita akan susah di dunia dan akhirat.
- Kita minta kecukupan kepada Allah (wajburni) – orang yang merasa cukup, tenang hidupnya dan akan menjadi orang paling kaya dalam hidupnya.
- Minta Allah angkat darjat dalam kalangan manusia (warfa'ni) - di dunia kita lahir dan mati dengan nama yang sama, tetapi di sisi Allah, mungkin kita boleh mati dengan nama waliyullah, muqarrabin, mukrifin, dan ada juga yang mati sebagai laknatullah.
- Minta Allah berikan rezeki (war zuqni) – kita minta rezeki yang halal kerana ulama berkata untuk baiki keluarga bukan bermula daripada depan, tetapi daripada dapur. Pastikan rezeki yang dibawa pulang untuk keluarga adalah yang halal.
- Minta kesihatan (wa'afinii) – kesihatan kita miliki, gunakanlah kepada jalan kebaikan terutamanya ibadah.
- Minta kebaikan kepada Nabi Muhammad SAW dalam setiap kali bacaan selawat. Setiap kali kita selawat, 10 kali Allah berselawat kepada kita. Jika selawat 10 kali, sudah 100 kali Allah berselawat ke atas kita. Jika Allah sudah selawat kepada kita, sudah tentu kita akan diselamatkan oleh Allah. Saya pernah berjumpa seorang pemandu teksi yang biasa terlibat dengan kemalangan yang kadangkala sehingga keretanya hancur, tetapi Alhamdulillah tidak berlaku kecederaan pada dirinya. Apabila ditanya apakah amalannya, katanya cuma satu iaitu berselawat kerana dia yakin dengan selawat Allah akan beri keselamatan padanya. Itulah keistimewaan selawat.
Kesimpulan:
Solat mempunyai banyak kelebihan dan
sebab itulah solat difardhukan secara terus kepada Nabi SAW. Jika ada
soalan lanjut, boleh sambung kuliah di www.ustazamin.com
Senarai soalan & jawapan:
S: Mohon penjelasan sebenar jarak Nabi
SAW ketika bertemu Allah?
J: Dalam kitab Dibain dinyatakan bahawa
jarak ketika perjumpaan Allah dan Nabi SAW adalah antara 2 busar anak
panah atau lebih dekat lagi.
S: Bolehkah ustaz terangkan kelebihan
Masjid Al-Aqsa sehinggakan umat Islam terus mempertahankannya
daripada dirampas oleh Israel? Apakah keistimewaan masjid ini jika
berkunjung ke sana?
J: Masjid ini terletak di bumi orang
beriman. Kunci masjid Al-Aqsa diamanahkan kepada orang Islam semenjak
zaman Sayyidina Umar algi. Ini kerana apabila orang Islam menjaga masjid
ini keamanan terjaga. Sejarah membuktikan ketika tentera Salib
menguasai masjid ini, 70 ribu orang Muslim disembelih mereka. Tetapi
ketika Salahuddin Al-Ayyubi menguasai kembali Masjidil Aqsa, tiada
kekejaman dilakukan terhadap tentera salib. Mereka semuanya
dilepaskan secara aman. Ada 5 keistimewaan masjid Aqsa:
- Terletak di bumi yang diberkati.
- Satu solat di Masjidil Aqsa bersamaan 500 solat di masjid biasa, Oleh itu, jika saya bawa rombongan memang saya galakkan mereka solat banyak-banyak di sana dan digalakkan buat solat qada' kerana gandaan nilai solatnya.
- Jika solat disitu, seumpama solat di dua kiblat, iaitu kiblat pertama ialah masjid Aqsa itu sendiri, dan kiblat kedua ialah Kaabah.
- Kerana Nabi SAW sendiri telah pergi ke situ.
- Terdapat banyak makam Nabi di sana.
S: Apakah pengajaran yang dapat
diperolehi daripada pengurangan waktu solat yang 50 kepada 5 sahaja?
Mohon penjelasan ustaz.
J: Dalam kisah ini bukanlah hal
pengurangan itu yang kita beri penekanan tetapi: Pertama –
kasihnya Nabi kepada kita. Kalau ikutkan Nabi, lagi banyak solat lagi
Nabi suka, tetapi kerana memikirkan kita, Nabi sanggup turun naik
memohon dikurangkan. Sebab itu kita perlu selalu berselawat sebagai
tanda berterima kasih kepada Nabi SAW. Yang kedua ialah kasih sayang
Allah kepada kita. Sebab itu Allah suruh kita minta kepada-Nya,
jangan kita minta pada manusia dulu. Jika kita dalam kesusahan, mohon
pada Allah dahulu, dan semoga Allah 'tunjukkan' pada kita siapa yang
dapat bantu kita. Jika kita terus minta tolong manusia, belum tentu
mereka akan membantu. Ada kemungkinan kita diaibkan atau dimarahi
pula.
S: Mengapa masih ramai yang tidak
beriman dan sukar mengambil pengajaran daripada kisah syurga dan
neraka yang Nabi SAW telah lihat?
J: Allah SWT berfirman, “Mana satu
nikmat Tuhan kamu yang kamu dustakan?”. Ada satu kisah ketika saya
melawat Iran, kami terlibat dalam kemalangan di bandar bernama
Solestan. Kami tak dapat cari hotel untuk bermalam dan dipelawa untuk
bermalam di rumah seorang pemuda. Setelah berbincang dengan ahli
rombongan, kami bersetuju. Setelah tiba dirumahnya, dia menyatakan
yang dia bukanlah seorang Islam, tetapi merupakan penyembah api dan
bintang. Memandangkan tiada pilihan lain, kami semua berserah sahaja
dan Alhamdulillah selamat. Seusai program di Shiraz, kami bergerak ke
utara Iran melalui satu padang pasir bernama 'Kavir Lut'. Ketika
melintasi padang pasir itu pada waktu malam saya tertanya-tanya
sendiri kenapa masih ada orang yang menyembah api dan bintang pada
zaman moden ini. Ketika melalui Kavir Lut itu baru saya perasan yang
bintang-bintangnya sangat cantik, terasa seolah-olah begitu hampir
dan boleh dipetik dengan tangan. Saya berasa seumpama berada di dalam
tempurung yang penuh bintang. Biasanya kita lihat bintang di atas
kepala tetapi di situ kita boleh nampak bintang di sekeliling, di
kiri, di kanan, di depan, di belakang. Pada masa itu, saya rasa
begitu kagum dengan kebesaran Allah yang mencipta bintang yang begitu
cantik. Setelah tiba di utara Iran, cuaca begitu sejuk lalu tuan
rumah memasang unggun apa untuk kami. Kami semua pun mengelilingi
unggun api dan rasa sangat bersyukur mendapat kepanasan melalui api
tersebut. Ketika hendak tidur pada malam itu, baru saya terfikir,
patutlah ada orang yang menyembah bintang dan api. Sebenarnya mereka
sangat kagum kepada keindahan bintang dan amat berterima kasih adanya
api. Jadi jika seseorang itu tidak beriman, dia sebenarnya tidak
berasa kagum atau berterima kasih kepada Allah. Dalam Al-Quran, ada
banyak ayat-ayat menceritakan kebesaran Allah, namun kita tidak
berasa kagum. Kita utamakan hal-hal dunia dan perlekehkan soal ibadat
kepada Allah. Bila tiada rasa berterima kasih kepada Allah, atau
kagum dengan kebesaran Allah, akan tiada jugalah iman kepada Allah.
S: Apakah kekuatan akidah dan iman
seseorang umat Islam dan iktibar utama Israk Mikraj?
J: Iktibar terpenting ialah
terimalah apa sekalipun yang Allah berikan. Biarpun perkara itu
nampak tidak logik, kita wajib beriman dengannya. Ada banyak perkara
yang dahulu Allah tutupkan, dan baru sekarang baru Allah buka ilmu itu.
Contoh, dalam surah Yaasin, ada disebut tentang bahan bakar daripada
pohon hijau. Ulama dahulukala tidak dapat membuktikan ayat ini,
tetapi mereka tetap beriman dengan ayat tersebut. Pada zaman kita
baru diketahui bahawa ada minyak yang boleh diekstrak daripada pohon
hijau yang boleh dijadikan bahan bakar. Subhanallah. Allah boleh buat
apa sahaja, dan menjadi kewajipan kita untuk beriman kepada-Nya.
S: Ketika Israk Mikraj, Nabi SAW
diperlihatkan seksa ahli neraka. Benarkan penghuni kubur berdoa
meminta dipercepatkan kiamat kerana tidak tahan seksaan kubur?
J: Sebenarnya jika manusia itu berdosa,
di mana saja manusia berada akan minta dipercepatkan – contoh dari
kubur ke akhirat, dari akhirat ke pengadilan dan seterusnya
sehinggalah akhirnya manusia itu akan minta dipulangkan ke dunia sebentar
untuk berbuat kebaikan. Betul, kita rasa takut mendengar cerita azab
dan seksa neraka. Sebenarnya kita perlu lebih takut dengan hilangnya
rahmat dan kasih sayang Allah. Takut yang sebegini akan membantu kita
memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah.
S: Ustaz beritahu ada 8 kelebihan
solat. Kita pula diminta mengajar anak solat bermula dari umur 7
tahun. Allah juga perintahkan kita menjaga keluarga dengan solat.
Bagaimana membudayakan solat dalam masyarakat?
J: Kita perlu didik anak untuk mula
solat pada usia awal kerana dalam solat itu dia akan bermula
mendoakan hidayah untuk dirinya sendiri. Sudah banyak berlaku kisah
orang yang ingin kembali kepada Allah, mendapat pimpinan Allah.
S: Ketika Israk Mikraj, Nabi melihat
seorang tua yang telah bertongkat dan apabila ditanya, Jibril
mengatakan bahawa itulah dunia. Zaman Nabi itu telah lebih 1400 tahun
berlalu, jadi apa persediaan yang perlu kita lakukan hari ini?
J: Pengajarannya ialah supaya kita
jangan terpesona dengan dunia. Analoginya, jika kita nak ke Mekah,
kita kena siapkan beg kita. Oleh itu apa yang dimasukkan dalam beg,
itulah yang akan sampai ke sana. Begitulah juga dengan bekalan
akhirat kita, jika banyak yang kita 'masukkan', banyaklah yang sampai ke
akhirat nanti dan begitulah jika sebaliknya.